Saturday, February 13, 2010

Kes Liwat 2 - Anwar Lantik Peguam PAS

Hanipa Maidin, seorang peguam civil dan syarie telah dilantik oleh Anwar sebagai anggota baru barisan peguamnya dalam perbicaraan kes liwat 2 yang sedang berjalan. Difahamkan barisan peguam yang diketuai oleh Karpal Singh telah bersetuju dengan perlantikan Hanipa. Hanipa Maidin telah mengesahkan perkara ini bila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

KUALA LUMPUR, Feb 13 — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah pasukan peguamnya untuk mengendalikan kes liwat beliau dengan mengambil penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin sebagai anggota baru.

Dalam Twitternya malam tadi Anwar berkata, “panel guaman setuju penyertaan Hanipa”.

Hanipa ketika dihubungi The Malaysian Insider juga mengesahkan pelantikan beliau untuk menyertai pasukan peguam Anwar yang sedia ada.

Kini selain Karpal Singh sebagai peguam utama, Anwar juga diwakili Datuk Param Cumaraswamy, Datuk CV Prabakharan, Ram Karpal Singh Deo, Sankara Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando.

“Secara rasmi saya memulakan penyertaan (dalam pasukan Anwar) semalam... saya juga hanya akan memainkan peranan macam biasa, macam peguam-peguam lain beliau... sumbangan saya sebagai peguam sahaja,” kata Hanipa.

Selain kes di mahkamah sivil Anwar juga ada memfailkan tuntutan qazaf di Mahkamah Syariah.

“Setakat ini saya hanya akan terlibat dalam kes sivil,” kata Hanipa yang mempunyai kepakaran kedua-dua bidang syariah dan sivil.

Perbicaraan kes liwat Anwar ini, yang kedua sejak 1998, bermula 3 Feb lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Setakat ini hanya satu saksi sahaja yang memberi keterangan iaitu pengadu itu sendiri, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sesi soal balas pembela ke atas Saiful yang sepatutnya bermula Isnin lalu ditangguhkan ekoran permohonan Anwar untuk melucutkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bermula 18 bulan selepas Anwar didakwa di mahkamah pada Ogos 2008.

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 17 Feb ini untuk mendengar bantahan awal tiga responden berkaitan permohonan Anwar untuk mendakwa Saiful, bekas pembantunya, atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.

-themalaysianinsider

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger