Showing posts with label PRU. Show all posts
Showing posts with label PRU. Show all posts

Wednesday, April 11, 2012

400,000 pengundi hantu penentu 35 kerusi, kata penganalisis

Lebih 400,000 pengundi meragukan dalam daftar pengundi mampu untuk mengubah 35 kerusi bagi menentukan Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya atau Barisan Nasional (BN) kembali memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen, kata penganalisis politik tanah air.

Penganalisis bebas Ong Kian Ming berkata Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) yang dijalankannya mendapati terdapat kira-kira 100,000 ribu nama bermasalah dan digabungkan dengan beberapa isu sebelum ini akan “menjadi 400,000 pengundi meragukan”.

Membersihkan daftar penfundi adalah tuntutan utama pembangkang. Dan kumpulan aktivis walaupun BN menegaskan kemenangan PR di lima negeri membuktikan tidak berlaku sebarang keraguan terhadap daftar berkenaan.

Ong berkata kepada The Malaysian Insider, perkara itu “hanyalah sebahagian masalah kecil” daripada pelbagai masalah lain yang belum dapat dikenal pastioleh kebanyakan pihak dengan jumlah pengundi sebanyak 12 juta.

“Sekiranya dibahagikan 40,000 dengan 222 kerusi, dianggarkan sekitar 1,800 pengundi. Ini berupaya untuk menentukan 35 kerusi,” katanya merujuk kepada kerusi yang memperolehi kemenangan tipis.

“Sekiranya sentimen pengundi sama seperti 2008, ini akan menambah 30 kerusi PR, atau lapan lagi kerusi BN untuk memperoleh majoriti,” tambah penganalisis politik ini lagi.

Kerajaan BN hanya memperolehi 140 kerusi, dengan kehilangan majoriti dua pertiga majoriti di Parlimen ketika pilihan raya 2008 termasuk empat negeri, dan Kelantan yang kekal di tangan PAS sejak 20 tahun lalu.

Perikatan itu memerlukan 112 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti dan 148 untuk dua pertiga.

Projek Ong itu turut mengenal pasti 100,000 pengundi dengan 10 isu berkenaan - pengundi berusia lebih 85 tahun, jantina tidak selari dengan kad pengenalan (IC), nama dan tarikh lahir yang sama, dilahirkan di luar negara, pengundi di Lembah Klang yang tidak mempunyai alamat rumah, pengundi pos dengan IC awam, pasangan polis yang menjadi pengundi pos, pasangan polis dan tentera yang mempunyai jantina yang sama, polis dan tentera melebihi had umur persaraan, dan pengundi pos tentera dan polis yang melebihi had umur rekrut.

Namun begitu, menurutnya itu tidak termasuk masalah lain, kerana beribu pengundi didaftarkan pada alamat yang sama dan 42,000 pengundi dengan IC yang tidak ditemui di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ong turut menjelaskan terdapatnya bilangan yang meragukan pengundi di Selangor, negeri terkaya di negara ini yang mana Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akan menawan kembali dengan “apa cara sekalipun”.

Tambahnya, daftar pengundi daripada suku 2011 menunjukkan jumlah pengundi di Selangor mengalami peningkatan mendadak kepada 340,000 atau 21.8 peratus kepada 1.9 juta pengundi sejak pilihan raya 2008 dibandingkan kadar nasional sebanyak 16.3 peratus.

Beliau menunjukkan contoh di Hulu Selangor sahaja mengalami peningkatan 17,000 pengundi, peningkatan 27.1 peratus sejak pilihan raya pada Mac 2008.

Kredibiliti daftar pengundi seringkali dipersoalkan sejak Jawatankuasa Khas Piihan Parlimen (PSC) dibentuk pada tahun lepas bagi menambah baik sistem pilihan raya.

Panel itu telah menyiapkan laporan dalam tempoh enam bulan dan menyerahkan laporan lengkap tersebut kepada Parlimen minggu lepas, namun pembangkang dan pertubuhan awam telah mengkritik berikutan terdapatnya kekurangan cadangan bagaimana ia akan membersihkan daftar pengundi.

Pemerhati pilihan raya Bersih kemudiannya mengumumkan akan mengadakan perhimpunan ketiganya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 28 April.

Perdana Menteri Najib telah mengumumkan pembentukan jawatankuasa dwipartisan pada Ogos 2011, selepas dikritik hebat berkenaan pentadbirannya menguruskan perhimpuanan Bersih pada 9 Julai yang menyaksikan ribuan rakyat mengadakan protes jalanan. - tmi

Wednesday, February 15, 2012

PRU13 dijangka Jun

Mengikut firasat penulis, PRU13 mungkin akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan September. Ada juga sumber dalaman UMNO yang dok kata hujung tahun ini. Kalau Disember tu mungkin tidak sebab bajet 2013 dibentang pada bulan Oktober. So, ikut perkiraan dangkal penulis, mungkin September. Kalau pengagihan 'Projek Beli Undi' melalui BR1M RM500 telah selesai sebelum Mei ni, tidak mustahil PRU13 boleh diadakan pada awal Jun ini kerana masa tu ialah cuti sekolah pertengahan tahun. Apa kata Anwar dalam konteks ni?

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal dari yang dijangkakan, sama ada pada Mei atau Jun ini.

Beliau berkata, pemimpin parti campuran pembangkang dalam Pakatan Rakyat semasa mesyuarat mereka baru-baru ini, menjangkakan pilihan raya umum diadakan pada bulan itu.

Katanya, mereka membuat jangkaan itu berdasarkan pada pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat bulan depan.

"Tetapi saya fikir ia akan diadakan lebih awal. Kenapa kerana saya boleh baca fikiran mereka kerana saya juga pernah antara salah seorang daripada mereka," katanya pada majlis "Sepetang dengan Anwar Ibrahim" di Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT), di Bangkok, malam tadi.

Penggal lima tahun kerajaan sekarang akan tamat pada Mac tahun depan. - Bernama

Tuesday, February 14, 2012

AWAS!!! ada 42,000 hantu di Selangor

Jangan kita lupa antara punca dan sebab musababnya Terengganu terlepas semula ke tangan BN dalam PRU11 ialah wujudnya pengundi hantu. Jumlah 'hantu' yang berjaya dikesan dalam Daftar Pemilih di 5 kawasan Parlimen kira-kira 35,000 orang. Dan hari ini, UMNO BN meneruskan agenda kejinya itu di Selangor bagi merampas kembali negeri terkaya itu. Sejumlah 42,000 'hantu' telah berjaya dikesan dalam Daftar Pemilih.

PETALING JAYA 13 FEB - Pilihanraya Umum Ke-13 wajar dibatalkan sekirannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengambil sebarang tindakan berhubung daftar pemilih yang dilihat semakin hari semakin meragukan.

Gesaan itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bersikap berpeluk tubuh walaupun setahun perkara ini dibangkitkan, sekaligus menguatkan dakwaan wujudnya unsur 'khianat'.

Menurut Anwar sejak Oktober 2011, sejumlah 42,000 dalam daftar pemilih diragui tidak didaftarkan dengan JPN.

"Oleh itu, kami menggesa SPR harus batalkan pilihanraya ini, kebanyakannya yang didaftarkan itu berumur lebih 90 tahun dan 100 tahun," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Prihatin dengan perkembangan yang membimbangkan ini, Anwar memberi contoh analisis pertambahan pengundi di negeri Selangor.

"Di Selangor umpamanya, berdasarkan analisis terperinci, beberapa kawasan Parlimen, berlaku pertumbuhan (pengundi) mendadak, Subang umpamanya, pertumbuhan pemilih 35 peratus daripada 84,000 kepada 114,000.

"Kota Raja 29.5 peratus, penambahan 21,000, Puchong 25 peratus, soal daftar pemilih itu perlu dijelaskan, tapi ini keupayaan pembangkang meneliti kerana kecurigaan terhadap kebebasan integriti atau kewibawaan SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tegas beliau, sebagai badan bertanggungjawab, SPR dan JPN perlu teliti dengan urusan kerja mereka supaya tidak timbul isu berbangkit.

"Sebab itu perlu ada mekanisma yang lebih telus, pendaftaran lebih sistematik dan makluman awal diberikan kepada semua pihak supaya dapat disemak dengan teliti.

"Dibangkitkan juga perpindahan pengundi Wilayah Persekutuan yang salah di segi undang-undang iaitu 600 pemilih dipindahkan ke alamat yang sama, ada masalah di sini.

"Jawatankuasa Parlimen Terpilih (PSC), Azmin (Ali), Dr Hatta (Ramli) dan Anthony Loke akan terus hadir dan mendesak supaya hal ini dibaiki sebelum pilihanraya akan datang,"ujarnya.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkit apabila daftar pemilih SPR mengandungi lebih 1000 senarai pengundi berusia lebih 100 tahun di Perak. - tvsnews

Sunday, February 5, 2012

PRU13 mungkin September untuk pastikan BN menang besar

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Pilihanraya umum mungkin akan diadakan seawal separuh kedua tahun ini kerana Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan kemenangan lebih besar dengan pegawai Barisan Nasional (BN) berkata perdana menteri percaya kemenangan tipis akan diperoleh sekiranya diadakan sekarang.

Pengerusi BN mengetepikan kata-kata agar dibubarkan Parlimen awal minggu ini, beberapa hari selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan agar mengambil masa untuk mendapatkan sokongan.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa suntikan dalam telah meletakkan BN akan mengulangi kemenangan dengan bilangan yang sama seperti pilihan raya umum 2008 jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi. BN memenangi 140 kerusi Parlimen, hilang majoriti dua pertiga dan tewas di empat negeri.

“Datuk Seri Najib tidak akan mengambil risiko untuk mengadakan pilihan raya. Beliau boleh tunggu memandangkan ramai yang belum bersedia,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider menambah pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sehingga April 2013.

Sumber itu menambah pentadbiran Najib percaya terlalu berisiko untuk memanggil pilihan raya umum sekarang disebabkan isu Pusat Fidlot Nasiona (NFC) dan mengenai soal kenaikan gaji untuk 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam.

“Skandal NFC menjejaskan BN. Perlu mencari jalan penyelesaian segera,” katanya,

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan mempunyai kaitan dalam projek itu walaupun keluargnya menerima pinjaman kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek ternakan lembu.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati projek itu tidak mencapai matlamat, sehingga membawa kepada pendedahan penyelewengan oleh pembangkang.

Shahrizat mengambil cuti daripada jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga minggu semasa pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal itu yang diberikan pada 2007.

Selain itu, sebab lain pilihan raya umum tidak diadakan kerana kakitangan awam tidak setuju dengan skim gaji baru yang memberikan keutamaan kepada bahagian pengurusan. Kira-kira 2,000 kakitangan di bahagian pengurusan memperoleh sekurang-kurangnya RM5,000 peningkatan tetapi di bahagian lain mendapat kenaikan hanya RM1.70 tambahan bulanan.

Sumber berkata Najib terkejut apabila kenaikan berjumlah RM2.7 bilion dalam skim gaji baru tidak dapat memuaskan kakitangan awam. Beliau kemudian mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas yang akan membuat semakan gaji sehingga 16 April, yang mana sumber BN berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan sehingga kakitangan awam mendapat apa yang mereka mahukan.

“BN perlukan sokongan kakitangan awam. Ia tidak boleh membangkitkan kemarahan mereka,” tambah sumber itu.

Najib juga berharap dapat mempertahankan “peti deposit” di Sabah dan Sarawak selain bekerja keras mendapatkan semula Selangor yang kini dipimpin Pakatan Rakyat. Parti perikatan itu juga turut menawan Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

“Ada sedikit harapan untuk mengambil semula Selangor dan mempertahankan Perak. Tetapi BN perlu bekerja keras,” kata anggota strategi BN yang enggan dinamakan.

“Selain itu, BN juga tidak mempunyai sesiapa untuk meletakkan calon sesuai untuk menjadi menteri besar Selangor,” tambahnya. Najib merupakan Pengerusi Umno Selangor sementara timbalannya Datuk Seri Noh Omar.

Selain itu, BN juga berhati-hati tentang peluangnya di Sarawak memandangkan ia tewas tujuh kerusi Parlimen. DAP kini memperoleh dua daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu.

Anggota strategik BN bagaimanapun berkata gabungan pemerintah yakin memenangi kesemua tetapi dua kerusi di Sabar, yang mempunyai 25 kerusi Parlimen.

“BN boleh menang besar jika semua isu besar diselesaikan. Sekarang Parlimen akan bersidang pada Mac dan akan meminda beberapa transformasii pilihan raya.

“Sebaik sahaja diselesaikan, mereka akan selesaikan skim gaji dan isu NFC,” katanya.

- themalaysianinsider

Tuesday, January 17, 2012

Fakta membimbangkan

Pelbagai persoalan bercampur kebimbangan kronik berlegar di benak fikiran penulis menjelang PRU13 yang dijangka pada Mac atau Jun depan. Kalau nak diambil kira di sudut isu penyelewengan para pimpinan UMNO, isu peneroka dan tanah Felda serta kebangkitan dan sokongan golongan muda pada Pakatan Rakyat, ianya bolehlah diandaikan yang UMNO BN akan tersungkur dalam PRU13. Soalnya, adakah memadai dengan petunjuk-petunjuk itu?

Entahlah... jauh di sudut hati penulis masih bimbang dan merasakan yang BN akan terus menguasai Putrajaya selepas PRU13. Antara punca kebimbangan ini ialah sikap pengundi Melayu Bumiputera dan India serta penyelewengan Daftar Pemilih yang digunakan kelak.
Daftar Pemlih

Antara kemuncak penipuan dalam Daftar Pemilih ialah dalam PRU11. Di Terengganu saja, sejumlah hampir 70,000 pengundi hantu dikesan. Tektik yang digunakan ialah seorang pemilih boleh mengundi di 10 tempat mengundi yang berbeza. Antara sasaran BN ialah di kawasan DUN dan Parlimen yang mereka tewas dengan majoriti besar dalam PRU10.

Contohnya, Parlimen Marang yang dimenangi PAS dengan majoriti besar. Dalam PRU10, Hj Hadi menang dengan majoriti 12,700. undi tapi kalah mengejut dengan majoriti 163 pada PRU11 2004. Berikut ialah keputusan rasmi SPR bagi Parlimen Marang dalam PRU10 dan PRU11.

PRU10 1999

PRU11 2004

Berdasarkan angka di atas, dalam PRU11 2004, Hj Hadi hanya kehilangan undi sebanyak 2,270 manakala undi BN meningkat secara mendadak sebanyak 10,593. Berdasarkan jumlah yang keluar mengundi antara PRU10 dan PRU11, berlaku pertambahan bilangan pengundi sebanyak 8,323 orang.

Kita fokus pada undi yang diperolehi BN dalam PRU10 dan 11. Secara matematik, hanya 2,270 undi Hj Hadi yang hilang itu pergi kepada BN. Maknanya, BN hanya memperolehi undi sebanyak 17,483 + 2,270 = 19 753 saja.

Soalnya dengan cara apakah BN mampu memperolehi undi 28,076 dalam PRU11 2009?

Jawapannya ialah 19,753 + 8,323 = 28,076. Jumlah 8,323 itu adalah pertambahan mendadak bilangan pengundi dalam Daftar Pemilih bagi Parlimen Marang. Memang sahih jumlah 8,323 itu ialah pengundi hantu.

TERBUKTI DI SINI yang UMNO BN sanggup melakukan apa saja samada 'by hook or by crook' termasuk penipuan Daftar Pemilih untuk menang. Dan itulah yang akan dilakukan dalam PRU13 kelak. Yang pasti target mereka ialah di kawasan Parlimen dan DUN yang dimenangi oleh PAS dan PKR dalam PRU12 lalu.

Walaupun dalam PRU12 Hj Hadi menang kembali di Parlimen Marang namun majoritinya tidak sebesar PRU10. Majoritinya hanya 2,747.

PRU12 2008

Namun tidak mustahil PR mampu ke Putrajaya dengan izin Allah SWT.

Thursday, December 29, 2011

9 Jan 2012 dan PRU13

Seluruh dunia akan menoleh ke Malaysia pada 9 Januari 2012 kerana pada tarikh itu Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan samada Anwar terus berada di luar atau ke dalam. Jika mahkamah memutuskan Anwar bersalah, nescaya dunia melihat sudah tiada lagi sistem keadilan di negara ini. Mahkamah dilacurkan semahunya oleh kuasa eksekutif demi kepentingan politik rakus dan rasuah. Justeru, persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia semakin buruk dan boleh memberi impak terhadap minat pelabur asing untuk melabur.

Kalau keputusan berlaku sebaliknya, ianya akan dilihat sebagai satu usaha Najib untuk meraih sokongan rakyat menjelang PRu13 tapi ianya tidak akan mengubah persepsi antarabangsa terhadap sistem keadilan dan kehakiman negara yang telah sekian lama dilacurkan. Mungkin ianya positif bagi politik domestik.

Najib tentunya tidak sanggup menghadapi kekalahan dan kehilangan Putrajaya dalam PRU13 nanti, apatah lagi jawatan PM yang disandang sekarang bukannya mandat rakyat. Sekadar penyerahan jawatan oleh Pak Lah. Dan belum pernah berlaku dalam sejarah negara bila jawatan PM diperolehi secara 'hand-over' dan dipegang begitu lama melainkan Najib sorang. Mantan PM Mahathir dan Pak Lah sendiri turut membubarkan Parlimen selepas beberapa bulan memegang jawatan PM bagi mendapat mandat baru rakyat. Igauan buruk yang paling menakutkan Najib bila dirinya disebut-sebut sebagai PM terakhir UMNO.

Atas ketakutan itu, maka Najib melancarkan projek pemberian IC percuma kepada warga asing khususnya Indonesia bagi tujuan memenangkan BN dalam PRU13, diikuti dengan pemberian 'one-off' Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 bagi golongan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan bantuan sekolah RM100 yang dilihat banyak pihak sebagai satu usaha terdesak 'membeli undi'.

Walau pemberian 'one-off' itu sebagai tektik lapuk, namun tidak boleh dipandang remeh oleh Pakatan Rakyat kerana dah terbukti golongan Melayu Bumiputera memang mudah layu bila dapat duit macam tu walhal ianya satu 'perangkap maut' buat mereka bila BN terus diberi mandat kelak.

Percaturan Politik

Perlu diakui bahawa Mahathir ialah orang yang sangat licik dan bijak membuat percaturan politik tanahair bagi memastikan UMNO terus berkuasa dalam negara. Selepas memfitnah dan memenjarakan Anwar dalam kes fitnah liwat I, si mamak tua itu melihat wujud satu gelombang yang agak besar bila mana UBN hilang Terengganu dan hanya tinggal batu nesan di Kelantan serta hilang beberapa kerusi Parlimen dan DUN di Kedah, Penang, Perak, Selangor dan Pahang.

Mahathir sedar jika dia tidak berundur sebelum PRU11, kemungkinan gelombang PRU10 berterusan hingga ke PRU11 ekoran sentimen kebencian rakyat padanya. Demi memastikan kesinambungan dan kelangsungan kuasa UBN, akhirnya dia bersetuju mengundurkan diri pada 2003 dan menyerahkan jawatan PM kepada Pak Lah.

Walau Mahathir sedar Pak Lah tiada kredibiliti sebagai orang No.1 tapi 'benchmark' yang ada pada diri Pak Lah sebagai Mr Clean dan anak cucu ulama' dilihat mampu memulihkan keyakinan rakyat pada BN khususnya UMNO.

Dan percaturan itu berjaya bila UBN mencatat sejarah menguasai hampir 98 peratus kerusi Parlimen dalam PRU11. Antara tindakan Pak Lah yang berjaya mencuit hati rakyat sebelum membubarkan Parlimen ialah pendakwaan terhadap kroni dan mantan kabinet Mahathir, Eric Chia dan Kasitah Gaddam.

Sikap Pengundi

Antara 3 kumpulan pengundi terbesar Malaysia, bolehlah penulis kategorikan sebagai berikut;

Pengundi Cina - golongan 'money-maker' dan pembayar cukai terbesar ini melihat di sudut ekonomi dan peluang bisnes. Mereka tak peduli siapa yang memerintah. Asalkan senang buat duit okay. Namun sejak Pakatan Rakyat memerintah 4 negeri dan Penang diketuai oleh DAP dan terbukti berjaya memerintah secara telus dan berintegriti, kini mereka lebih yakin dengan Pakatan Rakyat.

Pengundi Melayu - golongan buta politik yang terkongkong dengan doktrin politik perkauman kuno. Mudah diperbodohkan dengan habuan dunia. Masih termakan dengan propaganda murahan politik jalanraya, elektrik, sekolah, hospital. Sukar untuk menelah sikap mereka kecuali dah kena pada batang hidung sendiri barulah nak sedar.

Pegundi India - golongan yang tak tahu apa yang mereka mahu. Juga masih terikat dengan sentimen kaum. Berlaku anjakan dalam PRU12 ekoran gelombang makal sakti oleh Hindraf. Namun tiada jaminan ianya berterusan.

Isu Rasuah

Belum pun reda dengan isu cincin RM24 juta bininya, Najib dibebani pula dengan skandal penyelewengan peruntukan RM250 juta Projek Lembu Fidlot yang melibatkan Ketua Wanita UMNO dan Menteri Kabinetnya, Shahrizat Jalil. Pendedahan yang dibuat oleh PKR di Parlimen benar-benar menggegarkan 'tiang-seri' UMNO hingga ada di kalangan Ahli Parlimen mereka sendiri marah dan mendesak Shahrizat meletakkan jawatan segera.

Sejak skandal Lembu Fidlot terdedah, Najib dilihat cuba memujuk dan menyantuni rakyat dengan tindakan SPRM dan pihak Polis menahan dan menyiasat seorang yang bergelar Datuk yang dikatakan terlibat dengan penyelewengan itu.

Dan sejak beberapa hari ini akhbar dan media perdana milik UMNO tak henti-henti menyiarkan berita individu-individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan dan rasuah.

Seperti biasa, sekali lagi rakyat mahu diperbodohkan dengan penahanan golongan perasuah 'ikan bilis' agar dilihat kerajaan serius menangani gejala keji itu sedangkan penyelewengan berbilion wang rakyat yang dilakukan oleh pemimpin negara dan negeri terus disenyapkan oleh SPRM.

Persoalannya, kenapa suami Shahrizat tidak ditahan dan disiasat? Bukankah Ketua Betina UMNO itu sendiri mengakui bahawa dia hanyalah isteri kepada CEO syarikat yang diberikan projek Lembu Fidlot itu.

PRU13

Samada mahkamah memutuskan Anwar bersalah atau tidak, ianya tetap memberi masalah kepada Najib dan UBN. Mungkin ada sedikit kesan positifnya pada pengundi atas pagar jika Anwar didapati tidak bersalah kerana mahkamah dilihat seolah-olah bebas dari pengaruh kuasa eksekutif. Namun ianya tidak akan mengubah sikap pengundi tegar BN dan Pakatan Rakyat.

Tidak dinafikan peranan 'third-force' tidak boleh diketepikan begitu saja sebagai penentu siapa yang akan ke Putrajaya.

Dalam PRU12, gelombang yang wujud hasil daripada Himpunan Bersih 2007 dan Makal-Sakti (Hindraf) telah berjaya menyedarkan rakyat hingga Pakatan berjaya merampas 4 negeri lagi selain Kelantan.

Justeru, masih ada masa untuk Pakatan Rakyat menjalinkan hubungan baik dengan kumpulan 'third-force' yang sedia wujud hari ini. Bersedia menerima cadangan dari mana-mana kumpulan yang sedia membantu ke arah kemenangan tanpa menggadaikan prinsip dan matlamat perjuangan. Yang penting ASALKAN BUKAN UMNO BN.

Insya'Allah, Pakatan Rakyat mampu ke Putrajaya dengan syarat ketiga-tiga parti perlu berlapang dada.

Friday, November 11, 2011

PRU13 Mac depan???

Najib dan Rosmah baru balik haji. Dapat haji marlboro atau maberuk. Jemaah haji lain selesai buat haji paling awal pada 12 Zulhijjah tapi pasangan munafiq negara itu bereskan hajinya pada 10 Zulhijjah. Tengok je gelagat si Rosmah, kita boleh nilai sendiri. Bukan penulis yang pertikai tapi Mufti Perlis sendiri hairan macamana pasangan No.1 boleh begitu cepat selesaikan hajinya.

Bukanlah penulis nak buruk sangka tapi dah termaktub dalam Al Qur'an darihal perangai golongan munafiq (penentang Islam No.1) yang sanggup melakukan apa saja termasuk berpura-pura beriman untuk menipu golongan yang beriman.

Tanpa sedar, segala tipu-daya mereka digagalkan oleh Allah dan mereka sebenarnya hanyalah menipu diri sendiri.

Mungkin Najib fikir lepas balik Haji rakyat makin suka padanya. Yang lucunya, setibanya dia di tanahair, terus buat kenyataan yang Raja Abdullah Arab Saudi menyukai dan menyokong cara beliau mengetuai kerajaan. Adakah kenyataan itu mahu mengimbangi pengaruh Anwar yang memang cukup dihormati oleh pemimpin negara Arab.

Najib cukup sedar kedudukan dirinya sebagai orang No.1 memang tidak selamat. Kredibilitinya sebagai PM mula menjunam ekoran penyelewengan dalam pembelian Scorpene yang mendapat liputan di peringkat antarabangsa. Juga isu pembunuhan kejam Altantuya, seorang ibu muda yang terlibat secara langsung dalam urusan perjanjian pembelian kapal selam sebagai jurubahasa.

Memang dah menjadi adat orang Melayu sejak turun-temurun yang beranggapan orang yang dah pergi Haji akan masuk Syurga. Justeru, Najib mengambil pendekatan 'pergi Haji' bagi meraih kembali sokongan rakyat.

Sebab itu banyak spekulasi yang mengatakan Najib akan membubarkan Parlimen selepas pulang dari Mekah. Malahan penulis turut menerima SMS yang mengatakan Parlimen bubar pada hari ini (11.11.11) kerana Najib gemar pada angka 11.

Selain daripada kerja-kerja penipuan pihak JPN dan SPR dalam Projek MyKad, Najib juga bergantung kepada maklumat pihak inteligen Polis (SB) dan Tentera (Risik) sebelum membubarkan Parlimen.

Satu faktor yang tidak boleh dinafikan oleh Najib sendiri ialah Mahathir. Sayugia diingat, Mahathir adalah satu-satunya bekas PM dan Presiden UMNO yang cukup licik dan jahat dalam strategi politiknya.

Jangan kita lupa sejarah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada 1983 adalah perancangan licik jangka panjang Mahathir untuk 'mematikan' pengaruh PAS yang semakin berkembang masa itu. Dan memang strategi tersebut berjaya menyekat kemaraan PAS dengan penampilan Islamik Anwar semasa menerajui ABIM.

Baru-baru ini Mahathir buat kenyataan bahawa BN akan berhadapan risiko besar kalah teruk jika PRU13 diadakan tahun ini. Tambahnya, adalah lebih baik jika Parlimen dibubarkan hujung tahun 2012 kerana ia akan menyusahkan Pakatan Rakyat.

Penulis tak begitu pasti adakah kenyataan si tua itu sekadar 'reverse psycology' atau memang itulah hasratnya. Tentunya Mahathir cukup bimbang jika Pakatan Rakyat yang menguasai Putrajaya dalam PRU13 nanti sebab dirinya juga turut tak selamat. Begitu juga dengan kedudukan anak-anaknya, khususnya Mukhriz yang disebut antara lelaki terkaya di Malaysia.

Mahu tak mahu, Najib terpaksa mengambil kira pandangan orang yang selicik Mahathir. Kecualilah kalau Najib dah cukup confident yang BN akan menang besar dalam PRU akan datang.

Selain menghadapi masalah kredibiliti, Najib juga turut dikritik oleh Shahbudin Husin, seorang ahli UMNO melalui sebuah buku bertajuk 'Kesilapan-Kesilapan Najib'. Khabarnya buku tersebut tidak sempat berada di dalam pasaran walau sudah dicetak puluhan ribu naskah kerana Najib telah membeli kesemuanya bagi menghalang ianya terjual kepada umum. Hanya segelintir saja yang berjaya mendapatkannya.

Penulis difahamkan buku tersebut bukanlah seperti buku politik biasa tetapi ditulis dalam bentuk fakta. Malah penulis buku itu turut menegaskan bahawa Najib adalah PM terakhir.

Adakah teori R-A-H-M-A-N bakal menjadi kenyataan? Wallahu'alam.

Penulis merasakan paling awal PRU13 ialah pada Mac 2012 atau mungkin lewat lagi. Kalau nak diadakan pada bulan Disember tahun ini, mungkin negara akan dilanda banjir besar seperti Thailand. Tambahan pula, sejak beberapa tahun kebelakangan ini banjir yang teruk berlaku ialah di negeri-negeri seperti Johor, Kedah dan Perak.

Selain faktor banjir, tentunya Najib mahu merealisasikan terlebih dahulu Bajet 2012 yang dibentangkan tempohari.

Walaupun Najib dan bala tentera munafiqnya merancang pelbagai macam konspirasi dan penipuan untuk menang dalam PRU, namun jangan dilupa akan perancangan Allah. Sesungguhnya perancangan Allah jua yang pasti berlaku.

Waima apa pun, kita tunggu sajalah.

Sunday, April 24, 2011

Yakinkah Najib hadapi PRU13?

Logiknya bila dah menang dengan majoriti dua pertiga dalam PRN Sarawak, tentulah Najib akan segera membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat ini. Paling awal pada Jun tapi ada sumber menyebut bulan Oktober. Sumber lain beritahu pada Mac 2011. Tentunya para penganalisa dan pemerhati politik telah membuat prediction masing-masing mengenainya. Begitu juga di kalangan ahli-ahli politik di kedua belah pihak.

Dah jadi satu amalan jakun dalam negara ini bila tarikh pembubaran Parlimen dirahsiakan dari pengetahuan umum. Tidak seperti negara lain yang mengisytiharkan kepada umum bilakah tarikh pembubaran Parlimen mereka bagi pilihanraya berikutnya.

Persoalannya sekarang, apakah Najib benar-benar yakin untuk mengadakan PRU13 secepat mungkin?

Cuba kita selusuri beberapa fakta bagi menilai samada anak Tun Razak itu confident atau sebaliknya.

1- Kenapa Peguam Negara mengarahkan Polis menyiasat semula kes video lucah itu sedangkan Polis dah mengesahkan lelaki dalam video itu bukan Anwar?

2- Mengapa Polis tidak bertindak terhadap trio Datuk T?

3- Ada sumber menyebut anggota Rela, isteri Polis dan Tentera akan dimasukkan sebagai pengundi pos.

4- Bagaimana Counting Agent bagi pihak Pakatan Rakyat dinafikan hak Borang 14 oleh Ketua Tempat Mengundi si sesetengah tempat?

5- Kenapa SPR masih enggan melaksanakan penggunaan dakwat jari dalam pilihanraya?

Kesemua fakta di atas menggambarkan bahawa UMNO BN begitu resah nak hadapi PRU13 atas beberapa sebab utama. Antaranya;

1- Pengundi Cina memang dah tak percaya dengan BN sejak PRU12 lagi. Dan kemenangan DAP di 12 kerusi DUN Sarawak mengesahkan lagi fakta itu. Kesannya amat buruk kepada MCA, rakan komponen terbesar UMNO dalam BN. Sekiranya pengundi Cina terus menolak BN dalam PRU13, secara tak langsung MCA boleh berkubur begitu saja.

2- UMNO sedar pengundi Melayu ialah aset mereka, namun timbul masalah besar bila pengundi muda semakin menjauhi parti Melayu hapraq itu sekarang. Sampai bila UMNO mahu bergantung kepada pengundi Melayu di saluran 1 dan 2. Apakah diyakini pengundi di dua saluran ini akan terus setia memberi undi mereka? Jelasnya, UMNO amat memerlukan sokongan Cina untuk kekal berkuasa.

3- Kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah dengan telus dan berhemah di 4 buah negeri sebenarnya telah menyedarkan sebahagian besar rakyat di 4 negeri itu, khsusunya orang Melayu sendiri. Penulis dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa kakak iparnya penyokong kuat UMNO di Selangor sebelum PR memerintah. Bila kerajaan PR Selangor memberikan air percuma 20 meter padu seluruh rakyatnya, bantuan RM2,000 kepada setiap anak Selangor yang berjaya ke menara gading, sumbangan RM2,500 kepada ahli keluarga yang meninggal dunia, tanpa diduga memberi keinsafan kepada kakak iparnya. Kini menjadi penyokong kuat PR dan telah menyertai PAS.

4- Lebih menggerunkan Najib bila hasil risikan SB Polis dan tentera menunjukkan UBN bakal kehilangan 4 negeri lagi. Yaitu Perlis, Perak, Terengganu dan Pahang. Seandainya risikan ini hampir tepat, bermakna UBN hanya mampu bertahan di Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak saja.

Apa yang penting adalah tekad untuk berubah. Sewajibnya seluruh rakyat negara ini menyimpan tekad yang kuat untuk menumbangkan kerajaan UBN yang sangat zalim dan korup. Cukuplah dengan segala penyelewengan dan penipuan yang dilakukan mereka selama ini. Kehidupan rakyat bukan semakin senang malah terus dibebankan dengan kenaikan harga barangan dari masa ke semasa dalam keadaan pendapatan isi rumah tidak meningkat.

Baru-baru ini penulis sempat singgah di Brunei Darussalam dalam perjalanan pulang dengan kenderaan dari Kuching ke Kota Kinabalu. Harga petrol di negara itu ialah 53 sen seliter. Dan pendapatan seorang guru siswazah di Brunei kira-kira BND5,000 sebulan. Rakyat Brunei benar-benar dapat menikmati kekayaan negaranya. Pendapatan tinggi dan harga petrol rendah. Sama juga keadaannya di Arab Saudi.

Kadang-kadang penulis hairan bagaimana orang Melayu boleh percaya dengan propaganda pemimpin UMNO dalam soal harga petrol ini. Kita biasa dengar pemimpin negara memperbodohkan orang Melayu dengan berkata "Harga petrol di Singapura lebih mahal dari Malaysia."

Perlu diingat Singapura tiada hasil petroleum. Negara itu terpaksa mengimport minyak dari luar bagi keperluan rakyatnya. Berbeza dengan Malaysia yang ada hasil petroleum yang banyak tapi rakyat dibebankan dengan harga petrol mahal.

Sebab apa mahal? Sebab negara dah takde duit dek perbuatan rasuah dan penyelewengan yang teruk akibat ketamakan dan kerakusan pemimpin UBN yang merompak segala kekayaan negara jadi milik peribadi, keluarga dan kroni.

Jadilah rakyat yang bijak dan bermaruah.

Wednesday, April 13, 2011

17 kerusi dalam tangan, 11 jadi rebutan?

KUCHING, 13 April: Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak.

"Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN.

Ianya juga ditambah dengan faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.

"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.

Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi.

- harakahdaily

Tuesday, December 21, 2010

PRU13 pada 2012

Ramai di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat begitu yakin PRU13 pada bulan Mac atau April 2011. Jangkaan ini ekoran pilihanraya DUN Sarawak pada April depan dan Najib dijangka akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan serentak. Namun penulis menjangkakan PRU13 hanya akan diadakan selewat-lewatnya bulan Mac 2012. Ada beberapa faktor utama yang akan diambil kira oleh Najib sebelum membubarkan Parlimen. Adalah hampir mustahil jika Najib bertindak membubarkan Parlimen pada Mac depan dalam keadaan BN terumbang-ambing. Tersilap percaturan memilih tarikh, padah besar akan menimpa. Apatah lagi bila menyedari peluang BN di Sarawak 50-50 menjelang PR negeri itu pada April depan.

Isu Kenaikan Harga

Najib dilihat agak berhati-hati bila menaikkan harga petrol, diesel, gas dan gula baru-baru ini. Media perdana yang dikuasai oleh BN turut tidak melaporkan kenaikan harga tersebut secara rasmi sebagaimana biasa. Yang mungkin membingungkan Najib bila tiada sebarang demonstrasi dibuat setakat ini oleh Pakatan Rakyat dan NGO bagi membantah kenaikan itu. Yang ada sekadar kenyataan media oleh Pakatan Rakyat. Manakala di pihak rakyat hanya diam membisu seolah-olah tak ambil pusing langsung. Situasi sebegini sudah tentu menggusarkan Najib. Adakah rakyat setuju atau akan bertindak-balas dalam PRU13 nanti?

Isu Syabas

Selain dari isu kenaikan harga, isu penyelewengan yang berlaku di dalam perjanjian konsesi antara Syarikat Air Selangor (Syabas) dengan Kerajaan Pusat semasa BN menerajui Selangor turut memeningkan kepala Najib dan pimpinan UMNO Selangor. Dan baru-baru ini ribuan rakyat berbaju merah menyertai perarakan bersama MB Khalid Ibrahim ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong berhubung penyelewengan air tersebut. Selama ini rakyat Selangor telah ditipu oleh kerajaan BN melalui syarikat kroni Syabas dengan tarif air yang menggila. Macamana air tak mahal, sebab nak bayar gaji CEO Syabas saja sebanyak RM480,000 sebulan. Setahun RM5.2 juta.

Penulis ucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor yang telah bertindak tegas terhadap Syabas dengan menarik-alik lesen syarikat 'ala Yahudi' itu demi kepentingan rakyat jelata. Tidak zalimkah lagi namanya jika air ciptaan Allah untuk kegunaan seluruh makhluknya telah dijadikan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Rakyat dipaksa membayar dengan harga mahal untuk mendapatkan bekalan air bersih manakala tauke Syabas dan para pemimpin UMNO negeri hidup mewah hasil bisnes air.

Cubalah direnung sejenak jika masih ada sekelumit iman di dada.

Persempadanan Semula

Merujuk kepada tindakan karut Speaker menggantung Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan 4 orang Ahli Parlimen (AP) PR baru-baru ini, penulis yakin ada agenda tersembunyi bakal dilaksanakan oleh BN. Yang pasti membolehkan BN dapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dengan sokongan 5 AP Bebas. Dengan majoriti ini, maka usul Persempadanan Semula kawasan pilihanraya akan diluluskan. Dan pastinya negeri yang terlibat dengan proses persempadanan ini ialah Sabah dan Sarawak. Negeri 'fix-deposit' BN.

Justeru, Najib akan jadikan PR DUN Sarawak sebagai penanda aras bagi menentukan tarikh PRU13. Jika BN masih dominan di Sarawak, bermakna PRU13 akan disegerakan.

Jika berlaku sebaliknya, bermakna Najib masih ada tempoh bertenang untuk menyusun strategi 'menipu' yang akan menjamin BN terus menguasai Putrjaya dalam PRU13, seterusnya menyelamatkan dirinya daripada didakwa di mahkamah ekoran kes pembunuhan Altantuya. Salah satu strategi menipu ialah dengan melakukan persempadanan semula
di negeri dan kawasan kubu kuat BN.

Persoalannya, apakah Najib sanggup mempertaruhkan nasib BN dengan mengadakan PRU13 serentak dengan PR DUN Sarawak? Dengan seluruh instrumen kerajaan yang dikuasainya, sudah tentu Najib sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kedudukannya sebagai PM selamat. SPR yang telah terbukti menjadi pecacai UMNO BN pastinya akan melakukan sesuatu yang 'luar biasa' menjelang PRU13 nanti. Kita tunggu dan lihat saja.

Tawan Putrajaya

Penulis bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menegaskan jangan terlampau obses untuk ke Putrajaya. Yang lebih utama PR perlu fokus kepada gerakerja bersepadu bagi menghadapi PRU13. Kenyataan sinis ini memang dituju kepada PKR yang mabuk kuasa.

Dalam konteks tawan Putrajaya, penulis melihat PKR terlampau mabuk dan begitu yakin sekali. Malahan Anwar sendiri tak habis-habis dengan propaganda "PR akan menawan Putrajaya dalam PRU13". "Kalau saya jadi PM, Lim Kit Siang akan dilantik sebagai TPM". Penulis tak tahulah samada Anwar sedar atau tidak bahawa kenyataan sedemikian menyebabkan rakyat semakin meluat setelah janji-janjinya sebelum ini gagal. Ditambah dengan kemelut yang berlaku dalam partinya sendiri menyebabkan sebilangan besar pengundinya mungkin lari.

Tidak keterlaluan jika boleh disebut yang PKR bakal kehilangan banyak kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Ada beberapa sebab. Antaranya, sebahagian daripada pengundi Melayu Bumiputera yang mengundi PKR dalam PRU12 akan kembali menyokong BN ekoran hilang kepercayaan terhadap parti itu. Malah ada sumber menyebut ramai di kalangan pimpinan PKR samada di peringkat Pusat, Negeri dan Cabang akan bertindak meninggalkan parti menjelang PRU13. Pengundi India yang bangkit dalam PRU12 dijangka akan kembali semula kepada MIC setelah pengunduran Samy Vellu. Juga pendekatan kerajaan BN yang mula berlembut dengan Hindraf dilihat sebagai tindakan memujuk orang India.

Manakala pengundi PAS dan DAP dijangka kekal.

Dalam menghadapi PRU13, PR perlu fokus kepada isu yang melibatkan rakyat seluruhnya. Seperti isu kenaikan harga minyak dan gula. Isu sebegini mesti terus dihidupkan sehingga pembubaran Parlimen. Sebab salah satu 'penyakit keturunan' yang melanda rakyat khususnya Melayu dan Bumiputera ialah mudah lupa.

Betul juga kata si mamak tua tu. Melayu mudah lupa. Sebab itulah di zaman pemerintahannya, habis segala hak kepentingan orang Melayu dirampas seperti biasiswa dan tanah. Segala kekayaan negara habis dirompak untuk diri, keluarga dan kroni. Namun orang Melayu UMNO tetap setia bersama parti hapraq itu walau dah kena tipu berpuluh kali. Kesian Melayu UMNO... Apa nak buat. Itulah akibatnya jika menyokong parti sekular yang menentang Islam. Balasannya hina di dunia dan kelak di Akhirat akan dihumban ke dalam Neraka.

Hari ini telah terbukti kejayaan ANAK yang dipengerusikan oleh Mazlan Aliman telah berjaya menggoncang tiang seri Putrajaya hingga Najib dan Felda tak senang duduk. Mazlan sendiri bagitau penulis bahawa sepanjang 15 tahun beliau fokus kepada isu Felda ini dengan mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan bagi membela nasib peneroka yang selama ini telah ditipu dan ditindas bulat-bulat.

Waima apa pun, penulis meramalkan PRU13 hanya akan diadakan selepas 8 bulan PR DUN Sarawak atau Mac 2012.

Salam4all.

Friday, August 13, 2010

PRU13 dijangka November ini.

PM Najib dijangka akan membubarkan Parlimen pada bulan November ini bagi membolehkan PRU13 diadakan serentak dengan pilihanraya DUN Sarawak. Keputusan ini diambil ekoran kembimbangan Najib terhadap kedudukan kerusi DUN BN Sarawak jika dibiarkan negeri itu mengadakan pilihanraya sendiri.

Ada sumber menyebut dalam perbincangan antara Najib dengan Taib Mahmud di Paris baru-baru ini, Ketua Menteri itu lebih yakin BN akan menang besar kerusi DUN jika Sarawak saja yang menghadapi pilihanraya tersebut. Tak perlu serentak dengan PRU. Tapi Najib pula tak percaya dengan jaminan Taib malah bimbang BN akan kehilangan banyak kerusi DUN sekiranya Sarawak bersendirian dalam PR tersebut.

Faktor lain yang mungkin mempengaruhi Najib bila Mahathir sendiri menyatakan BN mampu meraih kembali majoriti dua pertiga jika pilihanraya diadakan tahun ini.

Jika benarlah bagai apa yang dikata, kemungkinan besar PRU-13 akan diadakan kira-kira 90 hari dari sekarang. Kebarangkalian ini tidak boleh diketepikan begitu saja kerana ada tanda-tanda lain seperti keputusan kerajaan menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan trafik buat sementara waktu bagi membolehkan pemandu 'blacklist' memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mereka bermula dari 11 Ogos 2010 hingga 28 Feb tahun depan.

Selain daripada itu, tiada jalan lain untuk Najib meneruskan agenda 'melingkupkan' negara melainkan berkehendak kepada mandat baru majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat.

Kita tunggu bajet 2011 selepas 'Idilfitri ini. Antara 'indikator besar' PRU Nov ialah pemberian bonus kepada kakitangan awam. Mungkin bonus 2 bulan gaji atau sekurang-kurangnya sebulan dan beberapa 'imbuhan' bagi melunakkan hati rakyat buat seketika sebelum 'dirampas' balik hak rakyat setelah menang besar dalam PRU.

Waima apa pun. Pakatan Rakyat juga jangan leka dibuai oleh rasa 'syok sendiri' walaupun mempunyai advantage di sudut isu nasional serta sokongan padu pengundi Cina di seluruh negara.

Bagi merealisasikan hasrat 'Road To Putrajaya', PR memerlukan sekurang-kurang 20% swing pengundi Melayu secara keseluruhan. Jika ini tidak dapat dicapai, bermakna impian untuk melihat UBN berkubur masih jauh.

Saya meramalkan tiada berlaku lonjakan besar di pihak pengundi Melayu dalam PRU13 nanti. Ini berdasarkan kepada keputusan PRU-10, 11 dan 12 jelas menunjukkan sikap pengundi Melayu adalah statik. Jika ada perubahan pun pada skala +/- 2% sahaja. Malah ada yang melihat senario mutakhir ini mempengaruhi sikap sebahagian besar pengundi Melayu kembali menyokong UBN dalam PRU akan datang.

Doktrin hanya UMNO satu-satunya parti pembela Melayu masih menebal dalam jiwa orang Melayu bebal yang buta Islam. Sebab itulah pengaruh fahaman khurafat ini masih menghantui jiwa mereka serta menguntungkan UMNO di sudut survival kuasa politik.

Untuk memecahkan 'tembok' fahaman khurafat ini memerlukan usaha yang berterusan. Hanya dengan 'siraman' Nur Ilahi sajalah mampu menyucikan segala kekotoran karat-marat fahaman songsang tersebut.

Dalam konteks ini PR perlu lebih proaktif. Jangan mudah merasa seronok dan puas bila melihat program kita mendapat sambutan hebat pelbagai lapisan masyarakat. Tanpa sedar yang hadir adalah orang yang sama.

Selamat Berpuasa - 3 Ramadhan 1431

Saturday, February 13, 2010

Merenung Sejenak Keputusan PRU12....

PRU12 lalu kita menyaksikan 'tsunami' besar melanda UBN ekoran 'full swing' yang dilakukan oleh pengundi Cina dan India. Yang paling mengejutkan dalam sejarah PRU ini apabila pengundi India benar-benar 'mengajar MIC. Daripada 166 kerusi Parlimen di seluruh Semenanjung + WP Labuan, UBN menguasai 85 kerusi manakala Pakatan Rakyat 81 kerusi. Dan tercatat dalam sejarah, UBN kehilangan majoriti 2/3.

Analisa Ringkas

Analisa ini hanya untuk di Semenanjung (termasuk Labuan)

Secara keseluruhan jumlah pemilih berdaftar dalam PRU12 berjumlah 9,212,069. Secara purata, yang keluar mengundi seramai 7,070,862 (76.8%).

Daripada jumlah 7,070,862 undi, UBN mendapat 3,444,386 (48.71%), Pakatan Rakyat 3,461,318 (48.95%) dan Bebas hanya 11,403 (0.16%) undi. Undi rosak sebanyak 153,755 (2.17%)

Jika kita lihat di sudut jumlah undi rakyat keseluruhan, Pakatan Rakyat berjaya mengalahkan UBN dengan kelebihan undi 16,932. Tapi oleh kerana sistem pilihanraya di negara kita bergantung pada jumlah kerusi yang dimenangi, maka UBN masih mendahului dengan kelebihan 4 kerusi. Jika tanpa Sabah dan Sarawak, sudah tentu kerajaan campuran terbentuk.

Kelebihan yang ada pada UBN dalam konteks ini apabila berlaku Persempadanan Semula kawasan pilihanraya di seluruh negara. Dan perlu kita sedar, persempadanan yang dibuat oleh SPR (salah satu cawangan UMNO) adalah tidak adil. Matlamat sebenar adalah semata-mata untuk memenangkan UBN.

Persoalannya, jika benar SPR telus, kenapa Kelantan dan Terengganu dikecualikan dari proses ini ??? Anda boleh menjawabnya...

PAS

PAS telah bertanding di 66 kerusi Parlimen dan hanya berjaya memenangi 23 kerusi daripadanya. UBN 43 kerusi.

Secara purata peratusan pengundi Melayu (79.58%), Cina (14.65%) dan India (4.62%).

Jumlah pengundi berdaftar bagi kawasan yang ditandingi oleh PAS seramai 3,279,280 orang. Yang keluar mengundi seramai 2,621,452 (79.94%). Daripada jumlah ini, PAS memperolehi sebanyak 1,188,162 (45.32%) undi manakala UBN 1,379,867 (52.64%) undi. Undi rosak sebanyak 51,536 (1.97%)

PAS ketinggalan undi sebanyak 191,705 undi.

PKR

PKR telah bertanding di 62 kerusi Parlimen dan hanya berjaya memenangi 32 daripadanya. UBN 30 kerusi.

Secara purata peratusan pengundi Melayu (60.85%), Cina (28.99%) dan India (9.78%).

Jumlah pengundi berdaftar bagi kawasan yang ditandingi oleh PKR seramai 3,597,466 orang. Yang keluar mengundi seramai 2,734,497 (76.01%). Daripada jumlah ini, PKR memperolehi sebanyak 1,282,856 (46.91%) undi manakala UBN 1,380,128 (50.47%) undi. Undi rosak sebanyak 64,893 (2.37%)

PKR berjaya mendahului dengan kelebihan 2 kerusi walau di sudut undi masih ketinggalan sebanyak 97,272 undi.

DAP

DAP telah bertanding di 35 kerusi Parlimen dan berjaya menguasai 26 daripadanya. UBN 9 kerusi.

Secara purata peratusan pengundi Melayu (27.69%), Cina (60.42%) dan India (11.47%).

Jumlah pengundi berdaftar bagi kawasan yang ditandingi oleh PKR seramai 2,191,813 orang. Yang keluar mengundi seramai 1,638,683 (74.76%). Daripada jumlah ini, DAP memperolehi sebanyak 971,400 (59.28%) undi manakala UBN 630,777 (38.49%) undi. Undi rosak sebanyak 35,624 (2.17%)

DAP berjaya menguasai 74% kerusi yang ditandinginya dan mendahului undi sebanyak 340,623 undi.

Kesimpulan

PAS berjaya di Kelantan dan Kedah. Di Kelantan, PAS berjaya memenangi 9 daripada 11 kerusi yang ditandinginya. Manakala di Kedah menguasai 6 daripada 8 kerusi. Dan selebihnya di Terengganu 1(8), Perak 2(7), wilayah Persekutuan 1(2) dan Selangor 4(7).

Secara keseluruhan, PAS masih gagal meraih sokongan pengundi Melayu di seluruh negara. Hal ini perlu diberikan perhatian serius.

PKR boleh dikatakan berjaya setakat ini kerana menguasai 52% kerusi yang ditandinginya. Di Kedah PKR menang 6(7), Kelantan 3(3), Penang 4(4), Perak 3(10), Pahang 2(6), Selangor 9(11), Wilayah 4(5), Negeri Sembilan 1(3).

Dan yang paling cemerlang ialah DAP. Kerusi yang dimenangi oleh DAP ialah di Penang 7(7), Perak 6(7), Selangor 4(4), Wilayah 5(5), N.Sembilan 2(2), Melaka 1(2) dan Johor 1(6).

Semua pihak mengakui kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam PRu12 lalu hasil daripada sokongan padu pengundi Cina dan India. Manakala sikap pengundi Melayu masih statik. Yang paling mengecewakan sikap pengundi Melayu di Pahang, N.Sembilan, Melaka dan Johor. Tak tahulah bila lagi pengundi Melayu ni nak sedaq diri.

Persoalannya, apakah momentum PRU12 masih berterusan sehingga PRU13 ? Jika berlaku sebaliknya, apakah persediaan Pakatan Rakyat pada ketika ini ???

Adios.

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger