Saturday, December 4, 2010

Allah larang perbuatan Syirik kepada semua manusia termasuk para Nabi

Tafsir Surah Al An'am : ayat 89 - Allah SWT menekankan betapa besarnya dosa Syirik dan melarang manusia beramal dengan amalan tersebut termasuk para Anbiya' 'alaihimussalam.

Allah berfirman dalam ayat lain yang bermaksud : "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada mu (wahai Muhammad S.A.W.) dan kepada Nabi-Nabi yang terdahulu daripada mu: Demi sesungguhnya! jika engkau dan pengikut-pengikut mu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur ilmu mu dan engkau akan tetap menjadi dari oran-orang yang rugi." - Surah Az Zumar : ayat 65

Ibnu Kathir menyebut dalam tasirnya bahawa ayat ini hanya syarat semata-mata dan ia tidak harus benar-benar berlaku kepada Nabi S.A.W, begitu juga kepada para Nabi yang lain. Bahkan sesungguhnya mereka menolak Syirik sekaligus mentauhidkan Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka yang syirik itu): "Kalau betul Allah Yang Maha Pemurah, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan), maka akulah orang yang awal yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu tidak benar)." - Az Zukhruf : ayat 81.

Firman Allah yang bermaksud : "Sekiranya Kami hendak ambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya." - Surah Al Anbiya' : ayat 17.

Kalau anak itu dianggap sebagai hiburan kepada Allah, sudah tentu anak Allah itu wujud tetapi semua itu tidak wujud, hanya dakwaan manusia musyrik semata-mata. Ini kerana Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Sifat beranak dan diperanakkan itu adalah sifat lemah dan bukan sifat Tuhan. Apakah Allah itu mempunyai sifat lemah dan menyerupai makhluk-Nya? Bahkan tidak sama-sekali. Tuhan tidak akan menyerupai makhluk-Nya dalam semua hal.

Allah berfirman yang bermaksud : "Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendaki-Nya dari makhluk-makhluk yang dicipta-Nya; Maha Sucilah Dia (dari menghendaki demikian).

Dialah Allah, Yang Maha Esa, lagi yang Mengatasi kekuasaan dari segala-galanya." - Az Zumar : ayat 4

Ayat-ayat ini menjelaskan ketauhidan Allah dan kekuasaan-Nya di mana para Nabi dan Rasul beriman dan menyampaikannya kepada manusia di mukabumi ini.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud : "Mereka itulah orang yang telah Kami berikan kepadanya kitab suci dan hikmah (ilmu pengetahuan) serta pangkat kenabian." - Surah Al An'am : ayat 89

Yakni Kami telah beri nikmat dengan kitab suci, hikmah dan kenabian serta menjadi rahmat kepada hamba-hamba.

Bagaimana semua itu boleh berlaku?

Tidakkah kitab suci (Al-Qur'an) itu telah memberi petunjuk jalan yang lurus kepada manusia, bagaimana harus manusia melayari hidup mereka dengan betul dan bijaksana?

Tidakkah ilmu (hikmah) itu telah membuka luas minda manusia dan mereka dapat mengatur kehidupan mereka dalam semua aspek dengan baik? Bukankah para Nabi telah membawa khabar gembira dan khabar mendukacitakan kepada manusia, mereka sentiasa berwaspada dalam kehidupan ini di samping membawa panduan dari Allah secara praktikal kepada manusia?

Firman Allah yang bermaksud : "Oleh itu jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya." - Surah Al An'am : ayat 89

Ada ulama' menyatakan bahawa yang dimaksudkan kufur ini ialah mengkufuri kenabian manakala ada ulama' yang memaksudkannya kufur kepada ketiga-tiga perkara tersebut termasuk kitab suci, hikmah (ilmu pengetahuan) dan kenabian kerana 'dhamir' (nya) di sini dikembalikan kepada kitab suci, hikamh da kenabian.

Allah berfirman yang bermaksud : "Mereka itu" - Surah Al An'am : ayat 89

Yang dimaksudkan dengan mereka itu di sini ialah penduduk Mekah sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu 'Abas, Qatadah dan lain-lain.

oleh Tuan Guru Hj Abd.Hadi Awang

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger