Tuesday, December 21, 2010

PRU13 pada 2012

Ramai di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat begitu yakin PRU13 pada bulan Mac atau April 2011. Jangkaan ini ekoran pilihanraya DUN Sarawak pada April depan dan Najib dijangka akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan serentak. Namun penulis menjangkakan PRU13 hanya akan diadakan selewat-lewatnya bulan Mac 2012. Ada beberapa faktor utama yang akan diambil kira oleh Najib sebelum membubarkan Parlimen. Adalah hampir mustahil jika Najib bertindak membubarkan Parlimen pada Mac depan dalam keadaan BN terumbang-ambing. Tersilap percaturan memilih tarikh, padah besar akan menimpa. Apatah lagi bila menyedari peluang BN di Sarawak 50-50 menjelang PR negeri itu pada April depan.

Isu Kenaikan Harga

Najib dilihat agak berhati-hati bila menaikkan harga petrol, diesel, gas dan gula baru-baru ini. Media perdana yang dikuasai oleh BN turut tidak melaporkan kenaikan harga tersebut secara rasmi sebagaimana biasa. Yang mungkin membingungkan Najib bila tiada sebarang demonstrasi dibuat setakat ini oleh Pakatan Rakyat dan NGO bagi membantah kenaikan itu. Yang ada sekadar kenyataan media oleh Pakatan Rakyat. Manakala di pihak rakyat hanya diam membisu seolah-olah tak ambil pusing langsung. Situasi sebegini sudah tentu menggusarkan Najib. Adakah rakyat setuju atau akan bertindak-balas dalam PRU13 nanti?

Isu Syabas

Selain dari isu kenaikan harga, isu penyelewengan yang berlaku di dalam perjanjian konsesi antara Syarikat Air Selangor (Syabas) dengan Kerajaan Pusat semasa BN menerajui Selangor turut memeningkan kepala Najib dan pimpinan UMNO Selangor. Dan baru-baru ini ribuan rakyat berbaju merah menyertai perarakan bersama MB Khalid Ibrahim ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong berhubung penyelewengan air tersebut. Selama ini rakyat Selangor telah ditipu oleh kerajaan BN melalui syarikat kroni Syabas dengan tarif air yang menggila. Macamana air tak mahal, sebab nak bayar gaji CEO Syabas saja sebanyak RM480,000 sebulan. Setahun RM5.2 juta.

Penulis ucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor yang telah bertindak tegas terhadap Syabas dengan menarik-alik lesen syarikat 'ala Yahudi' itu demi kepentingan rakyat jelata. Tidak zalimkah lagi namanya jika air ciptaan Allah untuk kegunaan seluruh makhluknya telah dijadikan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Rakyat dipaksa membayar dengan harga mahal untuk mendapatkan bekalan air bersih manakala tauke Syabas dan para pemimpin UMNO negeri hidup mewah hasil bisnes air.

Cubalah direnung sejenak jika masih ada sekelumit iman di dada.

Persempadanan Semula

Merujuk kepada tindakan karut Speaker menggantung Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan 4 orang Ahli Parlimen (AP) PR baru-baru ini, penulis yakin ada agenda tersembunyi bakal dilaksanakan oleh BN. Yang pasti membolehkan BN dapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dengan sokongan 5 AP Bebas. Dengan majoriti ini, maka usul Persempadanan Semula kawasan pilihanraya akan diluluskan. Dan pastinya negeri yang terlibat dengan proses persempadanan ini ialah Sabah dan Sarawak. Negeri 'fix-deposit' BN.

Justeru, Najib akan jadikan PR DUN Sarawak sebagai penanda aras bagi menentukan tarikh PRU13. Jika BN masih dominan di Sarawak, bermakna PRU13 akan disegerakan.

Jika berlaku sebaliknya, bermakna Najib masih ada tempoh bertenang untuk menyusun strategi 'menipu' yang akan menjamin BN terus menguasai Putrjaya dalam PRU13, seterusnya menyelamatkan dirinya daripada didakwa di mahkamah ekoran kes pembunuhan Altantuya. Salah satu strategi menipu ialah dengan melakukan persempadanan semula
di negeri dan kawasan kubu kuat BN.

Persoalannya, apakah Najib sanggup mempertaruhkan nasib BN dengan mengadakan PRU13 serentak dengan PR DUN Sarawak? Dengan seluruh instrumen kerajaan yang dikuasainya, sudah tentu Najib sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kedudukannya sebagai PM selamat. SPR yang telah terbukti menjadi pecacai UMNO BN pastinya akan melakukan sesuatu yang 'luar biasa' menjelang PRU13 nanti. Kita tunggu dan lihat saja.

Tawan Putrajaya

Penulis bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menegaskan jangan terlampau obses untuk ke Putrajaya. Yang lebih utama PR perlu fokus kepada gerakerja bersepadu bagi menghadapi PRU13. Kenyataan sinis ini memang dituju kepada PKR yang mabuk kuasa.

Dalam konteks tawan Putrajaya, penulis melihat PKR terlampau mabuk dan begitu yakin sekali. Malahan Anwar sendiri tak habis-habis dengan propaganda "PR akan menawan Putrajaya dalam PRU13". "Kalau saya jadi PM, Lim Kit Siang akan dilantik sebagai TPM". Penulis tak tahulah samada Anwar sedar atau tidak bahawa kenyataan sedemikian menyebabkan rakyat semakin meluat setelah janji-janjinya sebelum ini gagal. Ditambah dengan kemelut yang berlaku dalam partinya sendiri menyebabkan sebilangan besar pengundinya mungkin lari.

Tidak keterlaluan jika boleh disebut yang PKR bakal kehilangan banyak kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Ada beberapa sebab. Antaranya, sebahagian daripada pengundi Melayu Bumiputera yang mengundi PKR dalam PRU12 akan kembali menyokong BN ekoran hilang kepercayaan terhadap parti itu. Malah ada sumber menyebut ramai di kalangan pimpinan PKR samada di peringkat Pusat, Negeri dan Cabang akan bertindak meninggalkan parti menjelang PRU13. Pengundi India yang bangkit dalam PRU12 dijangka akan kembali semula kepada MIC setelah pengunduran Samy Vellu. Juga pendekatan kerajaan BN yang mula berlembut dengan Hindraf dilihat sebagai tindakan memujuk orang India.

Manakala pengundi PAS dan DAP dijangka kekal.

Dalam menghadapi PRU13, PR perlu fokus kepada isu yang melibatkan rakyat seluruhnya. Seperti isu kenaikan harga minyak dan gula. Isu sebegini mesti terus dihidupkan sehingga pembubaran Parlimen. Sebab salah satu 'penyakit keturunan' yang melanda rakyat khususnya Melayu dan Bumiputera ialah mudah lupa.

Betul juga kata si mamak tua tu. Melayu mudah lupa. Sebab itulah di zaman pemerintahannya, habis segala hak kepentingan orang Melayu dirampas seperti biasiswa dan tanah. Segala kekayaan negara habis dirompak untuk diri, keluarga dan kroni. Namun orang Melayu UMNO tetap setia bersama parti hapraq itu walau dah kena tipu berpuluh kali. Kesian Melayu UMNO... Apa nak buat. Itulah akibatnya jika menyokong parti sekular yang menentang Islam. Balasannya hina di dunia dan kelak di Akhirat akan dihumban ke dalam Neraka.

Hari ini telah terbukti kejayaan ANAK yang dipengerusikan oleh Mazlan Aliman telah berjaya menggoncang tiang seri Putrajaya hingga Najib dan Felda tak senang duduk. Mazlan sendiri bagitau penulis bahawa sepanjang 15 tahun beliau fokus kepada isu Felda ini dengan mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan bagi membela nasib peneroka yang selama ini telah ditipu dan ditindas bulat-bulat.

Waima apa pun, penulis meramalkan PRU13 hanya akan diadakan selepas 8 bulan PR DUN Sarawak atau Mac 2012.

Salam4all.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger