Wednesday, May 6, 2009

Sejarah PAS Hingga Tahun 1960

Penyebaran agama Islam di Tanah Melayu dikatakan telah bermula sejak abad ke-9 sama ada menerusi Sumatera atau secara langsung daripada pedagang-pedagang Arab iaitu beberapa abad sebelum kelahiran kerajaan Melayu Melaka seperti di Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Hal ini dibuktikan melalui penemuan artifak seperti batu bersurat, batu nisan, catatan pengembara China, Arab dan Portugis. Penemuan batu bersurat yang ditemui di Teresat, Kuala Berang bertarikh 1303 menunjukkan bahawa sekitar akhir abad ke- 13 dan ke-14 telah wujud sebuah kerajaan Islam di Kuala Berang dan penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu. Berdasarkan bukti-bukti yang ditemui telah dibuat kesimpulan bahawa masyarakat di Tanah Melayu telah memeluk agama Islam sejak abad ke-9 iaitu beberapa abad sebelum kemunculan Kerajaan Melaka. Kemunculan kerajaan Melayu Melaka dengan kuasa pemerintah Islam telah menjadikan Islam bertapak kukuh di seluruh Tanah Melayu melalui kegiatan dakwah yang tersebarkan di Tanah Melayu. Berdasarkan perkembangan Islam yang berlaku sejak abad ke-14 dan 15, kedudukan agama Islam terus berteguh dan menjadi semakin penting pada abad ke-19. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi setelah negara mencapai kemerdekaan dan agama Islam menjadi agama rasmi negara Malaysia seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Di sebabkan kepentingan agama Islam dalam masyarakat Melayu timbullah kesedaran untuk meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat,malah membawa kepada tertubuhnya sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaya atau PAS.

Perkembangan Islam di Tanah Melayu pada abad ke-20 telah memperlihatkan pelbagai bentuk perjuangan untuk memartabatkan agama Islam sebagai panduan dalam kehidupan masyarakat. Penjajahan British pada abad ke-19 telah menyebabkan agama Islam menjadi antara sumber penggerak untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Hal ini dapat diperhatikan apabila semangat nasionalisme di Tanah Melayu pada peringkat awalnya lebih dipengaruhi oleh semangat yang bertiup dari Timur Tengah seperti Mesir. Di atas kesedaran untuk mencapai kemerdekaan daripada pihak British telah muncul beberapa parti politik yang bermatlamat untuk menuntut kemerdekaan. Antaranya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO pada 1946 dan kira-kira lima tahun selepas itu muncul pula sebuah parti yang lebih bercorak keagamaan iaitu Parti Islam Se-Malaya. Sejarah penubuhan PAS adalah salah satu daripada rentetan perjuangan golongan ulama untuk memperjuangkan agama Islam di Tanah Melayu pada tahun 1950-an. PAS telah dirasmikan penubuhannya pada 24 November 1951 dalam satu perhimpunan ‘alim-‘ulama, badan-badan dan pertubuhan Islam yang diadakan di pekarangan Kelab Melayu Bagan di Butterworth, Pulau Pinang. Malah idea dan inisiatif penubuhan PAS juga diambil dalam perhimpunan alim-ulama kali kedua tajaan UMNO yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951.

Penubuhan awal parti ini mempunyai kaitan dengan UMNO dan juga Hizbul Muslimin. PAS kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 di Pulau Pinang. Penubuhan PAS pada peringkat awal turut dikaitkan dengan Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin adalah sebuah parti yang diasaskan pada 14 Mac 1945 dan penubuhannya dicadangkan oleh Dr Burhanuddin al-Helmi. Pengasas Hizbul Muslimin ialah Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan beberapa orang tokoh lain. Prinsip perjuangan parti ini adalah untuk menegakkan agama Islam. Hal ini disebabkan Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan sebuah negara lslam atau Darul lslam. Walaubagaimanapun parti Hizbul Muslimin ini telah diharamkan oleh British dan pada bulan Ogos 1948. Manakala tujuh pemimpin parti termasuk presiden parti dan ahli-ahli eksekutifnya telah ditahan di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulation. Walaupun parti Hizbul Muslimin telah diharamkan tetapi parti ini dianggap sebagai permulaan kepada penubuhan parti politik Islam. Jika dilihat daripada perkembangan yang berlaku Hizbul Muslimin ini memainkan peranan penting dalam merintis jalan ke arah penubuhan PAS pada peringkat awalnya.

Walaubagaimanapun, setelah tertubuhnya UMNO pada tahun 1948, perkembangan PAS dilihat lebih bermula daripada parti UMNO. Sebagai sebuah parti politik yang ditubuhkan oleh orang-orang Melayu, UMNO dilihat berminat dengan hal-hal agama Islam, malah UMNO juga telah menubuhkan Jabatan Agama Islam dalam partinya. Namun begitu, pemimpin-pemimpin UMNO mendapati sokongan daripada pemimpin Islam masih kurang memuaskan terutamanya daripada golongan alim-ulama. Persidangan alim-ulama' yang pertama telah diadakan di Bandar Maharani Muar pada 21-22 Februari 1950. Perhimpunan alim-ulama kali kedua yang ditaja oleh UMNO pula telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Dalam kedua-dua perhimpunan ini telah membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam dan kebajikan umat Islam,terutamanya yang menyentuh tentang soal penyatuan pentadbiran Islam dan untuk menyeragamkannya di seluruh Tanah Melayu. Berdasarkan hal ini dapat dilihat bahawa UMNO telah menyedari pentingnya peranan golongan ulama dalam usaha untuk mengaitkan Islam dan dijadikan sebagai dasar atau strategi mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Dalam persidangan alim-ulama yang berlangsung pada 23 Ogos 1951 itu, telah diluluskan dua ketetapan iaitu untuk menubuhkan Badan Tertinggi Agama Islam peringkat kebangsaan dan yang kedua pembentukan sebuah Persatuan alim-ulama dengan nama Persatuan ulama se-Malaya yang bergerak secara bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang pertubuhan lain.

Persatuan alim-ulama ini kemudiannya telah membentuk sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Haji Ahmad Fuad Hassan yang tugas utamanya ialah merangka perlembagaan persatuan. Anggota-anggota yang lain terdiri daripada Haji Ayub dari Perak, S.Mohd Hafiz dari Kuala Lumpur, Encik Saadon Zubir dan Haji Mohd Amin. Namun begitu, tujuan persidangan yang asal iaitu hanya untuk menubuhkan persatuan alim-ulama telah berubah ke arah pembentukan sebuah parti politik yang membentuk identitinya yang tersendiri dalam arena pilitik di tanah air. Sewaktu diadakan perbincangan untuk meluluskan undang-undang tubuh persatuan ini. Encik Mohd Ma’som mewakili Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth, telah mencadangkan nama Persatuan Islam Se- Malaya dan nama ini telah diterima dan menjadi nama bagi penubuhan tersebut.

Pada awalnya parti ini tidaklah begitu kuat. Dalam tahun 1953 satu perubahan yang agak penting mula berlaku. Manakala dalam tahun 1954 perlembagaan parti telah dipinda dalam Perhimpunan Agungnya. Dalam perlembagaan yang baru telah memutuskan bahawa matlamat utamanya ialah untuk mencapai kemerdekaan dan ini diikuti dengan usaha untuk menjadikan agama Islam sebagai asas kepada masyarakat dan kerajaan. Ramai juga bekas ahli parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang menganggotai PAS.

Peringkat awal penubuhan PAS ini dikaitkan dengan beberapa perkara yang berlaku dalam UMNO sendiri seperti keinginan pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperolehi sokongan dan menarik penyertaan lebih ramai orang-orang Melayu untuk menyertai UMNO. UMNO berhasrat untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang Melayu di kampung atau luar bandar melalui golongan ulama dalam melaksanakan tindakan-tindakan politik mereka. Hal ini disebabkan UMNO menyedari golongan alim-ulama ini mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang-orang Melayu di kampung-kampung dan luar bandar. Malah pada masa itu juga sudah terdapat keretakan atau perselisihan antara pemimpin-pemimpin UMNO iaitu yang menyokong Dato Onn dan menentangnya kerana dasar beliau untuk membawa penyertaan orang-orang bukan Melayu. Keretakan dan perselisihan yang berlaku turut menimbulkan pergolakkan di kalangan alim-ulama dalam yang ada dalam UMNO, sekalipun tidak dinyatakan secara terang-terangan. Ada yang secara terbuka menyokong Dato Onn seperti Haji Ahmad Fuad dan ada juga yang mula mempersoalkan tindak-tanduknya, malahan ada daripada golongan alim-ulama yang mula memikirkan untuk memilih jalan sendiri dalam menyatukan masa depan ummah dan agama di Tanah Melayu. Di samping itu, penubuhan PAS pada peringkat awalnya juga dipengaruhi oleh matlamat parti Hizbul Muslimin iaitu membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan sebuah negara lslam.Walaupun Hizbul Muslimin telah diharamkan oleh British dan ramai pemimpin-pemimpin yang ditahan oleh pihak British,namun keinginan untuk menubuhkan sebuah parti politik Islam sebagai semakin jelas ternampak di kalangan tokoh-tokoh agama, malah kebanyakkan ahli-ahli parti Hizbul Muslimin telah menyertai PAS. Tujuan awal penubuhan juga adalah sebagai satu pertubuhan kebajikan dan diharap dapat memberi nasihat kepada pemimpin UMNO daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar batas susila dan adab-adab dalam Islam seperti penganjuran loteri,mengadakan ‘fun fair’ dan sebagainya yang bertentangan dengan Islam.

Berdasarkan situasi yang berlaku sehingga membawa kepada pembentukan PAS, dapat dilihat beberapa perkara yang telah menjurus kepada penubuhan parti ini. Antaranya ialah PAS diasaskan pada mulanya hasil daripada tajaan UMNO untuk menarik orang Melayu menyertai UMNO. Beberapa masalah yang timbul membawa kepada sebuah penubuhan yang bebas dan tidak terikat lagi kepada UMNO. Akhirnya sebuah parti baru telah ditubuhkan dan menjadi sebuah parti yang mempunyai pengaruh yang dalam usaha menegakkan agama Islam di Tanah Melayu.

PAS sebagai sebuah parti politik turut mempunyai ideologinya yang tersendiri dalam menentukan matlamat perjuangannya. Maurice Duvenger menyatakan idealogi sebagai sistem idea, pendapat dan keyakinan. Malah idealogi yang dibawa oleh PAS dikatakan mempunyai pengaruh dari luar seperti Indonesia. PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebagai ideologi politiknya. PAS menjadikan falsafah politik Islam sebagai ideologi dalam parti. Malah PAS juga mempunyai matlamat untuk mencapai dan memperjuangkan pembinaan atau pembentukan sebuah negara Islam. Hal ini dapat dilihat daripada hasrat penubuhan parti PAS iaitu untuk mewujudkan sebuah negara Islam dan menjadikan pentadbiran Tanah Melayu berasaskan agama Islam. Perkara ini tidak hanya menjadi matlamat parti PAS sahaja tetapi juga turut menjadi matlamat parti Islam seperti Hizbul Muslimin dan PAS boleh juga dilihat sebagai kesinambungan kepada matlamat parti Islam yang terdahulu.

Sebagai sebuah parti politik, PAS juga mempunyai perlembagaannya yang tersendiri. Mengikut perlembagaan PAS , Islam adalah dasar perjuangan parti seperti yang tercatat dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Fasal 5 (ceraian 1) menggariskan tujuan penubuhan PAS untuk memperjuangkan wujudan sebuah masyarakat dan melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya untuk mendapatkan keredaan Allah. Dalam Fasal 6 (ceraian 2) menyatakan usaha-usaha PAS memperjuangan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai Islam di segenap bidang. Manakala dalam Fasal 17 pula menerangkan bahawa hukumdan kekuasaan tertinggi dalam parti berdasarkan Al-Quran dan Sunah Nabi Muhammad s.a.w serta ijmak ulama dan qias yang terang dan nyata dengan tertakluk kepada hukum tertinggi itu, dan kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan. Dalam perlembagaan PAS yang pertama ianya turut menerangkan tentang cara pentadbiran parti yang merangkumi keahlian dalam parti, perlantikan jawatankuasa dan peranan-peranan jawatankuasa sehinggalah penciptaan sebuah bendera parti. Berdasarkan daripada perlembagaan ini PAS dengan jelas ingin mendaulatkan Islam sebagai teras kepada pentadbiran dan pembentukan sebuah negara Islam.

Berdasarkan perlembagaan PAS yang telah dibentuk itu, dapat dilihat bahawa matlamat perjuangan PAS adalah untuk menegakkan negara Islam. Dalam hal ini Shafie Ibrahim berpendapat PAS boleh dikatakan sebagai sebuah parti agama kerana perjuangannya yang ingin mendaulatkan Islam. Jika Islam ditaksirkan seperti yang ditafsir oleh PAS, maka ia adalah lebih daripada sebuah parti agama. Menurutnya lagi: Islam sebagai ideologi partinya, maka ia mempunyai tafsiran yang tersendiri mengenai istilah agama. Parti ini melihat Islam secara keseluruhan dan ini bermakna PAS percaya dengan semua ajaran Islam dan menerimanya sebagai ideologi yang lengkap. Ia tidak hanya percaya kepada sebahagian sahaja tetapi kepada keseluruhannya iaitu semua aspek ajaran Islam seperti politik, ekonomi, nilai sosial dan lain-lain. Dalam merangka falsafah perjuangan dan ideologinya PAS, dikatakan menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai rujukannya. Dalam memperkatakan falsafah perjuangan PAS ini, Alias Mohammad mengatakan : Oleh kerana sikap dan orentalis keagamaannya bercorak Islam,struktur parti dan Islam dirangka sebegitu rupa sehingga ia menyerupai suatu sistem di mana nilai-nilai keagamaan (Islam) seolah-olah menjadi teras dalam prinsip perjuangannya. Malah untuk memperkuatkan kedudukan dan identitinya sebagai sebuah parti politik yang berteraskan keistimewaan satu bahagian yang dikenali dengan nama Dewan Ulama diwujudkan dalam struktur parti tersebut. Menurut John Funston: PAS dalam perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, ia dianggap oleh semua penulis sebagai sebuah parti yang mempunyai ideologi yang jelas. PAS mewarisi dasar-dasarnya daripada tiga tradisi ideologi: pendekatan PKMM yang bercorak nasionalis dan sosialis,gerakan modenisme Islam daripada Hizbul Muslimin dan yang lebih kuat lagi gerakan anti-UMNO pada tahun 1950-an…PAS perlu berkompromi ketulenan ideologinya dengan kehendak-kehendak pemerintah. Dengan itu, tanggungjawab PAS yang utama ialah bangsa Melayu, sebuah negara Islam, ekonomi, sosial Islam dan anti-penjajahan. Tetapi berbeza dengan pendapat umum, ideologi PAS juga mempunyai aspek-aspek praktikal seperti dalam pendekatannya di bidang Islam dan ekonomi yang dijelaskan secara menyeluruh dan sistematik.

Di sebalik matlamat perjuangan PAS ini kemunculan tokoh-tokoh yang berkaliber dalam menentukan hala tuju parti PAS dan perkembangan parti PAS sehingga PAS berjaya mengekalkan pengaruhnya dalam politik negara. Tokoh-tokoh parti seperti Dato Mohammad Asri Bin Haji Muda, Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Zulkiflee bin Mohammad dan Dr. Burhanuddin Al- Helmi. Tokoh yang paling menyerlah dalam kepimpinan parti ialah Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan mempunyai wawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan parti. Keanggotaan Dr. Burhanuddin dalam PAS merupakan satu tahap penglibatan politik beliau yang sangat penting selepas PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak. Dr. Burhanuddin al-Helmi ialah seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris di samping bahasa Melayu. PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah. Selepas memimpin PKMM beliau mencadangkan penubuhan Hizbul Muslimin. Kemasukkan dan kepimpinan Dr.Burhanuddin dalam PAS telah memberi ‘nyawa’ kepada PAS sehingga PAS menjadi begitu terkenal sebagai penentang UMNO sehingga kini. Tradisi kekuatan PAS telah dimulakan oleh kepimpinan Dr.Burhanuddin. Penyertaan Dr.Burhanuddin Al-Helmi dalam PAS bermula setelah Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Wahab Nur mengemukan hal ini kepada Dr. Burhanuddin. Sebenarnya usaha untuk menarik penyertaan Dr.Burhanuddin sebagai pemimpin PAS telah dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh beberapa orang pemimpin PAS Perak yang diketuai oleh Haji Hassan Adli bin Haji Mohammad Arshad. Perundingan untuk memudahkan kemasukan Dr.Burhanuddin telah dilakukan melalui Haji Said Abdul Hadi. Beliau telah ditugaskan untuk menemui Dr. Burhanuddin di Singapura bagi mendapatkan persetujuan bertulis dan mengisi boring keahlian. Namun begitu usaha untuk menarik kemasukan beliau dalam PAS bukanlah begitu mudah. Pemimpin-pemimpin parti yang lain berasa bimbang jika Dr. Burhanuddin akan menjadikan PAS sebuah badan sosialis kerana kepimpinannya dalam PKMM dahulu. Malah mereka juga bimbang jika Dr.Burhanuddin akan terpengaruh dengan nasihat daripada rakan-rakannya seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Mohammad yang terkenal dengan sifat kekirian mereka. Namun begitu perkara ini ditangkis oleh Haji Hassan Adli dalam suratnya kepada Haji Othman pada 17.Disember.1956 dengan menyatakan: ramalan bahawa Dr.Burhanuddin akan memegang nasihat kawan-kawannya yang kiri itu adalah meleset dan saya sudah dapat bukti menunjukkan ada pepecahan yang dalam antara dirinya dengan oaring-orang itu…bahkan kita harus tahu bahawa dengan adanya pimpinannya itu kelak memang ada kemungkinan golongan kiri UMNO akan menyokong PAS begitu juga golongan kanan Parti Rakyat akan menyokong kita juga. Saudara harus maklum Dr.Burhanuddin telah ditawarkan oleh Parti Rakyat dan Persatuan Melayu Semanjung. Sesungguhnya usaha untuk menarik Dr.Burhanuddin menyertai PAS bukanlah mudah malah kesungguhan Haji Hassan Adli mencalonkan Dr.Burhanuddin memang jelas. Beliau sanggup mengubah undng-undang tubuh PAS untuk menarik tokoh ini. Bagi beliau penyertaan Dr.Burhanuddin adalah sesuatu yang akan memberi faedah kepada PAS. Bagi Dr.Burhanuddin pula beliau tidak mahu terburu-buru menerima perlawaan itu, walaupun soal latar belakangnya yang bersifat kiri itu dan kepercayaannya kepada Islam sebagai falsafah politik tidak menjadi soal kepadanya. Hanya dua perkara yang menjadi kebimbangannya iaitu tentang Zulkifli Mohammad yang dicalonkan oleh bahagian-bahagian PAS dan cara kemasukkan beliau patut dilakukan dengan mengikut peraturan dan diberi tempoh-tempoh tertentu. Beliau tidak mahu dilihat sebagai seorang yang menangguk di air keruh.

Dr.Burhanuddin sebagai seorang yang ahli politik yang matang dan berpengalaman melihat beberapa perkara sebagai sebab untuk beliau melibatkan diri dalam PAS. Beliau sedia menerima jawatan Presiden PAS itu kerana beberapa sebab politik dan peribadi. Dari segi politik,beliau berharap dengan kemasukkannya dalam PAS akan mengurangkan spekulasi terhadap sikap politiknya yang sebenar. Malah beliau juga sering menjadi ‘buruan’ daripada parti-parti politik Melayu lain yang masih lemah untuk menguatkan parti masing-masing. Oleh itu beliau merasakan bahawa pengembaraan politiknya harus berakhir dan beliau memilih PAS sebagai noktahnya. Sebab kedua ialah kebimbangan beliau di kalangan orang Melayu akan menjadi lebih besar. Misalnya perpecahan antara UMNO, PAS, PMS, Parti Kebangsaan Melayu Perak dan Parti Negara. Pada masa yang sama juga terdapat ura-ura untuk menubuhkan Nahdatul Ulama sebuah perhimpunan Islam. Dr.Burhanuddin turut melihat keanggotaannya dalam PAS adalah untuk menyelamatkan parti itu dari tercabar dan terus menghadapi kesulitan untuk berkembang. Dr.Burhanuddin melihat PAS sebagai sebuah parti yang boleh berkembang walaupun dalam pilihanraya Persekutuan 1955, PAS hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu di Krian Utara. Selain itu, pembelaan kepada Islam sebagai satu ideologi politiknya menjadi pertimbangan Dr. Burhanuddin dalam menerima teraju kepimpinan PAS itu. Dalam suratnya kepada Haji Hassan Adli beliau menanggap PAS sebagai sebuah parti politik yang terbaik bagi dirinya atau dengan kata lain “ memperjuangkan Islam dan muslimin negeri ini”. Sebagai seorang yang berpendidikan Islam dan kefahamannya tentang tasawuf serta penglibatannya dalam penubuhan Hizbul Muslimin, Dr.Burhanuddin bukanlah orang yang asing dalam gerakan politik berlandaskan Islam. Ahkirnya pada 25 Disember 1956 beliau telah dilantik sebagai Presiden PAS setelah berjaya mengalahkan Zulkifli Mohammad. Ustaz Zulkifli Mohammad pula telah menjadi Timbalan Presiden dari tahun 1956 sehingga 1964.

Pada peringkat awal sikap beliau tidak dilihat begitu menyerlah sebagai seorang pemimpin parti Islam dan lebih bersifat radikal dan beliau juga tidak dapat mengetepikan soal kebangsaan Melayu dalam politiknya. Namun begitu, semasa berucap di Gunung Semanggol dalam majlis Dewan Pemuda PAS,beliau telah menunjukkan langkah yang patut dibuat bagi memajukan PAS sebagai parti yang berteraskan Islam. Baginya, ada lima tugas utama PAS yang akan dijalankan iaitu;

a) menyusun semula dan mengatur pentadbiran pertubuhan.

b) memperkuatkan perjuangan PAS.

c) Menegur secara sihat perlembagaan negara.

d) memperbaiki diri dalam soal organisasi.

e) menyusun badan-badan penerangan dan tabligh Islam.

Dalam hal ini, menurut Dr.Burhanuddin, PAS sebenarnya mempunyai tiga tugas penting iaitu bergiat dalam politik negara, memajukan organisasi PAS dan menjalankan tugas PAS sebagai pendakwah Islam. Dr.Burhanuddin sebagai Presiden PAS telah mengkritik dan membidas pihak UMNO dan Perikatan. Kritikan utama tertumpu kepada cadangan perlembagaan Suruhanjaya Reid. Antara isu-isu yang menjadi perhatian ialah perlantikan suruhajaya itu sendiri, kerakyatan jus soli, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedudukan orang-orang Melayu, sistem pertahanan dan pendidikan Kebangsaan. Oleh itu satu memorandum PAS telah dihantar kepada Suruhanjaya Reid dan disokong oleh ahli-ahli yang lain. Malah

beliau dan PAS melihat Parti Perikatan tidak mempunyai kesedaran terhadap hak politik orang Melayu, alam Melayu dan kebudayaan Melayu sehingga tergamak mengecilkan kebangsaan Melayu dan menidakkan hak sebagai kebangsaan yang berdaulat di negara ini.

Kepimpinan Dr.Burhanuddin telah menjadi salah satu sebab yang penting sekali dalam membentuk pendirian politik PAS. Sebagai seorang nasionalis Melayu, Dr.Burhanuddin telah terkenal sebagai seorang pemimpin yang cuba menegakkan kebangsaan Melayu dan dasar Melayu Raya. Dr. Burhanuddin juga merupakan seorang pejuang kebangsaan yang ulung. Beliau juga telah banyak memainkan peranan dalam usaha memantapkan dan memperkembangkan PAS serta menyalurkan ideanya dalam menuntut kemerdekaan negara.

Dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan dan mencapai matlamat parti, PAS buat pertama kalinya telah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1955. Dalam pilihanraya kebangsaan pada tahun 1955, PAS telah bertanding di sebelas kawasan daripada 52 kawasan Dewan Perundangan Persekutuan iaitu Perak- 3 kawasan, Selangor- 2 kawasan, Kelantan- 3 kawasan, Pahang- hanya satu kawasan, Seberang Prai- juga satu kawasan dan Kedah satu kawasan. Daripada 11 kawasan yang bertanding itu hanya satu kawasan yang sahaja berjaya dimenangi PAS iaitu di Kerian Pauh dengan wakilnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin. Kejayaan awal PAS ini disebabkan oleh beberapa sebab iaitu kerana bilangan pengundi bangsa asing amat kecil jumlahnya berbanding dengan pengundi-pengundi Melayu atau Islam. Selain itu, semangat mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam tidak dijejaskan oleh kepura-puraan dan sikap Haji Ahmad bin Tuan Hussin yang bersikap begitu sederhana dan tawaduk. Malah beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang berkempen, sebaliknya lebih banyak menerangkan tujuan PAS menyertai pilihanraya kerana mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam. Perkara ini telah mampu menarik perhatian pengundi-pengundi di kawasan tersebut dan memberi kemenangan sulung dan tunggal kepada PAS pada tahun 1955. Kemenangan PAS ini dianggap luar biasa biarpun hanya memenangi satu kerusi sahaja kerana pada masa itu PAS baru sahaja didaftarkan sebagai sebuah parti politik iaitu sehari sebelum pilihanraya tahun 1955 diadakan.

Namun begitu, pilihanraya 1959 telah membawa satu perubahan yang besar kepada PAS. Kemenangan PAS dalam pilihanraya tahun 1959 agak besar sehingga berjaya menawan 2 negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Kemenangan parti PAS ini dikaitkan dengan perubahan pucuk pimpinan PAS iaitu kepimpinan Dr.Burhanuddin Al-Helmi yang berjaya membawa perubahan dalam PAS. Kemenangan PAS dalam pilihanraya ini maka suara lantang PAS di Dewan Parlimen berkaitan dengan nationality bagi negara yang belum ditetapkan, peranan Islam sebagai agama rasmi amat terbatas kuasanya, ditambah lagi dengan Gagasan Maphilindo dan Malaysia serta
memasukkan semula Singapura telah menjadikan PAS sebuah parti pembangkang yang mendapat perhatian kerana suara wakil-wakilnya yang lantang dan perkara ini telah berjaya menarik perhatian ahli-ahli PKMM menyertai PAS.

Rentetan daripada sejarah dan matlamat perjuangan PAS, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa PAS adalah sebuah parti yang lahir sebahagian daripada UMNO. Namun begitu, PAS akhirnya telah membawa haluan sendiri dalam memperjuangkan matlamat dan ideologinya sebagai sebuah parti Islam. PAS juga mempunyai kaitan dengan parti-parti terdahulu seperti Hizbul Muslimin dan UMNO. PAS telah diperkukuhkan lagi dengan kemasukkan tokoh yang berkaliber seperti Dr.Burhanuddin pada tahun 1956. Kemenangan PAS yang pertama dalam tahun 1955 telah memberi ruang kepada PAS untuk meluaskan lagi pengaruhnya. Malah kemenangan PAS pada tahun 1959 telah memberi ruang yang lebih luas kepada PAS untuk bersuara dalam Dewan Parlimen dan menjadikan PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat sehingga ke hari ini. Kesedaran lslam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya pelbagai cabaran dan rintangan telah ditempuhi, tetapi PAS masih lagi kukuh dan kental sehingga ke hari ini. Malah sehingga ke hari ini PAS adalah sebuah parti pembangkang yang berpengaruh dalam mewarnai arena politik negara.

Source : http://ensiklopedia.info/Persatuan_lslam_Se-Malaya

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger