Sunday, November 8, 2009

Seminar PAS - Kapten dan Kapalnya...

Sebagai umat Islam yang mendokong perjuangan Islam pastinya sayangkan PAS. Dan kita tidak pernah diajar taksub dengan mana-mana pemimpin. Apa yang penting kapal yang bernama PAS mesti dipelihara dan diservis bagi memastikan keadaannya sentiasa pada tahap optimum. Selain keadaan kapal yang baik, kapten yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudikan kapal tersebut juga mestilah yang terbaik, berpengalaman dan mampu membuat keputusan pantas dan tegas bila menghadapi suasana yang tidak dijangka di tengah lautan luas.

Sudah pastinya 2 faktor ini saling perlu memerlukan. Kapal yang sempurna dan kapten yang terbaik. Takde gunanya jika kapal saja yang elok tapi kaptennya tidak cekap. Sudah tentu pelayarannya akan bersimpang-siur sebelum sampai ke destinasi. Begitu jugalah keadaannya jika kaptennya bagus tapi kapalnya bermasalah. Yang lebih haru-biru bila kapal pun cokia dan kaptennya pula tidak cekap. Sudah tentu akan tenggelam di tengah lautan bila dilanda ribut dan gelombang besar.

Samada kita suka ataupun tidak, kita kena akuilah bahawa kualiti PAS masih di tahap medium. Adalah tidak keterlaluan jika boleh disebut di sini jika tanpa isu Pemecatan Anwar Ibrahim dan Gelombang Reformasi dalam tahun 1998, jangan diharaplah bilangan ahli PAS akan mencecah 1 juta sebagaimana hari ini. Walaupun sebagai ahli PAS tetapi kita tidak boleh jadi manusia hipokrit dalam konteks ini.

Memang kita akui segala yang berlaku dalam tahun 1998 itu adalah bonus daripada Allah. Allah SWT mengurniakan pertolonganNya kepada PAS dengan mentakdirkan Anwar difitnah, diaib dan dipecat daripada Kebinet. Dengan gelombang sebesar itu serta kebijaksanaan Almarhum Ustaz Fadhil melancarkan Gerak pada ketika itu serta mendapat sokongan padu dari DAP, PRM, Gerakan Reformasi dan NGO. Hasilnya dalam PRU10 PAS meningkatkan penguasaan kerusi DUN Kelantan dan merampas Terengganu. Begitu juga di Parlimen, PAS menguasai lebih 20 kerusi dan Almarhum dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Ini antara rentetan sejarah kecemerlangan PAS dalam persada politik tanahair. Pada ketika itu Almarhum Ustaz Fadhil dilihat berjaya membawa PAS ke mercu tandanya. Bukan setakat itu saja malah beliau amat dihormati oleh pihak rakan maupun lawan. Hubungan PAS, DAP dan PRM ketika itu juga amat erat. Kemampuan Almarhum membaca rentak politik serta berkebolehan membuat keputusan pantas dalam suasana kegawatan politik negara ekoran isu pemecatan Anwar telah membuahkan hasil dan berjaya meletakkan PAS sebagai salah sebuah parti politik yang berpengaruh sehingga ke hari ini.

Terkilan juga di hati kecil ini bila melihat PAS gagal meneruskan benih kecemerlangan yang ditanam oleh Almarhum. Sepatutnya PAS sudah mengorak langkah lebih jauh lagi mendahului rakan pembangkang yang lain dalam mendepani isu dalam negara dan antarabangsa. Adalah amat malang sekali mutakhir ini bila masyarakat melihat PAS seolah-olah hilang tumpuan dan halatuju bila timbulnya idea Unity Government sejak zaman PM Pak Lah.

Persoalannya sekarang adalah penilaian rakyat terhadap PAS. Disebabkan idea UG yang mengarut ni, tak pasal-pasal PAS semakin hilang taringnya. Bukan kerana kapal yang tak bagus tetapi berpunca daripada kaptennya yang tidak cekap. Oleh kerana kaptennya tak cekap, maka secara tak langsung pelayaran menjadi simpang-siur sebelum sampai ke pelabuhan yang dituju. Nasib baiklah ada laksamana armada yang nampak kelemahan kaptennya dan serta merta bertindak memperbetulkan haluan kapal tadi. Kalau tak sudah tentu lambat sampai ke destinasi, membuang masa dan mengalami kerugian kos.

Jam 6 petang tadi baru saja selesai Seminar Politik PAS di Dewan Fadhil Noor Taman Melewar. Dua orang ahli panel luar dijemput bagi mengulas senario yang melanda PAS. Dr Aziz Bari dan Dr Abu Hasan.

Agak sedikit terkejut bila dua tiga kerat pimpinan PAS yang berucap mencabar Dr Aziz Bari agar membuktikan segala tuduhan dan ulasannya yang agak pedas menghentam Presiden PAS. Ada juga yang mecabar Dr Aziz supaya berhenti dari tugas pensyarah dan terjun dalam politik. Saya melihat sikap dan tindakan dua tiga kerat pimpinan PAS ini adalah tidak wajar dalam seminar seperti ini. Janganlah taksub dengan Hj Hadi. Kalau ya pun nak "bodek" Presiden carilah lain hari. Bukan dalam seminar macam ni. Akhirnya tindakan itu mendedahkan tentang sikap primitif kamu sendiri sebagaimana yang disebut oleh Dr Abu Hassan.

Seminar ini diadakan bukan untuk membela Presiden tetapi bagi membuka minda peserta agar lebih bijak dan matang dalam dunia politik di era teknologi maklumat tanpa sempadan ini. Inilah contoh sikap beberapa kerat pemimpin PAS yang taksub tak tentu pasal. Sedangkan Dr Aziz Bari bukannya menyerang peribadi Hj Hadi sebagai seorang Ulama'. Apa yang dikritik hanyalah berkenaan tindakan dan keputusan politik yang dibuat oleh seorang Presiden parti. Takkanlah tak tahu nak bezakan yang mana satu serangan peribadi dan yang mana pula kritikan terhadap tindakan dan tanggungjawab presiden parti. Tak sangka rupanya masih ada lagi spesis yang berfikiran sempit dalam PAS ni. Ingatkan semuanya dah cerdik dan berpandangan jauh...

Salah satu faktor sokongan terhadap PAS masih statik bila PAS masih gagal dalam menampilkan dirinya sebagai sebuah jemaah Islam yang syumul. Sedangkan jika PAS bijak menggunakan uslub dakwahnya, sudah tentu majoriti umat Islam dan bukan Islam menjadi penyokongnya sejak dari dulu. Tak perlulah saya huraikan secara terperinci di sini. Biarlah pimpinan PAS yang bijak memikirkannya. Kita orang bawah-bawah tak payah dok pecahkan kepala pasal ini. Tugas kita adalah mendekati masyarakat dan menceritakan Islam pada mereka. Buat apa yang termampu oleh kita dalam nak mempromosikan Islam yang syumul ini.

Memasyarakatkan PAS merupakan satu wasiat Almarhum Ustaz Fadhil yang masih gagal dilaksanakan sehingga hari ini. Susah sangat ke nak memasyarakatkan PAS ni.

Katakanlah kita nak tarik kumpulan bermotor besar agar menyokong kita. Kita sendiri tahu individu yang menyertai "Persatuan Motorbike" ni terdiri dari golongan korporat, teknokrat dan profesional. Bukan cokia punya kaki. Takkanlah kita nak hantar orang macam Ustaz Abu Bakar Chik atau Tuan Ibrahim pergi jumpa dan join group macam ni. Sebenarnya tanpa kita ketahui ada di kalangan ahli PAS yang memiliki motor berkuasa besar dan menjadi ahli persatuan ini. Malangnya PAS tidak tahu menggunakan peluang yang ada untuk mendekati mereka. Bagaimana caranya, itu kena fikirlah sendiri...

Begitu juga dengan golongan surirumah sepenuh masa. Sudah tentu muslimat PAS lebih tahu bagaimana caranya untuk mendekati mereka. Contohnya jika ada maklumat yang memberitahu terdapat surirumah menghadapi masalah kewangan kerana pendapatan suami tidak mencukupi. Dalam hal ini takkanlah Naib Presiden Salahuddin Ayub pula mengarahkan isterinya pergi menziarah. Sudah tentulah di kalangan Muslimat PAS yang berjaya dalam perniagaan diarahkan agar pergi menziarahinya dan memberikan peluang dan jalan kepadanya untuk mencari pendapatan tetap bagi membantu suami. Bukan setakat datang dan beri bantuan, lepas tu tinggal...

Kelemahan yang ketara pada PAS sehingga ke hari ini apabila terlampau lebih berpolitik sehingga kerja-kerja lain diabaikan. Sedangkan Islam itu meliputi seluruh aspek kehidupan insan. Kita boleh lihat sendiri gelagat pimpinan PAS di semua peringkat. Bila mereka duduk bersama, ceritanya takde lain. Politik, politik, politik...

Masing-masing nak tunjuk teror dalam berhujah politik. Lepas tu dok bincang pasal jawatan masing-masing, dok kata sana dan sini. Bila sampai waktu pilihanraya dok kelam-kabut macam tulah juga. Lepas kalah, buat post-mortem. Sejak dari dulu lagi tak habis-habis post-mortem tapi dok lagu tu juga dan undi PAS masih tak berubah malah ada yang merosot. Kemudian PAS Pusat buat macam-macam seminar. Habis seminar, baliklah peserta ke kawasan masing-masing dengan fail dan semangat baru. Lepas tu sambung seminar di peringkat negeri dan kawasan. Beribu ringgit habis terbang begitu saja buat seminar sana-sini. Hasilnya kosong.

Bila bubar saja Parlimen, maka sibuklah jentera PAS buat kerja. Masa itulah nak hantar bantuan ke rumah-rumah pengundi. Masa itulah juga nak sebar risalah. Masa itulah nak perkenalkan calon yang memang tak dikenali oleh masyarakat. Masa itulah nak buat culaan dan analisa. Yang lucunya culaan dibuat secara sembrono. Apa tak sembrononya jika ahli PAS yang ditugaskan sebagai jurupandu tak campur dengan masyarakat kampung sendiri. Lastnya, main cula dari jauh saja pakai "ilmu ghaib". Pasal maklumat isi rumah tak usah ditanya. Memang takde.

Senario ini perlu diubah. Jika tidak sampai bila pun PAS akan gagal dalam visi dan misinya.

Satu lagi kelemahan ketara PAS ialah parti miskin walaupun ramai di kalangan ahlinya yang berduit. Malah ada di kalangan ahli PAS biasa yang mampu pakai Mercedes Benz model terbaru S-Class 320. Bukan alang-alang beb.

PAS perlu memikirkan mekanisma yang terbaik bagaimana nak mobilize seluruh ahlinya agar terus-menerus menghulurkan sumbangan wang setiap bulan. Sebenarnya ramai di kalangan mereka mahu menghulurkan derma jihad secara tetap tetapi tidak tahu bagaimana cara nak menyalurkannya sebab kebanyakannya bertugas di luar kawasan atau di negeri lain.

Fikirkanlah... Saya hanya sayangkan PAS dan mahu melihatnya menjadi parti/jamaah pilihan rakyat. Saya cukup optimis jika PAS mampu mengatasi segala kelemahan yang ada, Insya'Allah kemenangan sedang menanti di hadapan.

Seperkara lagi sebagai renungan bersama ialah tidak semestinya "orang lama PAS" itu saja yang layak dipilih jadi pemimpin. Dan jangan sekali-kali diperkecilkan kemampuan muka-muka baru... Kadang-kadang yang disangka "baru setahun jagung" dalam politik rupa-rupanya "permata Islam" yang dinanti...

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger