Tuesday, June 16, 2009

Suka Duka dan Airmata Seorang Sahabat

Kisah yang dipaparkan ni adalah tentang seorang sahabat karib aku sewaktu di kolej. Bukan setakat kat kolej je, posting pun kat satu tempat. Entah macamana boleh jadi macam tu, aku pun tak tahu. Inilah agaknya yang dikatakan sahabat baik tidur sebantal.

Sudah hampir separuh abad DIA menyedut udara milik Allah untuk hidup di dunia yang fana' ini. Maka selama itulah hidupnya dipenuhi dengan ranjau dan duri yang tidak berkesudahan. Sejak hari pertama DIA dipindahkan dari alam rahim ke alam dunia, maka sejak itulah DIA dijaga oleh nindanya. Oleh kerana kelahirannya itu tidak menuruti kebiasaan, maka si ibu tidak berani untuk menjaganya kerana bimbang perkara yang buruk berlaku ke atasnya.

Hari demi hari DIA dirawat oleh nindanya. Botol berisi air suam sentiasa berada di sisi sebagai 'heater' bila malam menjelma. Sarung kepalanya sebesar cawan manakala badan hanya berbajukan bedung. Aku tak sangka yang DIA ni pun serupa macam aku. Lahir tak cukup bulan.

Begitulah insan yang bernama 'DIA' yang kini sudah semakin tua dan berkeluarga.

Dalam menempuh alam persekolahan, DIA juga pintar. Namun nasib tidak menyebelahinya apabila gagal menempatkan diri di IPTA. Kegagalan ini memberi kesan yang cukup mendalam pada dirinya. Sempat juga DIA belajar di Tingkatan 6 Sains. Tak habis pun sebab kepala dah masuk angin. Dalam tempoh sebagai penganggur terhormat, dia telah dikenalkan dengan seorang gadis cantik dan menawan. Di sinilah dia mula berjinak-jinak dengan cinta pertamanya. Namun kisah cinta DIA ni ibarat menggengam bara api. Kedua orang tuanya menentang habis-habisan sehingga bertindak menulis surat kepada aweknya agar jangan bermimpi nak jadi menantu. Macam dalam filem gamaknya.

Tapi DIA ni seorang yang kepala batu. Lagi ditentang, lagi kuat kasihnya pada awek cun tu. Maklumlah, darah pendekar yang mengalir dalam badan... Setelah 30 bulan menganggur, DIA berjaya menyambung pelajarannya di salah sebuah kolej di Utara Semenanjung. 'Macho' juga DIA ini. Punya ramai student perempuan yang 'secret admired' padanya tapi DIA buat tak kisah pasal setia pada aweknya. Bodoh betul DIA ni. Apalah salah layan saja student yang cun-cun tu buat 'part time lover'.

Seperkara yang aku 'respect' kat DIA ni walaupun mendapat gelaran 'King Of The Ponteng' kat kolej tapi masih mampu dapat cemerlang. Kadang-kadang aku heran juga. Setiap kali nak semester exam, maka setiap kali itu DIA kena buat surat tunjuk sebab mengapa tidak boleh dihalang daripada mengambil peperiksaan. Macamana tak kena kalau dah jumlah kehadiran kuliah tak pernah cukup. Sekali lagi aku pelik, DIA tetap dibenarkan ambil exam. Tak tahulah apa yang DIA temberang dalam surat tunjuk sebab tu.

Di kolej, kalau nak tengok DIA sembahyang memang payah. Cuma sembahyang Juma'at je tak pernah ponteng. Aku mula tengok DIA macam dah tobat dan tak tinggal solat sewaktu semester akhir. Rupanya ada seorang gadis berjubah dan bertudung labuh yang telah berjaya meleburkan hati DIA. Aku namakan gadis ni sebagai NISA'. Sejak itu, aku tengok DIA betul-betul dan terpusing 360 darjah. Aku memang tak nafikan NISA' memang seorang gadis yang comel dan rupawan. Sapa pun yang terpandang wajahnya memang tertawan. Ramai pelajar lelaki yang cuba pikat namun gagal. Tak tahulah apa yang ada pada DIA sehingga NISA' sudi menjadi penyeri hati dan jiwanya yang kelam-kabut tu.

Yang herannya DIA langsung tak pernah peduli dengan NISA' ni walaupun sekelas dengannya. NISA' memang selalu tegur DIA pasal ponteng. Setiap kali NISA' tegur, dia hanya senyum dan menjawab "Terima kasih sayang kerana bagi nasihat kat abang". Tersipu-sipu NISA' bila dia jawab macam tu.

Nak dijadikan cerita, satu hari DIA ditahan oleh Polis Trafik kerana memandu kereta kawannya melebihi hadlaju. Dapat surat saman. Saman pulak tu paling tidak RM150. Mana DIA pernah ada duit. Belum sampai 15 hari elaun dah habis. Sejak itu DIA banyak termenung dalam kelas. Aku tahulah DIA kena saman sebab rakan karib. DIA ni memang tak perasan yang NISA' memerhatikan perubahan yang mendadak itu. Macamana orang tak perasan. Selama ni DIAlah yang kecoh dalam kelas. Pantang lecturer lewat sikit sampai, DIA pasti ghaib.

Jadi, NISA' tanya kat aku pasal perubahan DIA. Aku pun bagitau. Setelah habis kuliah, NISA' terus ke meja DIA dan dengan nada serius NISA' bagitau "Saya nak jumpa awak petang ni jam 5.30 di Cafe. Jangan tak datang tau". Terpinga-pinga DIA mendengar ucapan serius tu. Terdiam sejuta bahasa. Aku tengok DIA dah macam orang kena pukau. Tak sangka pulak aku yang DIA ni boleh jadi sebodoh tu.

Petang tu DIA bergegas ke Cafe. Aku pun tak tahu apa yang mereka bincangkan. Bila DIA balik, aku pun tanya "Apa hal NISA' nak jumpa kau ?" DIA tunjukkan wang RM150 ditangannya sambil bagitau NISA' suruh aku bayar saman. Aku cuba menolaknya tapi dia cakap "Awak tahu tak selama ini saya ambil berat pasal awak. Bukan saya tak tahu awak jarang sembahyang 5 waktu. Cuma pergi Jumaat je. Awak memang tak kesiankan diri sendiri. Bila dah kena saman pandai pulak awak susah hati. Sebenarnya Allah tegur awak. Pasal tu awak kena saman. Ni duit guna untuk bayar saman. Esok awak mesti pergi bayar. Lepas tu saya nak tengok resitnya".

Jawab DIA "Kenapa awak bersusah-payah nak tolong saya. Saya tak mintak pun." NISA' dengan nada lemah lembut tapi tegas membalas "Saya tak mahu tengok awak susah-hati. Pernahkah awak fikir selama ini Allah tetap sayangkan awak walaupun awak malas sujud pada-Nya. Setiap kali exam awak dapat point tinggi. Itu tandanya Allah masih sayang."

DIA yang keras kepala ini menjawab "Itu saya tahu. Kalau saya tak sembahyang bukan awak yang tanggung dosa. Apa yang awak nak risaukan ?" Serta-merta balas NISA' "Awak tahu tak memang dah lama saya menaruh hati kat awak. Cuma awak yang tak perasan. Setiap kali awak ponteng kuliah saya kecewa sebab bimbang awak tak boleh ambil exam. Awak bukan pernah fikir tu semua. Yang awak tahu hanya ikut hati yang keras tu."

Terdiam DIA seketika bila dapat tahu NISA' dah lama sayang padanya. Kemudian DIA bagitau kat NISA' "Sebenarnya sejak semester 1 lagi saya dah jatuh hati kat awak tapi saya malu dengan awak sebab awak orang yang beriman. Memang saya tak layak." Balas NISA' dengan nada lembut "Mulai sekarang saya mahu awak berubah kerana Allah. Kalau benar awak sayangkan saya, terlebih dahulu awak kena sayangi diri sendiri. Jangan lagi tinggalkan solat dan qada' yang mana dulu tak buat. Jangan risaukan saya. Saya tetap tunggu awak."

Ringkasnya, sejak pertemua tu DIA telah berubah 360 darjah. Aku sendiri macam tak caya bila tengok DIA tak pernah lagi tinggalkan solat. Kuliah tak pernah ponteng lagi. Dan pernah satu malam aku mengendap DIA kat surau. Puncanya dia tak balik-balik selepas Isya'. Terkejut aku bila dengar DIA menangis teresak-esak sambil berdoa'. Terfikir dalam kepala "Apakah DIA dah buang tabiat. Nak mati kot agaknya."

Bermula era baru dalam hidup rakan aku yang pelik ni. Wajahnya ceria, pakaian kemas dan rapi sehingga rakan sekelas asyik memerhati kat DIA. Manakala NISA' seperti biasa saja dengan sikapnya yang tenang. Namun 'kisah cinta' mereka sudah dapat dihidu oleh rakan-rakan yang lain. Ada juga yang mengusik "Iyalah... sekarang dah ada orang jaga DIA. Jangan lupa jemput kawan-kawan bila makan nasi minyak."

Setelah menamatkan pengajian, NISA' bertugas di negeri sendiri manakala DIA dan aku dihantar ke sebuah pulau. Belum sampai setahun bertugas, DIA terpaksa menghadapi satu lagi ujian yang amat berat. Apa tidaknya, NISA' yang sangat dicintainya dan bakal menjadi permaisuri dalam hidupnya, dengan tiba-tiba hilang dari genggaman.

Sepucuk surat dari NISA' yang pertama dan terakhir itu telah meluluhkan hatinya. Terkejut aku bila melihat DIA menitiskan airmata jernih sambil membaca surat tersebut. Lalu aku tanya "Kenapa dengan kau ni ? Ringkas DIA jawab "NISA' tinggalkan aku...." sambil menghulurkan surat tersebut. Aku terus membaca. Lebih kurang begini ayatnya ;

Awak yang disayangi,

Walaupun berat Nisa' nak sebut di sini namun demi kejujuran, Nisa' kuatkan hati untuk beritahu awak yang Nisa' akan dinikahkan dengan seorang pemuda pilihan ayah dan ibu. Sebenarnya sudah lama Nisa' berendam air mata sejak dari hari pertama kami ditunangkan. Maafkan Nisa' kerana tak mampu melawan kehendak ayah dan ibu. Walaupun kasih sayang Nisa' pada awak tak pernah pudar tapi Nisa' tak sanggup menderhaka kepada orang tua.

Ayah dan ibu tak dapat menolak lamaran dari pemuda itu kerana keluarganya pernah menolong sewaktu kami dalam kesusahan. Demi mengenang jasa dan baik budi mereka, ayah dan ibu tak berdaya menolaknya. Ayah dan ibu Nisa' sendiri risaukan pasal awak. Mereka kirim salam dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Nisa' faham tentu awak akan menangis. Percayalah, tidak pernah terlintas di hati ini untuk meninggalkan awak. Awaklah insan pertama yang Nisa' cintai. Namun apakan daya kita, jodoh pertemuan Allah tentukan.

Jika awak benar sayangkan Nisa', tolong jangan tinggalkan solat lagi. Nisa' bimbang jiwa awak lemah ekoran hal ini. Sewaktu menulis surat ini, airmata Nisa' tak berhenti gugur. Awak mesti kuat dan tabah. Nisa' tak boleh tipu hati ini. Semakin hari semakin kuat kasih sayang ini pada awak. Awak mesti berjanji pada Nisa' yang awak tak akan mengulangi kesilapan lalu. Jangan berputus asa. Ini semua adalah ujian dari-Nya.

Nisa' sendiri tak pasti adakah perkahwinan ini boleh bahagia atau tidak. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sebelum mengakhiri bicara ini, sekali lagi Nisa' mohom ampun dan maaf. Jaga diri awak baik-baik. Ingat pesan Nisa' ya.

Salam sayang.

Aku sendiri pun sayu bila baca surat ini.

Sejak dari hari pertama surat ini sampai sahabat baik aku, DIA benar-benar dilanda kesedihan yang kronik. Jiwanya seolah-olah melayang entah ke mana. Setiap kali mahu solat, mesti dia menangis. Selepas solat dia akan bersendirian dalam bilik. Makan hanya sekali-sekala bila terlampau lapar. Itu pun hanya sesuap dua. Rokok yang dihisap tak cukup sebungkus sehari. Sebelum tu sebungkus pun tak habis.

Keadaan ini berlanjutan lama sehingga pada satu hari aku sendiri terkejut melihat wajah DIA serta-merta berubah menjadi hitam pucat. Aku sendiri tak tahu apa puncanya. Dalam masa sebulan saja wajahnya berubah 100%. Cengkung dan layu. Yang paling aku risau apabila DIA dah mula berjalan mundar-mandir seorang diri di kawasan sekitar. Kadang-kadang aku melihat dia bercakap seorang diri. Hidupnya dah mula tak terurus. Sembahyang ikut sesuka hatinya. Rakan-rakan di pejabat turut perasan perubahan mendadak pada tubuh fizikalnya sehingga bos kami menasihatkan dia pergi berubat secara tradisional.

Yang paling aku tak dapat lupakan sehingga sekarang apabila pada satu malam aku mendengar dia seolah-olah bercakap dengan orang lain di dalam biliknya sedangkan dia seorang saja di situ. Antara ucapannya "Ya aku akan bunuh diri aku. Tak payah kau suruh. Malam ni bila semua orang dah tidur, aku akan terjun dari flat ni."

Kami memang tinggal di tingkat 3. Serta merta aku maklumkan kepada rakan yang lain agar jangan tidur malam ni kerana bimbang DIA akan melaksanakan hasratnya.

Memang benar sangkaan kami. Lebih kurang jam 3.00 pagi DIA keluar dari biliknya menuju ke berandar untuk terjun. Serta-merta kami memeluk tubuhnya. Sambil memeluknya aku menangis dan berkata "Kenapa kau jadi macam ni hah. Kau lupakah pada pesanan Nisa'. Mana pergi iman kau sehingga kau sanggup nak bunuh diri. Bagitau aku siapa yang suruh kau buat macam ni."

DIA jawab "Ada suara yang suruh aku terjun. Suara itu sebut apa gunanya hidup kalau asyik dirundung malang. Kau sembahyang pun tak guna. Allah dah benci kat engkau. Sebab itulah sekarang kau sakit dan menderita. Kau tengok orang lain mana ada macam kau. Mereka semua hidup bahagia..."

Memang aku tak nafikan penderitaan dan tekanan jiwa yang dihadapi oleh DIA memang hebat. Hampir genap 5 tahun, barulah DIA pergi berubat secara perubatan Islam. Menurut Ustaz yang merawatnya, DIA terkena sihir dendam. Sewaktu merawat, Ustaz tersebut berinteraksi dengan Jin yang berada dalam badannya. Rupanya ada orang yang mahu DIA jadi gila kerana dendamnya terhadap kedua orang tuanya.

Sekarang barulah aku faham siapakah yang melakukan sihir terhadap DIA. Sempat juga aku menelefon NISA' dan memberitahunya pasal DIA. Bila Nisa' dengar penjelasan aku, serta-merta dia menangis sambil berkata "Saya tak sangka DIA begitu menderita sekali. Tolong beritahu DIA, jika DIA masih sayangkan saya dan boleh terima saya lagi, sila kembali kepada saya."

Rupanya rumahtangga NISA' hanya bertahan untuk 3 tahun saja tanpa zuriat. Bila aku tanya kenapa tak berusaha untuk menghubungi DIA. NISA' beritahu dia malu. Bila aku maklumkan pada DIA tentang NISA', mengalir air mata jernih di pipinya. Mungkin airmata harapan dan kebahagiaan.

Lebih kurang 6 bulan selepas itu, akhirnya bersatu kembali 2 hati yang terpisah. Memang aku tak nafikan kisah percintaan mereka berdua ini memang penuh dengan suka, duka dan airmata. Namun aku tetap tumpang bahagia bila rakan karib aku berjaya mendapatkan semula permaisuri hatinya. Sekarang mereka hidup bahagia bersama putera dan puterinya. Aku kerap juga menghubungi rakan karib aku yang mendapat gelaran 'King Of The Ponteng" sewaktu di kolej.

Aku harap DIA akan membaca tulisan aku ni. Tentu dia akan tersenyum. Begitu juga NISA' isterinya.

Sorry Bro... saja nak remind kisah suka, duka dan airmata hang.

Adios.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger