Saturday, August 20, 2011

Wajib baca : Haram Menyokong UMNO

Di malam 21 Ramadhan ni, penulis nak utarakan pandangan Ulama Muktabar yang bersandarkan Al Qur'an dan Hadis tentang soal politik dan golongan yang haram disokong oleh seluruh umat Islam di mukabumi ini. Sejak jatuhnya sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyah Turki, kekeliruan di sudut fahaman dan semakin jauhnya umat Islam dari sumber Wahyu Ilahi dan Sunnah telah menyebabkan perpecahan kronik di kalangan umat Islam sendiri serta membuka ruang seluasnya kepada pihak musuh untuk melakukan serangan terhadap minda dan jiwa Muslim tanpa henti.

Muqaddimah

Apabila orang Islam beranggapan persoalan politik ialah sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam, maka mereka menyerahkan kuasa kepada sesiapa saja yang mereka suka dengan perhitungan nafsu tanpa melihat kepada tuntutan-tuntutan agama.

Hasil dari sikap ini, maka individu serta golongan yang jahat dan zalim menguasai tampuk pemerintahan. Golongan ini beranggapan kuasa adalah lesen untuk mereka melakukan apa saja tanpa merasa takut kepada amaran-amaran Allah.

Kuasa politik dijadikan sebagai modal untuk mengaut kekayaan dan harta serta melakukan jenayah dan kezaliman ke atas orang lain. Ini adalah politik yang diwarisi daripada Fir'aun dan kuncu-kuncunya.

Firman Allah dalam Surah Al Qasas (28), ayat 4 yang bermaksud;

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.

Sekiranya Fir'aun membunuh anak-anak lelaki di kalangan Bani Israel kerana bimbang tergugat kuasa dan politiknya, demikian juga para pewaris menghapus dan menghancurkan segala musuh politiknya yang boleh menggugat sistem kezaliman dan kekejaman yang dihidupkan.

Para ulama' seperti yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani dalam Fath al-Bari menamakan Abu Jahl sebagai (Fir'aun bagi umat ini) kerana sikapnya yang menentang kebenaran dan zalim. Sebenarnya Fir'aun adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang memerintah Mesir kuno. Abu Jahl bukan pemerintah negeri Mesir dan beliau juga tidak membunuh anak-anak lelaki Quraisy atau Bani Israel, namun sikapnya yang bangkit melakukan kezaliman dan mengepalai penentangan terhadap kebenaran melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berkenaan. Demikianlah sesiapa yang mewarisi sikap itu, maka mereka adalah Fir'aun sepanjang zaman.

Amaran Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;

Sesungguhnya selepas aku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).

Rasulullah s.a.w. ialah utusan Allah yang diberikan wahyu kepadanya dan tidak bercakap dengan hawa nafsu. Firman Allah dalam Surah An Najm, ayat 3-4 yang bermaksud :

Dia (Muhammad) tidak bercakap berdasarkan hawa nafsunya. Segala yang diucapnya adalah wahyu yang diwahyukan.

Dengan wahyu Allah, Allah telah mengkhabarkan kepada Nabi-Nya tentang keadaan-keadaan yang bakal berlaku selepas ketiadaan Baginda. Antaranya, akan wujud para pemimpin yang zalim dan penipu. Sesiapa yang menyokong mereka, maka Nabi s.a.w. tidak mengakuinya sebagai pengikut (umat) Baginda dan tidak akan dapat meminum telaga di syurga, dalam kata lain tidak akan memasuki syurga melainkan diazab atas jenayah sokongan mereka kepada para pemimpin jenis tersebut. Sesiapa yang tidak menyokong dan menolong para pemimpin yang zalim dan membenarkan pembohongan mereka, maka dia adalah pengikut (umat) Nabi dan akan memasuki syurga kelak.

Mukmin yang sebenar akan merasa bimbang dan takut dengan amaran ini. Tidak mengapa jika seseorang dipecat dari menjadi ahli sesuatu pertubuhan, tetapi yang sangat bahaya dan menakutkan apabila kita dipecat dari menjadi pengikut (umat) Nabi s.a.w. Di manakah golongan ini akan berhimpun di Akhirat kelak jika Rasulullah s.a.w. tidak menerima mereka sebagai pengikutnya?

Sesungguhnya asas utama kezaliman pemerintahan yang wujud sekarang adalah kerana tidak melaksanakan syari'at Allah (Perundangan Al Qur'an). Firman Allah dalam Surah Al Maidah, ayat 45 yang bermaksud ;

Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang zalim.

Dengan kezaliman yang asas ini, para pewaris Fir'aun menambahkan lagi kezaliman demi kezaliman. Membolot harta rakyat dan menzalimi setiap yang bangun menasihatinya.

Larangan Menyokong Puak Mungkar

Firman Allah dalam Surah Al An'am (6), ayat 68 yang bermaksud;

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Kata Al-Qadi Abu Bakr Ibn Al 'Arabi : "Ayat ini adalah dalil bahawa tidak dihalalkan (haram) duduk bersama ahli mungkar."

Duduk bersama golongan mungkar tidak dibenarkan apatah lagi menyokong, membantu dan menolongnya.

Firman Allah dalam Surah An Nisa', ayat 140 yang bermaksud;

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

Kata Al Imam Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: "Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka, bererti redha dengan perbuatan mereka."

Katanya lagi, Maksud ayat "(jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka" : sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka, maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka, maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini.

Sesiapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang melakukan kejahatan dan kezaliman serta mempermainkan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya dia sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut. Mungkin dia berkata, saya tidak menzalimi orang lain, atau mempersendakan agama tetapi sekadar menjadi ahli biasa parti sahaja, sedangkan pemimpinnya zalim dan jahat, maka dia turut menanggung dosa. Firman Allah dalam Surah Al Ahzab (33), ayat 66-67 yang bermaksud;

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

Demikianlah halnya ahli neraka yang dahulu menjadi pengikut setia para pemimpin yang melanggari ajaran Allah dan Rasul-Nya. Mereka yang taat dan terus setia sehingga akhirnya mereka dihumbankan ke dalam neraka.

Firman Allah dalam Surah Hud (11), ayat 113 yang bermaksud;

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Menyokong Yang Zalim Adalah 'Asobiyyah

Adalah sangat pelik, apabila kezaliman yang begitu jelas dan nyata sehingga golongan bukan Islam pun menyatakannya zalim tetapi masih ada yang mengaku Muslim terus menyokongnya. Kononnya kerana mempertahankan keutuhan parti, warisan dan seumpamanya. Ini adalah bisikan syaitan dan bicara seorang yang tiada pegangan 'aqidah serta keyakinan terhadap petunjuk agama.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;

Sesiapa yang berperang di bawah "bendera buta" dan menyeru kepada 'asobiyyah atau marah kerana 'asobiyyah, maka kematiannya adalah jahiliyyah. (Riwayat Muslim, Ibn Majah, An Nasai)

Kata As Sindi dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: Lafaz "bendera buta" ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui samada benar atau bathil.

Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah, apatah lagi golongan dan individu yang mempertahankan pemimpin yang terang-terang zalim dan jahat.

Ini adalah sikap yang lebih jahiliyyah. Golongan jahiliyyah sebelum kedatangan Nabi S.A.W terkenal dengan sikap mempertahankan puak sekalipun bersalah. Jahiliyyah moden juga demikian. Mereka terus mempertahankan seseorang pemimpin yang zalim sekalipun mereka sedar akan kezaliman mereka semata-mata kerana parti yang didokong. Maka golongan ini mati jahiliyyah, seperti matinya pendokong-pendokong jahiliyyah dahulu.

Dalam menjelaskan maksud 'asobiyyah, RAsulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud;

'Asobiyyah itu kamu menolong kaummu atas kezaliman. (Riwayat Abu Daud)

Golongan 'asobiyyah membkti dan mengamalkan 'asobiyyah apabila mereka terus menyokong seseorang sekalipun zalim dan menindas. Golongan ini mati seperti mati seorang yang tidak berpegang kepada Islam, sebaliknya berpegang kepada dasar jahiliyyah. Semuga Allah jauhkan kita semua dari termasuk dalam golongan ini.

Semua Wajib Mencegah Mungkar

Kezaliman adalah kemungkaran. Wajib bagi setiap individu Muslim mencegahnya. Sesiapa sahaja yang mendakwa dirinya Muslim, maka kewajipan ini mesti dilaksanakannya. Ini bagi menyahut sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud;

Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Al Imam An Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, membuat contoh seperti berikut: "Apabila seseorang melihat insan lain membeli barangan yang rosak atau seumpamanya, lalu dia tidak membantah dan memberitahu pembeli itu, maka ini adalah kesalahan yang jelas. Para Ulama telah menetapkan bahawa wajib bagi sesiapa yang mengetahui perkara seperti ini membantah penjual dan memberitahu pembeli."

Sekiranya dengan hanya melihat seseorang membeli sesuatu barang yang rosak, wajib diberitahu kepadanya dan dibantahi penjualnya, apatah lagi jika kita melihat seseorang yang ingin memberikan undi atau sokongan kepada golongan pemimpin yang rosak, jahat dan zalim, maka sudah pasti kewajipan mengingatkan para pengundi itu lebih besar daripada mengingatkan seorang pembeli. Ini kerana mengingatkan pembeli untuk menyelamatkannya dari ditipu sedangkan mengingatkan pengundi adalah demi menyelamatkan ummat dari binasa.

bersambung di tajuk Undi Mempunyai Nilai Besar Dalam Islam.

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger