Tuesday, November 9, 2010

PKR di ambang maut?

Tiada niat penulis mahu doakan PKR berkubur namun pengalaman di Batu Sapi sedikit-sebanyak memberi gambaran jelas betapa parti itu sedang berhadapan dengan kemelut yang boleh menjahanamkan diri sendiri. Sewaktu penamaan calon pada 26 Oktober, Ketua Perhubungan Keadilan Sabah, Tamrin sendiri tidak hadir kerana mahu memboikot Hj Ansari yang dipilih menjadi calon. Bukan setakat itu saja, malahan berlaku insiden pergaduhan antara penyokong Tamrin dengan orang Ansari.

Sepanjang kempen di Batu Sapi, hanya beberapa kerat ahli dan penyokong PKR tempatan yang turun bertugas sebagai perayu undi. Tidak nampak langsung kelibat jentera PKR dari cabang-cabang lain seluruh Sabah. Kebanyakannya diimpot dari Selangor.

Semalam, sekali lagi PKR menerima tamparan bila Zaid mengambil keputusan berundur dari persaingan jawatan Timbalan serta meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Perpecahan yang berlaku dalam PKR semakin menjadi kronik sejak bermulanya proses pemilihan pucuk pimpinan parti di semua peringkat. Di Sabah saja ada 3 team besar. Yaitu puak Ansari, Jeffrey Kitingan dan Tamrin.

Penulis melihat masalah yang melanda PKR Sabah berpunca daripada sikap Anwar sendiri yang kurang memahami geo-politik negeri di bawah bayu itu. Keputusan yang diambil dengan melantik Tamrin sebagai Ketua Perhubungan Negeri sebenarnya bukan menyelesaikan konflik antara Ansari dengan Jeffrey, malahan bertambah kronik lagi. Lihat saja apa yang berlaku semasa PRK Batu Sapi. Takde sorang pun di kalangan penyokong mereka bertiga yang turun bertugas sebagai jentera pilihanraya. Yang ada pun hanya sekadar nak bergaduh dengan penyokong Ansari sebagaimana yang dilaporkan bila penyokong Ansari bertempur dengan penyokong Tamrin.

Begitu juga yang berlaku dalam PRK Hulu Selangor bila penyokong Azmin memboikot Zaid Ibrahim semasa kempen sedang berjalan. Ianya berlaku ekoran rasa tidak puashati Azmin dengan keputusan Anwar memilih Zaid sebagai calon di situ walhal 5 nama bakal calon sudah diputuskan oleh ahli MKT parti. Tiba-tiba Zaid yang dipilih.

Senario yang berlaku ini membuktikan majoriti pimpinan dan ahli PKR bukan berjuang untuk rakyat tetapi lebih kepada kepentingan peribadi. Kalau benar mereka ikhlas berjuang untuk merealisasikan harapan rakyat, segala konflik yang melanda sewajarnya dapat dihindari. Namun itulah hakikat yang harus diterima bila PKR ini lahir daripada serpihan UMNO sejak hari pertama Anwar dipecat dari Kabinet ekoran fitnah keji pada 8 September 1998.

Persoalannya, sampai bila PKR mahu bergantung kepada populariti 'de-facto' Anwar walau tiada siapa menafikan faktor Anwar itu sendiri turut memberi impak kepada politik tanahair. Namun PKR harus sedar kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam PRU12 bukan datang daripada 'faktor Anwar' tapi lebih kepada kebangkitan pengundi Cina dan India ekoran buruknya kerajaan era Pak Lah. Di pihak pengundi Melayu masih statik juga.

Kita lihat sendiri bagaimana 'mood' rakyat dalam kes perbicaraan Liwat II yang sedang berjalan kini. Bagi penulis konspirasi politik II ini sengaja dilakukan oleh Najib bagi menguji sikap orang Melayu. Memang matlamat Najib dan gengnya mahu menghantar Anwar balik semula ke Sungai Buloh bagi melemahkan PKR itu sendiri. Namun yang lebih penting Najib dan UMNO mahu dapat 'feedback' sejauh mana kesannya terhadap sikap pengundi Melayu dalam PRU13 nanti.

Kejayaan BN merampas kembali kerusi Galas dan mempertahankan Batu Sapi baru-baru ini mungkin menjadi penanda aras bahawa PRU13 semakin dekat. Jika Pak Lah dulu menampilkan dirinya sebagai 'Mr Clean' dengan pendakwaan rasuah terhadap Menteri Kabinetnya Kasitah Gaddam dan Eric Chia, maka tidak mustahil Najib 'membebaskan' Anwar daripada tuduhan Liwat II sebelum membubarkan Parlimen.

Seharusnya PKR kena 'ukur baju pada badan sendiri' dulu sebelum nak jadi 'ketua' dalam Pakatan Rakyat. Jangan terlalu bergantung pada faktor populariti Anwar saja. Seharusnya PKR bermuhasabah diri dan sedar apa yang sedang 'merasuk' diri sendiri. Bersihkan parti daripada unsur kronisme dan rasuah. Benarkah PKR bersih dari rasuah sewaktu pemilihan parti itu berlangsung?

Perlu diingat majoriti pimpinan dan ahli PKR datangnya dari parti hapraq UMNO. Bermakna perangai UMNO masih bersarang dalam jiwa kecuali melalui satu proses tarbiyyah haraki dalam parti. Masalahnya proses tarbiyyah tiada dalam PKR. Yang ada hanya semangat reformasi saja. Malahan penulis melihat majoriti petugas PKR yang Muslim tidak menjaga solat. Kalau inilah baka produk yang dihasilkan, bermakna hayat parti Anwar tak panjang.

Jangan pandang mudah untuk berhadapan dengan BN yang diketuai oleh UMNO. Mereka sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan kuasa yang telah dipegang lebih setengah abad. Seluruh jentera kerajaan dipergunakan semahunya. Dalam PRK Batu Sapi, bukan setakat Polis dan SPR diperalatkan, malahan RELA dan PGA turut diarahkan untuk menghalang jentera kempen Pakatan Rakyat daripada memasuki beberapa perkampungan Bumipputera Muslim di sekitar kawasan setinggan, kampung air dan beberapa buah pulau.

Lebih menyedihkan ada sesetengah pengundi yang menggigil ketakutan bila rumah mereka dikunjungi oleh petugas Pakatan Rakyat. Bila ditanya kenapa takut, mereka tak berani berkata apa-apa. Penulis dapat maklumat dari para petugas Pakatan Rakyat bahawa majoriti pengundi Bumiputera Islam telah diugut oleh jentera UMNO. Antara ugutan tersebut berbunyi "Jika mengundi PKR, rumah kamu akan dirobohkan." Kesemua yang diugut ini adalah terdiri dari penduduk yang tinggal di kawasan setinggan, kampung air dan pulau.

Sejarah membuktikan betapa sukarnya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang rasuah dan zalim. Ianya memerlukan pengorbanan optimum di kalangan ahli parti dan juga kebangkitan rakyat secara menyeluruh. Kejayaan Revolusi Islam Iran menjatuhkan kerajaan sekular Shah Iran adalah hasil dokongan seluruh rakyatnya.

Penulis mengharapkan Anwar dan Azmin bermuhasabah diri...

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger