Saturday, July 4, 2009

Tanggungjawab Umat Islam Pada Negara

Kadang-kadang bila difikirkan sekali imbas ada benarnya jugak nak buat apalah kita pening-pening kepala memikirkan tentang soal politik, isu dan apa jadah sekalipun yang berlaku dalam negara ini. Buat susahkan hati aje. Lebih baik kita tumpukan pada keluarga dan anak-anak. Lagipun bagi kita yang kerja makan gaji dengan kerajaan, apa yang nak dirisaukan... Cukup bulan pegi kat ATM ambil duit gaji. Lantaklah sapa pun yang nak jadi kerajaan, peduli situ. Hidup kita tetap serupa. Kalau gaji sebulan RM 2,500, itulah juga yang kita dapat walau parti mana yang memerintah.

Yang pasti kita mesti jadi Muslim yang baik. Sebagai lelaki, kita jadilah seorang anak, suami dan ayah yang baik. Begitu jugalah kalau yang perempuan, jadi isteri dan ibu yang solehah. Tak payah nak sakitkan kepala dok fikir pasal hal dan isu yang berlaku dalam negara. Tak payah sokong dan masuk mana-mana parti. Orang politik ni pun kadang-kadang tak boleh caya. Mereka hanya pandai cakap saja dan selalu menipu. Kata orang kalau nak jadi ahli politik mesti pandai cakap supaya orang percaya cakap kita sampai ternganga mulut dek terpegun dengan pidato yangg disampaikan. Lagi senang kita bebas dan tak terikat dengan mana-mana parti politik. Bebas. Tak perlu bersusah-payah turun berdemonstrasi dan sokong pembangkang. Kita jadi rakyat yang baik. Mana kerajaan yang perintah, maka itulah kerajaan kita. Kalau parti beruk yang perintah, itulah kerajaan kita.

Yang penting hari-hari balik dari kerja boleh tengok muka suami atau isteri dan anak-anak. Hujung minggu bawa mereka bersantai kat mana-mana. Kalau ada duit lebih, boleh tukar kereta baru, tambah bini baru ke atau apa saja yang kita impikan. Sebab semua manusia mahu hidup bahagia dan senang. Sementara masih bernyawa, kita perlu nikmati kehidupan ini dengan lebih bermakna.

Apa yang dimaksudkan tadi memang itulah yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di negara ini. Mereka tak pernah ambil tahu tentang sebarang hal dan dasar kerajaan yang memerintah. Bagi mereka, sebarang tindakan dan keputusan kerajaan itu betul dan baik untuk rakyat dan negara. Tak kiralah samada kerajaan yang memerintah itu sebuah kerajaan Islam atau sebaliknya, bersih ataupun rasuah, amanah ataupun menyeleweng... mereka tak pernah ambil kisah. Bagi mereka apa yang penting asalkan makan dan minum cukup, ada tempat berteduh dan boleh hidup gembira bersama keluarga sudah memadai.

Jika diberitahu bahawa kerajaan yang sedang memerintah itu adalah sekular, mereka sendiri pun tak tahu apa itu pemerintahan sekular. Bila diberitahu tentang rasuah dan penyelewengan, jawabnya itu tiada kena mengena dengan mereka sebab yang buat adalah orang atasan. Bukan mereka yang buat.

Akan tetapi...

Sebagai Muslim kita perlu sedar bahawa tanggungjawab kita bukan setakat pada ibubapa, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan masyarakat saja malah lebih besar daripada itu termasuklah terhadap Islam dan negara.

Kita jangan sekali-kali lupa bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W diutuskan oleh Allah sebagai Rasul adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Mukjizat teragung yang Allah kurniakan kepada Baginda S.A.W. ialah Al-Qur'an. Islam telah disempurnakan oleh Allah di tangan Baginda S.A.W. Agama yang Allah redha dan sebagai satu cara hidup yang sempurna di alam dunia ini.

Segala-galanya terkandung dalam Islam. Termasuklah cara hidup, ekonomi, kekeluargaan, hubungan masyarakat, peraturan dan undang-undang, kenegaraan, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi termasuklah politik dan pemerintahan Islam.

Bukti sahih betapa Politik itu adalah salah satu daripada ajaran Islam apabila Rasulullah sendiri merupakan seorang Perdana Menteri bagi Negara Islam Pertama Madinah. Tujuan utama Allah memerintahkan Rasulullah berhijrah ke Madinah adalah untuk menegakkan Daulah Islamiyah di sana.

Dalam Al-Qur'an sendiri ada menceritakan kenapa masyarakat Arab Mekah yang sudah memeluk Islam di zaman Rasulullah tetapi menjadi ahli Neraka. Mereka diputuskan oleh Allah sebagai ahli Neraka hanya disebabkan keengganan mereka menyertai Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah. Golongan yang enggan mengikut Rasulullah ini tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya diperintahkan oleh Allah SWT untuk membantu Baginda S.A.W mendirikan Negara Islam yang pertama di Madinah.

Keengganan mereka ini didorong oleh beberapa faktor. Antaranya ;

1- merasa malu dan terhutang budi dengan Abu Jahal dan Abu Lahab (pembesar Musyrikin Mekah) yang telah banyak menghulurkan bantuan termasuk memberi modal perniagaan dan beberapa 'projek' di Mekah.

2- sayang untuk meninggalkan perniagaan yang semakin maju, juga kekayaan yang dimiliki.

3- jarak antara Mekah dan Madinah terlampau jauh. Memakan masa yang terlalu lama untuk sampai.

4- merasakan satu kerja sia-sia jika mengikut Rasulullah berhijrah. Mereka beranggapan apa perlunya berhijrah ke tempat lain sedangkan belum pasti untung nasibnya.

Sedarkah kita selama ini adalah menjadi satu kewajipan (Fardhu 'Ain) bagi seluruh umat Islam menjadi penolong dan pendokong ke arah pembentukan sebuah Negara Islam (Daulah Islamiyah) yang berlandaskan Al-Qur'an dan Sunnah. Kewajipan ini tertakluk kepada seluruh negara umat Islam yang ada hari ini.

Janganlah kita berdolak-dalih dalam hal ini. Kita telah bersumpah dan mengakui "Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad Itu Rasul Allah", maka kita wajib kembali kepada Al-Qur'an dan Sunnah.

Dalam skop Malaysia, kita sendiri menyedari negara ini bukan diperintah secara Islam. Undang-undang yang digunapakai adalah Undang-Undang British. Bukannya Undang-Undang Islam (Al-Qur'an). Jelas bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam. Hanya negara umat Islam kerana majoriti penduduknya beragama Islam. Selama ini kita dikelirukan dengan kenyataan yang menyebut Malaysia sebuah Negara Islam.

Apa Yang Perlu Kita Lakukan Sekarang ?

Tinggalkan UMNO. Kenapa saya kata demikian ?

Sebab UMNO adalah sebuah parti berfahaman sekular yang memisahkan agama dengan politik (pemerintahan). Bukan setakat itu saja malah UMNO sendiri ditubuhkan atas dasar kebangsaan. Perjuangan atas dasar bangsa itu sendiri sudah bercanggah dengan Islam.

Fahaman sekular ini adalah ajaran Kristian. Jika penganut Kristian yang mendokong dan mempertahankan pemerintahan sebegini, ianya tidak menghairankan sebab dah memang itu ajaran agama toghut mereka.

Masalahnya sekarang apa bodohnya orang yang mengaku Islam tetapi boleh mengambil dan menerima ajaran Kristian tersebut sebagai sistem pemerintahan negara. Cuba renungkan betapa rosaknya 'Aqidah Islam orang yang memerintah negara menggunakan sistem sesat ini. Begitulah juga dengan orang yang menjadi penyokong kepada kerajaan sekular ini.

Golongan sebegini Allah sebutkan dalam Al-Qur'an sebagai golongan manusia yang beriman pada sebahagian Kitab dan kufur sebahagiannya lagi. Bahasa mudahnya Islam separuh dan kafir separuh. Secara logiknya, layakkah golongan sebegini diterima Islamnya...

Kita sendiri boleh lihat dan nilai sendiri sepanjang 51 tahun UMNO memerintah tetapi umat Islam dalam negara ini semakin jauh dengan Islam. Gejala murtad yang berlaku sudah mencecah angka melebihi suku juta orang. Maksiat dan jenayah semakin berleluasa. Golongan remaja Islam yang terlibat dengan pelbagai gejala sosial semakin hari semakin parah. Sistem ekonomi kapitalis yang ditinggalkan penjajah diamalkan sejak sekian lama. Hanya baru-baru saja Sistem Perbankan Islam dilaksanakan namun masih tidak mengikut sistem Islam yang sebenar. Hanya nampak elok pada nama saja.

Samada mahu percaya atau tidak bahawa kita semua umat Islam akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak di Akhirat sekiranya kita masih terus redha dan membiarkan kerajaan sekular UMNO ini terus memerintah negara. Yang pasti kita akan senasib dengan umat Islam Mekah yang enggan mengikut hijrah Rasulullah.

Takde faedahnya jika kita terus mempertahankan UMNO yang jelas berkiblatkan fahaman sesat. Ketepikanlah soal bangsa. Di padang Mahsyar nanti kita tak akan ditanya oleh Allah tentang apa bangsa dan keturunan kita. Allah tak pernah menyuruh Rasulullah memperjuangkan bangsanya sendiri. Allah hanya memerintahkan Rasulullah menyampaikan risalah-Nya, menyeru umat manusia mentauhidkan-Nya dan menegakkan Daulah Islamiyah (negara Islam).

Apa yang saya nukilkan ini adalah atas dasar tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Marilah kita sama-sama buka Al-Qur'an dan Hadis. Baca terjemahan dan tafsirannya. Jika masih tak faham, kita ajukan pertanyaan pada para Ustaz atau Ulama' yang haq dan jujur dengan ilmunya.

Jangan sekali-kali merujuk pada golongan Ustaz dan Ulama' pengampu yang tidak kurang ramainya dalam negara ini.

Dulu pun saya jahil tentang Politik Islam. Namun hasil dari pembacaan dan mendengar kuliah secara live maupun daripada Video CD, Alhamdulillah saya diberikan kefahaman oleh Allah. Sebab itulah saya menyertai PAS. Jika saya rakyat Palestin, tentu Hamas pilihan hati. Kalau di Mesir, sudah tentu Ikhwanul Muslimin akan saya sertai.

Seikhlasnya, jika kita masih terus setia dan menyokong UMNO sehingga ke akhir hayat, maka tempat kembali kita adalah Neraka Jahannam. Na'uzubillah...

Terpulanglah pada para pembaca untuk bermuhasabah diri. Tidak dinafikan memang sukar untuk menerima hakikat kebenaran. Apatah lagi bagi individu yang telah begitu lama menjadi ahli dan penyokong setia UMNO. Hanya golongan yang menerima petunjuk dan hidayah Allah saja akan nampak hakikat kebenaran tersebut. Namun perlu diinsafi syarat untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah itu, maka seharusnyalah kita membuka fikiran seluas-luasnya dan berlapang dada terlebih dahulu.

Dengan tertegaknya Daulah Islamiyah dalam negara ini, maka akan tersirna segala masalah yang berlaku. Allah akan memberkati dan merahmati negara kita. Janji Allah pasti berlaku.

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger