Friday, October 31, 2008

Di Mana Kedudukan Kita Di Sisi Allah ?

Manusia yang diciptakan Allah adalah sebaik-baik kejadian. Dikurniakan akal, penglihatan, pendengaran, naluri perasaan, rezeki dan nafsu. Pelbagai nikmat hidup yang kita kecapi selama ini seperti makan dan minum, sihat tubuh badan, berumahtangga, bekerja, berharta dan bermacam lagi nikmat yang tidak terhitung. Semuanya Allah yang berikan. Apa yang penting kita selaku hambaNya mestilah sentiasa mensyukuri nikmatNya. Jangan sekali-kali jadi orang yang kufur nikmat.

Nikmat yang paling tinggi nilainya ialah NIKMAT IMAN DAN ISLAM. Tidak semua manusia dikurniakan nikmat ini. Sebagai muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk memelihara nikmat ini. Tiada jalan selamat melainkan kita mati sebagai seorang Islam yang sempurna.

Tidak dinafikan, dalam mengharungi hidup ini pastinya ada cabaran, ujian dan godaan yang melanda. Musuh utama dari kalangan iblis dan syaitan serta rakan sekutu mereka puak-puak kuffar dan munafik sentiasa merancang dan berusaha untuk menyesatkan umat Islam. Serangan terancang dan licik ini telah berjaya melemahkan pegangan Islam sebahagian besar umat di dunia ini. Lebih teruk lagi, ada di kalangan umat Islam yang sanggup diperalatkan oleh puak-puak kuffar bagi memijak saudara Islam mereka sendiri.

Rasulullah pernah memberitahu, di akhir zaman umat Islam ibarat buih. Ramai tetapi rapuh.

Terfikirkah oleh kita selama ini bahawa dalam sehari nadi kita berdenyut lebih kurang 103,680 kali tanpa henti. Bermakna kita masih diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udara segar kepunyaanNya. Dengan jumlah denyutan itu, berapa banyak kali lidah dan hati kita berzikir memuja dan memuji Khaliq.

Bila direnungkan, memanglah kita ini selalu lalai dari mengingati Allah. Ketika bersolat pun kita boleh lalai dan fikiran melayang memikirkan segala persoalan hidup seharian. Kalau boleh khusyu' lima saat pun sudah berbaloi. Inilah kita sebenarnya. Betapa kotor hati dan kuatnya cinta kita pada dunia (hubud dunia). Lebih teruk lagi apabila ada di kalangan kita merasakan segala apa yang dimiliki dalam hidup ini adalah hasil daripada usaha sendiri tanpa bersandar kepada kehendak, kekuasaan dan kurniaan Allah SWT. Kita lupa terus padaNya yang telah mengurniakan segala bentuk nikmat.

Pernahkah kita merasa susah hati kerana kurang zikrullah, solat sunat, baca Qur'an dan pelbagai lagi 'amal ibadah yang boleh dijadikan bekalan mati. Memang kita tak pernah susah hati pasal ini semua. Kita merasa susah hati jika tak dapat naik pangkat dan tidak berharta. Puncanya kerana tak dapat menunaikan runtunan hawa nafsu yang mendorong untuk memiliki kereta baru, handphone baru, pakaian baru, rumah baru, isteri baru (muda) dan pelbagai lagi keinginan dan angan-angan yang meresahkan jiwa. Ramai yang tewas dalam menghadapi situasi ini. Akibatnya, lahirlah tindakan-tindakan yang bercanggah dengan Islam demi menunaikan keinginan nafsu yang membara. Rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi bentuk kemungkaran dilakukan bagi menunaikan hasrat beroleh kemewahan secara 'shortcut'.

Memang tidak menjadi kesalahan untuk kita mencari kesenangan dan kekayaan dalam hidup ini. Carilah sebanyak mana pun harta asalkan halal. Masalahnya, adakah kesenangan dan kemewahan itu akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah atau sebaliknya. Jika kekayaan itu dimiliki oleh hambaNya yang beriman dan bertaqwa serta zahid, maka kemewahan itu tidak akan memberi kesan terhadap hatinya malahan digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan sebanyak mungkin 'amal kebajikan demi mencari keredhaan Ilahi. Malangnya, apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Semakin dikurniakan kemewahan hidup, semakin jauh dan lalai dari mengingati Allah. Terlalu sibuk dengan urusan dunia bagi menambahkan kekayaan yang sedia ada. Sejarah membuktikan apabila Qarun menjadi kufur setelah diberikan kekayaan oleh Allah.

Di mana agaknya kedudukan kita di sisi Allah ? Apalah nasib di penghujung hayat jika kita tidak berkesempatan untuk mengubati penyakit dalam hati ini. Diakui bukan satu perkara mudah untuk mensucikan hati ini. Namun kita wajib melalui proses ini. Allah sendiri memerintahkan kepada kita semua agar kembali ke pangkuanNya dengan membawa hati yang sejahtera.

Marilah kita sama-sama berdoa' semuga Allah memimpin dan membimbing sehingga kita berjaya mencapai sekurang-kurangnya tahap Nafsu Mutma'innah. Selalulah kita mengingati mati. Rasulullah sendiri menyarankan sedemikian. Insya'-Allah, ianya akan mendorong kita untuk memperbaiki diri dan membuat persediaan awal menghadapinya.

Imam Ghazali pernah menyebutkan "Kebaikan itu memang sukar dilaksanakan, jika dapat dilaksanakan akan membawa kebahagian. Kejahatan itu memang mudah dilakukan, jika dilakukan akan membawa penderitaan."

Sekadar untuk renungan bersama.

Salam Ukhwah Dari Sabah.





No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger