Sunday, October 31, 2010

Bina Kuasa Rakyat, Kuburkan Hegemoni UMNO

Pendahuluan

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) negeri Johor, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) atas jemputan dan memberi peluang kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membincangkan dan membicarakan isu yang cukup menarik dan panas ini.

Topik "Menentang Pemerintahan Fasis (Kuku Besi), Kuburkan Rejim UMNO" adalah satu topik yang sungguh straight forward dan penganjur mengariskan persoalan yang cukup tajam dan tidak berbelit belit. Persoalan di hadapan kita adalah persoalan yang nyata dan factual.

Kita hari ini berdepan dengan satu zaman yang penuh menarik. Politik Malaysia yang untuk beberapa dekad ini yang lesu dan tenang, tiba-tiba bergelora dan dinamik. Tsunami politik 2008 membawa bersama perubahan tetapi masih tidak berjaya menumpaskan rejim pemerintah yang memerintah sejak kemerdekaan. Ini adalah zaman transisi iaitu zaman perantaraan antara dua rejim. Persoalan adalah: Adakah rejim lama UMNO-BN akan terkubur atau sebaliknya? Adakah ia dapat memperkukuhkan diri dan kembali memerintah dengan mandat baru?

Dan saya (S. Arutchelvan, gambar kanan) juga harus memberi tahniah kepada penganjur kerana berani mengadakan satu forum untuk membincangkan penguburan UMNO dan program ini pula diadakan di kubu UMNO yang paling kuat, iaitu di Johor, tempat lahirnya Onn Jaafar - pengasas UMNO.

Kalau kita berani berucap mengenai penguburan UMNO di Negeri Johor, maka boleh dikatakan harapan menguburkan UMNO memang cerah sekali. Ada pandangan bahawa Johor akan merupakan negeri yang paling akhir sekali yang akan tumbang. Semasa penaklukan Inggeris ke atas Tanah Melayu, Johor menjadi negeri terakhir untuk akur kepada kehendak British, semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Johor sekali lagi menjadi negeri terakhir ditakluki memandangkan Jepun masuk dari Utara. Dan hari ini, tidaklah mustahil untuk meramal Johor mungkin menjadi negeri terakhir untuk UMNO pula tumbang. Justeru itu, forum ini diadakan di Johor ini sungguh signifikan dan mempunyai ada kepentingan politiknya.

Persoalan di hadapan kita:

Penganjur telah bertanyakan tiga soalan yang cukup relevan, iaitu -

1) Adakah kerajaan BN yang diterajui oleh Najib adalah sebuah regim fasis atau menuju ke arah fasis?

2) Apakah pula pendirian yang harus rakyat pelbagai kaum pegang terhadap regim tersebut?

3) "Di manakah jalan keluar Rakyat jelata dibawah pemerintahan regim fasis?"

Persoalan ini cukup tajam dan jitu. Namun saya hendak menambah dua lagi soalan yang ada kaitan dengan tiga soalan di atas, dan dua soalan ini adalah persoalan yang paling pokok untuk zaman transisi ini:

1. Adakah rejim UMNO-BN akan tumpas?

2. Adakah mereka akan hilang kuasa secara aman dan senyap atau mereka akan lawan sehingga akhir?

UMNO Akan Tumbang!

Ya, untuk soalan pertama, saya sesungguhnya percaya bahawa rejim UMNO-BN akan tumpas dan hilang kuasa. Hujah ini berlandaskan kepada realiti hukum alam dan saintifik. Mana-mana satu pemerintahan dan sistem tidak boleh memerintah sehingga akhir atau secara kekal. Perubahan pasti berlaku dari dalam (pereputan struktur dalaman) dan ditambah dengan tuntutan perubahan dari luar, pastinya UMNO tidak dapat bertahan lama.

Ahli Falsafah Hegel akan mengariskan ini sebagai hukum dialetiks iaitu pertembungan antara Tesis dan Anti-thesis. Hari ini kita dapat melihat bahawa UMNO-Barisan Nasional semakin lemah dan semakin hari menghitung hari penguburannya. UMNO-BN sudah hilang momentum politik, di mana pada satu masa kedudukan mereka seperti tidak boleh digoyang langsung, tetapi kini keadaan mereka semakin goyang.

Pada tahun 1969, Parti Perikatan menghadapi nasib yang sama, tetapi mereka berjaya hidup semula dengan "repackaging" baru dengan nama Barisan Nasional. BN wujud setelah peristiwa berdarah 13 Mei, darurat dan penahanan beramai-ramai di bawah ISA. BN hidup semula dengan bergabung dengan parti pembangkang pada masa itu, termasuk Parti GERAKAN, PAS dan PPP, dan ini telah memberikannya nafas baru kepada hegemoni UMNO untuk terus kekal dan memerintah selepas itu.

Kini BN menghadapi zaman kehancurannya sekali lagi. Adakah UMNO BN akan cuba "repackaging" balik, dan siapakah yang akan tampil ke depan untuk menyelamatkan mereka? Dua cadangan "repackaging" telah dikemukakan, iaitu: satu, menjadikan BN satu parti pelbagai kaum (multiracial) diusulkan oleh PPP selepas Tsunami 2008 dan mendapat sokongan beberapa parti komponen BN termasuk Parti Gerakan, tetapi tidak direstui oleh UMNO. Najib mahukan 1Malaysia tetapi tidak mahu 1Parti pelbagai kaum.

Kemudian adalah cubaan "repackaging" atas nama perpaduan Melayu dan Islam dengan kerjasama dengan PAS. Di sini kita dapat lihat bagaimana media arus perdana diguna habis-habisan untuk membuat khawin paksa antara UMNO-PAS dan ini memang telah mengugat foundation(asas) Pakatan rakyat (PR). Kalau bukan pendirian tegas diambil oleh beberapa pemimpim termasuk Tok Guru, kemungkinan UMNO dan BN akan dapat nafas baru. Tetapi cubaan itu gagal. Dan cubaan pengabungan UMNO-PAS, bukan sahaja ditentang oleh DAP dan PKR, tetapi ia turut ditentang oleh komponen parti BN yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya. PAS pula telah membuat perhimpunan Parti tergempar untuk memberikan komitmen ia masih bersama PR.

Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya. Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah. Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah. Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur. Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.

Dalam suasana kita menanti penguburan UMNO, kita jangan lupa bahawa MCA sudah mengatasi krisis kepimpinan, dan Samy Vellu akan bersara dari MIC. Adakah reformasi dalam MIC dan MCA dapat menyelamatkan BN dan UMNO sendiri? Saya kurang yakin memandangkan rakyat Malaysia semakin muak dengan politik lama MCA dan MIC.

Namun adalah baik kita tidak meremehkan usaha yang dibuat oleh BN untuk kembali mendapat keyakinan rakyat. Namun demikian, jika PR gagal ke Putrajaya, saya merasakan pihak yang harus disalahkan adalah PR sendiri yang gagal mengambil kesempatan yang ada. Saya melihat musuh paling besar dalam PR ke arah menuju Putrajaya bukanlah sekadar UMNO-BN, tetapi ia juga adalah bagaimana PR mengurus diri mereka sendiri?

Adakah UMNO akan lawan untuk kekalkan kuasa atau menyerahkan kuasa dengan aman?

Soalan yang kedua adalah: Adakah UMNO akan hilang kuasa secara aman dan senyap, atau mereka akan lawan sehingga akhir untuk terus berkuasa? Ini merupakan soalan yang jauh lebih susah untuk dijawab.

Jawapan untuk soalan ini bukan sahaja bergantung kepada kelemahana BN tetapi juga bergantung kepada kekuatan PR. Ajaran daripada semua revolusi dunia yang berjaya dari revolusi agung kaum pekerja di Russia, kepada revolusi Cina, revolusi Cuba, Revolusi Iran termasuk juga Peoples Power (EDSA) di Filipina dan Gerakan reformasi di Indonesia menunjukkan bahawa apabila kuasa rakyat atau kuasa revolusi cukup kuat dan menyeluruh, maka tentangan yang paling minima dan pertumpahan darah yang paling minima akan berlaku. Ini adalah keadaan di mana arus perubahan yang melanda terlalu besar dan momentum yang cukup gergasi sehingga mereka yang hendak menentang akan akur sahaja dan undur tanpa tentangan (walkover).

Untuk suasana sebegitu, PR mesti menjadi gerakan yang dapat lebih kurang 65 -70% sokongan rakyat. Suasana ini belum wujud dan jauh daripada wujud buat masa kini. Keputusan pilihanraya beberapa pilihanraya lalu terkini menunjukkan bahawa UMNO masih mendapat sokongan orang Melayu, manakala sokongan orang India sedikit sudah kembali ke pangkuan BN, dan nampaknya hanya Kaum Cina yang cukup bersedia untuk menguburkan rejim lama.

Faktor kedua yang kita harus ambil tahu adalah faktor samada UMNO itu berwajah facisme atau menuju fasisme. Fasisme merupakan ideologi politik yang mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah ia mempromosi satu bentuk nasionalisme yang ultra - yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat. Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama. Dalam situasi ini adalah perpaduan Melayu dan ideologi ini juga meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme. Pengasah ideologi fasisme biasa dikaitkan dengan bekas pemimpin Itali, Benito Mussolini.

Adakah Najib menuju pemerintahan Fasis?

Justeru itu, kalau kita petik tujuh ciri fasis yang disimpulkan oleh ahli akedemik politik Laurence W Britt, dan kesimpulan Dzulkarnain yang terdapat dalam kertas yang disediakan oleh penganjur, maka tidak sah lagi ciri-ciri seperti - mempromosikan semangat kebangsaan atau patriotisme yang menjurus kepada perkauman; sokong pertubuhan perkauman seperti PERKASA; kebencian terhadap nilai dan hak asasi manusia; pencabulan hak asasi manusia; pengawalan ketat media massa; penyalahgunaan institusi keselamatan Negara; dan pelaksana undang-undang iaitu agensi penguatkuasa dan kehakiman disalahgunakan; kepentingan kroni dan koporat dilindungi secara rapi; dan subsidi diteruskan kepada syarikat kroni; gejala kronisme dan rasuah berleluasa; pemberian kontrak dibuat tanpa ketelusan; dan akhirnya penipuan terancang dalam sistem pilihan raya.

Jika ini bermakna menuju fasisme maka tiada soalan lagi kecuali menyimpulkan bahawa Najib menuju kepada fasisme. Kerana semua ciri-ciri ini dilaksanakan pada masa ini.

Namun demikian, suasana zaman Benito Mussolini jauh berbeza berbanding dengan zaman Najib Razak. Najib berada dalam zaman ekonomi global kapitalisma di mana syarikat-syarikat MNC lebih kuat dari negara-negara berdaulat. Oleh yang demikian - fasisme akan membawa kepada keadaan iklim perniagaan yang tidak selesa. Ini akan ditentang oleh puak peniaga kecuali jika Najib dan UMNO dapat mengimbangi suasana kuku besi dengan syurga pernigaan kepada kaum kapitalis.

Mungkin Najib boleh belajar dari Singapura beberapa tips. Oleh yang demikian adalah satu halangan untuk Najib. Sejauh manakah sistem kapitalis itu sendiri mahu menyokong Najib, atau mereka mahu mencari pengganti dalam bentuk PR? Inilah berlaku di Indonesia apabila kaum peniaga merasakan peniagaan lebih baik di bawah pembangkang daripada di bawah Suharto.

Isu kedua: Sistem maklumat merupakan senjata yang paling berkesan hari ini. Marx pernah berkata bahawa teknologi yang dibawa oleh kaum borjuis boleh digunakan balik terhadap golongan mereka sendiri. Dalam suasana berbincangan kita hari ini, informasi maklumat tidak lagi menjadi monopoli BN dan parti pemerintah. Oleh yang demikian, keadaan maklumat yang penting dapat disalurkan. Keadaan berbeza pada zaman dahulu dimana informasi dan maklumat menjadi monopoli satu golongan sahaja.

Faktor ketiga yang saya rasa cukup penting adalah sejauh mana PAS akan termakan umpan UMNO. Hari ini saya ingin mengangkat topi nak tabik kepada PAS kerana sejak kebelakangan ini, PAS telah berkelakuan dengan penuh tanggungjawab dan penuh matang. Dulu semasa saya baca Harakah Bahasa Melayu dan kertas Harakah bahasa Inggeris yang ada di dalamnya, saya dapati Harakah Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bau politik yang berbeza. Satu untuk tarik orang Islam Melayu dan satu lagi untuk tarik orang bukan Melayu. Namun demikian, kebelakangan ini saya melihat bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan juga tulisan-tulisan pemimpin PAS cukup konsisten sekali, baik dalam Harakah bahasa Melayu mahupun Harakah bahasa Inggeris.

UMNO telah mencuba banyak isu-isu perpaduan Melayu, isu Ahli Parlimen Serdang yang masuk surau bagi bantuan, isu Kalimah Allah, isu penukaran agama dan isu pembakaran gereja. Dalam semua ujian ini, PAS telah meperlihatkan satu imej yang cukup baik dan matang. PAS tidak menari dengan nada dan muzik UMNO lagi. Pendirian PAS semakin konsisten dan semakin dapat diterima oleh majoriti rakyat yang berbilang kaum.

Dulu setiap kali, isu Melayu dan Islam dipermainkan oleh UMNO, PAS terus mengambil satu posisi bersama UMNO dan ini dengan senangnya memecahkan perpaduan di kalangan pembangkang terutamanya dengan DAP. Tapi PAS hari ini berbeza dan mungkin dengan slogan PAS UNTUK SEMUA dan membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS, maka PAS hari ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai kumpulan radikal atau fundamentalism Islam. PAS harus tegas dan berani memperjuangkan konsep ini demi perpaduan pembangkang dan PR.

Selagi PAS di landasan yang tidak terjerat dengan umpan UMNO, selagi itu UMNO susah untuk memecahbelahkan perjuangan rakyat. Saya juga ingin menegaskan perpaduan kaum dapat kita kekalkan hari ini, sebahagian besar adalah berpunca daripada sifat dan sikap PAS yang tidak memainkan sentiment kaum dan agama untuk sekadar popular sahaja.

Apakah harus dibuat ?

Untuk menguburkan hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia, maka saya menyarankan empat pendekatan, iaitu peta jalan ke Putrajaya -

1. Memperkasakan rakyat dan bukan membohsiakan rakyat

Apabila Markos cuba mengekalkan kuasa di Filipina setelah menang pilihanraya secara tipu muslihat tetapi rakyat Filipina tidak dapat menerima keputusan pilihanraya, Marcos digulingkan oleh gerakan rakyat. Di Venezuela, pada tahun 2002, apabila tentera dengan sokongan peniaga dan CIA membuat rampasan kuasa terhadap Chavez, lapan juta rakyat Venezuela turun mempertahanakan Chavez, dan Chavez dapat kembali bertakhta.

Di Perak, apabila Najib melancarkan rampasan kuasa, kuasa rakyat yang kita lihat adalah sementera, tidak menyeluruh dan tidak ramai. Seandainya Kerajaan PR Perak membuat program yang begitu popular, mengapa rakyat Perak tidak turun untuk mempertahanakan kerajaan PR Perak di sana. Malah kerajaan PR jatuh kerana ahli PR yang lompat parti.

Oleh yang demaikian, apabila mengambil kuasa, membuat sekadar program kebajikan sahaja tidak memadai. Rakyat mesti sentiasa menjadi sedar dan terlibat secara langsung dalam politik, dan rakyat mesti sentiasa turun untuk mempertahankan kerajaan rakyat.

PR, saya lihat, kurang melakukan kerja-kerja memperkasakan rakyat. Di Selangor umpamanya, kerajaan Negeri memperkasakan ekonomi begitu baik dan program kebajikan jauh lebih baik daripada zaman BN, tetapi apabila wujud persoalan seperti isu air SYABAS yang cuba disabotaj oleh BN, keajaan PR tidak berani membuat satu referendum. Jika PR membuat satu referendum bertanya samada rakyat Selangor mahu Kerajaan Negeri atau SYABAS uruskan air Negeri Selangor, rakyat boleh mengundi di pejabat Majlis daerah, pejabat tanah dan JKK, sudah tentu ia akan mempolitikkan rakyat. Satu referendum akan membawa bersama penglibatan rakyat dalam menentukan aliran politik negeri. Yang sekali gus memberikan rakyat sentiasa peka kepada suasana politik. Di negara Venezuela dan Cuba, referendum sentiasa diadakan untuk mendapat endorsement rakyat, dan sekali gus rakyat di negara itu sentiasa peka untuk mempertahanakan kerajaan mereka.

Di negeri-negeri PR, PR cuba membuat banyak program untuk menyaingi BN dari segi memberi beras, beg sekolah, hamper dan sebagainya. Rakyat mesti disajikan dengan idelogi dan prinsip perjuangan, bukan disajikan dengan wang dan makanan percuma.

Jika Najib menuju fasisma, hanya gerakan rakyat dapat menyelamatkan keadaan. Untuk sebab itu, kita memerlukan rakyat yang sedar dan berani mempertahankan kerajaan rakyat.

2. Program yang Jelas dan meyakinkan

PR harus mempunyai satu program politik minimum yang cukup jelas antara semua parti dan program PR ini harus diumumkan kepada rakyat. Setakat ini walaupun ada unsur membawa agenda PR dan logo bersama tetapi rakyat luar lebih banyak melihat persaingan di kalangan anggota PR daripada persamaannya. Parti-parti PR juga lebih banyak cuba menonjol perbezaan daripada persamaan. Baru-baru ini Lim Guan Eng memperkenalkan satu dokumen jika PR memerintah, tetapi ia tidak dibuat bersama dengan parti komponen lain, dan ini menimbulkan prasangka.

PR juga telah membuat "shadow cabinet", tetapi cabinet bayangan PR ini mempunyai tiga orang untuk satu jawatan dan mereka langsung tidak aktif dan ramai yang tidak kenali mereka dan mereka jarang membuat kenyataan. Bagaimana rakyat hendak yakin dengan kerajaan yang menunggu untuk memerintah jika mereka langsung tidak menonjol.

Hanya dengan satu program politik yang jelas dan alternatif, dan satu dokumen yang cukup jelas, baru ia memberi rakyat peluang melihat apakah alternatif. Kita tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya, untuk kita mengutarakan program politik ini.

3. Membentuk satu Gabungan yang lebih besar merangkumi pertubuhan sivil, kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik lain

Tidaklah salah saya mengatakan, PR dibentuk bukan secara terancang dan sedar, tetapi secara tidak sengaja seperti satu kemalangan. Sejurus selepas keputusan pilihanraya 2008, rakyat meluahkan sentimen yang cukup jelas bahawa mereka mahukan pembangkang bersatu. Walaupun pada masa itu, ada sedikit perebutan kuasa antara parti pembangkang tetapi desakan rakyat yang cukup kuat menyebabkan tiga parti pembangkang utama akur dan menubuhkan PR.

Kini PR harus membincangkan politik masa depan dan menjemput kumpulan-kumpulan sivil, pertubuhan hak asasi, NGO, Kesatuan sekerja dan lain-lain parti menyertai satu gabungan yang lebih besar untuk menguburkan UMNO-BN. PR nampaknya terlalu menfokus kepada pilihanraya, dan ini sering mencetuskan persoalan kerusi. PR harus menjurus kepada membentuk gerakan akternatif kuasa kedua untuk mencabar kuasa BN sekarang.

Konsep ini seperti yang dibuat oleh PUTERA-AMCJA atau Gagasan Demokrasi. Dengan adanya satu gabungan yang lebih besar, maka keyakinan untuk berlawan dengan UMNO dan jentera BN akan menjadi lebih kuat. Andaikata jika perlu memberikan sedikit kerusi kepada kepimpinan masyarakat sivil, maka ia harus diberikan. Kerusi tidak seharusnya menjadi monopoli tiga parti ini. Contohnya jika masyarakat Orang Asli hendak meletakkan calon di satu tempat, lebih baik kita membernarkan mereka dan mendapat sokongan mereka daripada mengasingkan diri.

PR harus mempunyai satu program jelas dan menjemput semua parti lain dan organisasi lain untuk sama-sama membentuk satu gerakan menentang BN yang cukup besar. Ia harus dianggotai bukan sahaja oleh parti politik tetapi juga oleh kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO-NGO.

Di sini ada baiknya kita merenung, pandangan bekas Presiden PAS yang cukup progresif iaitu Prof Dr. Burhanuddin Helmy. Burhanuddin Helmy mempunyai asal usulnya dari Nasionali kiri dan terlibat dalam KMM(1939), KRIS(1945), PKMM(1945) dan PUTERA(1947).

Ucapan Burhanuddin dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, KL Disember 1956 menggariskan –

"….Kerana itu penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti sahaja tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh masyarakat.

Kerana itulah PAS sanggup bekerjasama denagan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gembeleng, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air kita.

Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh yang boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga ini. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajahan, cita-cita kita bersama mengingini satu Negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat."

Saya mengingatkan kembali kata-kata Presiden PAS ini, kerana untuk menguburkan rejim fasis UMNO hari ini memerlukan kerjasama pelbagai parti dari pelbagai aliran. Selagi parti-parti dalam PR berpendirian di bawah satu program yang jelas, maka aspirasi menguburkan BN cukup baik. Hari ini, PR masih gagal membentuk satu fahaman program perpaduan politik yang jelas. Rakyat memerlukan satu program politik yang jelas untuk membawa perjuangan maju ke hadapan. Dan program ini mesti popular dan membawa masuk lebih kumpulan dan golongan.

4. Berani membuat reformasi dalam Kerajaaan Negeri

Kerajaan negeri PR mesti berani membuat perubahan. Saya cukup menghormati MB sah Negeri Perak Nizar kerana beliau berani melakukan pilihan raya peringkat kampung dan keputusannya lebih 80% menyokong calon PR daripada BN. Dalam suasana ini, pilihanraya kerajaan tempatan, pada pandangan saya, akan membawa lebih manfaat kepada pembangkang. Dan jika BN menghalangnya, maka kita dengan jelas boleh menunjukkan BN anti demokrasi. Tetapi nampaknya tiada keberanian politik untuk melaksanakannya di kalangan PR.

Dulu Kelantan memberi kerja lima hari, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan yang mulanya kutuk program ini akhirnya setuju, dan terpaksa ikut Kelantan dan memberi kerja lebih 5 hari. PR juga harus juga melaksanakan sistem gaji minima di peringkat kerajaan negeri dan membuat program-program yang berani supaya rakyat dapat lihat perbezaan antara kerajaan BN dan PR. Kerajan Pulau Pinang harus dipuji kerana berani membuat perubahan.

Begitu juga Selangor, di mana FOI bill diluluskan. Tetapi ia harus diikuti oleh negeri-negeri lain. Resolusi ISA pula hanya dibentang di DUN Perak dan Selangor, bagimana dengan DUN-DUN lain. Mengapa tiada keseragaman. Mengapa sistem tender yang diguna di Pulau Pinang tidak diguna di negeri lain PR atau FOI di Selangor tidak diikuti oleh negeri lain?

Jika Kerajaan Negeri membuat undang-undang baru yang membela golongan rakyat biasa dan membuka ruang demokrasi yang lebih luas, BN tercabar untuk ikut. Jika mereka tidak ikut, ia memberi peluang kepada rakyat menilai. Antara perkara lain yang boleh dibuat ialah dari segi program perumahan selesa, mengisytiharkan harta penjawat utama dan sebagainya

Komitmen PSM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah sebuah parti serius berlandaskan aspirasi rakyat dan bekerja di peringkat akar umbi. PSM adalah parti pertama di mana ADUN, MP dan Ahli majlis mengistiharkan harta dan mengeluarkan laporan tahunan kerja yang dibuat setiap tahun. Ia telah mengambil 11 tahun untuk mendaftarkan PSM. Kalau ditinjau kerja-kerja PSM untuk setahun yang lalu, PSM telah mengadakan aksi massa meminta PERKESO memberi lebih perlindungan kepada pekerja, meminta bank negara campur tangan dalam isu hutang dan isu along, membantah pengswastaan hospital awam dan membantah GST dan pindaan akta pekerja. Komitmen dan kerja PSM berjuang bersama masyarakat akar umbi menuntut perubahan adalah sesuatu yang konsisten dan biasanya tiada banyak dipersoalkan.

Dari segi PR, PSM mengambil keputusan yang diumumkan dalam Forum Sosialisma 2009 bahawa PSM tiada niat untuk membina kuasa ketiga pada ketika ini dan dengan tegas mengatakan PSM akan berkerjasama dengan PR untuk menguburkan BN. Dalam Kongres Parti pada tahun ini, sekali lagi ahli parti mengambil keputusan bahawa PSM akan bekerjasama dengan PR dan akan membuat kerjasama pilihanraya seperti tahun-tahun lalu dengan parti pembangkang lain untuk menentang Barisan Nasional yang dilihat sebagai musuh utama.

Dalam konteks ini, PSM berpendapat hubungan antara parti pembangkang harus berdasarkan satu program politik dan mesti ada disiplin untuk mengikuti program minima ini dan mesti ada proses saling hormat menghormati. Selagi program politik itu tidak bertentangan dengan prinsip dan aspirasi rakyat, PSM akan sentiasa bersama.

Kesimpulan

Iklim perubahan terbuka luas. Bau kebebasan semakin terasa. Kemenangan pembangkang ke Putrajaya nampaknya pasti. Tetapi PR sendiri yang dapat mengagalkan dirinya sendiri jika tidak berhati-hati.

Calon yang tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab harus diganti. Program parti harus jelas. Gerakan menentang UMNO-BN harus dibesarkan dan kerajaan Negeri harus berani mendukung perubahan ini secara selari dan konsisten.

KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT !

Hidup rakyat !

*Artikel ini dibentang dalam Forum "Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO" anjuran Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (FOS) Johor pada 17 Oktober 2010. Disunting sebahagiannya dari teks asal untuk menjaga kepanjangan artikel.

- merdekareview

Adik Teoh Beng Hock ditahan polis di Galas

Seorang adik kepada mendiang Teoh Beng Hock bersama tiga yang lain ditahan polis di bandar Gua Musang hari ini. Lee Lan dan anggota "Malaysians for Beng Hock" itu dibawa sekumpulan anggota polis diketuai Supt Maszely Minhad ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gua Musang pada kira-kira jam 2.20 petang ini.

Maszely memberitahu wartawan bahawa polis menerima aduan bahawa kumpulan berkenaan telah menjalankan aktiviti kempen.

Kumpulan itu, yang tiba semalam bagi "mencari keadilan" untuk mendiang Teoh, ditahan di tepi jalan ketika sedang berjalan menuju ke kereta sambil membawa risalah tentang kes kematian dalam tahanan, kata penyelarasnya Chong Kok Siong.

"Lapan daripada kami diminta menyerahkan kad pengenalan kepada kumpulan 10 anggota polis, empat daripada kami membawa risalah sambil berjalan menuju ke kereta di Kampung Baru," katanya.

"Polis berpakaian biasa menyekat kami; dia kata, isu (kematian dalam) tahanan akan menjejaskan keselamatan, tidak boleh disuarakan secara terbuka.

"Tetapi, saya beritahu, angka (kematian) ini daripada Hisham (Menteri Dalam Negeri Hishammmuddin Hussein) di Parlimen, malah akhbar melaporkannya.

"Saya cabar dia, 'kalau kami betul, tangkaplah kami'," kata aktivis sosial itu.

- malaysiakini

'Hakka Mui' lwn 'Hakka Taiko' di Batu Sapi

Persaingan untuk memikat hati 9,737 pengundi Cina, yang merupakan 38.06 peratus daripada keseluruhan 25,582 pengundi pada pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini, amat sengit hari ini apabila ketiga-tiga calon turun padang untuk menemui orang ramai.

Dalam persaingan yang disebut oleh banyak pihak sebagai 'Battle of Super Sunday' itu, setiap calon cuba memanfaatkan cuti hujung minggu ini untuk menemui sebanyak mungkin pengundi, terutama di kawasan majoriti kaum Cina.

Kebanyakan penduduk Cina di kawasan ini terdiri daripada mereka yang bertutur dalam dialek Hakka, Kantonis dan Hokkien.

Kumpulan yang menggunakan dialek Hokkien kebanyakannya tinggal di kawasan Karamunting, Kantonis di Bandar Ramai-ramai, Kampung Pukat, Bandar Leila dan Bandar Nam Tung, manakala Hakka pula di Taman Mawar.

Pilihan raya kecil ini akan menyaksikan pertandingan antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah.

Oleh kerana Yong dan Tsen adalah daripada suku Hakka, maka tidak hairanlah banyak pihak menyifatkan pilihan raya kecil ini sebagai medan pertempuran antara 'Hakka Mui' dan 'Hakka Taiko'.

Bagi orang Cina, 'Mui' bererti kakak, manakala 'Taiko' bermaksud abang sulung.

Dalam perebutan untuk memanfaatkan hari kelepasan ini, calon-calon berkenaan dan jurukempen mereka kerap bertembung ketika berkempen kerana masing-masing mempunyai jadual ketat dan memberi tumpuan di kawasan serupa.

Ketika BN berkempen di kawasan Cina dan Bumiputera pagi tadi, Yong dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terserempak di Taman Mawar, kawasan yang mempunyai banyak anggota suku kaum Hakka.

Kemudian, Tsen, yang ditemani Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, pula mengunjungi kawasan itu.

Ketika kegiatan berkempen memasuki fasa akhirnya, timbul pula desas-desus kononnya SAPP dan PKR mencapai persefahaman untuk memberi tumpuan di kawasan berasingan -- SAPP akan memberi fokus di kawasan Cina, manakala PKR dan parti pembangkang lain akan memberi tumpuan di kawasan majoriti Bumiputera.

Pemerhati politik percaya PKR memberi tumpuan di kawasan Bumiputera dengan tujuan memecah undi dan sebagai sebahagian daripada persiapannya untuk bertanding bagi kerusi Sekong pada pilihan raya negeri akan datang dan membiarkan SAPP memberi tumpuan ke kawasan majoriti Cina, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting.

Sekong dan Karamunting terletak dalam kawasan Parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh kedua-dua pihak dan SAPP berkata sejak beberapa hari lepas, pihaknya telah berkempen di kawasan Bumiputera, termasuk di pulau-pulau berhampiran.

PKR pula telah membawa rakannya dalam pakatan pembangkang, termasuk pemimpin di peringkat kebangsaan seperti orang kuat DAP Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Sibu Richard Wong Ho Leng untuk berkempen bagi calonnya di kawasan majoriti pengundi Cina.

Langkah ini mungkin menyebabkan pengundi Cina berpecah kepada tiga kumpulan dan persoalannya ialah berapakah jumlah undi yang akan diraih oleh BN dan SAPP?

Pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, mendiang Chong memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 9,479 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Bebas Dr Chung Kwong Wing, yang mendapat 5,771 undi.

Walaupun BN meletakkan sasaran untuk memperoleh sekurang-kurangnya 25 peratus undi kaum Cina memandangkan terdapat begitu ramai penyokong tegar pembangkang di kawasan itu, tetapi calonnya berpeluang untuk menang dengan selesa melalui peningkatan undi pengundi Bumiputera, manakala PKR pula diramalkan mendapat undi yang agak banyak daripada kaum Cina.

- Bernama

Firdaus Harus Cermin Diri

Saudara Pengarang,

SELAKU ahli UMNO dan pemilih berdaftar di Batu Sapi, saya menyeru Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengkaji semula perlantikan Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi yang hanya tahu bercakap bohong, temberang, bongkak, penipu, suka mencaci, menghina, memaki, menfitnah dan bergaduh.

Kejadian semasa hari penamaan calon baru-baru ini cukup memalukan kami yang turut serta berarak mengiringi calon BN dan amat terkejut apabila Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan memaki hamun dan bergaduh dengan wartawan dan penyokong PKR; sudah cukup membuktikan dan menunjukkan bagaimana latar belakang peribadi seseorang itu.

Lebih memalukan, Firdaus menyerang peribadi calon PKR, Hj Ansari Abdullah sebagai “Calon Tidak Laku-Laku dan orang luar” menunjukkan sifat manusia yang kehabisan modal kerana selaku Peguam Profesional, kami hanya mendapat khidmat beliau untuk mengurus hal berkaitan tanah adat kerana tidak ada Peguam UMNO yang mahu menerima kes kami.

Menghina peribadi Haji Ansari sama juga dengan menghina kami sebagai ahli UMNO dan pemilih berdaftar. Hubungan antara kami dengan Haji Ansari adalah hubungan antara pelanggan dengan peguam, namun dalam soal politik, kami adalah ‘Hardcore’ UMNO yang akan berlapik apabila bercakap kerana sifat kesombongan itu adalah perangai ‘syaitan’.

Betapa susahnya kami memujuk ahli UMNO untuk terus mengundi calon BN ketika Firdaus yang kehabisan modal menyerang peribadi Haji Ansari sedangkan selama ini hanya Haji Ansari yang mempertahankan hak mereka yang cuba dicabuli oleh ‘Lanun Tanah’ yang cuba merampas hak mereka.

Jika Firdaus ingin belajar berpolitik, belajarlah daripada Haji Ansari kerana walaupun sudah lapan kali kalah, namun tidak pernah jemu-jemu berkhidmat kepada rakyat dan tidak pernah memburukkan lawan, walaupun 1,000 kali gagal dalam pilihanraya.

Sebagai salah seorang belia di Batu Sapi dan rakan saya, belia daripada Kampung Bokara ingin berpesan kepada Firdaus, lain kali cermin muka sendiri dahulu sebelum mengata orang lain kerana Firdaus juga adalah orang luar dan bukan berasal daripada Batu Sapi.

Sepanjang umur saya di dunia, Firdaus tidak pernah datang melawat, memeriksa atau mengambil tahu keadaan dan kebajikan penduduk Batu Sapi selama ini dan hanya apabila ada pilihanraya, barulah dia turun berpura-pura hendak membuat amal kebajikan seolah-olah penduduk Batu Sapi semuanya cacat penglihatan sehingga tidak boleh nampak apa yang Firdaus buat selama ini.

Tahukah Firdaus bahawa 90% jambatan di setiap kampung Batu Sapi kelihatan usang dan tidak pernah dibaikpulih dan kejadiaan calon PKR terjatuh akibat jambatan yang usang membuktikan jambatan tidak pernah diselenggara atau diganti? Bagaimana jika yang terjatuh itu bapa Firdaus atau ibu mengandung, lalu meninggal dunia?

Firdaus sepatutnya malu kepada Ketua Menteri Sabah yang terpaksa menjadi bahan cemuhan SAPP dan DAP kerana kecuaian beliau sendiri yang mengaku sebagai pemimpin pelapis Batu Sapi namun gagal menaiktaraf dan memastikan rakyat Batu Sapi mendapat keperluan asas bekalan air bersih, bekalan elektrik tanpa gangguan dan prasarana lain.

Apa yang Firdaus buat selama beliau bergiat dalam UMNO dan kini menjadi Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi kerana ramai kanak-kanak tidak bersekolah, pendapatan perkapita ahli UMNO di bawah paras kemiskinan, rumah mereka diroboh tanpa pampasan dan tanah mereka dirampas?

Kami juga ingin bertanya kepada Adun Batu Sapi, ke mana semua peruntukan yang diluluskan Ketua Menteri Sabah untuk menaikkan taraf prasarana seperti jambatan kerana selama beliau menjadi Adun, belum ada penduduk yang memuji beliau kerana membaiki jambatan atau membina jambatan baru.

Mengapakah Firdaus sebagai Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi tidak pernah mempertahankan penduduk Batu Sapi dan mempertikaikan kebajikan rakyat Batu Sapi? Atau dia langsung tidak tahu menahu masalah dan kebajikan penduduk Batu Sapi dan hanya tahu mencaci, menghina, memaki dan bergaduh sahaja?

Jika pemimpin seperti Firdaus kekal di dalam UMNO, maka kami tidak boleh menghalang jika ahli kami membuat undi protes dan mensia-siakan undi mereka dengan memilih pembangkang, sedangkan di taman hati mereka, segar berbunga kecintaan kepada UMNO.

Oleh itu, bagi mewakili warga dan belia Batu Sapi dan Bokara, saya ingin mengingatkan agar pemimpin UMNO kembali kepada fitrah manusia dengan melakukan amal kebajikan untuk rakyat agar dihormati pengikut dan disegani lawan; bukan seperti Firdaus yang menjadi makhluk perosak di dalam UMNO.

Selagi ada kesempatan, bertaubatlah dan berubah sikap sebelum Firdaus dijadikan sebab kenapa rakyat Batu Sapi menolak calon BN sedangkan mereka adalah ahli Hardcore UMNO yang taat kepada pemimpin dan parti.

Kepada pemimpin UMNO, datangilah kami dengan penuh rasa tanggung jawab dan kasih sayang, bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau menjual ‘air liur basi’ setiap kali pilihanraya. Insha Allah kami akan terus memberikan sokongan.

Salam Hormat,

BELIA UMNO BATU SAPI

- sabahkini

Calon BN Batu Sapi tak pandai cakap Melayu

Dah berpuluh tahun jadi rakyat Malaysia tapi masih gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik, apa maknanya ini? Bagi penulis, jelas sekali orang ini pandang lekeh dengan bahasa rasmi negara serta tidak pernah bergaul dengan masyarakat setempat sewaktu mendiang suaminya menjadi MP Batu Sapi. Malahan soal-selidik yang dilakukan oleh mahasiswa UMS Sabah mendapati mendiang suaminya tak pernah turun padang bertemu dengan para pengundinya.

Kalau penduduk di Batu Sapi sendiri mengakui mendiang suaminya tak pernah turun ke bawah untuk bertemu dan bertanya khabar masalah rakyat, maka jangan diharaplah calon BN Batu Sapi, Linda Tsen, akan turun padang bertemu pengundi khususnya Bumiputera Islam jika menang. Apatah lagi langsung tidak boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Bagi penulis pemilihan Linda Tsen sebagai calon menjelaskan lagi sikap kerajaan BN yang langsung tidak peduli dengan kehendak dan aspirasi pengundi Batu Sapi yang terdiri daripada 60% Islam. Ini merupakan manifestasi daripada sikap kerajaan BN yang merasakan para pengundi Bumiputera Islam di Batu Sapi boleh diperbodohkan semahunya dengan janji-janji munafiq mereka. Sebab itu BN tidak bimbang bila meletakkan balu mendiang Edmund Chong sebagai calon. Bahasa mudahnya "Letak calon gila pun boleh menanglah...."

'I'M LEARNING TO BETTER MY BAHASA MALAYSIA'

BARISAN Nasional candidate Linda Tsen deftly defended herself for the first time against a volley of accusations by the opposition.

Speaking to reporters, she admitted to being less than proficient in Bahasa Malaysia but said that she was learning the language.

“Every day we have to keep learning, there is no end to it. I am learning to be better in Bahasa,” said Tsen who is in the race for the Batu Sapi parliamentary seat.

The opposition has pounced on her handicap and said it would affect her ability to be an effective parliamentarian for the Batu Sapi electorate as she would be expected to voice out their problems and take part in debates.

Addressing criticism that she is unsuited for a seat in the Dewan Rakyat, she said she would initially have to depend on prepared text to deliver any speech in Parliament.

“That is what most MPs do... I'm not saying that I'm a seasoned politician and can stand up and speak, but I'm willing to work hard,” she said.

For the first time in the campaign which moved into its sixth day ahead of the Nov 4 by-election, Tsen was left to answer questions by reporters on her own after the BN was accused of shielding her from scrutiny.

The housewife and part-time music teacher spoke of her daily routine and how she fortified herself for the torturous election campaign by drinking two bottles of Chicken of Essence as well as getting by with just four hours of sleep a day.

She said one of the issues that concerned her was the unhygienic living conditions of her would-be constituents, pointing to the garbage strewn around.

She also dismissed claims of self-interest in allowing herself to be fielded as a candidate despite still being in mourning over the death of her husband, the late Batu Sapi MP Edmund Chong, barely a month ago in a road accident.

Tsen said that she has moved on.

“During the first week, I could not accept it. But now, I have come to terms with myself that I must be strong. All my children are looking at me. I am their pillar. I have to be strong. I have to accept that he has gone and I must move on,” she said.

- sabahkini

Saturday, October 30, 2010

Zaid dahului Azmin, Mustaffa pengundian hari pertama

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Datuk Zaid Ibrahim mendahului dua calon lain bagi jawatan timbalan presiden pada hari pertama pengundian pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di dua negeri hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menguasai enam daripada sembilan cabang yang melangsungkan pengundian di bawah sistem pemilihan langsung yang julung kali diadakan selepas parti itu meminda perlembagaannya tahun lalu.

Kedua-dua Zaid dan Naib Presiden Azmin Ali dipercayai berhadapan dengan saingan sengit. Seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang juga naib presiden, berada di kedudukan ketiga.

Daripada lapan cabang yang diketahui keputusan pengiraan undi, yang berakhir sekitar 10 malam tadi, Zaid memperoleh 573 undi berbanding 311 undi buat Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Daripada lima cabang di Kedah, Zaid memperoleh 282 undi manakala Azmin pula 238 undi.

Sementara itu bagi jawatan naib presiden, daripada 17 calon yang bertanding Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Pengarah Strategi Tian Chua, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan mendahului calon-calon lain.

“Ada beberapa calon yang memperoleh undi yang rapat jumlah mereka,” kata seorang pemimpin yang dihubungi The Malaysian Insider malam ini.

Sembilan cabang yang mengadakan pengundian hari ini ialah Tumpat, Kota Baru, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa di Kelantan sementara di Kedah pula Alor Setar, Langkawi, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Kubang Pasu.

Baki 59 cabang akan melangsungkan pengundian esok dan lusa, yang bakal mengubah senario dan meningkatkan persaingan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan, daripada enam cabang yang diumumkan keputusan tidak rasmi, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai “Chegubard” mendapat 109 undi berbanding penyandang jawatan Shamsul Iskandar Mohd Akin sekitar 80 undi.

Bagaimanapun Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dikatakan mendahului cabaran jawatan itu.

Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengekalkan kedudukannya tanpa cabaran.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Pengerusi PKR Kedah Wan Salleh Wan Isa berkata, bagi cabang Langkawi, untuk jawatan timbalan presiden, Azmin mendapat 116 undi manakala Zaid 74 undi Mustaffa tiga undi, dengan undi rosak 13.

Bagi Naib Presiden, Fuziah di tempat teratas mendapat 129 undi, Tian Chua (104), Mansor (73), Nurul Izzah (66) dan Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan (44).

“Daripada jumlah 17 itu, dua calon mendapat kurang daripada 10 undi manakala enam kosong (tidak mendapat undi langsung),” katanya.

Katanya beliau masih menunggu keputusan untuk empat lagi cabang.

- themalaysianinsider

Hj Ansari jatuh ke laut lagi

Selepas menjadi mangsa jeti runtuh Rabu lalu, calon PKR bagi pilihan raya kecil parlimem Batu Sapi, Ansari Abdullah jatuh lagi ke laut hari ini selepas pelantar yang disambung ke laluan di situ pula runtuh.

Insiden itu berlaku ketika Ansari melawat Kampung Gas, Sandakan tengahari tadi. Ia merupakan perkampungan nelayan yang dibina di atas tiang di laut.

Ansari berada di belakang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuju ke sebuah rumah apabila pelantar yang menyambung ke titi itu runtuh

Menurut pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, selain Ansari, tiga orang lagi turut terjatuh ke laut apabila pelantar itu runtuh.

Khalid juga, katanya, hampur terjatuh. Bagaimanapun beliau sempat memegang tiang sebuah rumah sebelum pelantar itu runtuh.

Mereka yang jatuh itu mengalami cedera ringan. Ansari cedera di lutut dan dada.

- malaysiakini

Monday, October 25, 2010

UMNO dan fitnah ibarat isi dengan kuku

Hanya golongan manusia yang beriman dan dilindungi Allah saja pasti meninggalkan segera sebuah parti yang penulis sebut sebagai munafiq dan musyrikin. Bukan menuduh tetapi berdasarkan fakta, bukti, hujah Al-Qur'an, Sunnah dan fatwa Ulama' muktabar. Terkini pemimpin UMNO dan jenteranya tanpa sedikit pun merasa gerun dengan ancaman Allah, telah memfitnah calon PAS Galas sebagai orang yang pernah ditangkap khalwat.

Calon PAS : Tuduhan khalwat fitnah semata-mata

Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno - Umno Online - yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.

Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang atau 16.35 peratus.

- malaysiakini

Friday, October 22, 2010

Pemimpin BN Mati Pun Rakyat Kena Bayar

Kerajaan BN yang diketuai UMNO akan membina satu projek Pusara Negara untuk VVIP yang bernilai RM70 juta bersebelahan dengan tugu negara. Dalam waktu yang sama Jabatan Perdana Menteri hanya memperuntukkan RM14.3 juta saja untuk membaiki mesjid dan surau di seluruh negara. Bandingkan sendiri jurang bajet yang begitu besar antara projek kubur dengan surau. Ikuti penjelasan seterusnya oleh DSAI.






Sekian

Ingatkan ada PhD cerdik, rupanya bodoh

Penulis teringat kata-kata Raja Komando dalam satu ceramahnya. Katanya "Tuan puan, ibu bapa sekelian, pastikan anak kita tak jadi ahli UMNO sebab mereka akan jadi bodoh sampai mati..." Kalau orang yang waras dan alignmnet otak mereka betul, sudah tentu akan mentertawakan ucapan seorang lagi Timbalan Menteri UMNO dalam Perhimpunan UMNO hari ini. Kecualilah ahli dan penyokong parti itu yang memang dah sedia bebal.

Antaranya dia menyeru orang ramai supaya tidak tertipu dengan pembangkang yang didakwanya tidak mahu menilai ekonomi negara meningkat maju.

Pembaca boleh nilai sendirilah betapa rendahnya level minda orang yang ada PhD ni. Ada ke dia kata pembangkang sengaja menafikan peningkatan ekonomi negara. Lebih menampakkan kebodohan sendiri bila dia kata pembinaan menara 100 tingkat akan dapat menjana ekonomi negara.

Kita nak tanya Doktor Falsafah bodoh ni adakah dengan pembinaan pelbagai bangunan pencakar langit itu akan mampu menjana ekonomi? Atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk pada dunia luar bahawa Malaysia hebat namun hakikat sebenarnya menanggung hutang hampir 500 bilion.

Kita ambil contoh Cina. Hari ini 'Singa Asia' dikenali sebagai gergasi ekonomi baru dunia dan dijangka dalam tempoh 3 tahun lagi Cina merupakan kuasa No.1 ekonomi di atas planet ini. Pembangunan infrastruktur secara menyeluruh telah dilaksanakan secara intensif dan mengikut keperluan bagi menarik dan menampung permintaan pelabur tempatan dan luar sejak kerajaan Cina membuka negaranya pada pasaran terbuka.

Dalam Laporan Bajet 2009, kerajaan Cina masih ada lebih wang berjumlah USD 2 trilion (USD 2,000,000,000,000) yang tak terusik. Lebihan ini digunakan untuk pelaburan di luar negara.

Berbeza dengan negara kita. Hari ini saja Malaysia menanggung hutang berjumlah RM500 bilion ekoran kebodohan dan kerakusan pemimpin UMNO mentadbir negara. Dalam keadaan negara kekurangan cash-flow tapi masih nak tunjuk gah di mata dunia dengan cadangan pembinaan menara 100 tingkat pulak.

Kita tengok apa jadi dengan Petronas Twin Tower. Hanya sebatang saja yang digunakan. Yang sebatang lagi masih kosong tak ada yang mahu sewa. Dulu ada cadangan nak menjual yang sebatang lagi tu pada Brunei tapi kerajaan Brunei tak berminat. Nak buat apa beli kalau setakat untuk bermegah tapi tak digunakan. Puak-puak UMNO ni ingat kerajaan Brunei bodoh sangat kah?

Inilah perangai pemimpin UMNO yang langsung tak mahu mengaku kesalahan sendiri. Dah menyeleweng wang rakyat berbilion ringgit tapi masih angkuh. Kalau di Korea dan Jepun, dah lama pemimpin begini dibuang rakyat ke dalam tong sampah. Malangnya kat Malaysia ni lain sikit, sebab majoriti Melayu Bumiputera masih berfikir menggunakan kepala lutut.

Si Timbalan Menteri paloi tu turut menegaskan pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur merupakan strategi bijak mempelbagaikan pelaburan supaya negara tidak terlalu bergantung pada pelaburan asing.

Persoalannya atas dasar apa si bodoh ni boleh cakap pelaburan besar dalam penyediaan infrastruktur boleh menjana kepelbagaian pelaburan sedangkan pelaburan swasta domestik pun lari keluar.

Ini cakap orang gila ke atau saja berucap sekadar mengampu bosnya serta terus memperbodohkan para perwakilan dungu yang hanya tahu bertepuk dan ternganga mulut sambil membayangkan projek itu dan ini menjelang PRU13. Lebih melucukan ada yang terlena sampai meleleh air liur. Bila orang lain bersorak, dia terus terjaga dan ikut bertepuk sama.

Penulis bukanlah pakar ekonomi tetapi menurut Prof Dr Jomo, hingga tahun 2010 tiada peningkatan pelaburan tempatan malah berlaku kemerosotan mendadak. Kalau dah pelabur tempatan sendiri tak berminat nak melabur dalam negeri, bagaimana bisa boleh berlaku peningkatan ekonomi.

Seperkara lagi macamana pelabur asing nak masuk melabur jika pelabur tempatan sendiri takut nak melabur. Apatah lagi baru-baru ini tycoon Virgin, Sir Richard Branson mengakui salah satu punca utama pelabur asing tak masuk ke Malaysia disebabkan Kes Liwat II Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan.

Di sudut logiknya, apa kena mengena kes liwat itu dengan sikap pelabur luar.

Sebenarnya para pelabur asing menjadikan Kes Liwat II ini sebagai indikator jelas betapa rosaknya sistem keadilan dan kehakiman Malaysia yang telah dikuasai oleh rejim kerajaan UBN yang zalim dan korup. Justeru, sudah tentu mereka takut untuk masuk melabur kerana tiada jaminan keselamatan pelaburan mereka.

Hari ini ekonomi negara hanya bergantung pada pelaburan awam (kerajaan) di sektor perkhidmatan dan pembangunan. Menurut Dr Jomo, untuk short-term memang ekonomi mampu bertahan secara pasif. Namun bagi jangka masa panjang, ekonomi negara akan menjadi lumpuh sepenuhnya bila kerajaan sudah tiada kemampuan untuk berbelanja.

Di ketika pelaburan asing begitu galak masuk ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, boleh pulak si menteri bebal ni cakap ".... negara tidak terlalu bergantung pada pelaburan asing."

Inilah dia mentaliti seorang Timbalan Menteri UMNO yang berkelulusan PhD tetapi bodoh macam lembu. Nasib baiklah dia ni duduk dalam UMNO yang terdiri daripada ahli dan penyokong yang sama paloi. Yang mereka tahu hanya angguk, angguk, angguk... macam To'keq.

Kesian penulis tengok ramai Melayu Bumiputera hari ini diperbudakkan semahunya oleh barisan pimpinan UMNO yang telah menipu mereka berpuluh tahun.

Nasib kaulah yek...

Thursday, October 21, 2010

Najib simbah petrol pada api rasis

Ucapan Najib laknatullah sewaktu merasmikan Perhimpunan Agong UMNO jelas berbaur ugutan bila menyebut "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa..., Putrajaya mesti kita pertahankan." Apakah ini satu amaran awal pada Pakatan Rakyat supaya jangan bermimpilah nak ke Putrajaya? Atau Najib akan menggunakan seluruh ketumbukan Polis dan tentera bagi menghalang PR mengambil-alih Putrajaya sekiranya mendapat mandat baru rakyat dalam PRU13?

Atau Najib sudah merancang satu plan tindakan bagi mengisytiharkan darurat sekiranya UBN tewas dalam PRU13 kelak? Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu saja. Yang jadi tanda-tanya, apa perlunya Najib menyebut pasal darurat dalam menyentuh hak kepentingan Melayu? Takde rasionalnya. Namun bila diselusuri isi ucapannya itu, Najib dilihat cuba hidupkan kembali nostalgia Peristiwa 13 Mei bagi meraih kembali sokongan padu orang Melayu pada partinya yang dah busuk.

Begitu ketara sekali Najib cuba memberi gambaran yang menakutkan kepada para perwakilan dungu dan orang Melayu umumnya bahawa negara akan jadi huru-hara jika UMNO tidak memerintah sambil membawa contoh kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi Holocoust di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.

Timbul kehairanan di minda penulis apa jadahnya Najib cuba kaitkan beberapa tragedi di luar negara dengan suasana politik negara. Nampak sangat Presiden UMNO sengaja mahu marakkan lagi api perkauman di tanahair bila mula merasakan sokongan pelbagai kaum terhadap BN semakin merosot kebelakangan ini. Yang jelas UMNO ketika ini sedang 'kepanasan' bila melihat kaum bukan Melayu semakin percaya kepada Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi bila diihat PAS telah berjaya meruntuhkan tembok prasangka masyarakat bukan Islam terhadap parti itu dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam Muktamar PAS Jun lalu.

Percayalah... jika UBN menang besar kelak, sentimen perkauman ini akan senyap macam tu je. Sebab matlamat UMNO dah tercapai bagi kelangsungan kuasa dan penerusan agenda merompak dan menyamun harta rakyat. Puak-puak lanun darat ni tak akan puas selagi mereka tak mampus. Hanya kematian saja akan menghentikan keserakahan nafsu iblis mereka.

Setelah sekian lama orang Melayu diperbodohkan, hak biasiswa anak Melayu Bumiputera dirampas, peneroka Felda ditipu, tanah hakmilik Melayu ditipu dan dirampas atas alasan pembangunan, menafikan hak royalti minyak rakyat Terengganu dan Kelantan yang terdiri lebih 80% penduduk Melayu, membebankan anak Melayu di IPTA dan IPTS dengan hutang PTPTN, lepas tu dengan nada angkuh masih lagi nak berbicara tentang hak keistimewaan orang Melayu?

Memang golongan Munafiq dan Musyrikin yang ada dalam UMNO ni sanggup melakukan apa saja demi kuasa politik jahat mereka. Hatta sampai ke peringkat membunuh. Sejarah tidak pernah berbohong. Masih segar dalam ingatan bagaimana 14 orang Mu'min yang tak berdosa dibunuh dalam Peristiwa Memali. Seorang wanita muda Mongolia Altantuya Shaaribu dibunuh dan diletupkan mayatnya sehigga berkecai dan banyak lagi kes bunuh yang terbukti melibatkan secara langsung dengan pimpinan UMNO. Jika Yahudi Zionis menindas dan membunuh umat Islam Palestin, apa kurangnya UMNO yang mengarahkan pembunuhan orang Islam di Baling, memfitnah Anwar Ibrahim, pembunuhan Teoh Beng Hock, menyumbat musuh politiknya ke dalam ISA, merosakkan Aqidah umat Islam.

Setelah merompak segala kekayaan milik negara dan rakyat dengan pelbagai macam penyelewengan dan rasuah, lepas tu suruh rakyat yang tanggung? Kamu yang rasuah dan rakus mentadbir negara, kemudian nak salahkan Pakatan Rakyat pasal pelabur tak masuk? Woi! pelabur asing bukannya bodoh. Di zaman kepantasan teknologi IT ini, seluruh dunia dah tahu siapa Mahathir, Pak Lah dan Najib Altantuya.

Tergamak lagikah orang Melayu yang mengaku Islam untuk terus percaya dengan sebuah parti 'didikan Yahudi Nasrani' ni? Tidak cukup lagikah segala penyelewengan, pembohongan dan jenayah yang dilakukan selama ini? Di mana perginya Aqidah Islam orang Melayu hari ini???

Penulis nasihatkan Najib dan UMNO supaya menghentikan segera 'Projek Pembodohan Melayu' melalui politik perkauman sempit dan lapuk ni. Janganlah terus memperalatkan Melayu demi kepentingan kuasa politik kamu yang sedang menuju kubur.

Kenapa Najib dan UMNO takut hilang kuasa?

Pepatah ada menyebut "Berani kerana benar, takut kerana salah".

Mudah saja jawapannya. Yaitu Najib dan seluruh pimpinan UMNO akan masuk penjara jika Pakatan Rakyat memerintah. Sebab apa? Sebab segala jenayah penyelewengan mereka akan dibongkar. Mereka semua akan dihadapkan ke muka pengadilan. Segala kekayaan mereka samada di dalam dan luar negara akan dirampas dan dikembalikan kepada rakyat. Jika Pakatan Rakyat diberi mandat kelak, seluruh rakyat akan bangkit mendesak kerajaan baru bertindak segera terhadap semua pengkhianat dan petualang negara sehingga ke akar umbi. Bicarakan mereka semua di mahkamah terbuka. Biar seluruh rakyat tahu dan sedar akan segala dosa penyelewengan mereka selama ini yang mengakibatkan negara hampir lumpuh dan rakyat menderita.

Mungkin timbul pertanyaan di benak minda, apakah pimpinan kerajaan baru Pakatan Rakyat mengambil pendekatan lemah-lembut terhadap para petualang itu? Kita tunggu dan lihat saja nanti. Kalau itulah pendekatan yang diambil, kita akan kerahkan seluruh rakyat turun berdemonstrasi mendesak tindakan undang-undang diambil segera terhadap para pengkhianat dan penyamun tersebut. Pakatan Rakyat tak boleh ambil mudah mandat dan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam PRu13.

Akhir sekali, orang Melayu tidak seharusnya terpengaruh dengan propaganda lapuk dan sempit Najib ini. Sudah sampai masanya kita lakukan perubahan dalam PRU13 kelak.

Bukan negara yang huru-hara tetapi UMNO yang takut hilang kuasa. Tanpa UMNO negara ini akan lebih aman dan makmur serta rakyat dapat menikmati hidup yang selesa.

Selama ini UMNO yang menjadi 'duri dalam daging' bagi Malaysia. Segala sejarah hitam yang berlaku selama ini memang kerja UMNO. Bukan pihak lain

Lakukan ISLAH demi kebaikan negara dan kehidupan anak cucu kita.

Wassalam.

Wednesday, October 20, 2010

Anak kelahiran Sabah diberi MyKad taraf pemastautin sementara

Bagaimana seorang anak tempatan Sabah berbangsa Dusun boleh diberikan kad pengenalan MyKad bertaraf pemastautin sementara? Adakah kes seumpama ini boleh diterima akal sebagai kesilapan teknikal oleh pegawai JPN? Atau pegawai JPN memang rabun mata sewaktu key-in data permohonan MyKad? Atau pihak JPN dapat arahan tertentu untuk mendaftarkan semua permohonan baru MyKad oleh kaum Dusun dan diberi taraf pemastautin sementara saja? Apakah ini salah satu lagi projek UMNO di Sabah bagi menafikan hak peribumi Sabah sebagai warganegara Malaysia yang sah?

DUSUN KINI PEMASTAUTIN SEMENTARA, BUKAN LAGI ANAK NEGERI SABAH?

TUNJUK….Mahali menunjukkan MyKad ‘pemastautin sementara’ yang diberikan JPN kepada beliau sedangkan pendatang asing menjadi Warganegara melalui jalan songsang.

SEORANG lagi Anak Negeri Sabah, Mahali Ensong, daripada suku kaum Dusun yang dilahirkan di Kampung Maliau Tongod, Lamag pada 15 Julai 1975 mendapat kad pengenalan bernombor 750715-12-6129 berstatus ‘Pemastautin Sementara’ dengan tarikh luput pada 04 Disember 2013.

“Kenapa perkara yang mengaibkan ini menimpa saya? Apakah di bawah kerajaan BN kaum Dusun bukan lagi anak negeri dan setaraf dengan pekerja asing yang menggunakan pasport?” tanya Mahali dengan nada kesal kerana Jabatan Pendaftaran Negara langsung tidak bertanggung jawab.

Kata Mahali, apa gunanya Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) rakyat Sabah jika sebelum ini seorang warganegara diberi taraf penduduk tetap dan nasib beliau lebih malang kerana diberi taraf ‘Penduduk Sementara’.

“Apakah warga Pakistan, Filipina dan Indonesia yang lahir di negara mereka boleh mendapat tahap warganegara sedangkan saya lahir di Sabah dan kedua ibu bapa saya orang Dusun tetapi saya diberi taraf warganegara kelas anjing?,” tanya Mahali dengan nada geram.

Menurut Mahali, minggu lalu beliau telah pergi sekali lagi ke pejabat JPN Sandakan dan bertanyakan mengenai kedudukan kad pengenalannya, namun agak malang kerana Pegawai JPN Sandakan mengarahkan beliau memohon taraf Warganegara sebelum boleh memohon MyKad.

Mahali yang bertugas di Unit Penghias Bandar Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selama 10 tahun dan sudah berumah tangga serta dikurniakan cahaya mata seramai 7 orang; saban hari sentiasa dihantui ketakutan apabila berhadapan dengan anggota Polis kerana status kerakyatannya yang bertaraf sementara.

Kata Mahali ekoran daripada statusnya sebagai ‘pendatang asing di bumi tumpah darahnya sendiri’, maka dia (Mahali) telah kehilangan hak mutlaknya sebagai seorang pengundi sedangkan warga-warga asing lainnya yang tinggal di negara ini, khususnya di Sandakan mereka telah layak mengundi dan memilih siapa bakal pemimpin mereka.

“Anak-anak saya yang bersekolah langsung tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan kerana status saya sama seperti dengan orang Indonesia dan Filipina yang bekerja di sini memegang pasport atau IMM 13,” kata Mahali yang menyalahkan Pegawai JPN atas ‘khianat’ mereka.

Mahali menegaskan, jika senario ini tidak dikekang, dalam masa 10 tahun daripada sekarang Warga Pakistan, Indonesia dan Filipina yang sudah memegang Mykad akan menjadi Ketua Menteri dan menteri-menteri kabinet kerana mereka mempunyai MyKad atas bantuan pegawai JPN dan sudah pastinya Anak Negeri Sabah akan menjadi seperti rakyat Palestin di tengah kekejaman Israel.

“Saya amat sedih dan kecewa kenapa Jabatan Pendaftaran tidak kenal mana satu pendatang asing, mana satu anak tempatan. Saya sudah berkali-kali menjelaskan yang saya ini orang Dusun. Saya boleh bertutur bahasa Dusun dengan fasih, tapi merekapun masih tidak percaya. Kenapa orang Pakistan, orang bugis yang menyebut ikan jadi ikang, tetapi begitu mudah mendapat kerayaan Malaysia; berbanding dengan diri saya, apa maksud sebenarnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara ini?,” tanya Mahali yang mendesak campurtangan Menteri Dalam Negeri.

Kata Mahali, bukan beliau seorang sahaja yang menjadi mangsa keadaan oleh JPN, bahkan ramai lagi keluarga dan kawan-kawan beliau yang sebangsa dengannya mengalami nasib yang serupa.

“Saya agak kesal kerana semua parti berasaskan Dusun seperti PBS, UPKO dan PBRS tidak langsung membantu ketika saya minta tolong atau ehsan membantu saya menguruskan kad pengenalan saya. Bukankah selama ini mereka kononnya berjuang menentang IC Palsu, tetapi apabila Anak Negeri dianiaya, mereka hanya berdiam diri,” kata Mahali yang terkilan dengan sikap hipokrit pemimpin Dusun di dalam Kerajaan.

- sabahkini

Kes Aminulrasyid : Tertuduh lepaskan 21 tembakan

Tertuduh dalam kes perbicaraan membabitkan kematian Aminulrasyid Amzah didakwa menggunakan 21 daripada 100 peluru yang diperuntukkannya semasa bertugas ketika remaja berusia 15 tahun itu ditembak mati.

Menurut Korporal Ismail Daud, yang bertanggungjawab menjaga senjata api dari simpanan di balai polis Seksyen 11, tertuduh Korporal Jenain Subi dibekalkan dengan 100 peluru semasa dia bertugas daripada jam 10 malam 25 April sehingga jam 6 pagi, keesokan hari.

Remaja itu ditembak mati antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, 26 April selepas dikejar oleh kereta peronda polis.

"Saya kira peluru apabila Jenain memulangkan senjatanya sekitar jam 6.42 pagi, 26 April dan mendapati kelopak di senjata itu hanya tinggal empat peluru,” katanya sambil merujuk kepada catatan rekod balai polis berkenaan.

Setiap kelopak senapang sub-mesin jenis Helper dan Koch MP5 itu yang diberikan kepada Jenain itu berisi 25 butir peluru, katanya.

Ismail juga mengakui bahawa tiga kelopak yang lain tidak digunakan.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah diberitahu 19 kelongsong peluru dijumpai sekitar lokasi kejadian.

Awal hari ini, seorang lagi saksi, Muhammad Radhi Abdul Hamid daripada bahagian persenjataan berkata ada kemungkinan seseorang penembak tepat akan tersasar dalam beberapa keadaan.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam pembelaaan bahawa antara keadaan itu termasuk jalan yang tidak rata, mengejar suspek dengan kelajuan tinggi dan sasaran ya ng bergerak.

Katanya, berat senjata api juga boleh menjejaskan ketepatan sasaran dan bersetuju bahawa senjata MP5 itu adalah berat tetapi tidak dapat menganggarkan jumlahnya.

Namun ketika disoal pihak pendakwaan, saksi itu yang mengakui beliau adalah pakar senjata api berkata perkara berkenaan adalah hanya pendapatnya dan beliau belum pernah menembak sasaran yang bergerak pada kelajuan tinggi.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 in Section 11, Shah Alam pada 26 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika didapati bersalah.

- malaysiakini

Gantikan pengerusi Umno negeri ‘diimport’, saran Pemuda Kedah

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah hari ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang “diimport” dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Jerai Bassori Hassan berkata, pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal (gambar) dari Sabah sebagai pengerusi negeri sebenarnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang ahli-ahli politik tempatan.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.

“Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, takde pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar.

“Tolong kaji balik pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan negeri-negeri pembangkang lain,” kata beliau ketika menyertai perbahasan pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno hari ini.

Bassori berkata mereka yang memegang jawatan pengerusi perhubungan negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.

- themalaysianinsider

ADUN Muflis : UMNO mahu rayu, elak PRK

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ekoran keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim sebagai muflis Jumaat lalu.

Sambil mengakui belum ada butiran terkini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengelakkan pilihan raya kecil dengan membuat rayuan.

Syed Sobri diisytihar muflis ekoran kegagalan syarikatnya membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengisytiharan bankrap terhadap Syed Sobri kemungkinan membuka ruang kepada satu lagi pilihan raya kecil.

“Kita akan selidik dan lihat dulu perkara ini... jika perlu buat rayuan, kita akan buat,” kata Shafie.

Shafie yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, beliau belum menerima sebarang makluman daripada Syed Sobri sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya tidak tahu apa status perkara ini. Syed Sobri juga tidak maklumkan kepada saya mengenainya.

“Dulu saya pernah jumpa dengan beliau tapi perkara lain,” kata Shafie kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas melawat bilik media Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Jelas Shafie, parti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk diadakan pilihan raya kecil membabitkan kerusi DUN Kuala Nerang.

“Kalau perlu merayu kita akan buat tapi sekiranya perlu buat persediaan dengan keadaan berhadapan pilihan raya kecil kita akan adakan.

“Tiada masalah bagi kita, tapi saya harap tidak ada pilihan raya kecil,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Syed Sobri, yang didakwa bersama tiga defendan yang lain termasuk syarikatnnya, sebagai muflis Jumaat lalu.

Bagaimanapun di peringkat minggu lalu, mahkamah dikatakan hanya mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis selaku salah seorang pengarah syarikatnya.

Maklumat sebelum ini menyebut Syed Sobri merupakan pengasas Kulim Enterprise.

Beliau dipercayai akan membuat rayuan.

Syarikatnya dipercayai gagal menjelaskan baki caruman lebih RM700,000. KWSP dikatakan membawa kes itu 2003.

Syed Sobri ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan beliau muflis sambil berkata, ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya.

Pada awal November 2008, beliau dikatakan hampir muflis kerana hutang bank.

Bagaimanapun menurut Syed Sobri ketika itu, beliau sudah pun menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Oleh itu katanya, peguam beliau juga telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan 3 November 2008, mengisytiharkan dirinya muflis.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805.

- themalaysianinsider

BN mungkin hilang 50 kerusi..., kata Khairy

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."

"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.

Ketika berucap dalam mesyuarat agung 2010 pergerakan itu, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.

-malaysiakini

Kuburkan Fasis : Tegakkan Keadilan Untuk Semua

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran (Surah al-Qashash, ayat 4-5) bermaksud : Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.

Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

Fasis ditakrfikan sebagai penganut faham nasional yang didasarkan kepada pemerintahan yang bertindak atas keekuasaan daripada hak-hak demokratik.(1) Manakala fasisme pula merujuk kepada sistem (pandangan) politik puak pelampau yang berhaluan kanan.(2) Di dalam al-Quran, ada menceritakan bagaimana pemerintahan puak pelampau dengan kebanggaan keturunan yang telah mengorbankan ribuan nyawa penentangnya. Kisah Firaun yang menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil kerana tidak sedarah dengan bangsanya iaitu Qibti merupakan kisah yang diulang-ulang di dalam al-Quran.

Demikian juga kisah Namrud iaitu raja di zaman Nabi Ibrahim AS yang terkenal dengan dasar pemerintahan yang zalim dan kezaliman telah dilakukan oleh ashabul ukhdud ke atas orang-orang yang mentaati ajaran Tuhan (mereka yang beriman). Ini menunjukkan bahawa fasis atau fasisme tidak hanya bermula pada zaman sejarah moden tetapi telah bermula semenjak tamadun awal manusia lagi. Justeru Islam datang kemudiannya adalah untuk mengkuburkan amalan dan fahaman fasis/fasisme dengan formula yang tersendiri.

Islam menolak fasisme

Islam adalah agama dari langit, diturunkan Allah melalui wahyu. Penyampai wahyunya adalah malaikat Jibrail dan disampaikan kepada Nabiu Muhammad SAW. Dua kandungan besar dalam ajaran Islam, iaitu pertama dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dan bukan milik manusia dan manusia hanyalah bertaraf seorang penumpang di bumi.

Sehebat manapun seorang penumpang atau tetamu, dia tidak boleh melakukan apa sahaja yang disukainya. Ibarat seorang pemimpin yang bertamu di rumah orang lain, tentu sekali hanya boleh naik jika dijemput naik. Duduk pula di ruang tamu dan tidak boleh meredah masuk kecuali dengan keizinan. Begitulah penumpang di bumi Allah SWT. Mana mungkin seorang penumpang yang datang bertamu di bumi ini boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki olehnya? Nabi Muhammad SAW telah bersabda (dalam Sahih Bukhari) yang bermaksud "Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu bertamu atau bersinggah (di dalam perjalanan)."

Kedua, Islam mengajar penganutnya bahawa selepas hidup ini akan ada kematian dan dibangkitkan pula untuk hidup di akhirat. Hidup ini tidak akan tamat sahaja setakat di dunia, tetapi ia akan bersambung dengan hidup di alam akhirat. Hidup di akhirat ialah hidup yang berkekalan. Oleh sebab itu, akan berlaku proses pengadilan selepas dibangkitkan nanti. Ketika itu setiap orang akan melalui penghakiman atas apa yang dia buat semasa hidup di dunia. Atas nilai ajaran Islam yang sebeginilah seorang Islam sama ada bertaraf pemimpin atau rakyat biasa adalah tidak boleh melakukan amalan fasis dengan menzalimi orang lain.

Dengan perkataan lain, Islam melarang seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman terhadap rakyatnya. Jauh sama sekali bagi pemimpin itu untuk menjadi seorang pemimpin fasisme. Maka tidak perlu khuatir apabila seorang pemimpin Islam memerintah, dia tidak mungkin menzalimi rakyatnya. Namun, dukacitanya ada pemimpin yang berlagak Islam, tetapi gaya memerintahnya adalah fasis, maka pemimpin itu mungkin pelampau yang hanya berwajah Islam. Pemimpin sedemikian merupakan menifestasi kekosongan hati dan jiwa yang tidak takut kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan sekalian manusia!

Islam mampu mencegah fasis

Kekuatan ajaran Islam adalah berupaya memupuk keyakinan terhadap wujudnya hari pembalasan di akhirat kelak. Islam boleh menjadikan seorang itu patuh kepada ajaran agama dan gerun untuk melakukan dosa walaupun di dalam situasi tidak ada seorang pun melihatnya. Walaupun di situ tidak ada anggota penguatkuasa atau kamera litar tertutup (CCTV).

Ajaran Islam memberitahu setiap penganutnya, bahawa setiap masa akan ada pencatat ghaib (tidak nampak) yakni Malaikat sentiasa berada di bahu kanan dan kiri yang tugasnya sentiasa menulis apa sahaja yang kita lakukan. Catatan itu akan dibentangkan di hari penghakiman, maka berat timbangan atas perbuatan buruk balasannya siksaan neraka, sebaliknya berat timbangan atas perbuatan baik balasannya syurga. Ajaran ini sepatutnya menghalang setiap pemimpin bertindak fasis ke atas rakyat, malah akan gerun untuk melakukan menindas, merampas dan tidak beramanah dengan amanah rakyat dan negara.

Justeru, Allah SWT memberi ingatan kepada manusia betapa Dia sedia melaksanakan Pemantau ke atas setiap tindak-tanduk manusia. Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan (Surah al-Hadid, ayat 4) yang bermaksud: Dan dia bersama kamu di mama saja kamu berada, dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.

Fasisme di Malaysia

Asas kuasa dan amalan pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah sekularisme yang berorientasikan semangat kebangsaan perkauman sempit. Ia tidak bersandarkan kepada mana-mana ajaran agama, meskipun dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut tentang Islam agama persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan.

Ia bermakna, roh beragama tidak diamalkan dalam kerajaan BN, maka logiknya berlaku kezaliman, penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat tertentu. Justeru pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Allah SWT. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara (Akta Keselamatan Dalam Negeri - ISA), menyekat kebebasan bersuara dengan pelbagai akta dan tidak memberikan permit (akhbar, radio, TV) untuk pembangkang, di samping berlaku persepsi serong beberapa agensi kerajaan (SPR, Polis, Mahkamah, Kehakiman).

Maka kita melihat pihak UMNO begitu gahirah menggunakan kuasa yang ada demi mmengekalkan kuasa sehingga berlaku amalan pemerintah fasis. Munasabahnya kerana fasis itulah, agama mereka tidak ikut, perlembagaan mereka tak patuh dan hak rakyat mereka rampas. Berlakulah seperti mana di Perak (rampasan kuasa) menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah.

Pengalaman Kelantan

UMNO turut melakukan kezaliman terhadap rakyat Kelantan yang boleh dianggap fasis. Sejak 1990, sebaik sahaja PAS mentadbir Negeri Kelantan, hak-hak dan lunas federalisme mereka langgar. Mereka lambatkan pemberian Wang Geran Tahunan yang termaktub dalam perlembagaan. Sehingga kini sebanyak 118 projek pembangunan untuk Negeri Kelantan telah disekat dan dibekukan. Pernah suatu ketika pemimpin Umno mengaku di dalam Dewan Negeri, bahawa merekalah yang menyekat dan menangguhkan projek-projek yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia.

Atas karenah fasis itu, sehingga kini Kerajaan Negeri telah dinafikan lebih daripada RM 200 juta kerana pemimpin UMNO tidak membayar Wang Royalti Minyak. Maka kita bertekad menuntut hak Wang Royalti Minyak dan pada bulan lepas Kerajaan Negeri telah membuat tuntutan melalui Mahkamah agar Petronas dapat membayar wang itu kepada Kerajaan Negeri. Kami yakin dengan pertolongan Allah SWT, bahawa apa yang kami lakukan demi melaksanakan amanah Allah untuk menentang fasis dan ke arah mewujud keadilan untuk semua.

Fasisme akan berkubur, yakinlah

Perlulah diyakini bahawa fasisme dalam apa jua bentuk sebenarnya sedang menuju kepada kehancuran. Kesedaran rakyat dan tahap celik maklumat yang dimiliki semakin menyusahkan UMNO dan BN - pemerintah yang fasis. UMNO mesti dihalang untuk terus memperkudakan nilai-nilai keadilan yang sepatut dinikmati oleh rakyat. Hari ini, fasisme yang pernah wujud di dalam sejarah dan sering dirujuk kepada pemerintahan Mussolini di Itali telah lama berkubur, tetapi benihnya mengakar dan berkembang ke seluruh dunia dalam pelbagai bentuk. Penafian hak-hak untuk berpolitik secara demokrasi yang telus juga termasuk di dalam kategori fasis. Demikian juga laungan-laungan perkauman yang melampau serta seruan-seruan rasis juga boleh membawa kepada amalan berteraskan fasisme.

Apa yang utama kini, masyarakat perlu dipertingkatkan kesedaran untuk menentang amalan fasis yang dibawa oleh UMNO dan BN. Kebenaran pasti akan terserlah. Umpama gelap pekat pada waktu malam, ia akan berakhir apabila terbitnya matahari. Natijahnya, fasisme ialah tiang kezaliman yang sedang reput dimamah anai-anai, ia akan tumbang bila tiba masa dan ketikanya.

Sekarang, masanya untuk Pakatan Rakyat memperkasakan gerakan memberi kesedaran kepada rakyat dan semua lapisan pengundi - di bandar, luar bandar dan pendalaman. Di sana-sini sudah ada tugas masing-masing pemimpin, dan pemimpin seharusnya membuktikan integriti dengan menunjukkan kepimpinan berakhlak berteraskan agama. Jangan sesekali mengenepi ajaran agama. Sebagaimana agama Islam meletakkan tanggungjawab ke atas setiap pemimpin, maka akan disoal di akhirat kelak atas kepimpinannya ke atas rakyat yang dipimpinnya.

Sekian.

(1) Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala Lumpur, hal. 408.
(2) Ibid.

*Artikel ini dibentang dalam Forum "Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO" anjuran Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (FOS) Johor pada 17 Oktober 2010.

- merdekareview

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger