Saturday, November 20, 2010

Zaid sebak ketika buat kenyataan penuh

Petang tadi sempatlah juga penulis ikuti berita TV yang menyiarkan sidang media kenyataan penuh Zaid Ibrahim keluar dari PKR. Semasa membacakan kenyataan rasmi itu, Zaid kelihatan menahan sebak di dada. Penulis kira beliau sebenarnya amat berat hati untuk meninggalkan PKR yang disertai bersama isteri dan anak-anaknya. Namun demi prinsipnya, dia terpaksa meninggalkan parti Anwar Azmin itu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau;

Dengan ini, saya mengumumkan penarikan diri sebagai ahli daripada Parti Keadilan Rakyat. Sekretariat ibu pejabat PKR sudah pun dimaklumkan melalui surat rasmi yang berkuatkuasa pada 16 Disember 2010. Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember.

Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti: Saifudin Nasution menuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru sebelum pun saya masuk bertanding; Syed Husin dan Azmin pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi.

Sumbangan saya kepada parti selama ini pun dikatakan kecil sahaja. Mereka juga berkata bahawa saya ini pemalas, tidak setia dan tidak memahami maksud perjuangan parti. Anwar Ibrahim sendiri telah menggelar saya sebagai "Trojan Horse" dan "Sore Loser". Fitnah, putar-belit dan cerita-cerita rekaan ini telah memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya tidak rela bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti yang telah mereka lakukan terhadap diri saya.

Saya amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli-ahli parti kepada saya selama ini. Saya mungkin telah melakukan kesilapan semasa saya berada dalam parti tetapi saya tidak sekali-kali melakukannya di atas niat jahat untuk melemahkan parti atau untuk menjatuhkan sesiapa pun. Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam. Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu.

Sewaktu saya meletakkan jawatan sebagai Menteri dahulu, saya mahu menegakkan satu prinsip penting iaitu bahawa mana-mana menteri yang tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan mestilah meletakkan jawatannya, iaitu prinsip "Collective Responsibility". Pada masa itu, saya tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap tiga orang awam. Kali ini pula, saya berhenti kerana adalah amat wajar untuk saya berbuat begitu apabila saya tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggap saya sebagai pengkhianat. Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

Saya meletakkan kepercayaan saya kepada kebijaksanaan masyarakat untuk memahami bahawa kita mestilah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dasar yang ikhlas walau dalam situasi apa sekalipun kerana itulah sahaja yang akan menentukan erti perjuangan sebenar. Ramai peminat Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada saya bahawa karier politik saya akan hancur selepas ini. Kepada mereka, saya ingin menegaskan bahawa karier politik saya adalah satu perkara yang kecil sahaja; yang besar dan penting kepada kita semua ialah politik kotor dan penipuan mesti kita tentang walau dari pihak mana sekalipun ia datang; ia tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk bertapak di bumi bertuah ini.

1 comment:

JBS said...

Bekas Politik Wang UMNO dan dilarang bertanding? Itukah yang dinamakan keadilan dan politik bersih? Ejen penentang Hukum Hudud, itukah kebangaan Islam? Macam-macam ada di Kelantan. Ulama ternama dan tersohor pun dari sana, pemimpin Islam tersohor pun dari sana, sekular tersohor pun dari sana. Apa nak jadi orang kampung kowe ni? Coba...an, Coba...an!

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger