Thursday, August 5, 2010

Sanggupkah kita mati dengan 'Aqidah rosak?

Memang tidak dinafikan kematian secara tragis Allahyarham Datuk Abd Aziz Md.Noh dan pembantunya Allahyarhamah Rohana Ismat pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada ahli keluarga masing-masing khususnya anak-anak Rohana sendiri yang masih kecil dan remaja. Apatah lagi kematian mereka ini dikategorikan oleh Polis sebagai kes bunuh dan membunuh diri.

Menurut laporan bedah siasat, 2 kesan tembakan di kepala Rohana dan 1 di kepala Abd.Aziz. Secara teori logikal, sudah tentulah Abd.Aziz yang menembak Rohana terlebih dahulu di kepala sebanyak 2 das, kemudian menembak dirinya sendiri di kepala.

Sebagai Muslim sudah tentu kita merasa kesal dengan apa yang menimpa mereka berdua. Yang dibunuh sudah tentu meninggalkan kesan psikologi kepada anak-anaknya dan ahli keluarga.

Bagi yang membunuh dan bunuh diri sudah tentu menanggung 2 dosa amat besar. Pastinya azab Allah sedang menantinya manakala ahli keluarganya sudah tentu berhadapan dengan situasi sukar untuk berhadapan dengan masyarakat ekoran si mati merupakan orang yang dikenali umum.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kes ini kerana kehidupan di dunia ini hanyalah merupakan satu persinggahan sementara sebelum kita dipindahkan ke alam barzakh bagi satu tempoh tertentu sebelum dibangkitkan semula di hari pembalasan.

Tiada jalan lain untuk kita selamat melainkan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dalam erti kata sebenar.

Mutakhir ini kita sendiri boleh lihat dengan mata kepala sendiri betapa semakin ramai umat Islam di tanahair semakin hari semakin jauh daripada Islam. Mereka lebih terpesona dengan sistem dan gaya hidup masyarakat Barat dan Eropah yang terbukti gagal dalam melahirkan generasi yang baik dan harmoni. Apa yang ada hanyalah keruntuhan akhlak dan moral, masyarakat yang rosak, jenayah berleluasa dan pelbagai masalah sosial yang tiada penghujungnya.

Hari ini masyarakat Barat dan Eropah mula mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengisi kekosongan jiwa mereka. Satu laman web Muslim telah mendedahkan peningkatan mendadak jumlah penganut Kristian yang memeluk Islam di seluruh Britain. Senario ini membuktikan bila mana manusia mencari kebenaran hakiki, nescaya mereka akan menemukan Islam sebagai agama fitrah seluruh umat manusia sejak zaman Adam a.s.

Merupakan satu yang amat malang bagi kita seluruh umat Islam di negara ini bila mana barisan pimpinan UMNO yang memerintah negara sejak merdeka telah mengambil dan mengguna pakai sistem toghut sekularisma ciptaan manusia Eropah Barat sebagai dasar pemerintahan hingga ke hari ini. Sistem yang memisahkan agama dengan politik.

Walhal para pemimpin UMNO sendiri telah melihat betapa gagalnya sistem sekularisma yang diperkenalkan oleh Bapa Sekular Turki Kamal Ataturk sewaktu memerintah negaranya sehingga mengakibatkan Turki digelar sebagai "Negara Eropah Yang Sakit".

Sepanjang pemerintahannya, Kamal Ataturk hanya berjaya menghapuskan sistem Khalifah dan merosakkan Aqidah serta akhlak rakyatnya. Membunuh dan memenjarakan para Ulama' Suf, menghapuskan sistem pondok dan menutup seluruh sekolah agama rakyat. Rakyat yang masih berpegang teguh kepada Islam akan ditangkap dan disiksa. Melarang rakyatnya menutup aurat, menggalakkan pergaulan bebas, mengadakan pesta tari-menari dan arak, penayangan filem lucah di setiap pawagam di seluruh Turki dan pelbagai lagi kerosakan yang dibawa Ataturk yang merupakan anak didik dan anggota pertubuhan Zionis antarabangsa, Freemason.

Pernahkah kita terfikir bahawa visi pimpinan UMNO adalah serupa saja dengan visi Kamal Ataturk dalam nak menghancurkan Islam di tanahair. Cuma bezanya hanyalah di sudut pendekatan dan perlaksanaan.

Persoalan pokok di sini ialah sikap majoriti umat Islam yang masih percaya dengan dakwaan UMNO bahawa politik lain, agama lain. Kepercayaan sebegini amatlah merbahaya dan ianya boleh merosakkan 'Aqidah Islam seseorang tanpa sedar.

Dan satu lagi fahaman sesat yang menjadi pegangan orang Melayu selama ini bila mana mereka beranggapan "Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu". Sapa yang dok ajar fahaman songsang ini? Lupakah kita bahawa Islam adalah agama universal. Agama untuk seluruh umat manusia. Dan Rasulullah S.A.W. diutuskan oleh Allah untuk membawa rahmat kepada sekelian alam. Bermakna Baginda adalah Rasul dan Nabi kepada seluruh umat manusia akhir zaman.

Seperkara lagi orang Melayu cukup mudah terpedaya dengan propaganda khurafat para pimpinan UMNO yang mengatakan "Hanya UMNO bela Melayu. Tanpa UMNO, Melayu akan ditindas...." Inilah antara 'sihir' para pemimpin UMNO untuk terus perbodohkan Melayu demi survival kuasa politik mereka.

Satu demi satu hak orang Melayu dirampas oleh mereka namun seluruh ahli dan penyokong UMNO terus lena dan bebal dek perbuatan 'sihir' pimpinan mereka. Inilah akibatnya bila mana mengaku saja Islam tetapi dalam waktu yang sama terus menyokong golongan pemimpin yang menolak sebahagian besar isi kandungan Al-Qur'an.

Pemimpin UMNO luluskan lesen judi, mereka terus beri undi juga.

Pemimpin UMNO kata Hudud tak sesuai di zaman sekarang, mereka iyakan saja.

Pemimpin UMNO kata mana ada politik dalam Islam, mereka percaya.

Pemimpin UMNO rasuah, menyeleweng dan terlibat dengan jenayah, mereka sokong juga.

Pemimpin UMNO perlekeh Islam, mereka bertepuk tangan dalam Perhimpunan Agong.

.... akhirnya tanpa sedar mereka sebenarnya telah disesatkan oleh pimpinan UMNO sepanjang hidup. Dan penghujungnya mati dalam keadaan menganiayai diri sendiri. Di padang Mahsyar kelak barulah nak sedar dan menyesal kerana sewaktu di dunia dulu tak mahu patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Penyesalan mereka ini disebut oleh Allah dalam Surah Al Ahzab (33) : ayat 66-68;

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا ﴿٦٦﴾ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا ﴿٦٧﴾ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا ﴿٦٨

(66) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam Neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. (67) Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. (68) Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!

"Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya"

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger