Sunday, November 29, 2009

Hati Tok Guru Dilukai...

Hati ini pedih, sedih dan sayu bila mengenangkan Mursyidul Am berhadapan dengan situasi yang agak sukar sejak 3 minggu lalu. Bermula dengan isu menantu sendiri dalam PMBK dan diikuti pula wujud isu baru melibatkan MPKB. Secara kebetulan salah seorang anaknya merupakan Ahli Majlis. Orang mula mempertikai bagaimana boleh berlaku salah-urus tadbir dalam Majlis Perbandaran ini sedangkan Nik Abduh berada di dalam. Apakah Nik Abduh gagal berperanan sebagai pemantau dan penasihat bagi mengelakkan sebarang unsur negatif berlaku dalam MPKB.

Perlu diakui apa yang berlaku ini secara tidak langsung mencalar imej TGNA sebagai MB. Sebagai insan, nescaya Tok Guru tak mampu untuk nak mengawasi dan mengawal seluruh agensi kerajaan negeri sepanjang masa. Sebab itulah dilantik orang-orang yang diyakini kemampuan, kejujuran dan ketelusannya untuk mengetuai PMBK, MPKB dan lain-lain.

Namun malangnya individu yang telah diberikan amanah untuk menjalankan tugas sebagaimana yang dikehendaki telah gagal dalam menahan kehendak hawa nafsu duniawi.

Semalam saya ada menghubungi seorang sahabat yang saya kira mempunyai "information link" yang boleh diyakini kesahihannya berhubung apa yang sedang berlaku di Kelantan. Perbualan melalui HP mengesahkan akan gerak hati saya selama ini benar.

Memang para blogger tak kiralah yang pro PAS atau anti pasti membuat pendedahan dan ulasan masing-masing tentang isu yang sedang melanda Kelantan mutakhir ini. Ibarat banjir yang melanda Kelantan yang semakin surut tetapi dijangka akan 'menyerang semula' di pertengahan Disember nanti, maka begitulah juga isu yang berlaku.

Baru saja nak reda dengan isu PMBK, tiba-tiba timbul pula masalah berkaitan PMBK. Sebagaimana saya sebut tadi apa yang berlaku ini adalah di luar jangkaan Tok Guru sendiri namun ianya sedikit sebanyak memberi 'tamparan' kepadanya selaku MB Kelantan.

Tiada siapa yang boleh pertikai akan kejujuran dan keikhlasan TGNA selama ini dalam menjalankan tugas sebagai MB Kelantan. Kezuhudan dan ketaqwaannya menjadikan beliau dihormati, disanjung dan dikasihi oleh seluruh lapisan masyarakat negara ini. Pelbagai ujian kecil dan berat berjaya ditempuhinya sepanjang 19 tahun menjadi Ketua Eksekutif Negeri Kelantan namun ujian kali ini benar-benar 'melukakan' hatinya sehingga berhasrat untuk meletakkan jawatan.

Secara peribadi, saya memang tak setuju jika Tok Guru meletakkan jawatan sebagai MB dalam masa terdekat. Saya rela dipanggil "Wahai Sibodoh" oleh Ustaz Nik Abduh. Beliau mesti bertahan sehingga PRU13 bagi mengelakkan sebarang kekalutan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Negeri, juga bagi menghindari daripada berlaku perpecahan dalam PAS Kelantan. Pihak musuh terutamanya UMNO Kelantan memang suka jika Tok Guru meletakkan jawatan dengan segera sebab mereka sedar kekuatan pengaruh PAS di Kelantan ada pada diri Nik Aziz sendiri. Dan hakikat ini memang diakui oleh semua pihak termasuk dalam PAS sendiri.

Namun UMNO lupa satu perkara. Jangan diingat bila dah tak jadi MB, Tok Guru akan berhenti dari terus memberi kuliah dan ceramah. Tok Guru sendiri pernah sebut yang dia tidak akan berhenti daripada terus berdakwah melalui ceramah dan kuliah selagi nyawa dikandung badan. Dan diyakini pengaruh beliau tetap terus subur dalam jiwa sanubari masyarakat walau selepas beliau berhenti menjadi MB.

Waima apa pun setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya walau amat pahit untuk ditelan.

Yang jelas bolehlah saya simpulkan di sini bahawa Ariffahmi telah 'menikam' belakang bapa mertuanya tanpa niat. Memang tidak dinafikan menantu Nik Aziz ini berjaya menjalankan tugasnya sebagai CEO PMBK dengan amanah dan cemerlang tanpa sebarang masalah. Namun sejak akhir-akhir ini ada beberapa tindakan dan keputusannya mendapat tentangan daripada seorang Exco yang tegas dan tiada tolak-ansur dalam menentang sebarang unsur kronisme yang dilihat mula wujud dalam PMBK. Ekoran ketegasan Exco ini "dijawab" dengan tindakan pemecatan seorang pegawai PMBK.

Sebenarnya konspirasi untuk menjatuhkan Exco ini sudah bermula sejak awal lagi yaitu sebelum Pemilihan dalam Muktamar PAS Ke-52 di Shah Alam lagi, malah lebih awal daripada itu. Serangan fitnah yang dihalakan kepada Exco ini bukan alang-alang. Kalau tak kuat iman, memang boleh tersungkur dibuatnya. Benarlah sebagaimana yang disebut tentang 'kesengsaraan' yang dialami oleh Exco ini sepanjang 3 tahun kebelakangan ini.

Sebagai insan pastinya ada kelemahan dan kesilapan yang tidak disedari. Bagi pihak TGNA, beliau mungkin terlepas pandang dengan beberapa tindakan menantunya. Mungkin disebabkan prestasi yang ditunjukkan oleh menantu sebelum ini begitu cemerlang dan dapat dikawal serta diyakini akan berterusan sampai bila-bila. Biasalah bila kita dah yakin dengan kewibawaan seseorang, maka sudah tentu tak perlu lagi diawasi setiap saat. Apatah lagi jika orang itu anak kita sendiri atau menantu. Takkanlah mereka sanggup mengkhianati amanah dan kepercayaan yang kita berikan selama ini. Dalam kealpaan inilah kadang-kadang tanpa kita sedari mereka melanggar amanah tersebut. Apatah lagi dengan kesibukan tugas sebagai MB, pendakwah dan juga tanggungjawab kepada parti, sudah tentu kealpaan ini tidak dapat dihindari oleh sesiapa pun.

Semuga Tok Guru yang sangat saya kasihi ini diberikan kekuatan oleh Allah dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

Wassalam.

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger