Saturday, December 4, 2010

AWAS!!! Si Kitol moden yang bermuka-muka

SHAH ALAM - MB Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan pemimpin-pemimpin UMNO sebagai "Si Kitol" moden yang bermuka-muka mempertahankan kedaulatan Raja dan Sultan Melayu setelah menghakis kuasa-kuasa mereka dan mengaibkan institusi itu demi kepentingan politik diri.

"Tiba-tiba sejak awal 2009, setelah 17 tahun berlalu, pihak yang berusaha dan berjaya menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja-Raja Melayu, kembali bermuka-muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati Raja dan Sultan," kata Khalid.

"Syukur Alhamdulillah mungkin akhirnya mereka sedar akan keterlanjuran, namun patik teringat peranan 'Si Kitol' dalam sejarah Melayu.

"Adakah 'si Kitol' moden ini akan kembali memperalakan Raja dan Sultan demi kepentingan politik mereka? tanya Khalid pada wacana mengenai institusi Raja-Raja Melayu, dekat sini baru-baru ini.

Si Kitol dikenali dalam Sejarah Melayu sebagai watak yang menabur fitnah dan pandai mengadu domba sehingga menyebabkan keuntuhan Kesultanan Melaka.

Wacana bertajuk 'Kedaulatan Raja-Raja : Institusi Yang Mesti Dipertahankan' dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah.

Dalam ucapannya, Khalid menyingkap peranan Raja dan Sultan Melayu dalam sistem demokrasi berparlimen serta kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada mereka menerusi Perlembagaan. Katanya, sejarah membuktikan bahawa peruntukan perlembagaan berhubung Raja-Raja Melayu dicabuli pada 1983 dan sekali lagi pada 1992 serta 1993.

Pada 1983, kerajaan BN meluluskan pindaan undang-undang yang membolehkannya melaksanakan sebarang rang undang-undang tanpa kelulusan wajib Raja-Raja.

Perlembagaan turut dipinda bagi mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong menerima nasihat Perdana Menteri sekiranya beliau mahu darurat diisytiharkan pada bila-bila masa saja.

Khalid berkata, 1993 pula menyaksikan imuniti atau kekebalan Raja-Raja Melayu disentuh dengan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi mencapai matlamat tersebut, seluruh jentera kerajaan termasuk media massa dimanipulasikan secukupnya, secara biadap dengan memaparkan cerita-cerita yang memburukkan peribadi Raja-Raja Melayu, diulang siar dan ditokok tambah bagi mewujudkan sentimen dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu," tambah beliau.

Pemerintah ketika itu, jelasnya menggunakan kuasa rakyat terutama orang Melayu supaya mendesak, malah memaksa Raja-Raja supaya menerima pindaan Perlembagaan, malah ke satu tahap di mana seorang pemimpin politik tergamak mengadakan majlis pertabalan Sultan baru di Kelantan.

Khalid turut mengimbas kembali bahawa PM ketika itu Mahathir Mohamad sendiri dipetik oleh akhbar Berita Harian sebagai mengutuk institusi Raja kerana kononnya menyalahgunakan wang, harta kerajaan dan negara serta menekan pegawai-pegawai kerajaan.

Beliau menegaskan akhbar-akbar terbitan akhir 1992 hingga Mac 1993 harus dirujuk bagi menghayati pertelingkahan yang akhirnya berlaku penghapusan kekebalan dan imuniti Raja-Raja Melayu.

"Penilaian harus ditekankan kepada mengetahui siapakah sebenarnya pihak-pihak yang pada ketika itu beriya-iya mahukan kekebalan Raja-Raja Melayu dihapuskan, malah ramai pemimpin seolah-olah mahu Raja-Raja Melayu terus dinyahkan daripada takhta dan istana," kata beliau.

Beliau menggunakan wacana sebagai forum yang sesuai untuk mengimbas kembali peristiwa yang memberi 'luka yang dalam kepada institusi Raja-Raja pada ketika itu.'

"Luka yang dalam mungkin telah sembuh, barang kali parutnya tetap ada."

"Patik yakin dengan mengambil kira kata-kata keramat 'sedangkan Nabi mengampunkan umat', maka keterlanjuran rakyat jelata turut sama dimaafkan, apatah lagi memang sebenarnya Raja-Raja adalah Raja yang berdaulat," ujarnya.

Namun, Khlaid mengingatkan bahawa kerenah manusia boleh berubah mengikut zaman dan kepentingan, justeru itu perilaku pemimpin UMNO harus dibandingkan dengan peranan Si Kitol.

- harakah

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger