Monday, August 29, 2011

Nape tak mahu kembali pada Allah dan Rasul-Nya?

Adalah wajar bagi kita umat Islam, lebih-lebih lagi di hari terakhir Ramadhan Al Mubarak ni, bermuhasabah diri apakah selama ini kita telah benar-benar menjadi seorang Muslim sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam Surah Al Baqarah (2), ayat 208 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman!, masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Apakah maksud "Masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya..."? Apa yang penulis fahami, Allah SWT memerintahkan seluruh umat Islam wajib mengimani tanpa sebarang keraguan akan seluruh isi kandungan Al Qur'an dan Sunnah serta melaksanakannya.

Dan umat Islam sendiri cukup sedar bahawa Islam itu sempurna yang meliputi seluruh aspek kehidupan di dunia hinggalah ke akhirat. Segala-galanya ada di dalamnya, termasuk politik, ekonomi, masyarakat, dakwah, antarabangsa, undang-undang jenayah, akhlak, kekeluargaan, harta pusaka, sistem kewangan dan seumpamanya.

Jika dalam soal yang kita anggap kecil seperti adab masuk dan keluar tandas pun diajar oleh Islam, apatah lagi dalam soal yang lebih besar seperti pemerintahan negara, sudah pastinya Islam telah menyediakan panduan yang selengkapnya.

Malangnya, apa yang berlaku di abad ni bila orang Islam sendiri menolak sistem pemerintahan Islam daripada dilaksanakan di tanahair sendiri. Mereka lebih percaya dengan sistem ciptaan manusia (musuh Islam) sebagai sistem pemerintahan negara yang terbukti gagal dan banyak kelemahan.

Kita lihat saja bagaimana Kesatuan Soviet Union hancur berkecai akibat sistem komunis. Begitu juga Turki yang mendapat gelaran "Negara Sakit Eropah" setelah diperintah oleh Bapa Sekular Turki, Mustapha Kamal Ataturk. Setelah jatuhnya Sistem Khilafah Uthmaniyyah, Turki dan rakyatnya terus dirosakkan dengan fahaman sesat SEKULARISMA. Kononnya mahu menjadikan Turki setanding dengan negara maju Eropah dan Barat, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Turki terus ketinggalan dalam segala aspek pembangunan infrastruktur, material dan insaniah. Yang ada hanyalah kerosakan demi kerosakan yang dilakukan oleh Kamal Ataturk laknatullah.

Selain sistem komunis dan sekular yang dijadikan dasar pemerintahan, sosialis turut tak ketinggalan menjadi pilihan beberapa orang pemimpin negara umat Islam sebagai dasar negara. Umpamanya Libya yang mengamalkan sistem dan dasar sosialis oleh Presiden Muammar Gadafi. Lihat saja apa yang melanda negara pengeluar minyak itu mutakhir ni. Soalnya mengapa tiba-tiba saja rakyat Libya boleh bangkit memberontak menentang Gadafi yang telah berkuasa lebih 30 tahun?

Tentunya kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir, Syria, Libya, Jordan dan beberapa buah negara umat Islam lainnya benar-benar mengejutkan pihak Eropah dan Barat. Revolusi yang bermula di Tunisia, tanpa diduga telah merebak begitu pantas ibarat virus kanser di tubuh badan. Pasti ada sebab mengapa rakyat bangkit memberontak dan menuntut perubahan menyeluruh ke atas sistem yang sedia ada. Secara umumnya, revolusi rakyat pasti meletus bila gagalnya sistem yang diguna-pakai oleh pemerintah.

Apatah lagi pemerintah itu zalim, rasuah dan menyeleweng. Bila kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpin (elit), ahli keluarga dan kroni mereka, maka hanya menunggu masa saja 'bom jangka' akan meletup. Dan itulah yang berlaku di Tunisia dan merebak ke Mesir hingga jatuhnya Presiden Ben Ali dan Mubarak.

Apa bezanya dengan Malaysia?

Serupa saja. Dan yang menjadi tanda-tanya mengapa hari ini umat Islam terus dihina, ditindas dan dizalimi oleh pemimpin negara masing-masing??? Cuba toleh sejenak ke Somalia. Betapa azabnya rakyat negara itu yang majoritinya Islam terus dilanda kemiskinan dan kebuluran ekoran perang saudara yang berlaku. Malah ramai anak-anak yang tidak berdosa mati kelaparan dan mengalami pelbagai macam penyakit sedangkan Somalia antara negara pengeluar batu permata dunia.

Untuk menjawab segala konflik permasalahan ini, kita wajib kembali kepada 2 sumber rujukan utama kita. Yaitu Al Qur'an dan Hadis.

Bukankah Allah telah mengajar kita semua bila mana berlaku perselisihan antara kamu, maka hendaklah dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya. Maksudnya, kita wajib kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya. Nescaya segala masalah akan sirna dan rahmat Allah pasti turun mencurah-curah.

Berbalik kepada tanahair. Kita sendiri sedar, hari ini pelbagai macam jenis penyakit masyarakat berlaku hingga ke tahap meruncing sekali. Takde sapa menyangka, dalam diam telah hampir suku juta anak orang Islam memilih untuk murtad. Selain itu, kes zina, buang bayi, jenayah samun dan bunuh, budaya gangsterisme, black-metal yang mejoritinya melibatkan anak remaja Islam sendiri.

Segala kebejatan sosial yang berlaku hari ini memang berpunca daripada kegagalan sistem sekular yang menjadi pegangan kerajaan UMNO BN yang sedia ada. Rakyat dididik dengan budaya hedonisme, yaitu gaya hidup yang hanya mementingkan kepentingan duniawi semata-mata. Justeru, hari ini kita lihat sendiri generasi Islam semakin pupus identiti Islam mereka kerana mengikut acuan pemerintah jahat dan sesat (sekular).

Kemuncak pada kerosakan ini ialah gejala murtad yang berlaku hingga mencecah angka suku juta orang. Tak pernah kita menyangka murtad boleh berlaku dalam masyarakat Islam hari ini. Dan murtad merupakan fitnah besar yang berlaku di akhir zaman ini.

Soalnya mengapa UMNO membiarkan saja gejala murtad ni melanda walhal mereka cukup tahu secara terperinci akan statistik kes itu. Bukankah UMNO yang mengetuai kerajaan BN selama ini?


Memang merupakan satu kesesatan yang amat nyata bila mana umat Islam sendiri lebih percaya pada sistem ciptaan manusia (musuh Islam) sebagai dasar dan undang-undang negara daripada sistem Allah (Islam) sendiri. Bukan setakat tu saja malahan secara terang-terangan dan biadap boleh mempersoalkan Hukum Hudud dengan kata-kata seperti "Hukum Hudud tak sesuai dilaksanakan dalam negara kerana masyarakat majmuk" dan "Kalau laksana Hudud habislah orang Melayu kudung tangan dan tak boleh kerja cari makan".

Renung-renungkanlah sejenak. Pandanglah di luar sana apa yang berlaku dalam masyarakat dan negara mutakhir ini. Beringatlah tangan yang mengundi itu akan menjadi saksi di Akhirat. Akan dipertanggungjawab oleh Allah samada tangan itu digunakan untuk memilih pemimpin yang baik atau jahat.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah (2), ayat 256 - 257 yang bermaksud;

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Toghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger