Monday, December 28, 2009

Nik Aziz Perlu Letak Jawatan ...

Belum lagi reda isu menantu kesayangannya, kali ini MB Kelantan Nik Aziz nak gugurkan pulak 2 orang setiausahanya. Anuar Bakhri, Setiausaha Politiknya sejak tahun 1990 dan seorang lagi Setiausaha Akhbar Saiba Yaakob.

Jauh di sudut hati ni merasakan seolah-olah Tok Guru kesayangan rakyat ni mula 'melatah' sejak kebelakangan ni. Mungkin agaknya ini satu isyarat daripada Allah SWT bahawa sudah sampai masanya beliau meletakkan jawatan sebagai MB Kelantan yang dipegang selama 19 tahun.

Persoalannya sekarang atas alasan apa Nik Aziz mahu menggugurkan 2 orang pegawainya itu dalam keadaan kontroversi menantunya pun masih belum reda. Bukankah selama ini TGNA lebih rasional dan tidak emosi. Mengapa pada kali ini dia seolah-olah kelihatan tidak konsisten dengan kenyataan dan tindakannya.

Sepatutnya MB Kelantan perlu berlapang dada berhubung dengan isu menantunya. Malangnya apa yang berlaku mutakhir ni jelas menampakkan beliau 'berat sebelah'. Bukankah TGNA pernah sebut bagaimana adilnya pemerintahan Islam yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. sehingga Baginda pernah menegaskan ;

"Sekiranya Fatimah mencuri, nescaya akan aku potong tangannya".

Dalam konteks Ariffahmi, mengapa MB Kelantan berat sangat nak arahkan menantunya berhenti serta-merta. Susah sangat ke nak cari ganti untuk jawatan CEO ni. Rasanya ramai lagi insan yang berkaliber dari Ariffahmi ni. Cadangan saya agar CEO yang baru nanti dipilih dari kalangan individu yang benar-benar berkualiti dan berintergriti. Atau ada sebab lain yang tersembunyi sehingga MB sendiri bersetuju dengan notis 3 bulan itu.

Kadang-kadang ada benarnya juga apa yang Kickdefella sebut sebagai “Nampaknya TGNA begitu hebat bersandiwara. Ariffahmi belum letak jawatan dan tiada rancangan terdekat untuk letak jawatan. TGNA sokong tindakan Ariffahmi menangguhkan perletakkan jawatannya. Apakah sandiwara begini hendak PAS jaja buat mereka yang mengundi PAS. PRU 12 mungkin PRU terakhir buat TGNA tetapi yang pasti bukan terakhir buat PAS. Saya bertahan tidak mahu insiden ini menjadi persepsi pada PAS dan Islam. Tetapi semuanya berakhir disini. Ternyata insan-insan kecil dan kakitangan PMBK tiada bererti buat TGNA berbanding anak beranaknya. Mengapa lagi perlu ada rasa hormat dari insan kecil buat TGNA, parti dan individu yang membelanya ?”

MB Kelantan sewajarnya menerima hakikat dan patut bersyukur dengan pembongkaran penyelewengan menantunya di PMBK. Sepatutnya MB kena tegas dalam hal ini. Ketepikan soal keluarga sebab PMBK ditubuhkan untuk kepentingan rakyat Kelantan. Namun apa yang diharapkan adalah sebaliknya. Memanglah isu penyelewengan menantunya ini sedikit-sebanyak mencalar imejnya sebagai MB Kelantan. Sape pun marah bila Bazaar Tok Guru telah bertukar jadi Bazaar Almenantunya. Dari harga RM40,000 pada asalnya telah dinaikkan oleh Ariffahmi menjadi RM92,000. Yang jadi tanda-tanya kenapa MB Kelantan berdiam diri bila menantunya menaikkan harga lot di bazaar tersebut.

Dan yang terkini pula TGNA bercadang nak gugurkan 2 setiausanya. Dengar khabar SU Politiknya rapat dengan Husam. La... apa salahnya nak rapat dengan Husam. Takkan nak bersahabat dengan Husam pun menjadi satu kesalahan. Apakah TGNA sendiri lupa bahawa dalam pemerintahan Islam bebas dari unsur kronisme. Selama ini kita dok sibuk hentam UMNO pasal kronisme, penyelewengan dan salah guna kuasa. La ni pasai apa TGNA tak mampu bertindak tegas terhadap menantunya.

Di sudut politiknya adalah tidak wajar MB Kelantan menggugurkan 2 pegawainya ini pada waktu kontroversi menantunya masih belum reda. Memanglah tak salah bagi mana-mana MB nak tukar SUnya. Tapi kenapa sekarang ? Kenapa tidak dibuat selepas PRU12 ? Sudah tentu umum akan membuat andaian bahawa pengguguran 2 SU ini mesti ada kaitan dengan isu menantunya di PMBK. Dan secara kebetulan Anuar Bakhri rakan baik Husam. Dahlah umum mengetahui yang Ariffahmi memang marah pada Husam.

Saya tidak berniat nak membela Husam Musa tapi saya yakin beliau jujur, amanah dan tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai Exco Kewangan dan Perancangan Ekonomi Kelantan. Sayangnya dalam isu PMBK, MB Kelantan lebih mengutamakan menantunya daripada kepentingan rakyat. Kita tahu priority Husam adalah membela rakyat miskin manakala Ariffahmi pula lebih mengutamakan keuntungan. Nampaknya kali ini Nik Aziz lebih bersetuju dengan menantunya.

Bagi saya untuk meredakan segala kontroversi di Kelantan, adalah lebih baik jika MB Kelantan dan Ariffahmi meletakkan jawatan masing-masing secara serentak dalam tempoh terdekat ini. Mungkin sebelum ini saya bersetuju Nik Aziz meneruskan tugasnya sebagai MB sehingga PRU13. Tapi sekarang begitu jelas isu menantunya benar-benar telah mempengaruhi sikap dan keputusannya, saya kira adalah wajar MB Kelantan juga letak jawatan. Kita semua akui seluruh rakyat Kelantan sayangkan Nik Aziz sebagai Tok Guru mereka, bukan kerana jawatan MB.

Sejujurnya saya mengkritik Nik Aziz atas kapasitinya sebagai MB Kelantan.

Saya hanya sayangkan PAS dan Kerajaan Islam Kelantan.

Wassalam.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger