Monday, April 18, 2011

Duit kalahkan semangat mahu berubah

PR Sarawak baru saja melabuhkan tirainya dan keputusan telah diketahui umum. Sebelum ini penulis meramalkan PR mampu menguasai 30 kerusi namun berjaya di 15 kerusi saja. 12 kerusi oleh DAP dan 3 oleh PKR. Manakala PAS kalah di semua 5 kerusi yang ditandinginya. Walau banyak pihak menjangkakan anak sulung PAS bakal lahir di Beting Maro, namun masih belum diizikan oleh Allah. Kalah dengan majoriti 391 undi.

Banyak input yang penulis perolehi di sana. Juga pelbagai kelemahan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat yang perlu diperbaiki serta dikemaskinikan bagi mengoptimumkan keberkesanan kempen di saat-saat akhir sebelum hari mengundi. Dalam konteks ini, penulis akui DAP cukup bijak dan licik dalam melancarkan strategi kempen mereka serta disokong oleh sikap pengundi Cina yang bijak berpolitik.

Kekosongan Jiwa

Manakala PAS berhadapan dengan masalah menembusi 'pasaran' pengundi Melayu di Sarawak. Keadaan menjadi lebih sukar bila penulis melihat sendiri bagaimana cara hidup generasi muda dan pertengahan yang begitu jauh daripada cahaya Islam ekoran jahil agama.

Sepanjang 6 hari berada di Sadong Jaya, tiada satu pun sekolah agama yang penulis nampak. Di UPU Jemukan, hanya ada satu Madrasah yang diusahakan oleh individu tertentu. Itu pun dalam keadaan serba kekurangan.

Seperkara lagi yang amat menyedihkan bila mana arak sudah menjadi satu amalan biasa bagi generasi muda Melayu di Sarawak. Ada beberapa orang anak muda yang sempat penulis temui, begitu kuat bau arak di mulut mereka.

Senario ini membuktikan betapa kosongnya jiwa anak muda Islam di Sarawak tanpa roh Islam. PAS perlu bertindak segera bagi menangani kekosongan ini dengan kerjasama NGO Islam yang lain. Jika usaha mendidik mereka dilaksanakan secara teratur, penulis yakin dalam PR DUN akan datang, tanpa disuruh dan dirayu, pasti mereka akan bersama dengan perjuangan Islam yang suci ini.

Memang tidak dinafikan respons masyarakat Melayu terhadap PAS memang di luar jangkaan. Penulis dimaklumkan ada di kalangan pengundi di DUN Tanjung Datu bercakap "Sapa cabut bendera PAS, kamek cabut kepala dia". Ini menggambarkan masa depan PAS di bumi kenyalang amat baik sekali.

Dan ramai pengundi yang penulis temui secara informal mengakui mahu buat perubahan namun 'serangan duit' jam 2.00 pagi 16 April berjaya mengubah pendirian mereka sekelip mata. Juga pada hari mengundi. Dalam hal ini, jelas sekali faktor kemiskinan menjadi senjata utama BN di kawasan luar bandar.

Bukan sekadar pengundi Melayu, malahan masyarakat Iban turut berubah sikap di saat akhir bila 'serangan duit' melanda mereka. Percayalah, BN akan terus membiarkan masyarakat luar bandar terus hidup dalam kemiskinan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hanya dengan cara ini sajalah BN 'mengikat' mereka dalam setiap pilihanraya.

Kenyataan Media PKR

Seperkara lagi yang agak mengecewakan penulis bila mana PKR membuat kenyataan "Jika Pakatan Rakyat memerintah Sarawak, Baru Bian akan dipilih sebagai Ketua Menteri".

Kenyataan ini jelas bertujuan mahu meraih sokongan pengundi Iban di kawasan yang ditandinginya. Malangnya kegelojohan PKR ini memakan diri sendiri. Juga membelakangi semangat rakan dalam Pakatan Rakyat, khususnya PAS. Akhirnya apa yang penulis jangka berlaku. Pihak BN telah menggunakan isu ini untuk meraih kembali sokongan pengundi Islam. Dua hari sebelum pengundian, akhbar utama Sarawak memaparkan tajuk besar berbentuk risalah berlambang BN dengan ayatnya "Jika Pakatan Rakyat memerintah, pastor Kristian akan jadi Ketua Menteri".

Secara tak langsung kenyataan seumpama itu seolah-olah mahu 'membunuh' peluang PAS yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu Islam. Dan memang itulah yang berlaku bila mana di DUN Sadong Jaya, Sebuyau, Tanjung Datu dan Muara Tuang berlaku kemerosotan yang ketara pada undi PAS. Hanya di Beting Maro menunjukkan prestasi yang baik.

Bila keputusan keluar, PKR telah dimalukan oleh Allah dengan 4 orang calonnya hilang wang pertaruhan. Malah di beberapa DUN, PKR kalah dengan majoriti yang sangat besar. Penulis harap PKR seharusnya belajar jadi 'adik' yang baik pada abangnya.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger