Friday, November 12, 2010

Konflik PKR : Sapa yang salah?

Kesalahan dan kelemahan merupakan fitrah semulajadi manusia. Namun dalam konteks yang melibatkan organisasi besar seperti parti politik, sewajarnya 'kapten' sentiasa berwaspada serta cermat dalam setiap perancangan, tindakan dan percaturannya kerana ia melibatkan semua pihak dalam 'kapal'nya. Tersilap langkah dalam pengemudian, bermakna bahtera bakal berhadapan dengan ancaman bahaya. Manifestasinya, seluruh anak kapal turut terancam sama.

Bagi penulis, segala konflik dalaman yang melanda PKR hari ini adalah berpunca daripada sikap pimpinan utama parti itu sendiri. Takde niat langsung penulis mahu menuding jari pada sesiapa pun namun perlu diakui majoriti pimpinan PKR sebenarnya dah mula 'tunjuk belang' masing-masing sejak hari pertama PRU12 melabuh tirainya.

Almaklum sajalah... pertama kali menang besar dalam PRU. Pulak tu berjaya mendahului jumlah kerusi berbanding rakan PAS dan DAP.

Penulis masih ingat bagaimana Anwar Ibrahim menjaja ke seluruh negara bahawa sudah tersedia senarai di tangannya bilangan ADR (MP) BN yang akan melompat untuk bersama Pakatan. Bila ditanya oleh wartawan siapakah mereka, Anwar menjawab "Sabarlah. Bila sampai masanya, kita akan umumkan."

Dan tarikh yang dipilih oleh Anwar adalah 16 September 2008.

Rakyat marhain yang mengimpikan sebuah kerajaan yang adil, bersih dan berintegriti telah menaruh harapan tinggi terhadap janji PKR 'de-facto' itu yang bakal menjadi PM pada tarikh tersebut.

Malangnya Anwar telah memungkiri janjinya. 16 September menjadi mimpi kosong. Mood rakyat mula berubah. Ironisnya, Anwar masih terus memberi harapan pada rakyat dengan memberi tarikh baru pula. Yaitu selepas Hari Raya Haji pada tahun yang sama. Dalam pada itu Presiden dan SU Agong PAS membuat kenyataan tidak bersetuju cara Anwar untuk ke Putrajaya dengan memperolehi 'simple majority' daripada MP BN yang melompat.

Setelah kedua-dua tarikh yang dijanjikan gagal, tiba-tiba 2 ADUN PKR Perak 'dibeli' oleh UBN. Kemudian ADUN DAP menyusul. Akibatnya, 'tiang seri' kerajaan PR Perak bergoncang dan berakhir dengan rampasan kuasa secara keji.

Berpunca daripada siapa Perak hilang daripada genggaman Pakatan Rakyat?

Pojek 'membeli' wakil rakyat PR diteruskan ke Penang, Kedah dan Wilayah. UBN berjaya dalam projek bernilai puluhan juta itu. Sekali lagi rakyat kecewa bila seorang lagi ADUN PKR, Mohd Fairuz yang juga Timbalan Ketua Menteri P.Pinang telah bertindak melompat masuk BN.

Wakil rakyat sapa? PKR juga...

Belum pun reda kekecewaan rakyat, 5 orang lagi ADR (MP) PKR mengambil keputusan menjadi Bebas dan mereka berlima menubuhkan Konsensus Bebas di Parlimen. Tak tahulah penulis kelima-lima 'mangkuk ayun' ni mewakili siapa di Parlimen? Mungkin syok sendiri kot... Rakyat mengundi mereka dalam PRU12 lalu kerana mereka mewakili Pakatan Rakyat. Bukan sebagai calon Bebas. Justeru, haram hukumnya mereka mengambil elaun Parlimen itu. Kena serahkan semuanya pada rakyat di kawasan masing-masing.

Penulis percaya 5 ADR PKR ni sebenarnya mahu masuk BN tapi oleh kerana takut terkena 'sumpah laknat' para pengundi, maka terpaksa berpuralah jadi Bebas supaya tak nampak sangat sebagai pengkhianat amanah rakyat.

Benarkah Anwar tidak 'bias'?

Penulis masih ingat bagaimana Azmin Ali menghentam MB Selangor Khalid Ibrahim secara terbuka sehingga ada khabar menyebut Azmin dan teamnya mahu menggulingkan tokoh korporat itu. Yang sebenarnya Azmin kepingin sangat nak jadi MB di negeri terkaya itu. Namun apakan daya, Anwar lebih percaya pada Khalid sebagai CEO kerajaan Selangor.

Soalnya, kenapa Anwar kelihatan kurang tegas dan seolah-olah redha dengan tindakan Azmin mengkritik pentadbiran Khalid Ibrahim. Walau pada awalnya Anwar dilihat berang dengan memberi kata dua "keep your mouth shut" pada Azmin.

Bila timbul isu penyelewengan undi dalam Pemilihan PKR ekoran 176 aduan dari cabang parti di seluruh negara, kenapa Anwar mendiamkan diri? Apakah Anwar juga menutup sebelah matanya bagi memastikan 'anak emasnya' Azmin menang jawatan Timbalan Presiden, bukannya Zaid, walau dengan cara menipu?

Malah ada sumber menyebut Anwar sendiri turut berkempen untuk Azmin di mana saja beliau pergi.

Semalam JPP PKR mengesahkan menerima 176 aduan tentang penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan parti. Bermakna benarlah apa yang didakwa oleh Zaid Ibrahim dan memang ada asas untuk Zaid mengkritik Anwar selaku Ketua Umum parti.

Penulis tiada niat untuk membela mana-mana pihak, namun daripada pengamatan mata kasar serta beberapa maklumat yang diterima, penulis beranggapan PKR memang berada di ambang maut. Malahan penulis lebih redha PKR terus berkubur jika masih ramai lagi 'spesis UMNO' yang berada dalam parti itu.

Pengalaman berada di PRK Batu Sapi baru-baru ini sudah cukup menyedarkan penulis betapa hapraqnya PKR ni... Hanya nampak suci di luar saja, hakikatnya penuh dengan penyakit kronik. Hanya 'baik' sikit daripada UMNO sebab UMNO jelas busuknya zahir dan batin.

Zaid gila kuasa?

Penulis berpandangan Zaid benar-benar ikhlas mahu membantu PKR menjadi sebuah parti yang dominan dan relevan dalam pentas politik tanahair.

Kalau nak menuduh Zaid sebagai pengacau atau gila jawatan, penulis rasa tuduhan itu kurang adil sebab beliau sudah memiliki segala kemewahan dan pangkat di dunia. Seorang jutawan dan pernah menjadi Menteri Kabinet (Full Minister).

Kalaulah Zaid jenis orang yang mementingkan diri sendiri serta pangkat, apa bodohnya dia meletakkan jawatan sebagai Menteri Penuh hanya semata-mata tidak berpuashati dengan tindakan kerajaan menahan Raja Petra, Theresa Kok dan seorang wartawan di bawah ISA? Namun itulah tindakan mulia yang diambil demi mempertahankan prinsipnya.

Seperkara lagi, apa perlunya Zaid bersusah-payah nak peningkan kepala, buang wang ringgit dan masa rehatnya untuk turut sama berjuang dalam PKR? Walhal kalau dia nak buat kerja senang, tak payah pegang jawatan. Memadai membantu PKR di segi dana sebab beliau memang millionaire.

Dan semua tahu Anwar yang memujuk dan membawa masuk dia ke dalam PKR.

Penulis tertarik dengan pandangan Zukri Aksah dalam tulisannya bertajuk "Kalau saya masih dalam PKR, saya akan pilih Zaid Ibrahim"

Mungkin ramai yang tak bersetuju bila Zaid menasihati Anwar dan Azmin segera berundur dari jawatan parti. Penulis juga pada asasnya kurang bersetuju malah agak kaget bila Zaid meminta PKR 'de-facto' mengundurkan diri kerana menjadi punca utama segala konflik yang berlaku. Tidak bersetuju kerana 'timing' tak kena sebab PRU13 dah semakin dekat.

Penulis masih ingat sewaktu PAS dilanda badai ujian ekoran isu Kerajaan Perpaduan (Unity Government), Timbalan Presiden PAS sendiri dikritik hebat hingga Mursyidul Am TG Nik Aziz memberi amaran tegas kepada Ust Nasarudin agar mengosongkan kerusi Parlimen Bachok jika masih mahu meneruskan idea UG itu.

Jadi, Anwar dan Azmin serta parti harus berlapang dada dengan kritikan dan teguran Zaid. Memang umum mengetahui mantan Menteri Kehakiman itu jenis orang yang berterus-terang. Straight to the point. Begitulah juga sikapnya sewaktu dalam Kabinet. Secara terang dia mengkritik banyak dasar dan tindakan kerajaan UBN yang dilihat zalim dan tidak adil. Ironisnya, boleh pulak kita memujinya bila dia mengkritik dasar kerajaan sewaktu masih dalam Kabinet dulu. Soalnya sekarang kenapa kita tidak boleh menerima segala teguran dan kririkannya demi kebaikan parti?

Persoalannya, mengapa PKR enggan melakukan proses pengundian semula? Bukankah dengan cara ini akan menjernihkan segala yang keruh? Adakah keputusan PKR mahu meneruskan proses pengundian ini bagi memastikan kemenangan 'anak emas' Anwar itu?

Penulis melihat keengganan PKR ini akan memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap parti itu. Yang pasti pihak UBN sudah bersedia dengan 'peluru' untuk melakukan 'counter attack' terhadap parti Anwar. Hanya tunggu masa saja.

Akhirnya umum akan bercakap di warung, kedai kopi dan di mana saja bahawa PKR cakap tak serupa bikin. Bagaimana mahu menegakkan sebuah kerajaan yang adil dan bersih kalau rumahtangga sendiri masih tonggang-langgang dan 'kotor.

Penghujungnya orang kata "PKR dan UMNO serupa saja.... 2 x 5 je".

Wassalam.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger