Wednesday, August 31, 2011

Undi Mempunyai Nilai Besar Dalam Islam

Selama ini umat Islam tanahair beranggapan undi mereka dalam pilihanraya langsung tiada kena mengena dengan kehidupan selepas mati. Dan biasa kita dengar daripada mulut orang Islam yang menyebut "Mana ada politik dalam Islam. Zaman Rasulullah pun mana ada pilihanraya. Apa salahnya kami nak undi BN. Kalau pemimpin atasan buat jahat, rasuah, menipu dan menyeleweng, itu mereka punya pasal sebab takde kena mengena pun dengan kami..." Bagi menjawab kekeliruan ini, penulis ingin kemukakan hujjah para Ulama' Muktabar berkaitan kepentingan undi pilihanraya di sisi Islam.

Seseorang mungkin menyangka bahawa manalah ada kaitan antara undi yang diberikan seseorang dalam pilihanraya dengan kedudukannya di hari Akhirat. Pilihanraya urusan politik sedangkan agama urusan di masjid. Inilah pemikiran sekular yang telah meresapi sebahagian besar umat Islam yang tidak dididik dan diajar tentang Islam yang tulen.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud "Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan sesuatu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah padahal dia tidak terfikir, maka kerananya dia jatuh ke dalam Neraka Jahannam." (Riwayat Al Bukhari)

Baginda juga bersabda yang bermaksud " Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jarak dalamnya antara timur dan barat." (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda lagi yang bermaksud "Adakalanya seseorang kamu berucap dengan satu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaan untuknya sehingga dia bertemu Allah." (Riwayat Malik dalam Al Muwatta' dan Al Tirmizi, katanya hasan sahih)

Sufyan bin 'Uyainah menyebut "Hadith ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang diredhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai-Nya) ialah yang mendorongnya melakukan kezaliman."

Sesungguhnya undi memainkan peranan yang sama dengan sepatah kalimat, bahkan undi lebih besar dari sepatah kalimat yang membolehkan seseorang pemimpin meneruskan atau dihentikan kezalimannya. Dengan itu, undi yang dilakukan oleh seseorang dalam negara demokrasi ini akan diperhitungkan Allah pada hari Akhirat kelak. Hendaklah seseorang Muslim membuat perhitungan yang betul dalam hal ini.

Muslim Sensitif Dengan Kezaliman

Seseorang Muslim hidupnya berdaulat dan merdeka. Mempunyai kekuatan menilai dan membenci kezaliman serta kejahatan. Rasulullah S.A.W. telah mendidik para Sahabat agar perasaan anti-kezaliman itu sentiasa hidup dalam diri setiap individu Muslim.

Dalam sebuah hadith yang bermaksud "Daripada Jabir, katanya : Apabila para Muhajirin Habsyah pulang ke pangkuan Rasulullah S.A.W., Baginda bersabda : Mengapa tidak kamu ceritakan kepadaku perkara-perkara pelik yang kamu telah lihat di bumi Habsyah? Kata seorang pemuda dari kalangan mereka : "Bahkan wahai Rasulullah! Suatu ketika tatakala kami sedang duduk, tiba-tiba lalu seorang wanita tua dari kalangan orang-orang tua rahib mereka. Dia membawa di atas kepalanya bekas tembikar yang berisi air. Kemudian dia melalui seorang pemuda, pemuda itu meletakkan satu tangannya di atas belakang wanita berkenaan lalu ditolaknya sehingga wanita itu tersungkur di atas lututnya dan bekas tembikar itu pecah. Apabila wanita itu bangun, dia menoleh ke arah pemuda itu dan berkata : "Wahai pengkhianat! Nanti engkau akan tahu, ketika Allah meletakkan Kursi-Nya dan dihimpunkan yang terdahulu dan terkemudian, bercakap segala tangan dan kaki di atas apa yang mereka lakukan, nanti engkau akan tahu bagaimana kedudukanmu dan aku di sisi-Nya nanti." Sabda Nabi S.A.W. : Dia benar! Dia benar!. Bagaimanakah Allah memuliakan suatu ummat yang tidak membela golongan yang lemah dari ditindas oleh golongan yang kuat." (Riwayat Ibn Majah, kata Ma'mun Syiha sanadnya sahih)

Lihatlah para Sahabat, mereka begitu sensitif bila sahaja melihat kejahatan dan penganiayaan. Terus sahaja terlekat dalam minda mereka dan membencinya. Rasulullah S.A.W. pula dalam ulasan terhadap kisah itu, membenarkan ucapan wanita itu dan menyatakan bahawa kemuliaan dan ketinggian tidak akan diberikan Allah kepada suatu ummat atau bangsa yang membiarkan orang yang kuat bermaharajalela, menindas yang lemah dan tidak berupaya. Demikian indahnya sikap masyarakat Islam yang dibentuk oleh Nabi S.A.W. Masyarakat yang hidup dan peka terhadap persekitarannya, bukan yang mati hatinya dan membiarkan apa sahaja berlaku.

Akhirnya...

Dengarlah amaran Allah terhadap golongan yang zalim. Firman Allah dalam Surah Ibrahim (14), ayat 42 - 43 yang bermaksud;

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

Golongan zalim akan mengadap Allah dengan kemurkaan-Nya. Demikian juga para pengikut dan penyokong mereka juga akan dihadapkan atas jenayah sokongan terhadap kezaliman. Oleh itu, bertaubatlah jika anda pernah menyokong golongan yang zalim, samada dengan suara, perbuatan atau undi anda. Janganlah diulangi kemungkaran ini di kala kezaliman kelihatan sangat jelas dan nyata di hadapan mata kita.

... lanjutan dari artikel Wajib Baca! Haram Menyokong UMNO

Jazakallah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger