Saturday, October 17, 2009

7 Pindaan Perlembagaan UMNO Mengukuhkan Parti

Bila membaca teks Ucapan Dasar Presiden UMNO Najib Razak, saya merasakan ucapannya ini benar-benar mampu memukau seluruh perwakilan yang hadir. Juga kepada para pemerhati di luar Dewan Merdeka. Apa yang pasti jutaan rakyat yang mengikuti secara langsung ucapan dasar ini melalui kaca TV akan kembali yakin dengan UMNO dan secara tak langsung memberi impak yang besar dalam PRU13 kelak.

Salah satu daya penarik para perwakilan dan pendengar apabila Najib memulakan ucapannya dengan menyebut terjemahan Al-Qur'an dari Surah As-Saff : ayat 4 dan kata-kata Saiyidina Ali. Kemudian di pertengahan ucapan pula dia menyebut terjemahan ayat dari Surah Al-Maidah : ayat 8.

Selain menyelitkan ucapannya dengan terjemahan Al-Qur'an, ada satu sikap yang boleh dipuji yaitu Najib tidak menghentam para pemimpin pembangkang secara peribadi. Situasi ini berbeza dengan Presiden terdahulu seperti Mahathir.

7 Pindaan Perlembagaan UMNO

Premis pertama ialah meluaskan jumlah perwakilan dan sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Fasal-fasal yang terlibat ialah 8.3.3, 8.3.4, 9.3, 9.4, 9.9, 9.10, 14.5.1, 14.5.2, 14.5.4, 17.5.7 & 17.5.8 serta memasukkan fasal baru 14.4.7 Perlembagaan UMNO Malaysia. Efeknya, secara ringkas, ialah seramai 146,500 perwakilan Bahagian-Bahagian (sebanyak 191 Bahagian) akan memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO (iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden & 25 Ahli Majlis Tertinggi) disamping memilih ahli jawatankuasa Bahagian. Selaras dengan pindaan ini juga, Ketua-Ketua Sayap Cawangan (iaitu Wanita, Pemuda & Puteri) akan secara otomatik menjadi perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian (sebagai contoh, untuk cawangan yang ahlinya adalah 250 orang, seramai 9 wakil Cawangan iaitu 1 Ketua, 5 wakil Cawangan & 3 Ketua sayap). Ini merupakan perubahan besar kepada UMNO dan tentunya akan didukung oleh semua ahli UMNO dan dihormati oleh rakyat.

Premis kedua ialah penghapusan kuota. Secara ringkas, ianya bermaksud ahli-ahli UMNO yang ingin menawarkan diri untuk bertanding hanya perlu memenuhi kelayakan minima iaitu untuk ahli-ahli Majlis Tertinggi hendaklah sekurang-kurangnya telah menjadi Ahli MT (MT) atau Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) selama satu (1) penggal. Manakala untuk bertanding AJK Bahagian pula adalah menjadi ahli UMNO sekurang-kurangnya tiga (3) tahun. Fasal-fasal yang terlibat adalah 9.5 dan 15.5 Perlembagaan UMNO. Untuk makluman, Perlembagaan Malaysia juga ada menetapkan kelayakan minima jika seseorang itu mahu bertanding untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Premis ketiga ialah pertambahan wakil wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Bahagian & Cawangan. Selari dengan itu juga, jumlah ahli lantikan yang dibolehkan untuk Presiden, Ketua Bahagian & Ketua Cawangan ditambah satu (1) di semua peringkat iaitu untuk MT tiga-belas (13) orang, Bahagian lapan (8) orang & Cawangan (6) orang. Fasal-fasal yang terlibat ialah 9.2.8, 15.1.8, 15.2 & 18.1.8 Perlembagaan UMNO.

Premis keempat ialah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) sebagai satu badan khusus untuk mengendalikan pemilihan di peringkat MT dan Bahagian. Juga telah dicadangkan, untuk tahun pemilihan (bagi UMNO ialah 3 tahun sekali) pemilihan di peringkat Bahagian dibuat serentak. Dengan ini, kempen akan lebih teratur & mengurangkan 'politiking' (termasuk anasir salahlaku). Fasal terlibat ialah 10.5 Perlembagaan UMNO manakala untuk pemilihan serentak, ianya telah ada di Fasal 10.4. Apa yang perlu ialah arahan MT untuk dibuat serentak pemilihan Bahagian di dalam tahun pemilihan.

Premis kelima ialah yuran tahunan (RM1 setahun) dihapuskan dan RM2 yang dibayar sewaktu pendaftaran akan diterima sebagai yuran seumur hidup. Fasal-fasal yangterlibat ialah 8.4.3, 10.2, 10.9, 14.4.3, 14.4.4, 15.13.4, 15.13.8, 17.4.3 & 18.12.3 Perlembagaan UMNO. Ini akan tentunya mengurangkan masalah pembatalan mesyuarat Cawangan dan meminimakan salahguna kuasa ketua cawangan yang dengan sengaja tidak membayar yuran tahunan (atau tidak mahu menerima yuran tahunan).

Premis keenam ialah sistem pendaftaran keahlian diperluaskan dengan memberi kuasa kepada ketua-ketua sayap iaitu Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cwangan & Ketua Puteri Cawangan (selain Ketua Cawangan yang sememangnya mempunyai kuasa tersebut). Dengan pindaan ini juga, kuasa melulus dan menerima akan dipecahkan kepada empat (4) peringkat iaitu Cawangan (oleh Ketua Cawangan), Wanita (oleh Ketua Wanita Cawangan), Pemuda (oleh Ketua Pemuda Cawangan) & Puteri (oleh Ketua Puteri Cawangan). Fasa-fasal yang terlibat ialah 5.2, 18.12.4 & 18.12.11 Perlembagaan UMNO.

Premis ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian perwakilan otomatik ke Perhimpunan Agung Tahunan. Ini adalah mengenang jasa dan memberi pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian yang sememangnya berkerja kuat untuk memastikan pentabdiran Bahagian lancar. Fasal terlibat ialah 8.4.4 Perlembagaan UMNO.

Tidak dinafikan pindaan perlembagaan UMNO yang dibuat oleh Najib pada kali ini secara tidak langsung mampu memulihkan keyakinan rakyat khususnya ahli dan penyokong UMNO. Ekoran pindaan ini, jawatan Presiden, Timbalan Presiden, AMT boleh ditandingi oleh sesiapa pun di kalangan ahli parti apabila memenuhi syarat kelayakan minima. Selepas pindaan ini dibuat, kepimpinan UMNO tidak lagi dipilih oleh 1,500 perwakilan ke Perhimpunan Agong tetapi oleh seluruh perwakilan Bahagian seramai 146,500 orang (191 bahagian) di seluruh negara.

Persoalannya sekarang, apakah UMNO mampu membersihkan diri dari budaya politik wang yang selama ini sudah menjadi darah-daging mereka menjelang setiap pemilihan di semua peringkat ? Salah seorang pakar strategi UMNO yang juga AJK UMNO Bahagian ada memberitahu saya sebelum pindaan ini dikuatkuasakan dalam Perhimpunan Agong pada 13 - 16 Oktober ini. Beliau bagitau kat saya dengan pindaan ini akan menyebabkan lebih teruk lagi gejala 'tabur duit' di peringkat cawangan.

Waima apa pun, kita harus beri pujian pada Najib selaku Presiden UMNO yang nampaknya macam ikhlas untuk membawa perubahan menyeluruh dalam UMNO. Namun Najib harus sedar 'barah wang' yang melanda seluruh peringkat kepimpinan UMNO sudah sampai ke tahap kritikal. Walaupun dalam ucapannya ada menyentuh tentang gejala politik wang yang berlaku dalam UMNO tetapi dia langsung tidak menyebut dan menyeru kepada seluruh perwakilan agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bagi mengatasi masalah itu. Jelas tiada penekanan yang serius dalam hal ini. Hanya sedap didengar di telinga perwakilan namun hakikatnya jalan penyelesaian sebenar diabaikan.

Dalam menyorot peristiwa 13 Mei 1969, Najib seolah-olah 'memberi amaran' bila mengungkit bahawa pada ketika itu UMNO boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang telah digantung atau memilih untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau menyokong saja angkatan tentera melakukan rampasan kuasa. Apakah maksud yang tersirat di sebalik ucapan ini ? Mungkinkah jika UMNO/BN kalah dalam PRU13 kelak akan bertindak 'sesuatu' sehingga menyebabkan negara ini diisytiharkan darurat, kemudian angkatan tentera akan mengambil-alih kuasa pemerintahan yang diketuai oleh Yang Dipertuan Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan bersenjata.

Kita tak boleh nafikan kebarangkalian ini. Dipercayai Najib dan orang-orangnya dalam Kabinet sudah bersiap-siaga menghadapi kemungkinan ini. Jika dilihat baru-baru ini Kabinet Najib telah bersetuju agar diwujudkan satu Kementerian baru yang menjaga hal-ehwal kebajikan para pesara tentera. Apakah tujuan penubuhan Kementerian ini ? Apakah selama ini kerajaan terlupa nak menjaga kepentingan mereka ? Mengapa sekarang baru nak sibuk. Bukankah ini satu langkah membazirkan wang rakyat. Apa yang jelas UMNO/BN tidak akan sekali-kali sanggup kehilangan kuasa pemerintahan negara. Mereka sanggup melakukan apa saja demi untuk menghalang kemaraan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Pakatan Rakyat perlu ambil perhatian serius ekoran tindakan Najib melakukan 'islah' dalam parti pimpinannya sekarang. Perlu diingat selama ini seluruh ahli dan penyokong UMNO memang menantikan perubahan besar akan dibuat dalam parti terbesar orang Melayu ini. Bila diumumkan oleh Najib semalam di hadapan seluruh perwakilan serta secara 'live' menerusi kaca TV, tidak dinafikan ianya menjadi satu 'daya tarikan' baru kepada rakyat yang masih sayangkan UMNO. Jangan dipandang remeh kesan dari pindaan ini. Samada ianya berjaya dilaksanakan atau sebaliknya, itu bukan persoalannya. Yang pasti sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO semakin pulih selepas ini.

Dan apakah kesannya kepada PRU13 ?

Jika Pakatan Rakyat tersilap langkah, padah akibatnya. Pakatan Rakyat tak boleh mendabik dada dan begitu yakin akan berlaku gelombang besar rakyat dalam PRU13 nanti. Biar kita berpijak di bumi nyata. Fakta menunjukkan hampir 60% pengundi Melayu dan Bumiputera dalam negara masih bersama dengan UMNO. Jika merujuk kepada rekod PRU12, semua kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, Pakatan Rakyat tewas. Hanya Kelantan dan Kedah saja menunjukkan prestasi yang agak baik. Negeri-negeri lain semuanya kalah.

Agak membimbangkan jika majoriti pengundi Melayu atas pagar berpatah balik kepada UMNO dalam PRU13 nanti. Jika UMNO berjaya 'melakonkan' tindakan-tindakan yang kelihatan positif dan memberangsangkan di hadapan mata orang Melayu selepas pindaan yang dibuat ini, tidak mustahil sekali lagi orang Melayu akan terpesona dan percaya. Kita jangan lupa bagaimana Pak Lah 'melakonkan' wataknya sebagai Mr.Clean dengan membiarkan BPR mendakwa Tan Sri Kasitah Gaddam dan Eric Chia. Kesannya sangat besar di mana rakyat begitu yakin UMNO dan kerajaan di bawah Pak Lah akan bebas dari rasuah. Hasilnya dalam PRU11 BN menang besar.

Begitu juga dengan Najib. Hari ini Najib 'melakar sejarah' membuang tradisi yang ditinggalkan oleh Mahathir yang mana jawatan Presiden dan Tmbalan tidak boleh dipertandingkan. Dengan pindaan yang dibuat ini, UMNO hari ini dilihat lebih terbuka dan telus. Salah satu kata-kata Najib yang agak 'beracun' di hadapan perwakilan dan seluruh rakyat negara ini "Nak jadi presiden sampai bila? Seumur hidup? Baik atau untung nasib saya, saya serahkan kepada ahli Umno," ekoran pemansuhan kuota pencalonan untuk jawatan dalam parti.

Di sudut keahlian parti dari kalangan bangsa Melayu, PAS dan PKR masih jauh ketinggalan berbanding UMNO. Kita ambil satu bukti. Jumlah keahlian UMNO dalam Parlimen Sri Gading, Batu Pahat menyamai jumlah keahlian PAS seluruh Negeri Johor. Faham-faham sajalah Johor ialah Negeri Darul UMNO. Kalau ditoreh tangan orang UMNO Johor, darah yang mengalir keluar akan membentuk lambang UMNO. Anda jangan terkejut...

Jika benarlah telahan saya tentang kesan besar yang bakal berlaku ekoran pindaan yang dibuat oleh Najib ini dalam partinya, maka kedudukan Pakatan Rakyat dalam PRU13 kelak memang bakal tergugat.

Sebelum ini pun rakyat sudah mempersoalkan kredibiliti Ketua Pembangkang DSAI yang gagal dalam visinya untuk membawa PR ke Putrajaya. Kesan daripada kegagalan ini sebenarnya bukan kecil. Dan terkini Zaid Ibrahim yang baru sehari dua menyertai PKR sudah memohon untuk 'bercuti rehat' kerana berselisih faham dengan salah seorang pimpinan utama parti itu.

Diharap seluruh rakyat dapat membuat penilaian yang jujur dan ikhlas apakah UMNO benar-benar mahu berubah atau hanya cakap-cakap manis semata-mata. Sebelum ini pun Mahathir dan Pak Lah masing-masing dengan 'idea memukau' mereka hingga rakyat terlena dibuatnya. Akhirnya hanya tinggal cogankatanya saja sedangkan di sudut perlaksanaannya hanya 'indah khabar dari rupa'.

Marilah kita menjadi rakyat yang bijak dalam memperjuangkan hak kita. Bukan untuk kita semata-mata tetapi anak cucu keturunan kita agar mereka semua dapat mewarisi sebuah negara yang aman makmur dan diperintah oleh golongan pemimpin adil, beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger