Wednesday, September 7, 2011

Siapa sebenarnya Mat Indera?

Pada tahun 1985, berlaku peristiwa berdarah Memali yang meragut 14 nyawa yang tak berdosa angkara fitnah jahat UMNO. Sebelum tercetus perisitwa itu, UMNO melalui medianya TV dan akhbar terus melakukan propaganda fitnah terhadap Assyahid Ustaz Ibrahim Libya. Antara fitnah yang dilemparkan dan diperbesarkan ke atas bekas pegawai dakwah Pusat Islam itu ialah mengajar ajaran sesat dan menghasut penduduk Baling menentang kerajaan. Malah Ustaz Ibrahim dituduh sebagai orang yang merbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara. Kini isu Mat Indera pula menghiasi tajuk utama di dada-dada akhbar milik UMNO, juga di kaca TV. Persoalannya kenapa UMNO 'menggelupur' bila Timbalan Presiden PAS mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Benarkah Mat Indera seorang komunis sebagaimana dilabel oleh penjajah Inggeris dan UMNO? Untuk mengenali siapakah sebenarnya Mat Indera, penulis paparkan kisah Mat Indera sebagaimana yang terdapat dalam buku terbitan Warisan Johor.

Penjajahan bererti kongkongan dan tidak ada kebebasan bagi anak negeri membuat keputusan dan mengambil tindakan. Justeru penjajahan sinonim dengan ketidakadilan, penindasan dan penafian hak serta pelbagai ancaman daripada penjajah. Akibatnya anak negeri diselubungi perasaan tertekan, cemas, takut dan tidak puas hati. Ekoran daripada pelbagai perasaan inilah timbul penentangan terhadap penjajahan, samada secara nyata atau terselindung, secara langsung atau tidak langsung. Dan penentangan ini akhirnya menjadi perjuangan yang tidak kunjung padam selagi penjajahan tidak dihapuskan.

Di kebanyakan negara yang dijajah, pihak penjajah dengan kuasa yang dimiliki terus menjalankan tindakan melenyapkan sesiapa sahaja yang dianggap mengganggu kedudukan dan menggugat kekuasaan mereka. Pada suatu pihak yang lain, anak negeri yang terjajah sanggup berjuang melalui pelbagai cara untuk memperoleh kemerdekaan negara walaupun terpaksa mempertaruhkan jiwa dan raga.

Dalam sejarah perjuangan menentang penjajahan dan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, banyak tokoh yang telah terkorban demi agama, bangsa dan negara, dikenang sebagai pariot tanahair seperti Dato' Bahaman dan Mat Kilau (Pahang), Dato' Dol Said (Melaka), Tok Janggut (Kelantan), Mat Salleh (Sabah) dan Rosly Doby (Sarawak). Mereka berjuang untuk kebebasan hak dan kemerdekaan negara. Namun begitu mereka dianggap oleh penjajah sebagai penderhaka dan petualang yang mengancam keselamatan negara, dan kerana itu mereka bukan saja perlu ditentang habis-habisan, malah dilenyapkan sama sekali daripada terus wujud di muka bumi ini. Mereka tidak sekadar diburu, tetapi juga orang-orang yang hampir dan rapat dengan mereka turut diancam, digertak, diugut dan dimalukan. Selain itu, propaganda memburuk-burukkan peribadi mereka disebar-luaskan sehingga sesetengah anak negeri terpedaya dengan pembohongan itu.

Di negeri JOHOR, terdapat seorang pejuang tulen agama, bangsa dan negara yang telah diberi imej buruk oleh penjajah Inggeris laknatullah. Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Di kalangan orang-orang yang rapat dan mengenali peribadi Mat Indera secara dekat telah menafikan pembohongan tersebut. Mereka tidak mempercayai bahawa itulah sifat-sifat Mat Indera. Mereka turut mempersoalkan bagaimana dengan sekelip mata sifat-sifat terpuji Mat Indera boleh bertukar kepada sifat-sifat keji. Walaupun begitu, segala tekanan, paksaan dan ancaman penjajah Inggeris menjadikan mereka sebagai orang-orang kerdil yang tidak upaya untuk terus menegakkan kebenaran dan menafikan segala pembohongan. Mereka terpaksa membisu seribu bahasa kerana diselubungi perasaan takut dan gerun terhadap ancaman keselamatan diri dan keluarga serta kententeraman masyarakat yang dipaksakan oleh pihak penjajah Inggeris sekiranya kemahuan dan tuntutan penjajah itu tidak dipenuhi. Mereka sekadar berupaya membuat protes dan penentangan dalam hati.

Mat Indera atau nama penuhnya Ahmad bin Indera adalah seorang anak muda berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak. Dia bukan sekadar seorang yang bertubuh sederhana, kacak dan bijak, tetapi juga seorang yang gagah berani, tegas dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Bukan itu sahaja, Mat Indera juga memiliki sifat-sifat terpuji seperti lemah-lembut, peramah, mudah tersenyum, suka melawak, tidak mudah marah dan tidak gemar menyakiti hati orang lain. Kerana itu, Mat Indera sentiasa disenangi, disegani dan dihormati oleh orang-orang yang mengenalinya, terutama di kalangan kaum keluarga dan sahabat handai.

Tambahan pula, Mat Indera mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Dia dikatakan seorang yang hafiz Al-Qur'an, serta gemar bernasyid, berqasidah dan berzanji. Mat Indera berguru kepada Kiayi Haji Fadzil Bentan, seorang guru yang kaya dengan ilmu dunia dan akhirat, yang juga menjadi salah seorang guru dan penasihat kepada Almarhum Sultan Ibrahim, Sultan Johor. Selain itu, Haji Muhamad Yassin bin Hj Muhammad (ayah kepada TPM Muhyiddin Yassin) juga pernah menjadi salah seorang guru agama kepada Mat Indera.

Mat Indera juga suka menyanyikan lagu-lagu padang pasir. Suaranya merdu dan nafasnya panjang, Kerana itu, ketika Mat Indera membaca Al-Qur'an, bernasyid atau berqasidah, suaranya lunak memikat. Dengan kemerduan suaranya itu, Mat Indera sering mempersonakan teman-teman, terutama ketika dia mendendangkan lagu-lagu padang pasir nyanyian Biduan Mesir yang terkenal sekitar tahun-tahun 1940-an dan 1950-an bernama Abdul Wahab yang amat diminatinya. Dan sebagai seorang yang terdidik dalam bidang agama, Mat Indera sentiasa patuhMa mengerjakan segala perintah Allah.

Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat. Mat Indera merupakan anak kedua, tetapi kerana abangnya yang sulung meningga dunia ketika masih kanak-kanak, maka dialah yang diharapkan menjadi tonggak menyempurnakan tanggungjawab kepada keluarga dan adik-adiknya seramai sepuluh orang. Setelah menamatkan persekolahannya peringkat Darjah Enam Sekolah Agama pada tahun 1937, Mat Indera telah bertugas sebagai seorang Guru Agama di Parit Setongkat, Muar. Dia kemudian berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Darjah Khas. Dia lulus peperiksaan Darjah Khas dengan cemerlang, di samping berjaya pula dalam peperiksaan kelayakan untuk menjadi guru agama. Seramai 43 orang calon telah berjaya dalam peperiksaan tersebut di seluruh negeri Johor. Dan hanya 2 orang daripada yang lulus itu telah diberi penghormatan menerima anugerah Butang Perak yang mengandungi lambang kerajaan negeri Johor, yang layak dipakai sebagai lambang keperibadian dan kecemerlangan. Seorang daripadanya ialah Mat Indera. Lantas Mat Indera memulakan tugasnya sebagai guru agama berkelayakan di Pontian dengan gaji bulanan sebanyak RM20.00.

Dalam masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945), Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Pekerjaan ini memberikan sedikit keselesaan hidup kepadanya. Memahami keperitan hidup yang ditanggung oleh sebahagian daripada saudara-maranya akibat perang dan pemerintahan Jepun, Mat Indera mengambil kesempatan yang diperolehi sebagai peniaga beras untuk menolong mereka meringankan beban penderitaan mendapatkan bekalan makanan.

Apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu dengan menguatkuasakan British Military Administration (BMA) pada tahun 1945, Mat Indera bertukar haluan bekerja sebagai buruh pengangkut beras, kemudian dilantik sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Pekerjaan ini membuka peluang kepada Mat Indera untuk mengambil beras-beras yang tercicir di pelabuhan, dan kemudian membahagi-bahagikannya kepada mereka yang memerlukan. Tenaga dan khidmat bakti ini dicurahkan oleh Mat Indera secara percuma. Amalan murni ini amat disenangi oleh banyak orang, dan Mat Indera semakin disayangi oleh keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai.

Pada waktu inilah Mat Indera melibatkan diri dalam politik, dengan tujuan untuk memerdekakan tanahairnya daripada penjajahan Inggeris. Dia menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako). Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam, sementara sayap wanita PKMM pula dikenali sebagai Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh. Mat Indera telah dilantik sebagai Setiausaha API bagi daerah Muar. Bagi orang-orang perjuangan seperti Mat Indera, API tidak lagi diertikan sebagai Angkatan Pemuda Insaf, sebaliknya telah diertikan sebagai Angkatan Pembunuh Inggeris, satu manifestasi kebencian yang amat sangat terhadap Inggeris.

Penjajah Inggeris laknatullah telah menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948. Semua parti politik berhaluan kiri seperti API diharamkan. Pihak keselamatan (Polis talibarut British) dibantu oleh pengintip-pengintip penjajah Inggeris sentiasa memburu dan menangkap ahli-ahli API lalu dipenjarakan. Namun segala tekanan yang dikenakan itu sama-sekali tidak melunturkan semangat perjuangan anak negeri menentang Inggeris. Mereka meneruskan perjuangan dengan tekad untuk mengusir Inggeris daripada terus berpijak di bumi Tanah Melayu yang mereka cintai. Akibatnya pihak Inggeris telah memperhebatkan lagi gerakan menghapuskan apa yang dianggap sebagai musuh mereka yang membahayakan itu.

Mat Indera merupakan salah seorang yang merasai bahang tindakan Inggeris itu. Dia telah menjadi buruan Inggeris. Bagi mengelakkan dirinya ditangkap, dia melarikan diri ke rumah adiknya Isa di Singapura. Namun di sana juga keselamatan dirinya tidak terjamin. Tidak berapa lama selepas pemergiannya itu, orang ramai dikejutkan dengan terdapatnya poster-poster tertampal di pokok-pokok getah yang berbunyi "Cari Aku Di Pagoh" dengan menggunakan nama Muhammadiah @ Mat Indera. Poster ini merupakan satu cabaran terbuka kepada pihak penjajah Inggeris yang mahu menangkap Mat Indera yang telah masuk ke hutan dan meneruskan perjuangannya secara gerila; mungkin terpengaruh dengan pendekatan perjuangan yang digunakan oleh pejuang-pejuang kebangsaan Indonesia menentang penjajahan Belanda. Mat Indera bergerak di daerah Muar di sekitar Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris. Oleh kerana satu-satunya kumpulan yang bergerak cergas di dalam hutan secara gerila ketika itu ialah komunis yang dianggotai oleh orang-orang Cina dikenali sebagai Bintang Tiga, maka Mat Indera tidak dapat tidak terpaksalah membina hubungan dengan kumpulan tersebut sebagai pelindung, walaupun pada hakikatnya mereka mempunyai matlamat perjuangan yang jauh berbeza. Lantas Mat Indera dicop penjajah Inggeris sebagai komunis yang ganas dan merbahaya serta tidak tidak beragama (free thinker).

Tindakan Mat Indera mengatur gerakan menentang Inggeris dari dalam hutan bukan sahaja menjadi kejutan besar kepada pihak penjajah itu, tetapi juga satu pukulan hebat terhadap maruahnya. Keegoannya tercabar. Lantas penjajah Inggeris menawarkan hadiah sebanyak RM25,000 bagi sesiapa yang dapat menangkap atau memberi maklumat sehingga tertangkapnya Mat Indera. Malah ayah dan ibu Mat Indera turut disoal-siasat setiap dua hari dan terpaksa keluar masuk penjara selama lapan bulan sebelum dibuang negeri ke Singapura bersama Johan Shah, adik Mat Indera. Datuk dan nenek Mat Indera juga diheret keluar masuk penjara untuk disoal-siasat. Inggeris berbuat demikian bertujuan untuk mengumpan Mat Indera supaya keluar dari hutan dan menyerah diri bagi mengelakkan tekanan dan ancaman kepada ibu bapa dan datuknya. Namun tindakan biadap Inggeris itu ternyata tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Satu tragedi yang menggemparkan Tanah Melayu berlaku apabila berek kelamin Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh satu gerombolan komunis pada Subuh 23 Februari 1950. Satu pertempuran hebat berlaku antara pihak polis dengan kumpulan komunis. Seramai 25 orang anggota polis serta anak dan isteri mereka terkorban dan Balai Polis Bukit Kepong hangus terbakar. Turut dibakar ialah pejabat penghulu dan sebuah motorbot Polis Marin. Serangan itu dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh Mat Indera. Beberapa orang saksi telah memberitahu pihak penyiasat Inggeris bahawa Mat Indera yang melakukan serangan itu. Dakwaan mereka menimbulkan keraguan munasabah kerana bagaimana mereka boleh mengenali Mat Indera sedangkan serangan itu berlaku pada kira-kira jam 5.00 pagi dalam suasana gelap dan hiruk-pikuk.

Keraguan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan seorang anggota Polis Marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan itu. Dia mengatakan bahawa Mat Indera tidak melakukan serangan, sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Orang-orang tua Kampung Durian Condong, Hulu Muar turut menyatakan bahawa Mat Indera bukanlah orang yang bertanggungjawab secara langsung dalam serangan itu, apatah lagi membakar bangunan dan membunuh anggota polis serta anak isteri mereka.

Salah seorang Melayu yang turut bergerak selama setahun secara gerila ialah Shahran bin Abdul Ghani. Dia merupakan pemimpin komunis Kumpulan Melayu yang berpusat di Yong Peng. Dia mengatakan bahawa sekiranya dia tidak berbuat demikian, nescaya nyawa orang-orang kampung terancam. Begitu juga orang-orang Melayu yang lain yang turun berjuang dalam hutan. Shahran ditugaskan mengutip yuran bulanan daripada 1,700 orang Melayu di kawasan tersebut. Shahran pernah mengatakan, "Mat Indera itu termasuk dalam kumpulan Cina. Dia terus bersatu menjadi kumpulan Cina; tapi Islam tetap Islam. Dia sembahyang. Waktu serang Bukit Kepong, Mat Indera yang mengarahkan. Dia ketua besar."

Berhubung hal ini, Johan Shah menyatakan bahawa abangnya memang mengakui bahawa dialah yang mengarahkan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, tetapi arahan yang diberikan bukanlah untuk membakar apatah lagi membunuh. Arahannya ialah untuk menangkap beberapa anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina. Malangnya orang-orang Cina di bawah arahannya telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah Mat Indera di luar pengetahuannya.

Walau bagaimanapun, tragedi ini dijadikan Inggeris sebagai bukti untuk memperkukuhkan dakwaan mereka bahawa Mat Indera bertanggungjawab menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Tindakan ganas ini dianggap Inggeris amat membahayakan negara. Justeru Inggeris mencanangkan bahawa Mat Indera adalah pengkhianat negara yang amat merbahaya dan perlu dihapuskan. Gerakan memburu Mat Indera diperhebatkan. Tawaran hadiah bagi menangkap Mat Indera melambung dua kali ganda kepada RM75,000.

Sementara itu, Mat Indera meluaskan kawasan pergerakannya ke Seri Medan, Batu Pahat. Dia cuba mempengaruhi orang-orang kampung agar menyokong perjuangannya. Sekali-sekala Mat Indera mengadakan ceramah-ceramah agama di kampung-kampung sekitar Seri Medan. Pada masa-masa tertentu, Mat Indera mendapat sumbangan makanan secara ikhlas daripada orang kampung. Mat Indera pula membayar setiap sumbangan yang diterimanya itu.

Mat Indera juga cuba mengajak beberapa orang pemuda kampung mengikut jejaknya berjuang menentang Inggeris secara gerila. Ada yang dapat dipengaruhi. Antaranya ialah seorang anak muda bernama Abdul Kadir bin Abdul Aziz. Abdul Kadir yakin terhadap perjuangan Mat Indera dan pernah menjadi anggota rekrut Mat Indera selama lapan tahun.

Mengikut keterangan Abdul Kadir, perjuangan Mat Indera berlainan dengan perjuangan Bintang Tiga. Mat Indera berjuang semata-mata mahu menghalau Inggeris dari tanahairnya supaya dia dan rakyat seluruhnya bebas menghidu udara kemerdekaan yang hakiki di negara sendiri. Dia tidak menyekutukan perjuangannya dengan perjuangan Parti Komunis Malaya atau Bintang Tiga yang ingin memerintah negara ini. Selain itu, perjuangan secara gerila dilakukan oleh Mat Indera atas desakan keadaan kerana Mat Indera sentiasa menjadi buruan Inggeris sejak API diharamkan.

Abdul Kadir juga menjelaskan bahawa Mat Indera adalah seorang yang warak. Ibadah wajib seperti solat lima waktu tidak pernah ditinggalkan walaupun dia berada di dalam hutan. Malah Mat Indera sering mengadakan ceramah-ceramah agama di kalangan anak buahnya di dalam hutan, khususnya tentang Al Qur'an dan Hadis, di samping mengatur strategi dan pendekatan bagaimana penguasaan Inggeris di Tanah Melayu dapat dihapuskan sama-sekali dan Tanah Melayu menjadi negara yang bebas merdeka dalam erti kata yang sebenar. Mat Indera amat benci dengan perjuangan komunis yang kejam, zalim dan tidak beragama. Keganasan yang dilakukan oleh pihak komunis amat bertentangan dengan prinsip perjuangan Mat Indera.

Dalam keadaan yang amat mencabar dan terdesak ini, pihak Inggeris telah membuat surat tawaran supaya Mat Indera menyerah diri. Namun Mat Indera tidak berhasrat menjadi seorang pengecut yang bacul, lantas dia menolak tawaran tersebut. Sebaliknya dia terus bergerak memperteguhkan perjuangannya itu.

Walau apa pun keadaannya, Mat Indera tidak ada upaya yang cukup bagi menentang kekuatan penjajah Inggeris yang dilengkapi dengan jentera pentadbiran yang besar dan meluas; apatah lagi dengan segala tipu-helah dan muslihat yang digunakan dari semasa ke semasa. Malah penduduk Seri Medan sendiri tidak lagi membantunya menyebabkan Mat Indera tersepit antara perjuangan dan keselamatan diri. Namun bagi Mat Indera, perjuangan tetap diteruskan walaupun nyawa terpaksa dikorbankan.

Ada beberapa sebab mengapa penduduk Seri Medan tidak lagi menyokong perjuangan Mat Indera. Pertama, Inggeris mengugut penduduk kampung bahawa mereka tidak akan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu selagi keamanan tidak diwujudkan. Dengan lain perkataan, Mat Indera perlu ditangkap dan pengaruhnya mesti dilenyapkan. Kedua, Inggeris mengancam untuk memindahkan penduduk kampung ke penempatan (kampung) baru, sedangkan mereka telah memiliki kebun dan rumah sendiri yang dianggap selesa sebagai tempat tinggal. Ketiga, Inggeris mengugut untuk menangkap dan memenjarakan sesiapa sahaja orang kampung yang bersubahat dengan Mat Indera, termasuk memberinya bantuan makanan dan perlindungan.

Mat Indera dikatakan mempunyai ilmu kebal dan ilmu ghaib. Faktor inilah yang disebut-sebut sebagai penghalang kepada usaha menangkap Mat Indera. Pasukan keselamatan yang digerakkan memburu Mat Indera pernah bertembung dengannya, tetapi Mat Indera berteriak sebelum menghilangkan diri, "Kamu orang Melayu balik. Kami tidak cari kamu. Mangsa Mat Indera adalah Inggeris, talibarut Inggeris dan pengintip Inggeris."

Manusia merancang, Tuhan menentukan. Salah seorang pengikut Mat Indera yang bergelar Mat Tukyo telah diberkas Inggeris. Dia dipujuk untuk diberi kebebasan dengan syarat dia dapat menangkap Mat Indera dalam tempoh yang ditetapkan. Mat Tukyo berunding dengan dua orang kawannya, Beladang dan Misban. Mereka bersetuju menerima tawaran tersebut setelah permintaan mereka untuk diberi ganjaran sekeping tanah untuk tapak rumah dan kebun diterima oleh pihak pemerintah ketika itu. Tambahan lagi hadiah lumayan RM75,000 yang ditawarkan sebelum itu telah menguatkan dorongan mereka untuk menangkap Mat Indera.

Mat Indera tidak pernah mempunyai prasangka buruk terhadap Beladang dan Misban, dua orang yang dipercayainya. Pada malam 14 Oktober 1952, Mat Indera diajak berunding untuk membuat satu perancangan jangka panjang perjuangan mereka, yaitu membina sebuah kedai runcit di kampung Seri Medan bagi memudahkannya mendapat bekalan makanan dan keperluan-keperluan lain. Dalam perjumpaan itu, Mat Indera telah dijamu tempe goreng dan air kopi yang telah dicampur dengan kecubung. Hidangan ini menyebabkan Mat Indera merasa mengantuk dan mabuk. Pada ketika itulah segala tangkal yang ada di tubuh Mat Indera ditanggalkan dan Mat Indera ditewaskan. Tangannya diikat dengan lalang dan dibawa ke Balai Polis Seri Medan. Dipercayai ketiadaan tangkal di tubuh badan dan ikatan lalang itulah yang menggugurkan semua kekuatan ilmu kebal dan ghaib Mat Indera.

Mat Indera dipamerkan kepada orang ramai yang ingin melihatnya. Ada yang gembira kerana tertangkapnya seorang yang dianggap merbahaya kepada negara. Namun ramai yang sebak dada kerana seorang tokoh yang menjadi pejuang untuk negara telah diperdaya dan dikhianati oleh rakan sendiri yang termakan dengan propaganda licik dan jahat Inggeris. Kerana itu, Kadi Haji Ahmad Shah bin Haji Abdul Jabar dan beberapa orang pemimpin Melayu yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera telah menasihati Mat Indera. Malah mereka telah memberi jalan kepada Mat Indera bagaimana seharusnya dia menghadapi perbicaraan mahkamah supaya terlepas daripada hukuman mati. Menurut ceritanya, Mat Indera menolak segala tawaran itu dengan mengatakan, "Beginilah kehendak rakyat."

Mat Indera dipenjarakan di beberapa tempat. Dia sentiasa dipindahkan dari sebuah penjara ke sebuah penjara, dari Batu Pahat ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Pudu dan Taiping. Dalam penjara dia telah didera. Akhirnya hukuman gantung sampai mati yang telah diputuskan dilaksanakan pada jam 11.00 malam, 30 Januari 1953 di penjara Taiping. Pada keesokan harinya, jenazah Mat Indera dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.

Kaum keluarganya merasa terkilan dengan cara bagaimana Mat Indera mengakhiri riwayat hidupnya. Pertama, hukuman gantung yang selalunya dijalankan pada jam 5.00 pagi dilaksanakan pada jam 11.00 malam. Kedua, tida seorang pun di kalangan ahli keluarga Mat Indera diberitahu perlaksanaan hukuman itu dan pengkebumian jenazah Mat Indera sehinggalah segala urusan tersebut selesai. Ketiga, kubur Mat Indera terletak beberapa ela di luar kawasan tanah perkuburan Islam hingga menimbulkan kecurigaan daripada segi kesahihannya, samada benar-benar kubur tersebut adalah kubur Mat Indera.

Walaupun ketokohan Mat Indera masih menjadi kontroversi, namun ada satu persoalan besar yang perlu diberi jawapan sewajarnya. Persoalannya kini: Adakah Mat Indera seorang petualang atau seorang pejuang? Huraian di atas cukup jelas memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan itu. Seperti Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut, Mat Salleh, Dato' Dol Said, Rosli Doby dan lain-lain, Mat Indera adalah seorang yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya dan emosinya demi agama, bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan.

Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang tulen, bukan seorang petualang.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger