Tuesday, November 24, 2009

Nik Aziz dan Husam Sasaran Utama UMNO

Dalam politik ni memang kita kena berhati-hati dalam setiap tindakan, juga dalam membuat sebarang keputusan. Walaupun pada dasarnya suatu tindakan dan keputusan itu tidak menjadi kesalahan atau berdosa namun perlu juga diambil kira di sudut kemaslahatan lain termasuk politik dan pandangan masyarakat umum.

Sejarah Perjanjian Hudaibiyah membuktikan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. dari sudut kemaslahatan politik apabila baginda bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembesar musyrikin Mekah walaupun syarat tersebut jelas tidak adil dan berat sebelah sehingga Saiyidina Omar sendiri menegur Baginda. Tindakan Rasulullah itu atas panduan Allah. Hikmah dari perjanjian ini, pada tahun berikutnya Rasulullah dan rombongannya dari Madinah berjaya masuk ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pertama.

Ada satu lagi kisah menceritakan bagaimana bijaknya seorang wanita solehah yang dah bersuami apabila berhadapan dengan seorang pemuda yang 'gila seks'. Pada satu hari pemuda tersebut pergi menemuinya dan menyatakan keinginan untuk melakukan seks bersama. Wanita bijak ini tidak terus menolak permintaan pemuda ini tetapi meletakkan syarat yang mesti dipenuhi. Syaratnya pemuda tersebut mestilah pergi menunaikan solat Subuh berjamaah di mesjid selama 40 hari berturut-turut. Kata wanita itu "Jika kau dapat menunaikan syarat ini, aku berjanji akan menunaikan keinginan mu." Lalu pemuda itu beredar dengan penuh semangat untuk melaksanakan syarat tersebut. Selepas 40 hari, pemuda itu kembali semula. Wanita itu bertanya "Sudahkah kau menunaikan syarat itu". Jawabnya "Ya". Balasnya "Sekarang giliran aku pula untuk menunaikan hajat kamu". Namun serta-merta pemuda itu menjawab "Tidak sama-sekali. Maafkan aku kerana berlaku biadap terhadap kau sebelum ini. Aku benar-benar insaf dah bertaubat di atas segala perbuatan buruk selama ini. Syukur kepada Allah kerana mempertemukan aku dengan seorang wanita yang baik dan bijak seperti kau."

Jelas kepada kita ekoran kebijaksanaan dan pandangan jauh wanita ini telah berjaya mengubah corak hidup seorang pemuda sehingga menjadi seorang yang beriman. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya wanita itu bersikap tegas dan memarahi serta menghina pemuda tersebut ekoran perangai jeleknya.

Begitulah juga halnya dalam politik. Perlu bijak dan berpandangan jauh.....

Mutakhir ini kita dikejutkan pula dengan isu yang dikira boleh menggugat kestabilan dan keharmonian Kerajaan Kelantan. Isu pemecatan Syed Azidi dari PMBK benar-benar mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi umum. Tindakan pemecatan ini sebenarnya dilihat tak wajar dari sudut politiknya walau ianya mungkin perlu di segi pengurusan PMBK. Masalah ini sebenarnya tidak timbul sekiranya CEO PMBK itu bukan menantu Nik Aziz.

Apa yang jelas umum akan menoleh kepada Nik Aziz bila Syed Azidi dibuang dari PMBK. Walau kuasa memecat ini di bawah bidang kuasa CEO namun umum lebih tertumpu kepada MB sebab nama PMBK itu sendiri dah jelas Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Tanda-tanya pasti bermain di kepala rakyat Kelantan apakah sudah ada jurang antara Nik Aziz dan 'anak emasnya' Husam Musa ekoran pemecatan sahabat karibnya. Tanda-tanya yang bermain di benak fikiran rakyat Kelantan khususnya dan negara umumnya semakin terjawab bila Husam sendiri mengakui memang wujud kospirasi politik untuk menggugurkannya dari Kabinet Kelantan.

Memang kita sayangkan Kelantan di bawah pemerintahan PAS. Sebab itu wajar kita merasa bimbang dan sedih dengan apa yang berlaku mutakhir ini. Saya sendiri memang kurang setuju dengan keputusan yang diambil oleh MB TGNA sewaktu melantik menantunya sebagai CEO PMBK. Walaupun keputusan MB itu tidak salah di sudut peraturan maupun Hukum Syara' namun di sudut politiknya keputusan melantik menantu sendiri dilihat kurang tepat. Ianya membuka ruang kepada pihak musuh untuk melakukan serangan bila ada ruang dan peluang. Akhirnya terjadilah sebagaimana sekarang.

UMNO tahu dan sedar sejak dulu lagi untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan adalah sukar selagi Nik Aziz masih MB. Justeru itu Nik Aziz perlu dijatuhkan terlebih dahulu. Salah satu caranya dengan menggunakan orang yang paling dekat dengannya. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu saja. Sebab itu UMNO menggunakan SPRM untuk menyiasat dan menekan PMBK yang diketuai oleh menantu TGNA. Memang mereka tidak akan menyerang Nik Aziz kerana pengaruhnya sangat besar di Kelantan. Bukan setakat Nik Aziz saja menjadi sasaran mereka malah Husam juga perlu dijatuhkan sebelum PRU13.

Adalah dipercayai ramai di kalangan Exco Kelantan yang cemburu dan irihati dengan kredibiliti dan kemampuan Husam sebagai Exco kanan. Jika dilihat serangan dan fitnah yang ditujukan kepadanya sebelum menjelang Pemilihan PAS di Muktamar Ke 52 lalu jelas menggambarkan betapa ramai musuh politiknya dalam PAS Kelantan sendiri. Mugkin faktor kewibawaannya sebagai seorang ahli politik, ekonomi dan pentadbir yang bijak dan berpengetahuan tinggi menjadikan dirinya dibenci dan dicemburui oleh rakan sendiri. Dan dia sendiri pernah mendapat anugerah sebagai Ahli Parlimen Terbaik Negara-Negara Komanwel ekoran kemampuan beliau berhujah berserta dengan fakta dan bukti sahih. Sepanjang kariernya sebagai MP Kubang Kerian, kehadirannya di Parlimen pasti akan menimbulkan keresahan para Menteri dan MP BN. Kemampuan beliau menjalankan tugas sebagai Pengerusi Ekonomi, Perancang dan Pembangunan Negeri Kelantan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Dan memang dia layak berada di situ kerana memang itu bidang dan kepakarannya.

Kita semua tahu kebanyakan anggota Exco kerajaan Kelantan hari ini dalam lingkungan umur 40 - 50 tahun. Dalam usia sebegini sudah tentu nafsunya agak besar. Masing-masing mahu menonjolkan diri. Bila populariti mereka ditenggelami oleh kredibiliti dan kecemerlangan Husam, sudah tentu perasaan iri hati dan dengki menguasai jiwa. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan sebab Husam bukan setakat dikenali oleh rakyat Kelantan malah di seluruh negara maupun di peringkat antarabangsa.

Adakah Ariffahmi juga turut berada dalam "Kem Anti-Husam" di Kelantan ? Ianya tidak mustahil. Sebagai CEO yang bertanggungjawab penuh terhadap PMBK serta terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan kerajaan negeri sudah tentu merasa kurang selesa bila ada orang yang lebih berwibawa mengawasinya. Sudah tentu segala cadangan dan perancangan PMBK akan di bawa ke Mesyuarat Exco dan orang yang ada authority sebagai penilai utama adalah Husam sendiri.

Manakala Syed Azili yang terus-menerus 'menyerang' dilihat sebagai satu tindakan 'counter attack' ekoran rasa tidak puashatinya terhadap pentadbiran dan pengurusan PMBK sejak hari pertama dia dipecat dari badan itu. Juga beberapa kenyataannya pada media menggambarkan betapa kecewanya dia dengan senario yang berlaku dalam PMBK dan juga Kerajaan Negeri. Antara yang disebutnya ialah Husam tidak sepatutnya berada dalam PAS. Husam patut tinggalkan PAS. Hanya tinggal dua tiga orang di Kelantan yang membela golongan miskin termasuk Husam sendiri manakala yang lainnya sibuk dengan projek 'orang kaya'.

Timbul juga tanda-tanya apakah rasionalnya tindakan Syed ni ? Apakah dia merasa kecewa atas pemecatannya ATAU rasa sedih dengan apa yang berlaku kerana sayangkan kerajaan negeri ATAU kerana membela sahabat karibnya Husam ATAU dia sendiri telah diperalatkan UMNO ?

Waima apa pun hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Semuga Allah melindungi dan memelihara Kerajaan Islam Kelantan.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger