Wednesday, August 26, 2009

Kasitah Kembali Ke Ranau...

Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan semua tuduhan rasuah terhadap Tan Sri Kasitah Gaddam, ada dua orang pimpinan utama UMNO Bahagian Ranau yang tak dapat lelapkan mata kerana mengenangkan 'masa depan gelap' dalam karier politik mereka. Mereka berdua ni ialah Ketua UMNO Bahagian Datuk Masidi Manjun dan Timbalannya Jaimin Samitah. Inilah akibatnya jika 'menderhaka' pada orang tua.

Sewaktu menjadi Ketua Bahagian, Kasitah yang banyak membantu dan memainkan peranan untuk menaikkan nama Masidi Manjun dan secara langsung membuka laluan mudah untuknya membina karier politik dalam UMNO sehingga berjaya menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada ketika itu. Begitu juga dengan Jaimin yang berjaya memegang jawatan AJK Bahagian walau baru beberapa hari berjinak dalam politik.

Bila Kasitah dikenakan tuduhan rasuah semasa zaman Pak Lah, maka Masidi secara automatik memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Ranau. Peluang yang ada ini digunakan sebaik mungkin oleh Masidi dan Jaimin untuk membina pengaruh mereka di Ranau. Bukan setakat itu saja, mereka juga 'menghentam' Kasitah dengan harapan kredibiliti dan pengaruhnya akan pupus di Ranau ekoran tuduhan dan dakwaan rasuah yang dihadapinya. Perancangan mereka berdua nampak berjaya apabila dalam Pemilihan UMNO Bahagian Ranau mereka berjaya merebut jawatan Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian.

Mengikut perkiraan Masidi dan Jaimin, Kasitah akan disabitkan oleh mahkamah dengan tuduhan rasuah itu dan secara langsung akan 'membunuh' karier politiknya dalam UMNO. Dengan keyakinan ini, mereka terus memburuk-burukkan nama Kasitah sebagai orang yang tidak layak untuk memimpin UMNO Ranau kerana terlibat dengan rasuah.

Malangnya 'kegembiraan' Masidi dan Jaimin tidak berpanjangan. Tanpa diduga oleh mereka berdua, Kasitah telah dibebaskan oleh Hakim Soraya Othman daripada segala tuduhan rasuah pada 12 Ogos 2009 lalu. Ibarat 'bom jangka' menghentam dua orang pimpinan utama UMNO Ranau ini. Dari sumber sahih yang saya perolehi, dua sahabat karib ni sekarang sedang 'muram' dan merasa malu kepada mentornya. Nak menyesal pun tak guna. Ibarat kata pepatah 'Telajak Land Cruiser boleh diundur, telajak kata padahlah akibatnya..."

Rupanya dalam diam tak diam masih ramai ahli UMNO di Ranau yang sayangkan Kasitah ni. Dari sumber maklumat yang sahih, setakat ini saja 100 Ketua UMNO Cawangan di Ranau memang menantikan 'kepulangan' Kasitah untuk menerajui UMNO Bahagian. Adalah dipercayai lebih 75% UMNO Cawangan yang masih setia dengan Kasitah. Sepanjang perbicaraan berjalan dulu, mereka kerap mengadakan solat hajat khusus untuk Kasitah agar terlepas dari segala tuduhan. Nampaknya makbul juga doa' mereka ni.

Jika melihat kepada senario politik di Sabah, saya jangkakan PM Najib akan melantik semula Kasitah sebagai Senator dan duduk dalam Kabinetnya. Jika melihat kepada kenyataan media, jelas menunjukkan Kasitah mendapat sokongan padu daripada pimpinan UMNO Pusat.

Tidak dinafikan Kasitah memang benar-benar kecewa dengan sikap Masidi dan Jaimin yang jelas "kacang lupakan kulit'. Seharusnya mereka berdua ni memberikan sokongan moral dan semangat kepada mentornya sepanjang perbicaraan berjalan. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Oleh kerana pada ketika itu Pak Lah yang jadi Presiden UMNO dan PM, maka mereka juga turut sama menyokong tindakan Pak Lah yang mengarahkan BPR siasat dan dakwa Kasitah. Secara tak langsung ianya membuka laluan mudah untuk mengambil-alih kepimpinan UMNO Ranau. Memang itulah budaya dalam UMNO. Pijak memijak, fitnah memfitnah adalah kerja mereka. Yang penting peluang untuk 'berkuasa' jangan dipersiakan begitu saja.

Yang pasti Kasitah Gaddam akan kembali menerajui UMNO Bahagian Ranau dalam pemilihan yang akan datang. Kita tunggu dan lihat sajalah nanti. Namun ianya bergantung juga kepada faktor Pilihanraya Umum ke-13 kelak. Sudah tentu Kasitah perlu berhati-hati dalam percaturan ini. Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat mampu mengambil-alih pemerintahan negara selepas PRU13, mungkin geografi politik UMNO di Ranau pun turut berubah.

Selamat Bersahur dan Berpuasa Hari Kelima.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger