Sunday, March 7, 2010

PKR pecat Zul Noordin, arah kosongkan kerusi Parlimen

Tunggu punya tunggu, akhirnya terjawab juga petang 6 Mac semalam. PKR pecat Zulkifli Noordin dari parti dan mengarahkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu mengosongkan kerusi. Pemecatan ini dibuat ekoran tindakan Zul membuat laporan Polis terhadap Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam (PAS).

PETALINGJAYA, 6 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin (gambar) — wakil rakyat pertama parti itu dipecat atas masalah disiplin.

Beliau juga diminta mengosongkan kerusinya yang dimenangi pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun beliau ada 14 hari untuk membuat rayuan.

Keputusan diambil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sehari selepas menerima syor daripada lembaga disiplin.

Wakil rakyat kontroversi itu disiasat kerana bertindak membelakangi semangat Pakatan Rakyat dalam isu kalimah “Allah” dengan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad Januari lalu.

Tindakan drastik ini diambil ketika tiga Ahli Parlimen PKR telah keluar parti, sekali gus bertindak sebagai wakil rakyat Bebas di Parlimen.

Ini bukan kali pertama Zulkifli menjadi perhatian berkaitan isu disiplin. Beliau dirujuk lembaga disiplin pada akhir 2008.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu wartawan bahawa mesyuarat tiga jam MPP memutuskan Zulkifli masih ada hak untuk membua rayuan.

“Beliau boleh melalui proses yang sewajarnya dan membuat rayuan kepada majlis dalam masa 14 hari berhubung keputusan beliau dipecat,” katanya.

Zulkifli akan dimaklumkan mengenai keputusan hari ini melalui kiriman berdaftar, faks dan emel Isnin ini.

Kata Saifuddin, jika MPP menerima rayuannya kes beliau akan diteliti oleh lembaga rayuan.

Katanya lembaga disiplin mengesyorkan hukuman dipecat ekoran aduan polis yang dibuat dan mengenai kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menerusi temu bual TV3, tindakan yang bertentangan Artikel 27 perlembagaan parti.

“Jadi ini adalah asas utama bagi keputusan untuk memecatnya,” kata Saifuddin.

Beliau mengakui pemecatan adalah hukuman paling berat. Dua opsyen lain ialah amaran dan digantung.

“Berdasarkan keseriusan tindakannya, lembaga memutuskan bahawa ini adalah hukuman paling sesuai.

“Kesemua faktor membabitkan tindakan Zulkifli juga diambil kira dan lembaga juga telah menganalsis merit kesnya,” kata beliau.

Pagi tadi Zulkifli menghantar surat kelima kepada sekretariat PKR dengan meminta anggota MPP — kira-kira lapan jam sebelum ia bermesyuarat untuk menentukan nasibnya supaya membuat keputusan yang boleh membawa “parti itu ke horizon yang lebih tinggi, bukannya menggali kubur sendiri”.

“Saya cuma menulis meminta mereka (anggota MPP) mengambil keputusan terbaik melibatkan kes saya... saya tidak memberikan mereka kata dua, cuma rayu akan memberikan perbicaraan yang adil kepada saya.

“Apa yang saya minta mereka ialah memberikan saya keadilan dengan kes saya dibicarakan oleh panel beragama Islam... itu yang saya minta, permintaan kecil saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Zulkifli berkata beliau telah menghantar surat itu menerusi emel awal pagi ini selepas mengetahui syor lembaga disiplin mengenai tuduhan ke atasnya akan dibincangkan oleh MPP yang bermesyuarat pukul 3 petang.

Beliau disebut-sebut antara mereka yang bakal meninggalkan PKR, mengikuti langkah Ahli Parlimen Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai.

Dua hari lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Zulkifli, yang memulaukan sesi lembaga disiplin Khamis lalu, agar sendiri menentukan masa depannya dalam parti itu.

Sambil menegaskan wakil rakyat itu terus-menerus menguji kesabaran parti, Wan Azizah berkata Zulkifli perlu mematuhi peraturan PKR dalam soal berkaitan dengan isu-isu disiplin.

Zulkifli memulaukan sesi bersama lembaga disiplin selepas permintaannya agar kesnya diteliti oleh anggota panel beragama Islam ditolak.

Ia merupakan satu daripada lapan permintaan diletakan di hadapan lembaga disiplin dan kepimpinan parti itu.

Kesemuanya diketepikan.

oleh Clara Choo
The Malaysian Insider.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger