Tuesday, August 24, 2010

Norway lupuskan sahamnya di Samling M'sia

Kementerian kewangan Norway telah melupuskan sahamnya dalam syarikat multinasional Malaysia, Samling Global dan dua firma Israeli daripada portfolio Dana Global Pencen Kerajaan (GPFG) yang dimiliki negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kementerian berkenaan berkata keputusan yang dibuat itu berdasarkan cadangan oleh Majlis Etika, kerajaan Norway yang mensyorkan supaya Samling dan Israeli Africa Israel Investments Ltd serta Danya Cebus Ltd dikeluarkan dari portfolio GPFG.

Sehingga 31 Disember 2009, GPFG memegang sejumlah 16,060,000 saham Samling Global, yang disenaraikan di Hong Kong.

“Keputusan melupuskan syarikat berkenaan dari GPFG adalah berdasarkan penilaian Majlis Etika kerana syarikat tersebut menyumbang atau firma itu sendiri bertanggungjawab terhadap aktiviti yang tidak beretika,” kata Menteri Kewangan Norway, Sigbjorn Johnsen.

Samling, sebuah syarikat berasaskan sumber perhutanan yang mengeluarkan produk seperti
papan lapis, veneer dan kerlapa sawit telah beberapa kali menjadi bahan berita kerana pertikaian dengan masyarakat pribumi di Sarawak berhubung pergelutan tanah dan juga operasi pembalakannya.

Pada 2008, syarikat pembalakan itu dikaitkan dengan kematian seorang ketua pemimpin masyarakat Penan yang terkenal dengan aktiviti anti-pembalakan selepas beliau keluar berburu.

Bagaimanapun siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah yang dikaitkan dengan kematian Kelesau Naan, 80.

Terbaru, Samling diheret dengan dakwaan yang pembalaknya terbabit dengan pemerkosaan gadis-gadis Penan.

Syarikat itu bagaimanapun menafikan perkara itu dan kerajaan negeri Sarawak mendakwa tuduhan itu sebagai tidak berasas.

Namun, siasatan Majlis Etika Norway mendapati salah-laku dikesan berhubung keperluan perlesenan kerajaan dan undang-undang lain yang tidak dipatuhi berhubung pembalakan di Sarawak, Malaysia dan Guyana.

Siasatan itu adalah berdasarkan tinjauan umum, analisis gambar melalui satelit dan penilaian dokumen umum.

-malaysiakini

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger