Thursday, December 29, 2011

9 Jan 2012 dan PRU13

Seluruh dunia akan menoleh ke Malaysia pada 9 Januari 2012 kerana pada tarikh itu Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan samada Anwar terus berada di luar atau ke dalam. Jika mahkamah memutuskan Anwar bersalah, nescaya dunia melihat sudah tiada lagi sistem keadilan di negara ini. Mahkamah dilacurkan semahunya oleh kuasa eksekutif demi kepentingan politik rakus dan rasuah. Justeru, persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia semakin buruk dan boleh memberi impak terhadap minat pelabur asing untuk melabur.

Kalau keputusan berlaku sebaliknya, ianya akan dilihat sebagai satu usaha Najib untuk meraih sokongan rakyat menjelang PRu13 tapi ianya tidak akan mengubah persepsi antarabangsa terhadap sistem keadilan dan kehakiman negara yang telah sekian lama dilacurkan. Mungkin ianya positif bagi politik domestik.

Najib tentunya tidak sanggup menghadapi kekalahan dan kehilangan Putrajaya dalam PRU13 nanti, apatah lagi jawatan PM yang disandang sekarang bukannya mandat rakyat. Sekadar penyerahan jawatan oleh Pak Lah. Dan belum pernah berlaku dalam sejarah negara bila jawatan PM diperolehi secara 'hand-over' dan dipegang begitu lama melainkan Najib sorang. Mantan PM Mahathir dan Pak Lah sendiri turut membubarkan Parlimen selepas beberapa bulan memegang jawatan PM bagi mendapat mandat baru rakyat. Igauan buruk yang paling menakutkan Najib bila dirinya disebut-sebut sebagai PM terakhir UMNO.

Atas ketakutan itu, maka Najib melancarkan projek pemberian IC percuma kepada warga asing khususnya Indonesia bagi tujuan memenangkan BN dalam PRU13, diikuti dengan pemberian 'one-off' Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 bagi golongan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan bantuan sekolah RM100 yang dilihat banyak pihak sebagai satu usaha terdesak 'membeli undi'.

Walau pemberian 'one-off' itu sebagai tektik lapuk, namun tidak boleh dipandang remeh oleh Pakatan Rakyat kerana dah terbukti golongan Melayu Bumiputera memang mudah layu bila dapat duit macam tu walhal ianya satu 'perangkap maut' buat mereka bila BN terus diberi mandat kelak.

Percaturan Politik

Perlu diakui bahawa Mahathir ialah orang yang sangat licik dan bijak membuat percaturan politik tanahair bagi memastikan UMNO terus berkuasa dalam negara. Selepas memfitnah dan memenjarakan Anwar dalam kes fitnah liwat I, si mamak tua itu melihat wujud satu gelombang yang agak besar bila mana UBN hilang Terengganu dan hanya tinggal batu nesan di Kelantan serta hilang beberapa kerusi Parlimen dan DUN di Kedah, Penang, Perak, Selangor dan Pahang.

Mahathir sedar jika dia tidak berundur sebelum PRU11, kemungkinan gelombang PRU10 berterusan hingga ke PRU11 ekoran sentimen kebencian rakyat padanya. Demi memastikan kesinambungan dan kelangsungan kuasa UBN, akhirnya dia bersetuju mengundurkan diri pada 2003 dan menyerahkan jawatan PM kepada Pak Lah.

Walau Mahathir sedar Pak Lah tiada kredibiliti sebagai orang No.1 tapi 'benchmark' yang ada pada diri Pak Lah sebagai Mr Clean dan anak cucu ulama' dilihat mampu memulihkan keyakinan rakyat pada BN khususnya UMNO.

Dan percaturan itu berjaya bila UBN mencatat sejarah menguasai hampir 98 peratus kerusi Parlimen dalam PRU11. Antara tindakan Pak Lah yang berjaya mencuit hati rakyat sebelum membubarkan Parlimen ialah pendakwaan terhadap kroni dan mantan kabinet Mahathir, Eric Chia dan Kasitah Gaddam.

Sikap Pengundi

Antara 3 kumpulan pengundi terbesar Malaysia, bolehlah penulis kategorikan sebagai berikut;

Pengundi Cina - golongan 'money-maker' dan pembayar cukai terbesar ini melihat di sudut ekonomi dan peluang bisnes. Mereka tak peduli siapa yang memerintah. Asalkan senang buat duit okay. Namun sejak Pakatan Rakyat memerintah 4 negeri dan Penang diketuai oleh DAP dan terbukti berjaya memerintah secara telus dan berintegriti, kini mereka lebih yakin dengan Pakatan Rakyat.

Pengundi Melayu - golongan buta politik yang terkongkong dengan doktrin politik perkauman kuno. Mudah diperbodohkan dengan habuan dunia. Masih termakan dengan propaganda murahan politik jalanraya, elektrik, sekolah, hospital. Sukar untuk menelah sikap mereka kecuali dah kena pada batang hidung sendiri barulah nak sedar.

Pegundi India - golongan yang tak tahu apa yang mereka mahu. Juga masih terikat dengan sentimen kaum. Berlaku anjakan dalam PRU12 ekoran gelombang makal sakti oleh Hindraf. Namun tiada jaminan ianya berterusan.

Isu Rasuah

Belum pun reda dengan isu cincin RM24 juta bininya, Najib dibebani pula dengan skandal penyelewengan peruntukan RM250 juta Projek Lembu Fidlot yang melibatkan Ketua Wanita UMNO dan Menteri Kabinetnya, Shahrizat Jalil. Pendedahan yang dibuat oleh PKR di Parlimen benar-benar menggegarkan 'tiang-seri' UMNO hingga ada di kalangan Ahli Parlimen mereka sendiri marah dan mendesak Shahrizat meletakkan jawatan segera.

Sejak skandal Lembu Fidlot terdedah, Najib dilihat cuba memujuk dan menyantuni rakyat dengan tindakan SPRM dan pihak Polis menahan dan menyiasat seorang yang bergelar Datuk yang dikatakan terlibat dengan penyelewengan itu.

Dan sejak beberapa hari ini akhbar dan media perdana milik UMNO tak henti-henti menyiarkan berita individu-individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan dan rasuah.

Seperti biasa, sekali lagi rakyat mahu diperbodohkan dengan penahanan golongan perasuah 'ikan bilis' agar dilihat kerajaan serius menangani gejala keji itu sedangkan penyelewengan berbilion wang rakyat yang dilakukan oleh pemimpin negara dan negeri terus disenyapkan oleh SPRM.

Persoalannya, kenapa suami Shahrizat tidak ditahan dan disiasat? Bukankah Ketua Betina UMNO itu sendiri mengakui bahawa dia hanyalah isteri kepada CEO syarikat yang diberikan projek Lembu Fidlot itu.

PRU13

Samada mahkamah memutuskan Anwar bersalah atau tidak, ianya tetap memberi masalah kepada Najib dan UBN. Mungkin ada sedikit kesan positifnya pada pengundi atas pagar jika Anwar didapati tidak bersalah kerana mahkamah dilihat seolah-olah bebas dari pengaruh kuasa eksekutif. Namun ianya tidak akan mengubah sikap pengundi tegar BN dan Pakatan Rakyat.

Tidak dinafikan peranan 'third-force' tidak boleh diketepikan begitu saja sebagai penentu siapa yang akan ke Putrajaya.

Dalam PRU12, gelombang yang wujud hasil daripada Himpunan Bersih 2007 dan Makal-Sakti (Hindraf) telah berjaya menyedarkan rakyat hingga Pakatan berjaya merampas 4 negeri lagi selain Kelantan.

Justeru, masih ada masa untuk Pakatan Rakyat menjalinkan hubungan baik dengan kumpulan 'third-force' yang sedia wujud hari ini. Bersedia menerima cadangan dari mana-mana kumpulan yang sedia membantu ke arah kemenangan tanpa menggadaikan prinsip dan matlamat perjuangan. Yang penting ASALKAN BUKAN UMNO BN.

Insya'Allah, Pakatan Rakyat mampu ke Putrajaya dengan syarat ketiga-tiga parti perlu berlapang dada.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger