Showing posts with label Mat Sabu. Show all posts
Showing posts with label Mat Sabu. Show all posts

Tuesday, December 20, 2011

Minda Mat Sabu

Sejak dari kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia sehinggalah penjajahan sepenuhnya terhadap bumi Islam, jatuhnya kerajaan Uthmaniyah pada 1924, kemuncak segala penghinaan terhadap orang Islam apabila tiga tempat suci orang Islam dikuasai secara direct atau indirect oleh Yahudi dan Nasara yang bersifat mustakbirin.

Makkah dan Madinah dikuasai oleh Lawrence of Arabia dan proksinya. Dan Inggeris menguasai Baitulmaqdis 1917 diikuti dengan Yahudi menguasai sepenuhnya pada tahun 1967. Umat Islam kehilangan arah, kehilangan tamadun dan kehilangan arah tuju berada di bawah penjajah begitu lama di antara 100 tahun sehingga 400 tahun berada di bawah penjajahan.

Gerakan berjuang untuk mencapai kemerdekaan berterusan sehinggalah pada tahun 1940-an negara orang Islam mula mencapai kemerdekaan. Antaranya Indonesia, Pakistan, negara-negara utara Afrika, Malaya 1957 dan negara-negara Timur Tengah yang lain sehinggalah pada tahun 1960-an hampir kesemua (belum kesemua) wilayah orang Islam dibebaskan daripada penjajahan.

Tahun 1990-an pula terbebasnya negara-negara CIS daripada penjajahan Soviet seperti Kazakhstan,Turmenistan, Azerbaijan dan Uzbekistan.

Secara umumnya umat Islam yang mencapai kemerdekaan gagal menunjukkan prestasi yang baik sama ada dalam bidang melaksanakan hukum syariat atau mewujudkan masyarakat yang adil. Good governance yang mempunyai penyeimbangan taraf sosial tidak berlaku di dunia Islam.

Bahkan negara orang Islam yang mencapai kemerdekaan beralih daripda diktator Barat atau Timur kepada diktator anak tempatan. Sama ada ia berlaku di Indonesia, di Malaysia, di negara-negara Timur Tengah paling ketara sama ada di Iraq, Syria, Iran, Libya, Mesir, Yaman dan sebagainya.

Pada abad 15 Hijrah ini golongan yang berjuang di atas dasar Islam mula mengambil tempat membebaskan satu negara ke satu negara daripada cengkaman nasionalis sekular atau nasionalis kapitalis yang menguasai dunia Islam. Para ulama telah bangun membebaskan Iran daripada cengkaman rejim Shah yang disokong Amerika. Kemudian munculnya gerakan Islam yang begitu hebat bertarung dengan Israel setelah negara Arab enggan mengalah dengan Israel.

Munculnya gerakan Hamas, Hizbullah jihad bertarung secara berdepan dengan Zionis Israel yang disokong Amerika.

Kebelakangan ini berlaku "Arab Spring" di mana rakyat bangun untuk menolak pemerintah diktator melalui perarakan jalan raya kerana di negara mereka hampir tidak ada demokrasi seperti yang berlaku di Tunisia, Yaman dan Mesir serta negara lain di Timur Tengah.

Kemudian pilihan raya agak bebas dikendalikan oleh kerajaan-kerajaan sementara.

Alhamdulillah, buat masa ini parti yang berdasarkan Islam mula mencapai kemenangan seperti yang berlaku di Maghribi, Tunisia, Mesir yang keputusannya diketuai minggu ini apabila Ikhwanul Muslimin dan golongan Salafi menguasai majoriti Parlimen Mesir.

Kita yakin juga bahawa di Malaysia parti Islam akan dipilih oleh rakyat dan mengetuai pembaharuan di Malaysia dalam pilihan raya akan datang. Di atas susun atur yang dibuat selama ini berkoalisi dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat serta rakan-rakan NGO lain saya berkeyakinan penuh PAS akan tertonjol menjadi parti pilihan rakyat yang terkuat selepas pilihan raya akan datang.

Kita yakin penuh segala sangkaan buruk kepada PAS akan tenggelam selepas ini seperti sangkaan mengatakan kekuatan PAS di Kelantan hanya bergantung kepada Mursyidul Am semata-mata.

Kita yakin perkara ini akan berubah sebab kekuatannya bergantung kepada umat dan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar kanan) sebagai ketua di negeri Kelantan itu.

Tuduhan yang mengatakan beberapa orang EXCO Kelantan kurang berfungsi juga akan tenggelam dengan kebangkitan atau kemunculan golongan Islam yan akan buat pembaharuan dalam pilihan raya akan datang.

Kemenangan dipertahankan dan merebak ke seluruh Malaysia. Begitulah juga keadaan di Kedah, kita yakin penuh siapa sahaja yang muncul memimpin hatta Menteri Besar yang ada sekarang kita yakin penuh PAS dan rakan mereka akan mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Perubahan pada abad ini serta kepercayaan yang diberikan umat Islam di seluruh dunia akan melahirkan satu perubahan tekad. Tuduhan selama ini, PAS serupa dengan UMNO jika ambil alih kuasa, saya yakin tidak akan berlaku.

Ada juga tuduhan yang mengatakan beberapa pemimpin membuat "claim" tidak betul. Itu semua telah disanggah oleh mahkamah dan ia tidak berlaku. Dan good governance akan muncul sama ada di peringkat negeri atau peringkat Parlimen.

Insya-Allah Putrajaya akan dibebaskan daripada cengkaman UMNO pada PRU13. Dunia Islam yang ketinggalan dalam good governance, antirasuah selama ini puluhan atau ratusan tahun pun akan dilihat perubahan di seluruh dunia Islam sama ada di Timur Tengah atau di sebelah sini. Dan serentak kita lihat keruntuhan sistem ekonomi Barat sekarang ini.

Dengan perubahan ini kita berharap akan berlaku satu pembaharuan melahirkan semula tamadun Islam yuang akan menggantikan kelemahan kehampaan manusia kepada umat Islam yang berlaku ratusan tahun selama ini. Inilah cabaran yang akan kita hadapi menjelang PRU13. Dan selepas memperolehi kuasa nanti parti Islam akan muncul menjadi pilihan ummah.

Islam dan bukan Islam bersama rakan-rakannya yang lain, KeADILan dan DAP untuk melahirkan good governance telus, berakauntibiliti yang gagal ditunjukkan BN yang mana laporan audit tahun ini paling teruk menunjukkan penyelewengan. Indeks rasuah menurun lagi 4.9 kepada 4.8, negara Malaysia daripada tempat ke-56 jatuh lagi kepada 60 melalui pemerintahan mereka.

Inilah harapan kita dan saya kepada ahli PAS supaya mereka yakin dengan perjuangan dan masa depan parti Islam.

oleh Timbalan Presiden PAS

Tuesday, December 6, 2011

Integriti : Barat dan puak kiri lebih ke depan berbanding dunia Islam sekarang

Mengambil contoh bagaimana negara Barat seperti Sweden mencatat indeks rasuah terendah di dunia, dan bagaimana pimpinan golongan kiri menampilkan cara hidup yang sederhana, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu meluahkan kebimbangannya terhadap pemerintahan dunia Islam mutakhir ini, yang dilihat ketinggalan dalam penekanan kepada soal integriti.

Lebih dikenali dengan Mat Sabu, beliau berkongsi pengamatannya bahawa pemerintahan Nabi Muhammad SAW tidak dijelmakan dalam dunia Islam pada hari ini. "Kita lihat negara-negara orang Islam secara umum, tidak dapat dijadikan modal sandaran dalam bentuk hak asasi, keadilan sosial, yang dijelmakan sebelum ini," katanya.

Secara terus-terang, beliau menyatakan bahawa Pakistan dan Arab Saudi tidak boleh dijadikan contoh keadilan sosial, melihat kepada jurang kaya-miskin yang ketara dalam masyarakat tersebut, meskipun kedua-dua negeri ini melaksanakan Hudud. Beliau berkongsi pengamatan di depan lampu trafik sendiri, dari kereta mewah, kereta biasa, beca, sehinggalah orang yang menjunjung besi - cukup untuk memberikan gambaran sejauh manakah masalah kaya-miskin dalam masyarakat itu. Malah, Mat Sabu menambah, pendedahan harta milikan pemimpin negara Islam yang digulingkan kebelakangan ini, "tidak langsung menggambarkan keadilan sosial wujud di negara-negaranya."

"Ertinya, kalau ditumpukan pelaksanaan Syariat itu semata-mata, (dan) tidak dilihat keadilan sosial, kebimbangan saya PAS akan pergi ke arah langkah itu, ke arah model itu!" katanya dalam satu dialog yang berjudul "PRU 13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", melibatkan kira-kira 30 orang di Shah Village Hotel, pada 3 Disember 2011.

Mat Sabu mendakwa Pakatan Rakyat kini berada di ambang kuasa. Senario terkini merangkumi dua unsur, susun kerja Pakatan Rakyat yang mantap, dan kemeluatan rakyat terhadap UMNO-Barisan Nasional yang terlalu lama berkuasa. "Penolakan kepada benda yang lama ini sudah jadi lumrah," katanya, merujuk kepada kesilapan UMNO-BN yang semakin tertunggak dan gagal diperbaiki dalam tempoh pemerintahan yang lama.

Beliau yakin, pemerintah boleh digulingkan apabila kemarahan rakyat memuncak, tanpa perlunya revolusi yang dipimpin oleh ketua. "Bukan kita hebat, tetapi rakyat meluat (dengan pemerintah)," demikianlah kata-katanya ketika meramalkan kejatuhan UMNO-BN, disusuli dengan peringatan, "Tetapi bila menang nanti, pengisian ke arah mana itu cukup penting!"

"PAS ganti UMNO"

Bagaimanapun, Mat Sabu berkongsi kekecewaan dan keresahan dirinya, ketika mengupas senario politik selepas PRU 12 pada 8 Mac 2008. Pakatan Rakyat berjaya memerintah di empat negeri (tidak termasuk kerajaan negeri Perak yang dirampas kuasanya oleh BN pada tahun 2009), dengan kerajaan negeri Kedah dan Kelantan didominasi PAS. Namun demikian, pemerintahan DAP lebih menampilkan integriti berbanding PAS, menurut penilaian Mat Sabu.

Apa yang membimbangkan beliau, "kecenderungan anak Islam untuk menyertai DAP terlalu tinggi", antaranya kerana tertarik dengan kewibawaan integriti yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar kiri) dalam pemerintahannya, kata Mat Sabu. Beliau menjelaskan, meskipun secara peribadinya Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan melahirkan integriti contoh dalam mendapat kuasa, namun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk umum, iaitu EXCO-EXCO dan pemerintah di Kelantan.

"Oleh itu, kalau kita tidak berani melahirkan pemerintah yang berintegriti bila kita berkuasa nanti, kita bimbang PAS betul-betul ganti UMNO," sindirnya berlapik ke atas slogan "PAS ganti UMNO", sebelum meneruskan, "Unsur ganti UMNO itu memang ada sekarang, di atas sifat 'hak saya untuk dapat itu'..."

Mat Sabu menyelar tindak-tanduk sesetengah wakil rakyat PAS, yang didakwanya membuat "claim tipu". Malah, soal integriti tidak dipandang berat, sebagaimana yang diamatinya melalui pergaulan dengan beberapa pimpinan dalam parti. Beliau mengkritik sikap sesetengah orang, "Selalu disebut, pemerintahan kita, mana ada tangkapan rasuah? Law lain, integriti lain. Kita bawa kereta lari 180 km sejam, tak ada polis tak kena tahan. Ertinya, kalau kita mencuri, masa itu tak ada polis, tak kena tahan. Tapi integriti datang daripada sifat dalaman."

Beliau menganggap integriti ini lebih berjaya dijelmakan oleh pemerintahan Barat, sungguhpun terdapat kerosakan lain yang dibawa Barat di sebaliknya. Beliau sempat memetik Rached Ghannouchi, pemimpin gerakan Islam Ennahda yang kembali ke Tunisia, ketika ditanya apakah model negara yang ingin diteladani sebagai negara kebajikan, setelah menang dalam pilihan raya baru-baru ini, Rached memilih Sweden sebagai jawapannya.

Mat Sabu mengulas bagaimana negara seperti Sweden, Demmark menduduki ranking teratas, sebagai negara yang bebas daripada rasuah, sedangkan negara Islam gagal melonjakkan diri dalam senarai teratas. Beliau sempat mengusik Malaysia, yang jatuh ranking-nya ke tangga 60, berbanding ke-56 daripada 178 negara tahun lalu. "Kita boleh ketawa sebab Malaysia sekarang ditadbir BN, tetapi apakah indeks itu akan berkurang bila kita ambil alih kuasa?" persoalnya.

Ambil khazanah negara untuk parti

"Ini yang berlegar di kepala saya apabila kita mencapai kuasa nanti. Apakah kita boleh jelmakan Islam yang dijelmakan Nabi, atau kita jelmakan pemerintahan baru yang mengganti UMNO?"

Mat Sabu mengisahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berdakwah dalam keadaan tidak berkuasa, hanya mampu menarik kira-kira 300 orang pengikut dalam 13 tahun; namun angka ini melonjak kepada lebih suku juta, apabila Nabi berdakwah dalam keadaan berkuasa untuk lapan tahun. Penambahan ini kerana jelmaan Islam dalam pemerintahan Nabi seperti keadilan sosial meyakinkan orang ramai.

Beliau kemudian mempersoalkan, mengapa tiada satu pun markas dibina di Kedah, selepas hampir empat tahun PAS mengambil-alih kerajaan negeri itu? Ahli PAS mula henti derma, kerana mereka sedang memerhati untuk tujuan apa PAS mengambil alih kuasa. Beliau memberi amaran, "Bila kita guna khazanah negara untuk parti, kita ambil alih tempat UMNO!"

Mat Sabu tidak menyelindung ketidaksenangan dirinya, apabila Kedah dan Kelantan ketinggalan berbanding Selangor, yang meluluskan usul mendesak pemansuhan ISA, Enakmen Kebebasan Maklumat dan sebagainya. Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang menganggap lebih baik tidak usik undang-undang yang sedia ada seperti ISA, kerana mungkin diperlukan apabila berkuasa kelak.

"Pembebasan demokrasi," tegasnya, seandainya gagal dikotai, maka memang PAS ganti UMNO. Secara jujur Mat Sabu mengakui, tiada jaminan daripadanya bahawa keadaan lebih baik apabila Pakatan Rakyat mengambil alih daripada Barisan Nasional, namun rakyat mesti diberi hak untuk menghukum pemerintah apabila berlaku penyelewengan.

Sepanjang pemerhatiannya, pemikiran liberal dan sosialis muncul kembali sejak kebelakangan ini, dan diminati semula. "Kalau kita tidak dapat melahirkan integriti yang hebat ini, saya nampak golongan kiri akan mendahului," dakwanya, mengambil contoh bagaimana Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nasir Hashim mempamerkan cara hidup yang sederhana meskipun mungkin lemah dalam bidang yang lain. Jeyakumar Deveraj, mengisytiharkan hartanya selepas menjadi wakil rakyat - yang mana langkah ini kurang diminati pimpinan PAS ketika Mat Sabu membangkitkannya dalam mesyuarat.

"Kalau kita nak Islam berada di atas, dan peranannya, soal integriti ini hendaklah menjadi tajuk utama," tekannya.

A.Samad Said : Idola orang muda

Mat Sabu turut mengambil nama A.Samad Said sebagai contoh, mengulas bagaimana Sasterawan Negara dengan usia dan keadaannya yang sebegitu, mampu disanjung sebagai idola orang muda. "....Dia boleh memperhambakan dirinya untuk kemanusiaan, keinsanan. Kenapa tidak berlaku begitu di kalangan ulama kita? Ini yang saya merungut itu!"

Sambil berkata dirinya tidak berniat untuk memperlekeh, beliau melontarkan kemungkinan ulama seperti Harun Din, untuk memimpin satu himpunan besar-besaran menentang penyelewengan dan penipuan yang berterusan dalam pilihan raya. Kata-katanya menggelakkan, ditanya pula mengapa hadirin ketawa. "Impossible (mustahil)!" demikianlah jawapan yang diterimanya daripada hadirin.

"Orang melihat orang yang ada integriti itu ada pada A.Samad Said," dakwanya. Mat Sabu mengingatkan, "kemenangan Parti Islam hanya kemenangan sementara," seandainya gagal melahirkan integriti dalam pemerintahan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Saturday, September 3, 2011

Sidang Media Menjawab Fitnah Komunis TV3, Media Perdana

Sejak 27 Ogos lalu, UMNO melalui media munafiqnya terus menyerang Mat Sabu dalam isu komunis. UMNO sengaja melancarkan fitnah ini dan memperbesarkannya bagi mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar negara, termasuk tuntutan Bersih, penyelewengan daftar pemilih dan pemberian MyKad biru pada pendatang tanpa izin (PATI). Sila ikuti sidang media Timbalan Presiden PAS itu di Kelantan baru-baru ini.


Friday, June 10, 2011

'Kalau PAS tak ambil, Umno akan ambil'

PAS perlu mencontohi tadbir urus yang baik seperti yang diamalkan negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan integriti dalam pentadbiran negeri yang dikuasainya – Kelantan dan Kedah, kata timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Katanya, pemimpin berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan perubahan yang berlaku di kedua-dua negeri tersebut masih belum cukup dan lebih buruk lagi, masih ada lagi golongan dalam PAS yang masih berfikiran seperti pemimpin Umno.

"Bukanlah kalau PAS pergi ke Putrajaya dengan rakan-rakannya hal ini akan selesai. Tadbir urus baik ini masih perlu difahami.

"Bila kita ceramah, kita tanya 'bila kita memerintah setuju tak kita tangkap Najib bawah ISA?' Orang kata setuju. Itu bermakna dalam pemikiran untuk balas dendam ini masih tebal.

"Maknanya bila kita perintah kita ganti Umno. Itu yang kita tak mahu. Sekarang di Kedah, Kelantan, perubahan berlaku tapi tak cukup," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Mohamad menjelaskan, perubahan di negeri Kelantan, misalnya, akan berdepan masalah apatah lagi sekiranya menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi mengetuai pentadbiran negeri berkenaan.

ADUN, exco tak boleh pohon tanah

"Dari segi tadbir urus, sebab pergantungan Kelantan misalnya pada tok guru (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) terlalu tinggi," kata Mohamad yang vokal terhadap pentadbiran negeri PAS sejak parti itu dapat mengembalikan kuasa di negeri itu pada 1990.

Penceramah popular itu juga menegaskan, PAS perlu mengubah sikap yang wujud di kalangan wakil rakyatnya bagi meningkatkan integriti barisan pentadbiran di negeri yang dikuasai.

"Misalnya anggota exco, ADUN tak boleh pohon tanah kerajaan. (Kalau) mahu mohon, berhenti, jadi orang berniaga. Selagi jadi ADUN, exco tak boleh memohon dan sebagainya. Ini yang perlu diubah oleh kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

"Setengah bercakap kalau PAS tak ambil Umno ambil. Ertinya (PAS) sama (dengan Umno) – benda macam ini yang saya akan berdepan, di dalam isu misalnya balak," katanya lagi yang mengakui bahawa pandangan seperti itulah yang menyebabkan beliau dilihat sebagai "pro-DAP."

Mohamad yang bimbang dengan penyelewengan yang wujud dalam parti itu berkata demikian dengan merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan berhubung sumber balak di negeri berkenaan.

Berebut untuk dapat 'Datuk'

Satu lagi perkara yang menjengkelkannya ialah minat yang ditunjukkan pemimpin PAS untuk mendapatkan gelaran daripada Istana – sikap yang dikutuknya sebagai pemujaan kepada sistem kasta dan feudalisme.

"Penyanyi menyanyi dua tiga lagu dah 'Datuk'. Pelawak (juga dapat). Kalau P Ramlee itu OK lah bagi Datuk, ini semua, kita baling batu boleh jatuh kepala Datuk.

"Kalau gelaran Datuk, semua mencari. Kalau umum 'siapa nak (pangkat) Datuk esok datang depan istana. Saya ingat pemimpin PAS akan berebut pergi depan istana," katanya.

Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu itu bagaimanapun berkata, beliau setakat ini menolak tawaran bagi gelaran berkenaan kerana tidak melihat keperluannya.

"Saya tolak buat masa ini. Tak berani cakap besarlah untuk akan datang, tapi buat masa ini tak nampak (keperluan). Tak perlu," katanya yang telah menolak tawaran untuk mendapat pingat kebesaran daripada Pulau Pinang sebanyak dua kali.

Mohamad Sabu ditemubual Aidila Razak, Lee Way Loon dan Salhan K Ahmad.

- malaysiakini

Sunday, May 15, 2011

Usah terkejut anak tokoh PAS bertanding atas tiket DAP - Mat Sabu

"Sebagai seorang muslim, saya mesti percaya bahawa ia sebagai undang-undang tertinggi yang perlu dilaksanakan. Tetapi, sebelum pelaksanaan Hukum Hudud ini, banyak lagi perkara yang boleh ditonjolkan, kebaikan Islam itu. Misalnya good governance (urus-tadbir yang baik), akauntibiliti, tidak rasuah, tolak nepotisme. Dan sekarang ini saya nampak, kalau PAS slow (perlahan) dalam bidang ini, for the future, DAP will take over."

Demikianlah kegusaran yang menyelubungi seorang pemimpin politik veteran, Mohamad Sabu (gambar kanan) yang menyertai PAS sejak tahun 1977. 34 tahun daripada pemimpin yang berusia 56 tahun ini dicurahkan untuk perjuangan PAS. Kesetiaannya bersama parti sukar dipertikai, pada masa yang sama beliau juga sahabat akrab kepada pemimpin DAP yang menerajui tampuk pimpinan sekarang.

Lanskap politik tanahair berubah dilanda "tsunami" pada 8 Mac 2008. PAS dan DAP yang sering bertentangan pendirian dalam isu "Hukum Hudud" dipaksa untuk duduk semeja berikutan sentimen rakyat untuk menentang Barisan Nasional. Namun demikian, "Hukum Hudud" kekal sebagai isu kontroversi, khususnya apabila berdepan dengan masyarakat bukan muslim.

Mohamad Sabu mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud bukannya sesuatu yang senang, melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, dan hasrat ini perlu dirunding bersama dan direstui rakan-rakan partinya. Tetapi, beliau lebih mengambil berat bagaimana Islam diterjemahkan kepada "urus-tadbir yang baik", untuk peringkat ini.

"Boleh capai atau tidak (pelaksanaan hukum hudud), itu soal cita-cita," Mat Sabu sekali lagi berjenaka, "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!"

Anak muda Melayu teruja nak sertai DAP

Calon Timbalan Presiden PAS ini berkongsi pengamatan dan pengalamannya dalam senario politik pasca 8 Mac 2008. "Ramai anak muda Melayu berjumpa saya sekarang. Dia kata Pak Mat, bila Pak Mat nak join DAP? Kalau Pak Mat join DAP, kami akan bersama..."

Ketika ditanya mengapa pendirian DAP yang jelas menentang pembentukan Negara Islam itu tidak menghalang anak muda Melayu daripada menyokong parti itu, Mat Sabu menjelaskan bahawa kecenderungan ini disebabkan dasar-dasar yang ditawarkan DAP, misalnya urus-tadbir yang baik, dengan konsep "CAT" (Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan sebagainya.

Secara terus-terang Mat Sabu berkata, pembangkang tidak boleh hanya mendakwa dirinya menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan sesuatu apabila menguasai kerajaan negeri. Mat Sabu menganggap ini adalah kehendak orang ramai, dan beliau amat bimbang seandainya PAS tidak merobah konsep ini.

Beliau enggan mengulas secara terperinci, walaupun wartawan MerdekaReview membangkitkan kerajaan negeri Kedah yang dikuasai PAS, yang kelihatan tidak mendahulukan agenda reformasi sebagaimana yang disebut di atas. Cuma, Mat Sabu mengingatkan, bahawa rata-rata wakil rakyat DAP mampu mempersembahkan "kehidupan yang tidak mewah", sebagaimana yang diamalkan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat.

Meskipun diserang bertubi-tubi dengan media kawalan UMNO, namun Mat Sabu berkata pemerintahan DAP di negeri Pulau Pinang berjaya menonjolkan ciri-ciri atau nilai Islam, jika dilihat dari substance (intipati) dan bukan form-nya (bentuk luaran). Malah beliau memberi peringatan bahawa jangan terperanjat seandainya terdapat anak tokoh PAS peringkat negeri bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya umum yang akan datang!

Mat Sabu ingin berkongsi idea-idea ini dengan PAS, kerana beliau menganggap seandainya PAS berjaya menjelmakan Islam kepada urus-tadbir yang baik, maka mungkin komuniti bukan Islam tidak bermasalah untuk menyokong PAS. "Kalau keadilan ini tak dapat dipamerkan dahulu, macam mana mereka lihat keadilan yang lain?"

"Kalau ditonjolkan Melayu sebagai Islam, orang Cina melihat apa yang ada pada Melayu? Ini yang saya nak fikirkan," kata Mat Sabu dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di Hotel Armada Petaling Jaya, semalam.

Enggan telan bulat-bulat pemikiran yang disogokkan

Mat Sabu terkenal sebagai pemidato di peringkat akar umbi. Namun, untuk polis cawangan khas (special branch), keupayaan beliau mengatur demonstrasi jalanan mungkin lebih digeruni. Malah bukan rahsia jikalau dikatakan Mat Sabu lebih cenderung kepada "haluan kiri" dari segi pemikiran politiknya, berbanding dengan pemikiran arus perdana dalam masyarakat Melayu-Islam, malah dalam PAS sendiri.

"Saya dalam memahami politik ini, saya membaca, termasuklah buku-buku Lenin, Mao Ze Dong, dan dalam Islam, Ikhwan Muslimin dan sebagainya," katanya. Mat Sabu mungkin pemimpin PAS yang paling rapat dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sehingga ada yang berjenaka bahawa hubungan PAS dengan DAP dan PSM akan bertambah baik seandainya Mat Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mat Sabu menolak untuk menelan sesuatu konsep secara bulat-bulat, misalnya Komunis dikaitkan dengan jijik, bunuh orang dan sebagainya - yang ditanamkan oleh penjajah British dan pemerintah selepas merdeka kemudiannya.

"Selepas perjanjian Damai, saya melawat ke Betong di Thailand. Saya juga melawat kem Rejimen 10 Komunis Malaya, (berjumpa dengan pemimpin seperti) Rashid Maidin, dan juga Abdullah CD. Saya dialog, bercakap dengan mereka, sesetengah-setengah mereka ini, yang orang Melayu, yang beragama Islam dalam Rejimen ke-10 itu, mempertahankan amalan Islam jauh lebih baik daripada orang Melayu "so-called" (kononnya), yang ada di luar, dan termasuk yang ada dalam UMNO."

Mat Sabu pernah mengutarakan pandangan-pandangan yang "menggemparkan", untuk masyarakat Melayu-Muslim, misalnya berkata orang Melayu seharusnya berterima kasih kepada Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM).

"Saya tidak suka disogok begitu, tanpa kita buat sedikit kaji selidik (research). Saya rapat dengan, dari awal dulu, dengan Syed Husin Ali (bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia), Dr.Nasir Hashim (Pengerusi PSM)..." secara terus-terang Mat Sabu berkata, pertukaran regim pemerintahan bergantung kepada kuasa rakyat.

Mat Sabu mengakui bahawa dalam isu-isu seperti fahaman komunis, institusi Raja, malah agama, PAS kadang-kala terikut-ikut dengan rentak UMNO, malah termakan dengan retorik itu. Beliau menganggap masalah yang paling besar didepani masyarakat Melayu sekarang adalah "pemikiran".

"Masalah pemikiran yang susah nak sebut... Pergi kepada Islam yang ditafsirkan dalam satu aliran. Tidak terbuka untuk berbincang dengan aliran lain," katanya yang mencadangkan agar setiap aliran dan fahaman dikaji dan bukan ditolak begitu sahaja.

"Saya amat tidak bersetuju, di Malaysia ini, dia letakkan Islam itu seolah-olah agama Melayu. Melayu itu Islam. Melayu berugama Islam saya amat bersyukur. Tapi nilai Islam ini, jauh lebih berada dalam kalangan orang Cina berbanding dengan orang Melayu."

Mat Sabu menjelaskan selanjutnya, bahawa sikap seperti kerja kuat, tidak bergantung kepada pertolongan subisidi, berdikari dan sebagainya dalam kalangan Cina ini adalah penjelmaan nilai Islam, cuma masyarakat bukan Islam ini tidak menerima Allah sebagai Tuhan mereka. Malah, beliau menyifatkan warga Jepun sebagai "umat Islam sejati", kerana tidak merampas makanan, beratur untuk dapatkan bantuan, menghormati hak orang lain dan sebagainya selepas masyarakat itu dilanda tsunami.

Beliau menolak "semangat asabiyah", misalnya kaum Islam dan Melayu tetap dibela walaupun telah melakukan kesilapan.

- merdekareview

Thursday, December 25, 2008

Sedih Dengan Tuduhan Mat Sabu Calon Luar

Sedih hati ini bila Mat Sabu dituduh sebagai punca kekalahan PAS di kerusi P36 Kuala Terengganu dalam PRU 12 lalu dengan alasan "Mat Sabu Calon Luar". Sebagai ahli PAS, saya merasakan tuduhan sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam jamaah kita.

Lupakah kita bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah perjuangan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Islam tidak pernah memandang apa warna kulit, bangsa atau dari mana asal negeri kita. Yang diambil kira ialah siapakah di kalangan kita yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Sepatutnya ahli dan jentera PAS Terengganu tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Naib Presiden PAS. Janganlah disebabkan kita terlalu ghairah untuk menang di Parlimen Kuala Terengganu sehingga kita lupa batasan dan adab kita kepada pimpinan utama. Kalau pun kita tak mahu calon daripada luar sekalipun, adakah kita perlu mengeluarkan kenyataan pedas sedemikian rupa. Bukankah kita ada Majlis Syura' dan AJK PAS Pusat yang akan menentukan siapakah yang paling layak untuk dicalonkan kali ini.

Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa sewaktu PAS memerintah Terengganu, saya kerap ke Terengganu dan Kelantan dengan 2 orang sahabat atas urusan tertentu. Pernah sekali kami singgah di Kuala Terengganu sekembalinya dari Kota Bharu untuk minum dan makan keropok lekor di kedai seorang kenalan sahabat saya. Dalam pertemuan itu, kami berbual panjang berkisar tentang pemerintahan kerajaan baru PAS di Terengganu ketika itu. Pemilik kedai tersebut dalam lingkungan usia 50an dan merupakan orang kuat PAS Marang.

Saya sebenarnya terkejut apabila dia menyatakan kebimbangannya bahawa PAS Terengganu akan kalah semula dalam PRU11. Saya sendiri bertanya kenapa dia berkata demikian. Lalu dia menceritakan segala-galanya kepada kami. Secara peribadi, saya membuat kesimpulan bahawa walaupun kita berada dalam jamaah Islam tetapi belum boleh menjamin bahawa kita tahan uji. Apatah lagi bila diuji oleh Allah dengan kuasa, pangkat dan jawatan. Secara ringkasnya, apa yang dinyatakan oleh kenalan tadi menggambarkan bahawa sebahagian daripada Exco Kerajaan PAS Terengganu waktu itu lupa diri.

Bila sampai waktu PRU 11 pada tahu 2004, apa yang dibimbangkan oleh kenalan tadi menjadi kenyataan. Memang kita tak nafikan bahawa memang berlaku penipuan undi yang ketara waktu itu sehingga PAS hilang semula Terengganu. Tapi kita kena ingat dan sedar segala apa pun yang berlaku adalah di dalam ketentuan Allah. Mengapa Allah biarkan penipuan ini berlaku sehingga kita hilang Terengganu. Semuanya ini ada rahsia tersirat yang sepatutnya kita semua ahli PAS di semua peringkat bermuhasabah diri. Hakikatnya, Allah tegur kita semua.

Saya bimbang apabila berlaku isu "calon luar" ini akan mengundang kebencian Allah sekali lagi. Dan yang paling saya bimbang apabila Allah tidak mahu menurunkan pertolonganNya menjelang Pilihanraya Kecil 17 Jan ini. Kita jangan sekali-kali lupa bahawa Allah yang menguasai hati-hati para pengundi di Kuala Terengganu.

Diharap agar selepas ini jangan lagi timbul suara-suara yang menyebut pasal calon luar ke, calon dalam ke, calon atas ke atau calon bawah ke. Sebagai ahli sebuah jamaah Islam yang syumul, kita bukannya berjuang untuk Tuan Guru Nik Aziz atau Tuan Guru Haji Hadi atau sesiapa saja. Kita berjuang kerana Allah.

Semuga Allah memaafkan segala keterlanjuran dan kesalahan kita semua dan memberikan kemenangan kepada PAS di Kuala Terengganu.

Takbir !

Jazakallah.

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger