Tuesday, July 12, 2011

Menteri dan Polis tiada kuasa

Menteri dan Polis tidak memiliki kuasa untuk mengisytiharkan kesalahan yang tidak disebut mana-mana undang-undang bertulis. Menteri dan kakitangan awam seperti Polis tidak ada kuasa berbuat demikian. Jika ada pun kuasa itu, mesti disebut secara jelas dalam sesuatu akta, kata Prof Dr Aziz Bari sambil menegaskan kuasa membuat undang-undang terletak di bawah Parlimen.

"Apa yang dilakukan oleh Menteri dan Polis merupakan satu kesalahan jenayah baru kerana ianya di luar bidang kuasa mereka", kata pakar Perlembagaan itu.

Beliau mengulas arahan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein yang juga sepupu PM Najib Razak, mengarahkan KPN Ismail Omar menangkap sesiapa saja yang memakai pakaian kuning kerana dianggap mempromosi himpunan 9 Julai lalu.

Kata Aziz lagi, tidak ada undang-undang yang meletakkan perhimpunan aman sebagai perbuatan jenayah sebagaimana yang disebut Hishamuddin dan Ismail dan orang ramai bebas mengendahkan larangan mereka.

"Apa yang dilakukan oleh Menteri dan Polis ialah membuat kesalahan atau jenayah baru yang di luar bidang kuasa mereka", tegasnya.

Ekoran tindakan Menteri KDN mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram dan tindakan memakai, menjual dan membeli T-Shirt Bersih sebagai satu kesalahan serta mengarahkan Polis membuat tangkapan sewenang-wenangnya, Dr Aziz Bari menegaskan bahawa Malaysia bukan lagi negara hukum, sebaliknya perlahan-lahan menjadi Negara Polis atau Negara Diktator berikutan pemerintahnya bersikap "Bersultan di mata, beraja di hati.

"Negara Berperlembagaan (Constitutional State) ialah negara yang dipandu Perlembagaan. Semua orang dari raja hingga ke rakyat mesti bertindak mengikut peruntukan dan semangat Perlembagaan", katanya.

Tambahnya, negara berperlembagaan ada kedaulatan undang-undang (rule of law), semak dan imbang (check and balance) tetapi peristiwa yang berlaku menunjukkan sebaliknya.

Polis bertindak mengikut kehendak parti pemerintah. Mahkamah sudah tidak kelihatan simpati dengan Perlembagaan negara dan rakyat dihalang daripada menikmati hak dan kebebasan mereka yang tertera dalam Perlembagaan.

"Kalau Perlembagaan hanya dipakai untuk diri sendiri sedangkan hak orang lain dilanggar, itu bermakna tiada Perlembagaan. Dan inilah yang berlaku di Malaysia sekarang", katanya ketika mengulas penggunaan Ordinan Darurat terhadap pemimpin PSM dan pengharaman Bersih.

Menyentuh tentang pengharaman baju kuning, Aziz menjelaskan kerajaan telah melanggar prosedur Perlembagaan dan tidak peduli lagi terhadap konsep kemunasabahan dalam perlaksanaan undang-undang.

"Kerajaan dan Polis perlu ingat bahawa undnag-undang merangkumi semangat tertentu. Polis perlu menggunakan pertimbangan, khususnya prinsip kemunasabahan (reasonableness) dan tidak keterlaluan (proportionality)", katanya.

PRU13 Masa Untuk Berubah.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger