Monday, January 26, 2009

Daulah Islamiyyah Kembali Bersinar

Jika kita melihat perangai dan akhlak pemimpin Arab yang ada hari ini, 100 tahun lagi pun mereka tidak boleh lawan Israel. Mereka telah 'lemas' dengan segala kemewahan yang dimiliki dan mudah dipermainkan oleh Amerika, sekutu rapat Israel.

Sejarah membuktikan punca jatuhnya Empayar Islam Turki apabila Sultan pada ketika itu sudah mula hidup bermewah-mewah dan mula lupa tanggungjawab mereka sebagai Khalifah Islam. Akhirnya sistem khilafah berjaya dimansuhkan oleh Kamal Ataturk laknatullah.

Hari ini Islam dilihat kembali bangkit dan mula memberi harapan baru kepada umat Islam di seluruh dunia. Golongan Islam sudah mula memacu dan membuat kemajuan yang hebat seperti yang berlaku di Iran mutakhir ini.

Assyahid Syed Qutb yang mati di tali gantung di penjara Mesir pada tahun 1967, meramalkan Islam sedang muncul di ufuk Barat. Harapan ini dinanti oleh umat Islam. Dalam waktu yang sama, perjuangan Islam diteruskan.

Pada akhir tahun 70an, berlakunya Revolusi Islam Iran. Kebangkitan rakyat Iran di bawah pimpinan ulama' telah berjaya menumbangkan 'UMNO Iran' yang disokong Amerika. Dengan kemenangan ini, umat Islam di seluruh dunia kembali yakin kepada Islam dalam bentuk negara setelah hampir 500 tahun mereka hilang pedoman.

Hilangnya pedoman umat Islam sepanjang tempoh 5 abad adalah disebabkan pada ketika itu negara Islam tidak boleh diwujudkan lagi. Dirasakan kekuatan Islam mungkin tidak boleh dipulihkan semula masa itu. Para pemimpin negara umat Islam pula menjadikan Karl Marx, Moa Tsee Tong, Napoelon sebagai orang-orang yang disanjung dan dipuja termasuk kita di Malaysia.

Dengan berlakunya kemenangan Islam di Iran, maka ianya memberi harapan baru kepada umat Islam di seluruh dunia, yaitu Daulah Islamiyyah boleh ditegakkan semula. Kemudian diikuti kemenangan Mujahiddin di Afghanistan. Tetapi Mujahiddin gagal untuk menyelesaikan masalah mereka, akhirnya negara dirampas oleh Taliban. Taliban pula melakukan beberapa kesilapan seperti menutup sekolah-sekolah wanita, memenjarakan orang lelaki yang tidak berjanggut. Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku ini telah digunakan sebaik-baiknya oleh musuh-musuh Islam.

Peluang yang ada ini telah digunakan oleh Yahudi dan Nasrani yang disokong oleh golongan sekular Islam dunia melancarkan serangan terhadap Islam dan kebangkitan Islam. Diikuti pula dengan Peristiwa 11 September yang dijadikan 'lesen' oleh Amerika untuk melakukan serangan terhadap Islam dan kebangkitan Islam secara lebih tersusun dan serius. Akibat dari tindakan Amerika ini telah menyebabkan kebangkitan Islam mengalami sedikit kemerosotan.

Selama ini orang tidak yakin bahawa Islam boleh menang melalui demokrasi. Sepanjang zaman membuktikan golongan mu'min menang dengan hujah walaupun ada ketikanya kita diperintahkan untuk berjihad di medan perang tetapi itu sebagai pilihan terakhir. Bagi golongan musuh Islam, mereka menang dengan kuasa. Kita memang diperintahkan oleh Allah untuk menyebarkan risalahNya melalui hujah. Rasulullah SAW sendiri menang hujah dengan khutbah di hadapan golongan Kristian kaum Najrat. Begitulah juga selepas zaman Baginda, di mana saja ada perdebatan dan perbincangan, Islam menang dengan hujah.

Apabila demokrasi ini dicuba dalam negara umat Islam, ianya dilihat golongan Islam boleh menang dengan demokrasi. Sebagaimana berlaku di Algeria.

Di Palestin, Hamas berjaya menguasai 70% kerusi dalam pilihanraya majlis bandaran yang diadakan kali kedua. Dengan kemenangan besar Hamas, Hizbullah sedang menunggu dengan kekuatannya di Lubnan. Hizbullah amat dihormati oleh rakyat Lubnan sebab merekalah yang melawan Israel. Rakyat Lubnan merasa terhutang budi kepada Hizbullah.

Setelah tamatnya perang Iran dan Iraq dalam tahun 1990, Iran bertindak mengumpulkan segala kekayaan sepanjang 18 tahun selepas perang bagi membina kekuatannya sendiri. Hari ini Iran berjaya dan maju dalam bidang sains dan teknologi sehingga mencapai tahap kemampuan membangunkan teknologi nuklearnya. Kemampuan yang ditunjukkan oleh Iran sehingga boleh membuat pesawat, kereta kebal, helikopter dan peluru berpandunya sendiri telah membuka mata masyarakat dunia bahawa tanggapan mereka selama ini yang mengatakan jika Islam memerintah, negara akan mundur ternyata meleset.

Masalah Iran hari ini bukan lagi masalah jalanraya, api, air ataupun kemudahan infrastruktur yang lain. Semuanya telah cukup di Iran. Masalahnya ialah samada Iran mahu nuklear ataupun tidak.

Pihak Amerika cukup bimbang dengan kemajuan teknologi nuklear yang dimiliki Iran pada hari ini sehingga menuduh bahawa Iran membangunkan senjata nuklear. Walaupun sepasukan pemeriksa senjata nuklear yang dihantar oleh PBB telah mengesahkan bahawa Iran tidak memiliki senjata nuklear, namun Amerika masih bimbang.

Mengapa kebimbangan Washington ini timbul ? Kebimbangan ini timbul disebabkan pemimpin Iran tetap bertegas tidak mahu mengiktiraf negara Israel, sekutu kuat Amerika.

Di Iran, Israel disebut Palestin. Wilayah Gaza dan Tebing Barat disebut kawasan yang dibebaskan manakala negara Israel pula disebut sebagai kawasan yang ditawan.

Dengan ketegasan para ulama' dan pemimpin Iran tidak mahu mengiktiraf Israel, maka kedudukan Israel dalam keadaan bahaya. Dengan kemenangan Hamas di Palestin, Hizbullah menunggu di Lubnan dan dikuti pula Iraq yang mana Amerika dilihat terpaksa mengundurkan seluruh tenteranya dalam tempoh yang terdekat ini, maka laluan untuk ke Baitul Maqdis sudah ada. Melihat kepada senario ini, kita yakin umat Islam akan dapat bersembahyang semula di Masjid Al-Aqsa tidak berapa lama lagi. Insya-Allah. Keyakinan ini semakin bertambah apabila 1.5 juta rakyat Palestin menyatakan bahawa mereka sedia untuk syahid demi mempertahankan Islam dan bumi para syuhada' itu.

Perlu diingat bahawa bukannya golongan 'UMNO Arab' yang akan membebaskan Masjid Al-Aqsa ini. Hanya golongan orang yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu melaksanakan tugas membebaskan masjid ini.

Di Mesir, gerakan Ikhwanul Muslimin ditekan dan tidak dibenarkan bertanding menggunakan nama Ikhwan dalam pilihanraya, tidak dibenarkan mendaftar sebagai parti dan pertubuhan yang diharamkan. Ikhwan terpaksa menumpang pada parti lain untuk bertanding dalam pilihanraya dan berjaya memenangi kerusi yang ditandinginya. Jika kebebasan demokrasi diberikan di Mesir, sudah tentu Ikhwan akan menang besar dan memerintah Mesir.

Apa yang berlaku sekarang jelas menunjukkan bahawa Islam telah bangkit semula dan bakal merebak ke seluruh dunia. Hanya Allah yang menentukan masa dan ketikanya. Kebangkitan ini semakin jelas dilihat termasuk di Malaysia sendiri.

Semuga kita umat Islam dipanjangkan umur oleh Allah untuk melihat Daulah Islamiyyah ditegakkan.

Jazakallah.


No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger