Sunday, January 2, 2011

Jeffrey Kitingan keluar PKR Khamis ini

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Bekas naib presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bulan lalu mengumumkan pembentukan satu pergerakan dikenali Barisan Bersatu Borneo (UBF) telah memutuskan untuk keluar parti itu.

Beliau akan membuat pengumuman rasmi bersama sekumpulan pengikutnya pada satu sidang media di Kota Kinabalu, Khamis ini.

“Ya (saya akan keluar). Apabila saya memutuskan untuk keluar parti, saya akan membuat pengumuman rasmi... sidang akhbar Khamis, ramai lagi (akan keluar),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Kitingan tidak menyebut bilangan dan siapa yang akan mengikut beliau.

“Ada banyak perkara yang hendak diumumkan pada Khamis ini,” kata beliau ringkas.

Beliau tidak bertanding pada pemilihan pusat PKR yang baru berlalu.

Sumber mengatakan beliau sudah pun memaklumkan presiden dan setiausaha agung PKR mengenai keputusannya.

Pertengahan bulan lalu beliau mengumumkan penubuhan UBF sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Katanya, agenda UBF termasuk mendapatkan kesamarataan dalam formula perkongsian dan perwakilan di peringkat persekutuan.

Dalam pada itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi berkata beliau menerima apa-apa maklumat mengenai keputusan pemimpin Sabah itu.

“Saya tidak dengar apa-apa lagi, saya tidak terima apa-apa lagi,” kata beliau lagi.

- themalaysianinsider

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger