Thursday, June 9, 2011

Siri 1 : Golongan Yang Haram Disokong

Kali ini penulis nak utarakan pandangan ulama' muktabar yang bersandarkan Al Qur'an dan Hadis tentang soal politik dan golongan yang haram disokong oleh seluruh umat Islam di mukabumi ini. Sejak jatuhnya sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyah Turki, kekeliruan di sudut fahaman dan semakin jauhnya umat Islam dari sumber Wahyu Ilahi dan Sunnah telah menyebabkan perpecahan kronik di kalangan umat Islam sendiri serta membuka ruang seluasnya kepada pihak musuh untuk melakukan serangan terhadap minda dan jiwa Muslim tanpa henti.

Golongan Yang Haram Disokong

Muqaddimah

Apabila orang Islam beranggapan persoalan politik ialah sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam, maka mereka menyerahkan kuasa kepada sesiapa saja yang mereka suka dengan perhitungan nafsu tanpa melihat kepada tuntutan-tuntutan agama.

Hasil dari sikap ini, maka individu serta golongan yang jahat dan zalim menguasai tampuk pemerintahan. Golongan ini beranggapan kuasa adalah lesen untuk mereka melakukan apa saja tanpa merasa takut kepada amaran-amaran Allah.

Kuasa politik dijadikan sebagai modal untuk mengaut kekayaan dan harta serta melakukan jenayah dan kezaliman ke atas orang lain. Ini adalah politik yang diwarisi daripada Fir'aun dan kuncu-kuncunya.

Firman Allah dalam Surah Al Qasas (28): ayat 4 yang bermaksud;

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.

Sekiranya Fir'aun membunuh anak-anak lelaki di kalangan Bani Israel kerana bimbang tergugat kuasa dan politiknya, demikian juga para pewaris menghapus dan menghancurkan segala musuh politiknya yang boleh menggugat sistem kezaliman dan kekejaman yang dihidupkan.

Para ulama' seperti yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menamakan Abu Jahl sebagai (Fir'aun bagi umat ini) kerana sikapnya yang menentang kebenaran dan zalim. Sebenarnya Fir'aun adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang memerintah Mesir kuno. Abu Jahl bukan pemerintah negeri Mesir dan beliau juga tidak membunuh anak-anak lelaki Quraisy atau Bani Israel, namun sikapnya yang bangkit melakukan kezaliman dan mengepalai penentangan terhadap kebenaran melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berkenaan. Demikianlah sesiapa yang mewarisi sikap itu, maka mereka adalah Fir'aun sepanjang zaman.

Amaran Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

Sesungguhnya selepas ku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).

bersambung....

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger