Friday, May 15, 2009

Rasuah : Ada Pimpinan PAS Terkena Sawan UMNO

Membaca tulisan mso yang mengulas tentang wujudnya rasuah politik dalam PAS, rasa macam nak terbakar hati aku dok mengenangkan perangai setengah pimpinan PAS ni. Kalau angin takde, takkanlah pokok bergoyang.

Dan inilah yang didedahkan oleh Ustaz Mohamed Daud Iraqi sewaktu merasmikan mesyuarat Dewan Ulama' PAS Kelantan pada 13 Mei lalu di Machang.

Kata Ustaz Mat Iraqi sudah ada fenomena rasuah dengan memberi hadiah berupa baju dan menjamu makan kepada perwakilan. Dalam nada bergurau tetapi penuh bermakna katanya, kalau sudah diberi baju dan dijamu makan maka senanglah perwakilan membuat pengundian.

Kita yakin apa yang dituturkan oleh Ust Mat itu adalah benar dan jujur. Beliau tidak akan bercakap jika tiada bukti dari sumber yang sohih.

Cuba kita renungkan 2 fakta berikut sebagaimana yang diulas oleh mso ;

Pertama, saya ada mendengar ada beberapa kawasan Pas telah dihulurkan wang sebanyak RM5,000. Tujuan wang itu diberi ialah kononnya untuk membantu Pas kawasan berkenaan. Pemberian itu ada syaratnya. Pas kawasan yang menerima wang itu hendaklah memanggil si pemberi wang itu merasmikan mesyuarat Pas kawasan berkenaan. Atau pun Pas kawasan berkenaan kena mencalonkan orang berkenaan untuk jawatan-jawatan tertentu.

Permintaan agar pemberi wang itu dicalonkan tidak dibuat secara terang-terang, tetapi secara simbolik dan saling memahami antara pemberi dengan pihak yang menerima.

Kejadian atau tutur mengenai perkara ini kerap berlaku di sebuah negeri di sebelah Selatan sana dan juga negeri-negeri di mana Pas miskin.

Kejadian ini katanya sudah menjadi buah mulut sampai ke peringkat pemimpin Pas. Bagaimana pun Pas tidak memberi reaksi serius kepada masalah ini kerana ingin melindungi Pas dari ditohmah sebagai turut sama mengamalkan rasuah. Tetapi amalan demikian sudah sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Pas.

Kedua, semasa muktamar kawasan baru-baru ini ada orang-orang tertentu menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk menggugut ketua-ketua cawangan atau para perwakilan. Bentuk ugutan ialah sekiranya mereka tidak mengundi calon tertentu kemudahan yang parti anugerahkan akan ditarik balik.

Salah satu anugerah kepada ahli ialah saham skim Ladang Rakyat. Mereka yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa terhadap Ladang Rakyat ialah kepimpiann Pas peringkat kawasan dan juga wakil rakyat. Pemimpin yang bertanding jawatan tertentu inilah telah menjadikan kemudahan itu sebagai bahan ugutan untuk mendapatkan jawatan.

Kerana ugutan ini menyebabkan perwakilan atau ketua-ketua cawangan yang mula mempunyai pilihan lain terpaksa terus mengundi orang tertentu itu kerana bimbang takut kehilangan kemudahan mendapat saham Ladang Rakyat yang berjumlah kira-kira RM250 sebulan itu.

Berdasarkan kepada dua kejadian itu maka jelas elemen rasuah semasa semasa pemilihan pemimpin peringkat kawasan ini seperti mana disebut Mohamed Iraq itu benar-benar berlaku.

Bayangkanlah, belum perintah Malaysia lagi dah jadi gejala macam ini. Aku tak tahulah nanti apa yang berlaku pulak bila PAS dan PR dah perintah negara ini. Rasa-rasanya mungkin ada yang bertumbuk dan gunakan khidmat bomoh supaya dapat jadi calon dalam pilihanraya. Ini tidak mustahil boleh berlaku sebab perlu diingat bukan semua pimpinan PAS tu hatinya disirami dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Apatah lagi ahli-ahlinya.

Pada pandangan peribadi saya, masih ramai di kalangan pimpinan PAS yang gila jawatan, sombong, cinta dunia, mudah lupa diri dan pelbagai lagi penyakit mazmummah yang beraja di hati mereka. Lucunya ada yang terkena 'penyakit nyonya'.

Di kalangan pimpinan yang tergolong dalam kumpulan "siapa yang makan lada, dialah yang rasa pedas" dinasihatkan agar segera menghentikan kerja-kerja hina ini. Sila ingat bahawa PAS adalah sebuah jamaah Islam syumul yang diredhai Allah.

Tolong jangan cemari PAS dengan perkara-perkara yang tak selayaknya. Jika merasakan ego dan gila kuasa menguasai diri, sila letakkan jawatan segera dan jadi ahli biasa lebih afdhal. Selama ini kamu bercakap di khalayak ramai tentang peribadi dan pemerintahan Umar Abdul Aziz. Bercerita tentang kezuhudan Presiden Iran yang menggunakan kereta buruk peninggalan ayahnya. Tinggal di rumah buruk pusaka. Tidak pernah menginap di hotel yang ada bintang.

Dalam ceramah, kamu juga kerap mendedahkan penyelewengan dan rasuah pimpinan UMNO. Menabur duit dalam pemilihan parti dan pelbagai lagi skandal mereka. Memang tak salah 'bogelkan' segala kejahatan dan penyelewengan mereka tapi malangnya 'penyakit UMNO' yang kamu sebarkan telah menjangkit pula pada diri sendiri.

Sebelum simpati rakyat terhadap PAS ghaib begitu saja, hentikanlah segala kerja sia-sia dan berdosa besar ini. Masih belum terlambat untuk 'bertaubat'.

Aku jadi ahli dan sayangkan PAS kerana yakin dengan perjuangan Islam yang dibawanya.

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger