Wednesday, January 19, 2011

Sekular : Kenyataan Zaid mengelirukan

Semasa pelancaran parti barunya KITA, Zaid secara berterus-terang mengakui parti itu berfahaman sekular. Namun penjelasan mantan pimpinan PKR itu tentang sekular jelas mengelirukan umat Islam tanahair. Jelasnya, "Orang Melayu tak faham perkataan sekular, sebab itu jadi masalah. Ada pihak putar belit perkataan itu seolah-olah sekular itu menukar agama. Maka orang Melayu takut, orang Islam takut. Perlembagaan Persekutuan menetapkan Malaysia sebagai negara sekular, berbeza dengan negara seperti Iran yang dipimpin oleh ketua agama. Kita tak mahu negara seperti itu. Kita mahu wakil rakyat yang menentukan dasar, itu makna sekular."

Sekular adalah sistem Kristian yang memisahkan agama daripada pemerintahan negara. Takkanlah seorang peguam seperti Zaid masih tidak nampak lagi betapa rosaknya negara dan masyarakat yang ada hari ini ekoran amalan sistem toghut yang diguna oleh UMNO selama ini.

Zaid seharusnya sedar mana-mana individu Muslim yang berpegang dan mempertahankan sistem sekular boleh jatuh kafir tanpa sedar. Ini bukan penulis kata tetapi fatwa Ulama' tersohor Indonesia, Almarhum Prof Dr Hamka.

Dalam menafsirkan ayat 159 (Surah Al An'am), Almarhum menegaskan "Barangsiapa yang meyakini bahawa ada sistem lain yang lebih baik daripada sistem Islam, maka kafirlah mereka walau masih bersolat."

Umat Islam tanahair tidak harus terpengaruh dengan kenyataan Zaid ini.

Sebagai Muslim, kita wajib memahami bahawa manusia sama-sekali tiada haq untuk menentukan sebarang dasar maupun membuat undang-undang di dunia ini. Tugas kita sebagai khalifah di mukabumi ini hanya mematuhi dan melaksanakan saja Perlembagaan Allah (Al-Qur'an) tanpa ragu.

Kita jangan salah faham bahawa ada perkara yang dibenarkan oleh Allah untuk kita lakukan seperti membuat draf undang-undang jalanraya namun ianya tetap tertakluk kepada prinsip Islam itu sendiri yaitu adil.

Kita ambil satu contoh dalam soal pengharaman riba'. Ini adalah hukum Qat'ie. Oleh itu tanggungjawab mana-mana pemerintah Islam ialah mematuhi saja pengharaman ini. Apa yang boleh dibuat oleh kerajaan adalah membuat draf sistem ekonomi dan perbankan Islam dengan mematuhi segala syarat dan ketetapan Allah SWT.

Jika Zaid boleh ikut Islam dalam soal nikah, sembelih ayam, faraid, zakat dan haji, kenapa dalam soal pemerintahan tak mahu ikut?

Mantan pemimpin PKR itu juga turut menuduh PAS sokong sekular kerana menyokong perlembagaan. Seharusnya Zaid tidak mengeluarkan kenyataan ini kerana beliau sendiri jahil tentang Fiqh Siasah Syari'ah (politik Islam).

Penulis ingin menjelaskan di sini bahawa PAS tidak pernah menyokong dasar Perlembagaan Persekutuan yang sekular itu. Sekadar menerima pada zahirnya saja mana-mana prinsip perlembagaan yang tidak bercanggah dengan Islam. Itu saja.

Umat Islam seharusnya ingat dan belajar daripada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang termeterai antara Rasulullah dengan wakil Musyrikin Mekah. Antara isi perjanjian tersebut ialah;

- Gencatan senjata selama 10 tahun.

- Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Mekah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.

- Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.

- Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.

- Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

- Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.

Jika diteliti syarat yang ditetapkan oleh wakil Musyrikin Mekah itu jelas berat sebelah tetapi kenapa Baginda Rasulullah menerima saja syarat tersebut?

Inilah bukti kebijaksanaan Baginda yang sentiasa dipandu oleh Allah. Baginda bersetuju menandatangani perjanjian itu kerana ada hikmah besar di sebaliknya. Antara hikmahnya ialah Syiar Islam terus berkembang pesat, kehidupan masyarakat aman dan damai, pengiktirafan terhadap Rasulullah dan negara Islam pertama Madinah, membuka jalan kepada pembebasan kota Mekah daripada Musyrikin Quraisy dan orang Islam dapat membuat hubungan dengan kabilah Arab yang lain.

Dan kesan daripada perjanjian Hudaibiyah itu, antaranya;

- Musyrikin Mekah semakin lemah

- Islam berkembang dengan meluasnya dan Madinah semakin maju

- Orang Yahudi yang khianat diusir dari Madinah

- Rasulullah mengajar umatnya bagaimana untuk membuat perjanjian dengan kaum kafir

- Corak politik Rasulullah yang lebih menjurus kepada pemerhatian dan pemikiran

Salam4all

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger