Monday, March 9, 2009

Nabi S.A.W Adalah Perlembagaan Bergerak

Antara tujuan Allah mengutuskan Rasul-Nya Muhammad S.A.W ke dunia ini agar manusia seluruhnya dapat menemui satu gambaran yang paling jelas dan sempurna dalam setiap bidang kehidupan melalui contoh terbaik yang terdapat dalam diri Baginda S.A.W.

Sebelum manusia dapat melihat 'Perlembagaan Bertulis' bagi mana-mana kumpulan atau negara di dunia ini, maka pada diri Rasulullah S.A.W itu merupakan perlembagaan yang bergerak. Apabila seseorang itu menjalankan penyelidikan dalam apa jua bidang kehidupan, maka kesemuanya akan dapat ditemui pada diri atau tubuh Rasulullah S.A.W dengan lengkap tanpa cacat cela.

Apa jua contoh yang diperlukan dari urusan yang paling besar seperti urusan negara, masyarakat, pengurusan dan pembangunan insaniah, undang-undang dan keadilan, hubungan antarabangsa dan perdagangan sehinggalah kepada persoalan yang dianggap paling remeh oleh sesetengah orang seperti menguap dan meludah, kesemuanya terdapat dengan jelas segala adab-adab tersebut pada diri Baginda.

Sudah tentu sebagai seorang manusia, Nabi Muhammad juga menguap dan meludah. Mujurlah Allah SWT mengutuskan para Rasul dan Nabi dari kalangan manusia yang mudah menjadi contoh ikutan manusia seluruhnya.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah (9) : awal ayat 128 ,

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w)...."

Allah SWT boleh mengirimkan Malaikat sebagai Rasul, lebih-lebih lagi Malaikat lebih perkasa jika dibandingkan dengan manusia. Ada juga di kalangan manusia yang berpendapat Malaikat yang selayaknya diutus sebagai Rasul kepada mereka.

Tetapi Allah tidak berbuat demikian kerana Malaikat tidak sesuai untuk dijadikan contoh ikutan kepada manusia. Kehidupannya jauh berbeza dengan kehidupan manusia. Tidak makan dan minum, tidak kahwin, tidak tidur, tidak perlu harta benda dan rumah kediaman. Sudah tentu banyak kekurangannya dari segi contoh teladan yang boleh dituruti oleh manusia. Walaupun Malaikat lebih perkasa tetapi tidak semua kehidupan memerlukan keperkasaan. Bahkan manusia memerlukan kebijaksanaan, lemah lembut dan kasih sayang untuk menyebarkan dakwah di kalangan manusia.

Justeru itu, Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui telah mengutus para Rasul dan Nabi dari jenis manusia sendiri supaya lebih realistik dan mudah diikuti segala gerak-geri dan tingkah-lakunya.

Memang terdapat di kalangan orang-orang kafir yang memperlekeh Nabi S.A.W kerana mereka tidak melihat sebarang keistimewaan pada diri Rasulullah melainkan hanyalah sebagai manusia biasa dan tiada yang luar biasa. Makan seperti mereka, berkahwin seperti mereka dan berjalan ke pasar seperti mereka juga.

Firman Allah dalam Surah Al-Furqan (25) : ayat 7,

وَقَالُوا مَالِ هَـٰذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ ۙ لَوْلَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُ نَذِيرًا

"Dan mereka (orang-orang kafir) berkata: Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya)."

Inilah pemikiran dangkal dan sempit yang datang dari kalangan manusia yang tidak beriman kepada Allah SWT, mereka hanya mencari helah yang tidak munasabah. Misalnya, jika Allah tunaikan hasrat mereka dengan mengutus Malaikat sebagai Rasul, namun belum tentu mereka akan patuhi arahan Malaikat yang menjadi pilihan mereka.

Itulah sebabnya Allah SWT utuskan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul, sebagai manusia terpilih yang diasuh secara langsung oleh Allah Taala untuk membina kemanusiaan. Tidak kira apa jenis atau bangsa dan warna kulit, namun mereka tetap boleh mendapatkan contoh dan teladan yang terbaik dari dari Rasulullah S.A.W itu sendiri.

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab (33) : ayat 21,

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu...."

Jelas kepada kita memang sudah semestinya bahawa Rasulullah S.A.W itu adalah contoh terbaik yang tiada tolok bandingnya.

Nabi S.A.W dihantar oleh Allah ke dunia khusus untuk membimbing dan menjadi ikutan manusia seluruhnya. Apa jua masalah yang dihadapi oleh manusia, maka lihatlah pada diri Rasulullah S.A.W nescaya akan ditemui contoh yang sebaiknya untuk menyelesaikan segala permasalahan kehidupan manusia. Tidak ada permasalahan yang tidak boleh diselesaikan jika seseorang itu merujuk kepada kehidupan atau Sunnah Nabi S.A.W.

Firman Allah dalam Surah An-Nisaa' (4) : ayat 59,

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

"Jika kamu berbalah (kerana berlainan pendapat) tentang sesuatu (perkara), maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul (sunnahnya)....."

Tidak ada perselisihan pendapat dan persengketaan di kalangan orang-orang yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul sekiranya mereka menyerahkan kembali kepada Allah dan Rasul. Al-Qur'an tempat rujuk paling utama, sementara Nabi S.A.W adalah contoh teladan yang wajib diikuti. Ketepikan segala kepentingan diri dan kelompok. Utamakan Allah dan Rasul bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan yang berlaku.

Sumber :

Sirah Nabawiyyah
Karangan Tuan Guru Nik Abd.Aziz Nik Mat

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger