Saturday, January 1, 2011

Kenapa saya semberono

Raja Petra Kamarudin
Translated by Si Manis Amni

Antara tahun 2002-2004, iaitu ketika saya menguruskan akhbar Suara Keadilan, saya selalu bertengkar dengan Anwar Ibrahim dan para pemimpin parti. Malah, saya menerima memo daripada Anwar dari Penjara Sungai Buloh, yang menegur saya tentang penulisan saya.

Suara Keadilan adalah akhbar parti dan oleh sebab itu, saya tak harus menulis sebarang perkara yang bersifat kritikal terhadap parti ataupun pembangkang. Saya kemudiannya tidak lagi dibenarkan menulis editorial dan pada minggu itu, saya menerbitkan Suara Keadilan dengan ruangan editorial yang kosong.

Bila saya buat macam tu, lagilah dia orang marah.

Kemuncaknya adalah apabila saya dan Anwar/PKR tidak lagi sehaluan. Jadi, saya memutuskan untuk melancarkan Malaysia Today dan tak lama selepas itu - selepas insiden pada konvensyen parti di Ipoh yang hampir mengakibatkan saya bertumbuk dengan pengawal peribadi Anwar - saya meninggalkan Suara Keadilan bagi mengendalikan Malaysia Today sepenuh masa.

Pemimpin PKR menganggap saya sebagai seorang yang semberono. Ini kerana saya bukan hanya menghentam UMNO dan Barisan Nasional, tapi juga pembangkang. Tu yang dia orang tak suka tu.

Akhir-akhir ini, saya menerima banyak emel, yang mana saya dituduh sebagai Kuda Trojan dan bahawa saya dah dibeli dan sebagainya. Sesetengah daripada emel tu memang dahsyat. Kalau nak dapat gambaran mengenai kedahsyatannya, bacalah komen di Internet tentang apa yang mereka kata tentang saya.

Nampaknya, saya akan muncul sebagai blogger paling dibenci di Malaysia. Haruskah saya menganggap itu sebagai pujian?

Tapi bagaimana mungkin saya tidak menjadi blogger yang paling dibenci? Misalnya, cuba baca laporan AFP di atas. Ramai yang kesal berhubung dengan laporan Wikileaks mengenai Anwar. Mereka berteriak subjudis, desas-desus, khabar angin tak berasas, konspirasi dan lain-lain lagi. Bagi mereka, adalah tidak adil atau tidak beretika di pihak Wikileaks untuk menerbitkan laporan tentang isu yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, standard yang sama perlu digunapakai bagi semua pihak. Saya tak percaya pada penggunaan standard yang berbeza untuk setiap orang dan mengalihkan palang gol semasa permainan berlangsung. Inilah pendirian saya selama ini dan saya amat konsisten mengenainya.

Tapi ramai di pihak pembangkang percaya pada penggunaan dua standard yang berbeza - satu untuk parti pemerintah dan satu lagi untuk pembangkang. Kalau macam ni, tak ada bezalah antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Ini kerana Barisan Nasional pun mengambil pendirian yang sama - bahawa perlu ada satu peraturan untuk parti pemerintah dan satu lagi untuk pembangkang.

Ya, saya memang setuju bahawa semasa sesuatu perbicaraan sedang berlangsung, kita tak patut memberi komen tentangnya. Tapi sejak bila pula pembangkang menghormati peraturan ni?

Selama perbicaraan Liwat I, kita menghentam Tun Dr. Mahathir Mohamad habis-habisan dan kata macam-macam tentangnya, iaitu mengenai cara dia memerangkap Anwar. Sekarang, semasa perbicaraan Liwat II pula, kita menghentam Najib Tun Razak dan juga menuduhnya memerangkap Anwar.

Bahkan, Malaysia Today telah menyiarkan begitu banyak maklumat tentang perkara tu, dari pertemuan antara Rodzwan dan Saiful di Hotel Concorde dan nota perubatan Dr. Osman dan sebagainya. Kalau kerajaan memutuskan untuk mendakwa saya atas kesalahan menghina mahkamah, dah tentu saya akan dipenjarakan buat masa yang lama.

Apabila Malaysia Today mendedahkan rahsia dan dokumen sulit tentang sesuatu yang menjejaskan kedudukan kerajaan, tak ada siapa yang melolong. Malah Malaysia Today telah melakukannya bukan hanya bagi kes Anwar. Isu Khir Toyo, PKFZ, Rosli Dahlan, Datuk Ramli Yussuf, Tajuddin Ramli, hubungan sulit antara Saiful dan DPP, dan antara Peguam Negara dan pengarah hal ehwal antarabangsanya, dll., semuanya telah disiarkan di Malaysia Today semasa perbicaraan sedang berjalan.

Tolonglah, janganlah menangis macam budak kecil. Siapa kata yang ini adalah pertembungan yang adil? Memanglah tak adil. Peduli apa sama ada ia adil ataupun tak? Bukankah kita juga menggunakan taktik kotor apabila berpeluang melakukannya?

Bacalah putar belit dari kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tentang saya. Bahkan media perdana pun telah menulis banyak pembohongan tentang diri saya. Oh, kononnya saya di Brisbane. Saya tinggal di Trinity Court di London. Kalimullah membiayai segala perbelanjaan saya. Saya mabuk dan jatuh ke dalam longkang di London, sedangkan tak ada longkang pun di London. Saya seorang pelarian walaupun tiada pertuduhan yang tertunda terhadap saya. Dan macam-macam lagi.

Ya, memang ini satu pertembungan yang ‘kotor’. Tapi saya tak merengek tentangnya. Saya hanya lawan balik dan apabila saya pukul balik, saya pukul lebih kuat daripada sebarang pukulan yang dapat mereka lontarkan kepada saya.

Pihak pembangkang baru kena sikit dah mengada-ngada. Saya belasah UMNO dan Barisan tapi saya hanya menjentik pembangkang. Baru jentik sikit, mereka kata saya dah dibeli oleh UMNO atau Najib.

Macam ni nak memerentah negara kah? Macam budak kecil! Kalau bersedia menghentam, bersedialah juga untuk dihentam. Anda semua hanya tahu membelasah tapi tak tahan dibelasah.

Hari ini, saya dianggap sebagai musuh Pakatan Rakyat. Tapi kalau saya membodek Pakatan Rakyat dan menghentam Barisan Nasional, maka saya dianggap sebagai anak Malaysia yang sejati, seorang patriot. Inilah cara pembangkang berfikir. Betul ke kita nak puak ni memerintah negara?

Apabila Wikileaks membocorkan rahsia yang mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan dan para pemimpinnya, anda bertepuk tangan dan bersorak-sorai, dan mengatakan bahawa Wikileaks adalah kurniaan dari Tuhan. Sekarang apabila anda pula yang terkena, anda menuduh bahawa berlaku konspirasi dan subjudis.

Tolong lah! Kalau takut kena pukul jangan cari gadoh. Kalau berani gadoh mestilah terima yang kadang-kadang kena pukul balek. Itu baru kita panggil anak jantan.

Artikel asal

- malaysiatoday

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger