Thursday, March 4, 2010

'Tongkat sakti UMNO' semakin reput....

Selama ini UMNO 'bergayut' pada tongkat saktinya. Namun sejak PRU12, tongkat sakti itu sudah semakin usang dan reput. Dan hari ini pemegang tongkat sakti itu sudah mula hilang kepercayaan pada 'bosnya' yang terbukti telah memperalatkan mereka semahunya demi kepentingan kuasa politik dan perkauman sempit. Malah mereka turut merasakan sudah sampai masanya UMNO dikuburkan dengan segera. Yang mendapat 'habuan' hanyalah di kalangan pimpinan atasan mereka saja bagi memastikan tongkat sakti ini boleh terus digunakan. Namun, UMNO sudah silap perkiraan. Memang semua tahu seorang dua 'kepala' tongkat sakti ini ditali-hidungkan semahunya setelah dapat habuan besar.

Sepanjang 52 tahun penguasaan UMNO dalam negara, maka selama itulah MCA dan MIC diperalatkan mereka. Tak dinafikan sejak zaman Pak Lah lagi sudah kedengaran suara-suara 'marah' di kalangan pimpinan dan ahli MCA khususnya. Isu ISA, rasuah, penyelewengan, sentimen perkauman, tindakan mengaibkan Elizabeth Wong dan kematian Beng Hock sebenarnya telah membuka mata hati masyarakat Cina betapa UMNO sanggup melakukan apa saja demi kuasa.

Di sudut kesedaran politik, masyarakat Cina telah mendahului bangsa lain. Mereka tak pernah 'setia' dengan mana-mana parti yang disertainya. Kesetiaan mereka lebih kepada persatuan seperti perniagaan dan sebagainya. Dan salah satu persatuan yang paling berpengaruh di tanahair ialah Dong Jiao Zhong.

Sebab itulah UMNO cukup takut dengan sikap pengundi Cina ini. Jika 55% peratus pengundi Cina di seluruh negara beralih angin kepada pembangkang dalam PRU13, kita akan melihat Road To Putrajaya akan menjadi kenyataan.

Cuma ada sedikit kegusaran tentang sikap pengundi India dalam PRU13 nanti. Diharapkan mereka kekal dengan sikap terus bersama Pakatan Rakyat.

Manakala di pihak MIC lebih kepada masalah dalaman parti bila ahlinya mula membenci Samy Vellu yang dilihat terus menjadi Presiden seumur hidup. Walau ada cubaan untuk mencabar kedudukannya namun masih gagal ekoran tektik gangsterisme yang digunakan oleh Presiden MIC itu. Masyarakat India mula sedar MIC takde bezanya dengan UMNO. Hanya menjaga kepentingan keluarga dan kroni mereka saja. Setelah lebih 50 tahun MIC bersama BN, namun nasib kaum India tetap tidak berubah. Akhirnya kemarahan itu ditunjukkan dalam PRU12 bila Samy Vellu tewas di kubu kuatnya Sungai Siput.

Ibarat menjolok sarang tabuan bila mana Pegawai Khas PM, Nasir Safar membuat kenyataan menghina kaum Cina dan India di Melaka bulan lepas.

Siang tadi MCA sekali lagi dilanda tsunami besar bila 22 anggota cc MCA letak jawatan. Walaupun si Muhyiddin Yasin kata tindakan Chua Soi Lek memberi 'laba besar' kepada parti itu namun hakikatnya adalah sebaliknya.

Jangan kita lupa Najib sendiri pernah cakap Pakatan Rakyat tidak mampu menyaingi BN di Sarawak. Kalau benar bagai dikata, apa perlunya Najib membuat 'shopping spree' untuk membeli MP Pakatan Rakyat.

Tujuan sebenar 'shopping spree' ini adalah untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen bagi membolehkan kelulusan untuk melakukan penipuan terkutuk melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya. Hakikat ni dah cukup menggambarkan betapa takutnya Najib nak berhadapan dengan kebangkitan rakyat dalam PRU13.

Mungkin Najib dan UMNO boleh beli wakil rakyat PR dengan nilai RM2 juta atau lebih. Juga boleh terus perbodohkan ahli dan penyokong UMNO yang bebal, namun perlu diingat sampai bila mereka boleh perbodohkan masyarakat Melayu dan Bumiputera ini. Hatta gelombang kebangkitan rakyat ini sudah menular ke negeri yang paling kuat UMNO di dunia, Johor.

Jika Pakatan Rakyat mampu menyalurkan maklumat sehingga ke peringkat akar umbi, percayalah... perubahan besar pasti berlaku dalam PRU13 tahun depan. Jika batu yang begitu keras boleh lekuk dek titisan air hujan, inikan pula hati manusia. Bila kena caranya, Insya'Allah, masyarakat Melayu juga boleh sedar dan insaf.

Marilah wahai seluruh warga Malaysia, kita lakukan perubahan dalam PRU13 kelak. Masa depan negara kita terletak di bahu kita. Ingatlah, kita semua ada anak cucu yang bakal mewarisi negara ini selepas ketiadaan kita semua. Jangan sekali-kali kita biarkan mereka tinggal duduk dalam negara yang diperintah oleh golongan manusia perasuah, penjenayah dan perompak harta rakyat.

Cukuplah dengan segala kesusahan dan keperitan yang kita lalui selama 52 tahun di bawah pemerintahan UMNO/BN ini. Satu persatu hak kita sebagai rakyat dirampas dan disamun oleh mereka. Lihat sajalah bagaimana mewahnya kehidupan para pemimpin UMNO/BN, keluarga dan kroninya hari ini. Kekayaan milik negara hanya berlegar di sekeliling mereka saja.

Kita wajib sokong Pakatan Rakyat jika mahu negara ini selamat.

Salam for all.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger