Friday, December 3, 2010

PR tak perlu logo dan pendaftaran rasmi, kata Hj Hadi

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak memerlukan logo rasmi bagi gabungan tiga parti komponen itu menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Beliau berkata, walaupun PR masih belum mempunyai logo rasmi tetapi ia bukan faktor kelemahan sambil mengatakan “lambang adalah tidak terlalu penting.”

“Pakatan Rakyat boleh menjadi kerajaan tanpa mempunyai logo rasmi. Kita telah mencapai kecemerlangan selama beberapa tahun ini dengan formula yang kita gunakan,” kata Hadi (gambar) dalam satu temubual eksklusif dengan The Malaysian Insider.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang respons terhadap permohonan pendaftaran PR awal tahun ini.

Difahamkan ROS telah memaklumkan kepada wakil PR “beberapa bulan lalu” supaya menukar nama yang dilampirkan dalam permohonan itu.

Hadi juga berkata “masih terlalu awal” untuk PR membentuk satu logo rasmi sambil mengatakan lebih banyak masa diperlukan untuk mengkaji perkara itu walaupun pilihan raya sudah hampir.

“Yang penting bukan logo, bukan simbol tapi adalah kesefahaman yang diwujudkan. Kalau ada lambang pun tapi kesefahaman tidak wujud tidak ada apa-apa makna. Sebab itu kita tidak mementingkan logo kerana pengalaman 2008 perlu dipanjangkan yang mana kita boleh mencapai kejayaan tanpa logo dan kita boleh menubuhkan kerajaan tanpa logo.

“Ini yang perlu diteruskan. Memang untuk mewujudkan satu barisan parti memerlukan kelulusan dari segi aspek undang-undang. Sehingga hari ini masih terlalu jauh untuk kita dapatkan banyak parti di bawah satu lambang ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

PR telah memohon untuk mendaftar sebagai satu gabungan rasmi kepada ROS pada November tahun lepas, hanya sebulan sebelum ia melancarkan rangka kerja dasar bersama pada konvensyen sulungnya.

Gabungan bermula sebagai satu perhimpunan tidak rasmi tiga parti — PAS, PKR, DAP — pada April 2008 berdasarkan pilihan raya umum 2008.

PR kini menerajui empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain mempunyai 77 kerusi Parlimen.

Dalam temu bual itu, Hadi cuba mengelak menjawab soalan The Malaysian Insider apabila ditanya siapa yang bakal menggantikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya berlaku sesuatu kepada tokoh politik itu.

“Sehingga hari ini tiada ketua Pakatan Rakyat, kita bergerak secara kolektif. Apa yang penting kita menang pilihan raya dan Pakatan Rakyat boleh menilai siapa pemimpin yang boleh diterima semua rakyat

“Ketua bukan semesti PAS, bukan semesti PKR, tidak semestinya... kemungkinan ada orang Umno yang masuk PAS, ada orang Umno yang masuk PKR ada tokoh-tokoh mereka atau daripada kalangan kita sendiri yang jadi pemimpin,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR kini berhadapan dengan tuduhan liwat buat kali kedua dalam hidupnya.

Bagaimanapun Anwar menafikan tuduhan itu, dengan menggambarkan ia sebagai “jahat, penipuan-penipuan remeh oleh mereka yang berkuasa” apabila tuduhan dibacakan ke atasnya.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Jenayah dan boleh jadi dijatuhkan hukuman penjara satu tahun dan sebat 20 tahun jika sabit kesalahan. Perbicaraan mengambil masa selama 18 bulan selepas Anwar telah dituduh di mahkamah pada Ogos 2008.

Mengulas lanjut, Hadi berkata PR tidak mahu memutuskan siapa pemimpin yang “sah” kerana masih terlalu awal sambil berkata ia akan menyebabkan terjadi “pembunuhan karier” jika mengumumkannya.

“Jadi masih terlalu awal untuk kita mengisytiharkan siapa pemimpin kerana kita tidak mahu pemimpin kita dibunuh di tengan jalan, mati tengah jalan. Bukan bunuh nyawa tapi bunuh ketokohan. Kita mahu ketokohan itu dilahirkan oleh rakyat bukan kita yang mentokohkan diri kita sendiri tapi rakyat ini penting,” katanya.

Bagaimanapun Hadi mendakwa Umno secara berterusan menyerang Anwar kerana bimbang bekas timbalan perdana menteri itu akan mendedahkan lebih banyak “rahsia” kerajaan kepada rakyat.

“Itu menandakan kelemahan dan ketakutan Umno kepada bayang-bayang kerana mungkin Anwar ini pernah duduk dalam Kabinet, pernah jadi pemimpin nombor dua sudah tentu Umno tahu Anwar banyak maklumat tentang Umno

“Sebab itu beliau menjadi sasaran yang lebih daripada PAS, kami ni Umno tak nampak, sebab itu yang tak pernah dengan Umno tak nampak sebab itu tidak boleh nak serang kita

“Tapi kami lebih suka sekiranya media umno ini lebih melampau. kalau lebih melampau kata orang macam bagi ubat lebihlah, dos terlebih insya-Allah akan beri positif kepada kita,” katanya.

- themalaysianinsider

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger