Wednesday, December 21, 2011

Nasha setia, Hasan nak perang

Hari ini Nasha tampil dan mengakui tetap setia bersama PAS manakala Hasan Ali terus muncul dalam berita TV3 semalam dengan menyatakan pendiriannya. Antara kenyataan yang dibuatnya lebih kurang beginilah "Kalau UMNO mahu mempertahankan Islam, Melayu dan Raja, takkanlah saya nak halang hasrat mereka. Tak objektiflah Hasan Ali..."

Nasha ikrar setia kepada PAS

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menerima asakan demi asakan berhubung kesetiaannya dalam parti, hari ini membuka mulut dan menyatakan beliau "tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno."

Katanya, dakwaan bahawa beliau terperangkap dalam agenda Umno, "terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas."

"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah ahli PAS dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam, menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," katanya.

Bercakap dalam satu kenyataan hari ini, Nasharudin juga berkata beliau belum pernah mengungkapkan untuk menyertai Umno sepanjang pembabitan beliau dalam parti itu.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," katanya lagi.

Beliau yang popular dengan nama jolokan Nasha di kalangan peminatnya, juga tampil membuat penjelasan ringkas hari ini untuk menjawab "tohmahan" di media dan laman sosial.

Dakwaan bahawa beliau terperangkap dalam agenda Umno disuarakan setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali yang turut menyelar bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Mustafa juga menganggap Nasharudin dan Hasan kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kedudukan masing-masing sebagai timbalan presiden dan pesuruhjaya Selangor.

Hasan isytihar perang terhadap PAS - Mahfuz

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganggap tindakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mempersoalkan konsep negara kebajikan anjuran parti itu seperti mengisytiharkan perang terhadap parti Islam itu.

Mahfuz berkata, konsep negara kebajikan telah dipersetujui dalam muktamar tahunan parti itu dan oleh itu, ia tidak harus dipersoalkan sekarang.

katanya, jika Hasan mempersoalkan konsep itu sekarang, ia nampak seperti exco kerajaan Selangor itu mengisytiharkan perang terhadap PAS kerana adalah tidak wajar untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat dalam muktamar.

Mahfuz bertanya sama ada apa yang PAS lakukan salah kerana Islam juga menganjurkan konsep negara kebajikan.

Mahfuz, bagaimanapun, tidak menggesa Hasan meninggalkan parti itu, tetapi berkata beliau (Hasan) boleh menentukan sendiri masa depannya dalam PAS.

Maka, katanya, adalah tidak perlu untuk beliau memberi apa-apa nasihat kerana Hasan yang merupakan seorang penceramah motivasi terkenal.

Tetapi, tambahnya, jika beliau dalam kedudukan Hasan, "saya akan angkat kaki".

- malaysiakini

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger