Monday, November 7, 2011

PAS sokong piket MTUC

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan piket kebangsaan seramai 500 orang pekerja yang dianjurkan seluruh negara oleh MTUC telah menyampaikan mesejnya kepada kerajaan Umno-BN.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, PAS tidak mengerahkan ahlinya supaya turun menyertai perhimpunan, tetapi menegaskan PAS menyokong supaya kebaikan pekerja dijaga oleh majikan dan kerajaan.Menurutnya, selepas Akta Pekerja 1955 dipinda menyebabkan majikan bebas dari semua perkara termasuklah kesatuan, perjanjian pekerja, cuti tahunan, cuti sakit, socso, EPF, dan skim persaraan.

“Melihat kepada sambutan pekerja dalam perhimpunan, saya melihat mesej bantahan sampai kepada kerajaan Umno-BN kerana pindaan akta itu lebih banyak keburukan,” katanya ketika ditemui.

Piket besar-besaran anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 di seluruh negara bermula petang 3 November lalu.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan juga parti-parti politik berhimpun di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut.

Sejak kira-kira jam 5 petang, ahli kesatuan mula berhimpun. Turut hadir, beberapa pemimpin Pakatan dan PSM. Antara mereka ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar. Turut memberi sokongan adalah beberapa wakil rakyat, termasuk Wong Ho Leng dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Pekerja membentangkan hampir 10 kain rentang membantah pindaan akta kerja itu. Mereka juga membawa plakad yang tertulis “Jangan Gadai Hak Pekerja” dan “Menteri Tipu Pekerja.”

Mereka melaungkan “Henti Pindaan”, “Turun Menteri”, Tarik Balik Pindaan Akta” dan “Hidup MTUC” beberapa kali. Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang memerhatikan piket itu dari kawasan yang berdekatan. Di Pulau Pinang, hujan yang mencurah tidak menghalang kira-kira 1,000
orang daripada berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada MTUC. Pekerja berbaris di jalan utama menuju Prai dan juga membawa sepanduk yang tertera mesej yang hampir sama.

Di Melaka, seramai 400 orang berhimpun secara aman. Perhimpunan yang diadakan bermula jam 5.15 petang tadi itu, turut mewakili seramai 426,000 pekerja di negeri ini. Di Petaling Jaya, kira-kira 90 ahli MTUC mengadakan piket di depan Wisma Kesatuan Sekerja. Piket ini diketuai Setiausaha Agung MTUC, Halim Mansor. Ia bermula jam 5.10 petang dengan peserta memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap pindaan akta berkenaan.

Antara ungkapan yang tertera ialah “Martabatkan Pekerja Swasta”, “Kerajaan Lupa Sumbangan Swasta” dan “Pindaan Akta Kerja 1955 Rampas Hak Pekerja.”

Lokasi lain yang terbabit dengan demo meliputi Seksyen 15, Shah Alam; Teluk Panglima Garang; Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Raja, Klang; Sungai Choh, Rawang; Lebuh Raya Persekutuan; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Prai, Pulau Pinang; dan Jalan Bukit Beruang, Melaka. Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan; depan bangunan MTUC Negeri Perak; padang Masjid Negeri di Kuantan, Pahang; depan Pusat Dagangan Kota Bharu, Kelantan; Jalan Skudai, Johor; Mergong, Kedah; Kuching, Sarawak; serta jalan menuju ke Wisma Merdeka, Sabah.

Antara bantahan pindaan Akta Pekerjaan 1955 ini adalah mengenai kontraktor tenaga kerja yang diwujudkan dan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan apabila Akta Pekerjaan 1955 ini digubal dulu.

MTUC menegaskan dengan pindaan itu kedudukan pekerja menjadi tidak tetap dan tiada jaminan pekerjaan, selain mendapat kadar gaji yang sama tanpa kenaikan atau bonus, termasuk faedah lain. - harakah

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger