Wednesday, May 20, 2009

Mat Rempit : Hukuman Mandatori ???

Sebagai Muslim, memang kita risau dengan gejala rempit yang semakin berleluasa sekarang sebab ianya melibatkan remaja Melayu. 'Mat Rempit' hari ini sudah upgrade dia orang punya aktiviti. Bukan setakat merempit je malah sudah sampai ke tahap penglibatan dalam jenayah ragut.

Kita dikejutkan dengan berita baru-baru ni seorang surirumah, Sharifah Mohd.Noor yang meninggal dunia sebaik saja diragut semasa menunggang motorsikalnya. Dalam kejadian yang menyedihkan ini, Allahyarhamah sedang dalam perjalanan pulang ke Melor setelah pergi menemui ibunya di Kg. Bedolah, Tumpat. Setibanya di Kg Padang Raja, beliau telah diragut oleh lelaki bermotorsikal. Motorsikal Honda EX5 yang ditunggangnya digesel oleh motorsikal peragut menyebabkan beliau hilang kawalan dan terjatuh. Sebuah Proton Saga yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengelak dan terus melanggarnya menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya. Allahyarhamah sedang mengandung 3 bulan, meninggalkan suami dan 5 orang anak yang masih kecil.

Persoalannya ;

1- mengapa kejadian rempit dan ragut ini semakin menjadi-jadi dan telah menjadi barah dalam masyarakat ?

2- siapa yang harus dipersalahkan ?

3- kenapa penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada gagal menangani gejala ini ?

4- apa sebab remaja Melayu yang banyak terlibat dengan masalah ini ?

Pada pandangan 'dangkal' saya, untuk menyelesaikan masalah rempit yang sudah semakin kronik ini, penjara bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Cuba kita buat perbandingan dengan masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Walaupun hukuman gantung mandatori dijatuhkan kepada para pengedar dadah, namun aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terus meningkat dari masa ke semasa. Tak pernah surut. Bagi penagih pula, walau pernah ditangkap dan dimasukkan penjara serta dihantar ke pusat pemulihan sekalipun, namun yang benar-benar pulih berapa orang saja. Kebanyakannya akan kembali beraksi sebagai penagih tegar. Ini satu bukti betapa gagalnya penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada.

Sekarang ni Polis mencadangkan agar Mat Rempit ini dikenakan hukuman lebih berat lagi. Hukuman penjara mandatori jika permohonan untuk meminda Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Adakah pindaan ini akan berjaya mengurangkan aktiviti merempit yang digilai oleh remaja ?

Saya rasa 'jiwa kosong' merupakan faktor utama yang menyebabkan golongan remaja Melayu mudah terjebak dalam gejala tidak sihat lagi merbahaya ini. Walaupun mereka pernah mendapat pendidikan agama secara formal di sekolah agama kerajaan namun apa yang mereka pelajari tidak mampu membentuk dan melentur jiwa mereka. Memadaikah hanya belajar agama dari umur 7 hingga 12 tahun saja. Lepas itu terus tutup kitab sebab dah habis.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila ibubapa di rumah langsung tidak menitikberatkan tentang persoalan ibadah fardhu ain. Yang penting asalkan anak sudah habis sekolah agama. Pergilah tanya kepada remaja sekolah yang ada hari ini samada mereka bersolat atau tidak di rumah. Sebab itu hari ini kita lihat berlaku kerosakan akhlak di kalangan remaja sudah sampai ke tahap membimbangkan. Remaja hari ini sudah tidak takut melakukan zina bersama pasangan masing-masing.

Yang terkini berlaku di Utara Semenanjung yang mana adik melakukan zina dengan kakaknya manakala ibu melakukan zina bersama dua orang anak lelakinya yang masih bersekolah. Berlaku dalam satu keluarga. Renungkanlah mengapa semuanya ini boleh berlaku dalam masyarakat Melayu kita hari ini. Islam hanya tinggal pada kad pengenalan saja. Na'uzubillah...

Dalam persoalan rempit ini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing khususnya ibubapa. Bagi remaja yang dah terjebak, mereka mesti diselamatkan. Sepatutnya pihak Polis perlu belajar dari kesilapan dan kegagalan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada. Memenjarakan mereka bukan jalan penyelesaian. Malah keadaan akan menjadi bertambah buruk lagi sebagaimana gejala dadah. Sewajarnya pihak Polis mengambil pendekatan yang penuh hikmah dalam menangani Mat Rempit ini.

Dari sudut psikologinya, golongan remaja yang berusia antara 15 hingga 20 tahun ini akan mengalami 'turning point' dalam jiwa mereka. Mereka akan mengalami satu perubahan besar di sudut emosi, rohani dan inteleknya. Kebiasaannya remaja dalam lingkungan umur ini mempunyai satu sikap suka memberontak. Jika ibubapa bijak menanganinya, maka positiflah jadinya. Kalau sebaliknya, maka jadilah apa yang berlaku sekarang.

Seperkara lagi yang tak boleh dipandang sebelah mata saja iaitu pengaruh rakan sebaya. Inilah pengaruh yang terkuat. Malangnya, majoriti remaja yang ada hari ini lebih suka berkawan dengan rakan yang boleh merosakkan mereka. Hari ini bukan merupakan perkara yang pelik bila melihat pelajar lelaki dan perempuan ke sekolah menunggang motorsikal masing-masing.
Dari satu sudut kita tak boleh salahkan ibubapa yang menyediakan kemudahan ini untuk anak mereka ke sekolah. Di sudut lain pula, remaja sekolah telah menyalahgunakan kemudahan ini untuk berjinak-jinak dengan aktiviti rempit bersama rakan-rakan mereka.

Memang benar kata Imam Ghazali "Kejahatan itu memang mudah dibuat......"

Hari ini sudah terbukti ramai penagih dadah tegar yang pulih sepenuhnya apabila mereka mendapat rawatan secara 'Sekolah Pondok'. Saya sendiri pernah melawat salah satu pusat pemulihan dadah di Kelantan yang menggunakan 'Kaedah Pengajian Pondok'. Saya berbual sendiri dengan salah seorang bekas penagih yang berasal dari Johor. Dalam perbualan tersebut, dia ceritakan pada saya sejarah hidupnya. Lebih kurang beginilah ceritanya ;

"Saya mula menagih dadah pada usia 15 tahun. Sekarang umur saya 28 tahun. Abang bayangkan 13 tahun saya menagih. Pasal kena tangkap Polis ni jangan ceritalah. Banyak kali. Masuk pusat pemulihan saja dah 3 kali tapi saya tetap ketagih juga. Akhirnya saya sendiri memilih untuk datang ke pondok ni. Isteri saya yang hantar ke mari. Alhamdulillah, setelah 10 bulan ada kat sini, saya benar-benar rasa insaf dan yakin telah pulih 100%. Terus-terang saya cakap bang, hanya cara inilah yang terbaik untuk penagih pulih sepenuhnya. Insya'Allah, tak lama lagi mudir kat sini benarkan saya pulang ke Johor..."

Semua pihak perlu sedar dan insaf bahawa segala masalah yang berlaku hanya boleh diselesaikan dengan kembali kepada Islam. Begitulah juga halnya dengan Mat Rempit ini. Jiwa dan rohani mereka 'sakit'.

Malangnya hari ini negara kita sedang diperintah oleh golongan munafiqun. Golongan pemimpin inilah sebenarnya yang menjadi perosak negara dan masyarakat....

Jazakallah.

PDRM Cadang Samseng Jalan Raya Dihukum Penjara Mandatori

Samseng jalan raya atau 'Mat Rempit' mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda.

Ini berikutan hukuman yang sedia ada ke atas samseng jalan raya yang disabitkan kesalahan iaitu denda minimum RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun tidak mampu menyedarkan mereka.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, cadangan itu yang kini masih pada peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan sebelum mendapatkan kelulusan.

"Pihak kita ada berbincang untuk laksanakan hukuman penjara mandatori bagi samseng jalanan. Sebelum ini kebanyakan kes, pesalah hanya membayar denda atau saman, tetapi dengan dikuatkuasakan undang-undang tersebut, semua pesalah perlu menjalani hukuman di penjara mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun hukuman penjara mandatori itu hanya dicadangkan bagi samseng jalanan yang berumur 18 tahun ke atas manakala bagi mereka yang di bawah umur, kumpulan berkenaan masih tertakluk pada Akta Perlindungan Kanak-kanak.

"Kita juga sedang mengkaji supaya pesalah-pesalah yang di bawah umur dihantar ke sekolah-sekolah juvana," katanya.

Abdul Aziz berkata, seramai 69 orang ditahan di seluruh negara dalam operasi bersepadu lumba haram dan cegah jenayah yang dijalankan selama 17 hari bermula 1 Mei lepas.

Daripada jumlah itu, 40 orang yang ditahan adalah mereka yang berumur di bawah 20 tahun dan tiga orang berumur di bawah 15 tahun.

"Seramai 33 orang daripada jumlah yang ditahan itu juga telah didakwa di mahkamah manakala yang lain masih dalam siasatan polis," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh tersebut, sebanyak 13,000 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan di mana 50 peratus daripadanya membabitkan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan juga insurans kenderaan.

"Kita juga berjaya merampas lima motor curi dan menahan 29 daripada 589 individu yang diperiksa atas kesalahan dadah," katanya.

Dalam usaha mencegah kegiatan lumba haram dengan lebih agresif, beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi Skuad 42 yang khusus menjalankan operasi membanteras lumba haram ke semua kontinjen di seluruh negara.

"Kini ada beberapa kontinjen yang sudah ada skuad 42 seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) yang sememangnya fokus kepada operasi cegah lumba haram. Jadi saya berharap setiap kontinjen akan mempunyai Skuad 42 mereka masingmasing sebelum hujung tahun ini," katanya.

Ketika diminta mengulas istilah Mat Rempit yang sering diperkatakan sejak kebelakangan ini, beliau berkata, polis tidak pernah menggunakan istilah terbabit kepada kumpulan samseng-samseng jalanan itu.

"Polis tidak pernah beri istilah Mat Rempit kepada mereka. Apabila gelaran itu diberikan kepada mereka, ia seoalah-olah menunjukkan mereka itu jaguh di jalan raya.

"Oleh itu saya harap jangan guna istilah itu kepada mereka lagi, apa yang nyata mereka ini samseng jalanan yang mana kelakuan mereka itu boleh mengancam nyawa orang lain," kata Abdul Aziz.

Source : www.bernama.com

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger