Saturday, August 22, 2009

Budaya Puasa Masyarakat Islam...

Hari ini seluruh umat Islam di planet bumi akan melaksanakan Rukun Islam yang ketiga. Ketibaan bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan ini sentiasa dinanti oleh golongan yang beriman dan bertaqwa.

Bagi golongan fasik dan munafiq, ketibaan Ramadhan ini dianggap 'menyusahkan' kerana terpaksa berlapar dan menahan dahaga di siang hari. Kebiasaannya kedua golongan ini akan berpuasa juga tetapi hanya di hadapan khalayak ramai. Bila bersendirian mereka akan 'mencuri-curi' untuk makan atau minum.

Dan ada juga yang berpuasa penuh tetapi tidak mendirikan solat. Mereka berpuasa bukan kerana menurut perintah Allah tetapi kerana malu pada rakan dan masyarakat.

Setengahnya pula memang menanti ketibaan Ramadhan ini untuk 'buat duit' dengan berniaga di Bazaar Ramadhan. Memang tidak menjadi kesalahan menjual juadah berbuka puasa. Secara tidak langsung 'membantu' para isteri yang bekerja yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka puasa untuk suami dan anak-anak di rumah.

Kebiasaannya yang berniaga di Bazaar Ramadhan ini akan keletihan. Bila sudah letih, sudah tentunya tidak mampu hadir ke surau atau mesjid untuk bersolat Tarawih. Di sinilah letaknya kerugian besar bagi mereka. Kadang-kadang untung berniaga di Bazaar tidak seberapa, badan keletihan serta terlepas begitu 30 malam Ramadhan yang penuh keberkatan dan keampuan. Lebih malang lagi ada yang tinggal solat Zohor, Asar dan Maghrib disebabkan nak cari 'duit raya'.

Bagi yang mengunjungi Bazaar Ramadhan pula, mereka akan membeli pelbagai juadah berbuka puasa secara berlebihan. Bila sampai waktu berbuka, yang dimakan dan dijamah hanya sedikit. Akhirnya yang lebih dibuang begitu saja. Beri kucing makan. Biasalah bila dalam keadaan lapar dan dahaga, nafsu kita akan merasa seronok melihat pelbagai juadah yang dijual. Semuanya rasa enak sehingga meleleh air liur. Kalau boleh semua nak dibeli...

Golongan remaja dan muda pula menjadikan Bazaar Ramadhan ini sebagai tempat 'mencuci mata' dan berpeleseran semata-mata. Manakala golongan yang sedang dilanda cinta, ketibaan Ramadhan ini dijadikan peluang untuk membawa si buah hati berbuka puasa di luar. Kononnya nak rebut peluang dengan keberkatan di bulan mulia ini agar ikatan cinta semakin utuh. Bila dah keluar bersama untuk berbuka puasa, Maghrib ke mana... Solat Tarawih jangan ditanya.

Inilah antara budaya hidup majoriti masyarakat Islam masa kini. Bagi mereka berpuasa Ramadhan ini satu perkara biasa. Cuma tak makan dan minum dari waktu Imsak sehingga waktu berbuka. Itu saja. Lepas 30 hari, sambut Hari Raya 'Idilfitri.

Senario ini berlaku kerana lemahnya 'Aqidah Islam, jahil dan kurangnya ilmu. Dengan lain perkataan mengamalkan Islam secara ikutan. Bukan berdasarkan ilmu.

Tidak dinafikan selagi kita bernama manusia, pastinya tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Moga dengan kehadiran Ramadhan tahun ini akan membuka lembaran baru dalam hidup kita dan secara tak langsung memacu diri menjadi hamba-Nya yang lebih berkualiti. Insya'Allah.

Marilah kita berdoa' semuga Allah memberikan kita kekuatan agar dapat melaksanakan 'ibadah puasa dengan sempurna dan diterima oleh-Nya.

Selamat Berpuasa.

1 comment:

Ana Sukainah said...

salam RAMADHAN KAREEM...artikel yang menarik..!!mabruk alaik..

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger