Tuesday, November 9, 2010

Anwar, Azmin punca segala masalah PKR, kata Zaid

Datuk Zaid Ibrahim hari ini terus membidas kepimpinan PKR dengan mencadangkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presidennya, Azmin Ali supaya berundur.

"Anwar dan Azmin mesti berundur kerana mereka punca segala masalah (dalam PKR).

"Saya di sini bukan untuk maki hamun. Semua masalah menunjukkan dengan jelas ia bermula dari diri Anwar sendiri," kata Zahid.

Apabila diminta wartawan mengulas lanjut kenyataannya, Zaid berkata Azmin perlu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR yang sedang berlangsung manakala Anwar pula harus berundur dari kepimpinan parti.

"Saya berpendapat Anwar mempunyai banyak sangat isu peribadi dan Azmin juga mempunyai banyak isu. (Azmin) perlu banyak lagi belajar,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perubahan kepimpinan parti perlu dilakukan jika PKR mahu kekal relevan dalam politik negara.

Pada sidang media yang sesak dengan wartawan dan juga penyokongnya di rumahnya di Petaling Jaya, titik permulaan adalah selepas pilihan raya umum 2008.

"Saya fikir ia bermula selepas 3/08. Selepas kemenangan besar, ramai yang mula memasang angan-angan, mereka mulai hilang fokus,” kata Zaid.

Menurutnya PKR perlu menyingkirkan kepimpinannya yang ada sekarang dalam usaha bergerak ke depan semula selepas menghadapi krisis sepanjang tahun lalu, khususnya dengan beberapa ahli parlimen dan ADUNnya meninggalkan parti itu.

"Perlu ada fokus baru, kepimpinan baru. Anwar sebagai ketua umum telah gagal memastikan parti itu bersatu.

"Seperti sekarang, beliau juga gagal memimpin pembangkang ke depan dengan polisi baru; seperti mana dia gagal pada 16 September; seperti mana dia gagal mengekalkan keutuhan (gabungan Pakatan Rakyat) di Perak dengan membiarkan MP PKR berpaling tadah; seperti mana pembangkang dimalukan dan menjadi tidak keruan di Batu Sapi.

"Perlu diiktiraf bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berkembang dengan Anwar sebagai terajunya.”

Ditanya siapa yang sepatutnya menjadi ketua PKR yang baru, Zaid dalam nada gurau berkata: "Saya fikir saya boleh. Tetapi terpulang kepada rakyat menentukannya.”

- malaysiakini

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger