Tuesday, December 6, 2011

Sekular agama UMNO

Agama ialah keyakinan atau pegangan. Di sisi Islam, ianya disebut 'Aqidah Tauhid. Sebab itu, sebaik saja Rasulullah S.A.W diutus sebagai Rasul, tugas pertama yang Baginda laksanakan ialah menyeru penduduk kota Mekah kepada Agama Tauhid. MengEsakan Allah. Segera meninggalkan amalan taghut penyembahan berhala amalan nenek moyang mereka. Dalam tempoh 11 tahun Baginda menyeru mereka namun yang beriman hanya segelintir saja dan selebihnya menentang.

Penentangan dari penduduk Mekah bukan alang kepalang. Hingga ke peringkat konspirasi mahu membunuh Baginda S.A.W. Dan orang yang mengetuai penentangan itu ialah bapa saudara sendiri, Abu Lahab laknatullah.

Sikap penduduk Mekah masa tu membuktikan betapa sukarnya mahu meninggalkan amalan penyembahan berhala yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Bagi mereka, apa yang diwarisi itulah yang betul walau mereka sendiri sedar berhala-berhala batu kaku itu tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk mereka. Namun itulah yang berlaku kerana berpegang kepada 'Aqidah yang salah. Mereka beranggapan jika ikut Agama Tauhid, bermakna mereka telah mengkhianati nenek moyang mereka yang telah mati.

Hari ini, senario yang serupa berlaku dalam UMNO. Parti Melayu itu telah berjaya menanamkan satu 'Aqidah baru dalam jiwa sebahagian besar umat Islam tanahair. Yaitu satu agama baru yang dikenali sebagai SEKULAR.

Dalam ajaran agama sekular itu, segala urusan agama hanya di tempat ibadat saja. Keluar saja dari tempat ibadat, maka seseorang itu bebas untuk memilih apa saja doktrin, fikrah dan gaya hidup masing-masing. Dalam konteks kenegaraan pula, pemerintah bebas memilih apa jua sistem yang mereka mahu. Kapitalis, komunis, sosialis, zionis atau apa saja asalkan bukan sistem Islam.

Selain menganut agama sekular, UMNO juga berjaya menanamkan fahaman khurafat ke dalam jiwa orang Melayu bahawa hanya UMNO yang boleh memerintah. Tanpa UMNO Melayu akan pupus. Oleh kerana doktrin itu mula ditanam sebaik tanahair merdeka, maka kita sendiri boleh lihat betapa sukarnya generasi Melayu hari ini mahu meninggalkan UMNO kerana ianya telah diwarisi daripada nenek moyang mereka yang telah tiada.

Walau mereka cukup sedar akan segala dosa-dosa besar UMNO seperti merampas hak biasiswa orang Melayu, merampas tanah dan menyeleweng dana mereka dalam ASN, ASB dan ASJ, namun tembok 'Aqidah Khurafat yang ditanam UMNO melalui nenek moyang cukup teguh. Mereka rasa satu pengkhianatan besar terhadap nenek moyang mereka jika meninggalkan UMNO. Satu dosa besar.

Semasa balik berhari-raya di Johor tahun ni, sempatlah penulis mengunjungi rumah seorang sahabat lama. Penulis masih ingat dia bercerita tentang wasiat arwah ayahnya sebelum meninggal. Arwah ayahnya seorang ahli UMNO yang setia. Antara wasiat yang ditinggalkan berbunyi "Jangan lupa pasang bendera di rumah pada 31 Ogos."

Pembaca boleh nilai sendirilah apa yang tersirat di sebalik wasiat 'pelik' tu.

Sekali lagi penulis menyeru kepada seluruh ahli UMNO yang Islam, segeralah kamu meninggalkan UMNO sebelum nyawa dicabut. Ini bukan soal kepartian tapi soal ini melibatkan 'Aqidah Islam seseorang.

Tiada ruginya kita berhijrah meninggalkan taghut dan menuju kepada cahaya kebenaran Islam. Kita semua tahu mengapa Allah perintahkan Rasulullah berhijrah meninggalkan kota Mekah menuju ke kota Madinah. Yaitu untuk menegakkan Daulah Islamiyyah (negara Islam) pertama Madinah.

Jazakallah

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger