Sunday, August 24, 2008

Coretan Detik 12.45 Tengah Malam

Mata memang dah ngantuk tapi terasa macam ada sesuatu yang terbuku di dalam hati ini yang perlu diluahkan dalam blog ni. Sekurangnya dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan.

Bila teringat waktu jadi seorang pendidik dulu, kadang-kadang tersenyum sendiri bila terkenangkan murid-murid yang begitu manja dan nakal. Sudah tentu mereka semua hari ini telah berkerjaya malahan ada yang telah berumahtangga.

Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas, Kudat, Sabah adalah sekolah pertama aku. Kawasan pendalaman. Memang aku sengaja minta untuk ditugaskan di Sabah atau Sarawak selepas menamatkan kursus perguruan di IPSI (sekarang UPSI) pada tahun 1988.

Apa yang nak aku kongsikan di sini ialah sikap pelajar-pelajar aku di Pitas yang begitu menghormati guru dan komited dengan pelajaran walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi faktor sosio ekonomi, infrastruktur, pengangkutan dan kemudahan awam. yang lain. Bayangkanlah ada pelajar yang terpaksa berjalan kaki sejauh 3 batu untuk ke sekolah semata-mata untuk mencari ilmu yang dirasakan berguna di hari muka. Walaupun sekolah aku ni ada kemudahan asrama tetapi diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang jauh sahaja. Nak melihat mereka menunggang basikal jauh sekali. Tetapi kesungguhan mereka untuk menimba ilmu itulah yang membanggakan aku sebagai guru mereka.

Aku teringat seorang pelajar aku yang pernah aku rotan setiap kali gagal ujian Matematik dan Sains. Rambutnya berdiri tegak dan lincah budaknya. Apabila keputusan SRP keluar, dia datang berjumpa dengan aku sambil menghulurkan salam sambil berkata "Terima kasih cikgu. Sebab cikgu selalu rotan sayalah, saya dapat Kepujian C3 dalam Matematik dan Sains." Hati aku rasa tersentuh. Semuanya ini adalah kehendak Allah. Mungkin waktu aku merotannya, niat aku bukan menghukum tetapi mendidik.

Seorang lagi murid aku yang namanya masih terpahat dalam memori aku. (Bulat bin Ribut). Dia ni memang murid aku yang nakal. Selalu 'loya buruk'. Setiap kali aku masuk kelas, dialah yang bising. Tetapi bila aku mulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, dia jugalah salah seorang pelajar yang memberikan tumpuan terhadap apa yang aku ajar. Hasilnya dia memperolehi keputusan yang baik dalam SRP.

Di sepanjang karier aku sebagai guru, aku tidak pernah menghadapi masalah dengan pelajar aku yang pelbagai kaum, agama dan perangai. Aku memang garang kalau dalam kelas jika pelajar aku tidak serius belajar. Tapi dalam waktu yang sama aku boleh bergurau dan duduk semeja dengan pelajar aku sambil berborak. Mereka adalah murid, sahabat dan anak bagi aku. Aku sayangkan mereka. Sebab itulah mereka juga sayangkan aku. Kalau aku minta tolong, mereka berebut menghulurkan tangan untuk membantu.

Nasihat aku pada guru-guru muda masa kini, didiklah pelajar-pelajar kamu dengan penuh rasa tanggungjawab dan sayangilah mereka. Janganlah kita anggap mereka itu hanya semata-mata murid saja yang mesti menghormati dan mematuhi arahan kita. Kita kena ingat tugas sebagai seorang guru bukan semata-mata mengajar dan cukup bulan dapat gaji tetapi lebih daripada itu.

Sebenarnya aku sedih kerana pernah mendengar perbualan beberapa orang guru muda yang bercakap "Tugas kita kan mengajar saja. Samada mereka nak pandai atau tidak, lantaklah situ. Yang penting cukup bulan dapat gaji."

Kalaulah benar beginilah sikap kebanyakan guru-guru hari ini seperti yang aku dengar, memang patutlah hari ini pelajar sudah mula tidak menghormati guru malahan ada yang memukul guru mereka. Memang tidak dinafikan bahawa masalah disiplin pelajar masa kini bukanlah kesalahan guru semata-mata. Semua orang setuju bahawa pendidikan bermula dari rumah tetapi guru adalah pihak kedua selepas ibubapa yang sepatutnya memainkan peranan bagi mengimbangi masalah pelajar masa kini. Bagaimana caranya, tepuk dada tanya iman.

Cukuplah dulu. Nanti kalau aku tulis panjang-panjang, kau orang bosan pula. Niat aku bukanlah memuji diri tapi hanya semata-mata mahu berkongsi pengalaman....

Selamat tengah malam.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger