Monday, November 8, 2010

SU Agung: Zaid masih calon, belum ada notis rasmi tarik diri

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Zaid Ibrahim masih dalam saingan timbalan presiden memandangkan sekretariat pemilihan parti masih belum menerima notis yang beliau telah menarik diri daripada bertanding.

Bercakap kepada The Malaysian Insider Saifuddin berkata, pengumuman dibuat menerusi blognya pagi ini bukan satu notis rasmi untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua itu.

“Sehingga beliau menghantar notis rasmi, beliau masih kekal dalam persaingan. Media hanya memetik pengumuman beliau daripada blognya,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

Saifuddin (gambar) menjelaskan, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan perlu menghantar notis rasmi kepada parti berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, Saifuddin juga berkata, Zaid mempunyai segala hak untuk membuat keputusan sendiri.

Katanya, parti tiada rancangan untuk mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan keputusan Zaid menarik diri daripada bertanding ataupun dakwaannya bahawa wujud manipulasi dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Dalam pengumuman dibuat awal pagi tadi, Zaid berkata beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” katanya.

Zaid, bekas anggota Kabinet kerajaan pusat, menyertai PKR pertengahan tahun lalu. Beliau kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menganggotai Biro Politik.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada akan kekal bersama PKR sebagai ahli biasa.

Pucuk kepimpinan parti itu sebelum ini termasuk yang terbaru semalam menafikan wujudnya sebarang elemen manipulasi dan penyelewengan dalam proses pemilihan secara langsung yang julung kali diadakan.

Dalam penafian kira-kira 4 petang semalam, Saifuddin menolak tanggapan wujudnya elemen manipulasi dengan kertas undi didakwa boleh dibeli sebagaimana didakwa blogger hujung minggu lalu.

Dalam saingan jawatan timbalan presiden, Zaid berhadapan dengan cabaran dua naib presiden Azmin Ali, yang didakwa mendapat sokongan dan restu Anwar, dan Mustaffa Kamil Ayub.

Selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian, Azmin berada jauh di depan khususnya setelah pemilihan cabang-cabang di Sabah kelmarin dan semalam.

Penyokong-penyokong Zaid mendakwa wujud manipulasi undi dalam proses pemilihan cabang-cabang di Sabah, tetapi ia turut dinafikan oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

Zaid menambah, di sebalik pemilihan parti insiden-insiden yang disaksikan menunjukkan kepimpinan parti membiarkan kecacatan dan penyelewengan dalam proses pemilihan demi mencapai matlamat disasarkan.

“Saya pasti mana-mana parti politik yang membawa nilai palsu dan hipokrit sedemikian tidak akan berupaya menawarkan pembaharuan bermakna kepada rakyat negara ini,” kata beliau.

“Akhirnya, saya berharap peminat-peminat taksub Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai pengacau dalam usaha menuju Putrajaya. Saya ucapkan mereka semoga berjaya,” kata beliau yang bertindak sebagai penyelaras Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Molly Cheah mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang keputusan Zaid.

Beberapa pemimpin parti yang dihubungi The Malaysian Insider juga mengelak daripada mengulas isu itu dengan menjelaskan mereka mahu mengadakan pertemuan dengan Zaid terlebih dahulu.

“Biar saya bercakap dengan Zaid, biar saya dengar daripada beliau terlebih dahulu,” kata Pengarah Strategi PKR, Chua Tian Chang, calon yang mendahului saingan naib presiden.

Seorang lagi calon naib presiden, N. Gobalakrishnan juga melahirkan pandangan yang sama.

- themalaysianinsider

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger