Saturday, November 30, 2013

PRU14 : Khurafat UMNO bakal membenam PAS PKR

Terlintas dibenak minda ni satu persoalan yang memang sukar untuk dirungkai walau pelbagai kajian dan teori dibuat namun masih buntu menemukan jalan keluar. Yakni persoalan sikap dan minda orang Melayu tentang politik tanahair. Suatu yang agak pelik jika direnung bila mana Melayu tetap setia dengan UMNO walau parti itu sendiri mengkhianati mereka. Kalau benar parti yang dijunjung selama ini ikhlas mau membela mereka, tentunya ekonomi dikuasai orang Melayu & tiada lagi yang hidup merempat hari ni tapi yang terjadi sebaliknya. Ironisnya RM52b dari RM54b saham Bumi lesap disapu pemimpin UMNO. Namun kesetiaan Melayu tidak berubah.

EMPAT GOLONGAN SETIA PADA UMNO

1. Melayu Elit - golongan yang memegang jawatan tinggi di sektor awam dan swasta melalui UMNO
2. Korporat - golongan kaya sekelip mata melalui projek kurniaan UMNO termasuk saham, permit AP dan seumpamanya.
3. Pertengahan - golongan sederhana mewah yang telah didoktrin tanpa UMNO hilang Melayu
4. Miskin - golongan majoriti yang memang bergantung penuh bantuan UMNO. Tanpa.UMNO matilah mereka.

JOHOR

Negeri kelahiran UMNO hingga diberi jolokan Negeri Paling Kuat UMNO Di Dunia. Tepat sekali. PRU13 lalu membuktikan segalanya. Pengundi Melayu Johor secara konsisten bersama UMNO BN malah di kawasan Felda undi PAS merosot 50% berbanding PRU12. Hanya 17% saja memilih PR. Kemenangan PAS di DUN Puteri Wangsa dan Parit Yaani disumbangkan oleh pengundi Cina yang secara total menolak BN di seluruh negara. Persoalannya, kenapa PAS Johor masih gagal menembusi market Melayu? Bermakna pendekatan tradisi yang dibuat selama ini gagal mengubah sikap dan persepsi orang Melayu yang telah didoktrin dengan fahaman syirik "Tanpa UMNO hilanglah Melayu". PAS dan PKR kena akui kejayaan propaganda UMNO selama ini hingga menjadi pegangan Aqidah Melayu.

TIADA POLITIK DALAM ISLAM

Satu keyakinan yang telah berakar-umbi dalam jiwa Muslim sejak merdeka. Politik kotor dan Islam tu suci. Tak boleh campur. Islam pada mereka ialah solat, puasa, zakat, haji, derma sana-sini, tahlil, sembahyang jenazah dan kubur orang mati. Dalam konteks sambutan Maal Hijrah dan Maulidul Rasul, memang Melayu UMNO hebat tapi dok buta hati tak faham apa tujuan hijrah Rasulullah dan apa perjuangan Baginda. Golongan agama upahan UMNO terus berperanan menyesatkan mereka dengan mengukuhkan lagi fahaman sekular Kristian yang memisahkan agama dan politik. Tembok sekular inilah yang berjaya dibina oleh penjajah melalui UMNO hingga meresap ke jiwa orang Melayu hingga ke hari ini.

ANAK MUDA

Golongan ini terbahagi kepada lepasan sekolah, siswazah dan lepasan siswazah, berkerjaya samada profesional atau sokongan dan penganggur lepasan ijazah. Statistik 2012 saja menganggarkan kira-kira 180 ribu siswazah menganggur di seluruh negara. Satu angka yang cukup besar bagi sebuah negara yang berpenduduk 25 juta orang.

Dalam konteks menawan hati golongan muda ini, penulis kira tidak sukar untuk mengenalpasti kehendak mereka. Visi mereka selepas habis belajar ialah pekerjaan. Hanya segelintir saja yang mampu berdikari dengan menceburkan diri dalam bidang insuran dan MLM bagi yang berminat. Yang lahir dari keluarga berada, kebiasaannya mereka akan menjalankan perniagaan sendiri mengikut bidang ilmu masing-masing. Selebihnya masih bergantung kepada kekosongan jawatan samada awam atau swasta. Justeru, UMNO sebagai parti pemerintah mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan golongan ini dengan pelbagai program yang dilaksanakan termasuk Program Latihan Kerjaya bagi siswazah menganggur walau kejayaan program itu masih boleh dipertikaikan.

Bagi kumpulan lepasan sekolah yang tak berjaya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, biasanya hanya menurut saja sikap politik keluarga masing-masing kecuali yang berkerja di luar atau terpengaruh dengan sikap rakan sebaya yang menyokong Pakatan Rakyat.

BR1M DAN RM200 REBAT TELEFON BIMBIT

Dalam bajet 2013, Najib telah mengumumkan pemberian kedua BR1M RM500 dan rebat telefon bimbit RM200. Walau pengumuman ini disebut oleh pemimpin PR dan Mahathir sebagai rasuah politik tapi strategi Najib ini memberi impak yang besar kepada sikap pengundi Melayu Bumi tanahair. Sapa yang tak nak duit. Berbuih mulut kita bercakap menyampaikan penerangan kepada rakyat yang BR1M tu hanya gula-gula untuk memastikan UMNO BN terus memerintah selepas PRU13. Selepas menang, wang yang diberi itu akan diambil balik dengan cara kenaikan harga petrol dan GST. Penerangan ibarat mencurah air ke daun keladi sebab telah diketahui umum mentaliti politik Melayu Bumi ialah mentaliti kelas ketiga.

DOKTRIN TANPA UMNO HILANG MELAYU

Fahaman khurafat inilah yang berjaya ditanam UMNO ke dalam jiwa Melayu hingga buta mata hati daripada melihat kebenaran. Dengan kata lain orang Melayu berjaya ditarik hidung mereka seperti lembu. Dalam isu wang penternak lembu berjumlah RM250 juta yang diseleweng oleh keluarga Shahrizat Jalil sebagaimana didedahkan oleh Rafizi Ramli berserta bukti kukuh namun Shahrizat tetap dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan baru-baru ini. Suaminya bebas tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya. Inilah mentaliti Melayu UMNO yang dah hilang maruah diri. Bagi mereka, tak mengapa pemimpin menyeleweng dan rasuah asalkan UMNO terus berkuasa. Aqidah mereka kalau UMNO hilang kuasa, Cina akan perintah negara. Satu fahaman yang paling bodoh di dunia. Banyak lagi kes berprofil tinggi yang didedahkan namun kesetiaan Melayu pada UMNO ibarat irama dan lagu. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa orang Melayu sebenarnya beragama UMNO.

APA SOLUSI PAKATAN RAKYAT PRU14?

Persoalan yang sukar dijawab kecuali PR khususnya PAS berjaya menemukan formula baru sebagai penawar kepada virus khurafat yang sedang subur di dalam jiwa orang Melayu. Tersilap percaturan politik, strategi dan gerakerja lapuk, penulis yakin PAS dan PKR akan kehilangan sebahagian besar kerusi Parlimen dan DUN manakala DAP terus dominan di kawasan majoriti pengundi Cina. Manifestasinya UMNO terus memperkukuhkan kuasanya dan meneruskan propaganda sentimen perkauman ekoran kejayaan DAP kekal di kerusi Parlimen dan DUN. PAS dan PKR mesti berbuat sesuatu dari sekarang. Jika tidak, padah menanti dalam PRU14.

Wallahu'alam

Thursday, November 28, 2013

PAS masuk perangkap UMNO???

Muzakarah PAS UMNO antara tagline dalam Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini. Sebelum ini PAS jadi panas atas isu Unity Government di era PM Pak Lah hingga Mursyidul Am TGNA membuat kenyataan terbuka menentang idea tersebut. Tentunya majoriti ahli PAS sendiri ada yang tertanya-tanya berkaitan muzakarah itu walau penegasan Hj Hadi hanya atas isu Islam.

Sebelum pergi lagi jauh, kita semua tahu UMNO memang parti sekular yang menentang Islam. Lupakah bagaimana pengkhiantan UMNO tika PAS memerintah Terengganu selepas PRU10? Di peringkat awal kerajaan PAS masa itu yang diketuai oleh Hj Hadi sendiri tentu merasa lega sikit kerana Terengganu ada Royalti Petroleum yang berjumlah hampir RM1 bilion. Dengan pendapatan negeri sebesar itu, tentunya mudah bagi kerajaan PAS untuk melaksanakan plan pembangunan untuk rakyat sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU10. Tanpa diduga, kerajaan UBN Pusat di bawah Mahathir telah menukar Royalti kepada Wang Ehsan. Sekelip mata kerajaan PAS Terengganu menerima tamparan hebat ekoran kehilangan pendapatan utama negeri.

Persoalannya, kenapa Pusat sanggup melanggar perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu? Apakah motif politik UMNO itu sendiri?

Bila UMNO kehilangan Terengganu dalam PRU10, ianya ibarat ledakan bom nuklear kepada batang hidung sendiri. Dengan kejayaan PAS merampas Terengganu, bermakna 2 negeri pantai timur telah berjaya dikuasai pembangkang bersama Kelantan. Di sudut politiknya, UMNO tidak boleh membiarkan penguasaan di dua negeri oleh PAS itu berterusan kerana ianya boleh merebak ke negeri lain. Justeru, kerajaan PAS Terengganu wajib dijatuhkan dalam PRU11. Apa strateginya? Tentulah ekonomi sebagai nadi penggerak sesebuah kerajaan mesti dilumpuhkan terlebih dahulu. Royalti ditukar jadi Wang Ehsan. Hilang hampir RM1 bilion setahun pendapatan kerajaan negeri. Setelah hak royalti dirampas, UMNO melalui media perdana terus menyerang kerajaan PAS Terengganu dengan pelbagai propaganda, kononnya kerajaan pimpinan Hj Hadi gagal melaksanakan pembangunan untuk rakyat. Bagi rakyat miskin, tentunya fitnah melalui propaganda media itu terkesan di jiwa mereka, lebih-lebih lagi bila mereka menerima bantuan kewangan dari pihak UMNO yang menggunakan Wang Ehsan.

Tidak dinafikan kerajaan PAS pimpinan Hj Hadi, walau dalam keadaan kewangan negeri yang terhad telah berjaya melaksanakan beberapa program kebajikan untuk rakyat. Umpamanya, pemberian lot tanah kepada lebih 100 ribu rakyat Terengganu bagi membolehkan mereka membina rumah atas tapak sendiri, juga beberapa janji manifesto yang ditunaikan. Namun ekoran kesedaran rakyat terhadap politik masih rendah serta mentaliti kelas bawahan masih membelenggun majoriti rakyat, akhirnya Terengganu terlepas dari genggaman PAS dalam PRU11. UMNO berjaya dengan strategi 4 tahunnya dan kembali menguasai lebih dua pertiga kerusi DUN dan keseluruhan kerusi Parlimen di Terengganu. Kelantan juga hampir-hampir terlepas dari genggaman bila PAS hanya berjaya menguasai DUN dengan mejoriti 1 kerusi.

Bercakap soal Royalti ni, ironisnya kerajaan PBS Sabah walau pembangkang masih tetap menerima royalti tahunan dari Petronas. Tak pulak ditukar kepada Wang Ehsan. Sebab tu penulis kata UMNO ni sebenarnya memang memusuhi Islam sebagaimana golongan Yahudi dan Nasrani yang telah termaktub dalam Al Quran.

Berbalik soal muzakarah, penulis rasa PAS tak perlu buang masa untuk berbincang dengan UMNO atas kapasiti kepentingan Islam. PAS sendiri dah tahu UMNO memang anti-Islam kini dulu dan selamanya. Cukuplah apa yang telah dilakukan oleh rejim UMNO selama ini terhadap Islam dan PAS itu sendiri. Di sudut politiknya, muzakarah ini hanya menguntungkan UMNO dan merugikan PAS. Penulis tak mau berbicara panjang soal untung rugi ni. Biar pembaca lihat sendiri nanti apakah natijah dari muzakarah ini.

Sebagai orang yang sangat anti-Unity Government, tentunya penulis sensitif dengan isu muzakarah ini. I have my right to express my thought... Susah sangatkah nak faham cara politik pecah-perintah UMNO selama ini??? UMNO sendiri tahu dan cukup sedar keadaannya sekarang dalam posisi defensive atas isu penyelewengan, rasuah, hutang negara, kenaikan harga barang, cukai GST, laporan Audit Negara dan seumpamanya. Tiba-tiba, PAS masih bersedia untuk bermuzakarah atas isu Islam. Nape tak semena-mena PAS memberi 'nyawa politik' pada UMNO semula? Sepatutnya PAS terus menyerang UMNO secara konsisten atas isu-isu tadi. Jika muzakarah ini jadi kenyataan, penulis boleh jangka apakah propaganda yang akan dimainkan UMNO menjelang PRU14 nanti. Yang pasti PAS akan terus kehilangan sokongan pengundi Melayu Bumiputera Islam. Matlamat utama UMNO tak lain tak bukan untuk memastikan akhirnya PAS keluar Pakatan Rakyat.

Wallahu'alam

Monday, November 25, 2013

Ego dan airmata Husam

Nama-nama seperti Mahfuz, Salahuddin dan Husam bukanlah asing dalam PAS. Ketiga-tiganya merupakan produk asli keluaran PAS melalui kilang tarbiyyah haraki secara tersusun. Mereka telah teruji dan tetap istiqamah dalam perjuangan. Ada yang pernah rehat di ISA dan penjara. Mendaki dari aktivis biasa di peringkat cawangan, kawasan, negeri hinggalah ke peringkat nasional. Di pusat, pendakian mereka juga secara berperingkat hinggalah ke kedudukan hari ni sebagai Naib Presiden. Di Muktamar ke-59 kali ini, Mahfuz tewas dan tempatnya diganti oleh penyandang Ketua Penerangan penggal lalu, Tuan Ibrahim Tuan Man. Walau tewas namun penulis yakin Mahfuz tetap mantap pendiriannya kerana telah terbukti rekod cemerlangnya. Penulis menjangkakan Mahfuz akan dilantik sebagai Ketua Penerangan pula.

Muktamar ke-59 baru saja melabuhkan tirainya siang tadi. Hampir 90% kepimpinan sedia ada kekal namun di muktamar kali ini ada nilai sentimentalnya sendiri bila Husam tidak dapat menahan sebak hingga mengalirkan airmatanya bila sahabat seperjuangannya Mahfuz gagal pertahankan posisi Naib Presiden. Khabarnya Salahuddin turut sama menangis, malah ada perwakilan turut sama mengalirkan airmata bila melihat Mahfuz sebagai abang menenangkan Husam. Walau penulis tidak hadir ke muktamar kali ini namun dapat merasakan suasana syahdu di stadium Malawati tika itu.

Bagi Salahuddin yang sememangnya rapat dengan Mahfuz sewaktu dalam Pemuda Pusat hinggalah ke penjara pun bersama, tentulah lencun sapu tangan anak kelahiran Tg Piai Johor tu. Kalau penulis di tempat Salahuddin, tentu nangis punyalah. Di pihak Husam, tentulah dia terasa sangat kerana kedudukan beliau sendiri genting sebagaimana Mahfuz. Dari awal lagi penulis dah jangka antara Husam dan Mahfuz mesti salah seorang tewas. Abu Bakar Chik memang penulis ramal kalah dari awal lagi sebab perwakilan boleh menilai sendiri apa perlunya beliau bertanding Naib Presiden dalam usia yang dah menjangkau 62 tahun, malah di peringkat negeri pun beliau tidak memegang jawatan. Lebih baik dia fokus kepada Lajnah Pendidikan saja. Bukankah elok tak bertanding tapi malangnya percaturan beliau tersasar jauh. Tak taulah apa target ABC tu.

Berbalik kepada airmata Husam, memang tidak dinafikan reputasi Husam agak merosot sikit di Kelantan, lebih-lebih lagi bila Sultan Muhammad V tidak beri perkenan untuk dia terus berada dalam barisan Exco Kerajaan Negeri selepas PRU13. Soal kenapa Sultan tak mahu Husam, biarlah itu menjadi rahsia mereka berdua. In person, penulis harap Husam boleh perbaiki beberapa kelemahannya sebagai seorang politician. Memang dia seorang bijak dan gifted tapi ada beberapa sikapnya yang dilihat semacam angkuh dan lone-ranger di mata ahli dan rakyat. Seorang sahabat yang juga businessman di Kota Bharu pernah bagitau penulis "Husam ni seorang think-thank, bukan seorang politician yang baik...", ada lagi kritikannya terhadap Husam yang tak perlu disebut di sini.

Di segi fizikalnya, Husam memang memiliki pakej sebagai seorang pemimpin politik. Tinggi lampai, tak gemuk, memiliki kelayakan akademik serta menguasai bahasa Inggeris dan Arab dengan baik. Pakej yang ada pada dirinya dah cukup untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Malah salah seorang pemimpin veteran PAS sendiri mengakui Husam mampu pergi lebih jauh lagi dalam persada politik tanahair, khususnya dalam PAS sendiri. Takde sesiapa boleh menafikan jasanya pada kerajaan dan rakyat Kelantan tika memegang jawatan Exco Kanan kerajaan negeri. Antara bekas tangannya ialah Tabung Kifalah dan Dinar Emas, juga tuntutan Royalti Petroleum yang masih belum selesai di mahkamah. Mungkin banyak lagi usaha yang telah dilakukan untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri walau ada yang gagal.

Sewaktu diumumkan menang dan kekal di posisi Naib Presiden, sewajarnya Husam bermuhasabah diri dan membuang sifat 'angkuh'nya itu jika beliau mahu terus relevan sebagai pemimpin PAS dan politik tanahair. Sesiapa saja di dunia ini mengakui fakta bahawa untuk menjadi seorang pemimpin politik yang berjaya serta dihormati oleh rakan dan lawan, pakej 'body-language' yang sempurna, bijak berhujah, berintegriti, saling menghormati serta tegas perlu ada pada diri ahli politik itu sendiri. Tapi kalau main langgar je bila datang ke negeri orang seolah-olah pemimpin negeri tak wujud, itu sudah cukup menggambarkan keangkuhan diri selaku pimpinan atasan.

Anyway, tahniah buat Husam kerana masih diizinkan oleh Allah untuk kekal di posisi sekarang. Belajarlah menghormati orang lain serta jangan pandang rendah pada orang yang dirasa lebih rendah statusnya daripada kita jika mahu terus relevan sebagai pemimpin parti dan rakyat.

Wallahu'alam.

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger