Monday, October 19, 2009

Tinggalkan UMNO Sabah...

Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari terhadap nasib malang yang menimpa Bekas Ahli-Ahli USNO Sabah, berbagai cara dan bentuk gerak kerja telah dilakukan oleh Rakyat Sabah, khasnya mantan Pemimpin-Pemimpin USNO bagi mengembalikan Perjuangan Parti Kemerdekaan Sabah, Parti USNO atau United Sabah Nasional Organisation kembali ke Sabah. Namun permintaan ini terus ditolak oleh Pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia (R.O.S) tanpa memberi alasan.

Sejarah Penubuhan USNO semula telah diusahakan oleh banyak pihak di Sabah, namun dipandang sepi dan diperlekehkan oleh pihak tertentu, bahkan setiap kali ahli USNO dan Generasi Pimpinan muda pelapis USNO berjuang untuk mendaftarnya, dolak-dalik, seribu alasan dibuat oleh pihak ROS bagi melambatkan Pendaftarannya dengan tujuan untuk menghalang dan menolaknya.

Persoalannya apakah Rakyat Sabah tidak berhak untuk menubuhkan Parti dan perjuangannya sendiri? Perlukah mereka terus untuk mematuhi kehendak pihak yang berkuasa dalam Kerajaan bagi melupakan saja Perjuangan Parti Kemerdekaan ini seolah-olah dipaksa untuk duduk diam dalam rumah sendiri tanpa berbuat sesuatu.

Beberapa kumpulan Pejuang Bangsa Sabah-USNO (PBS-USNO) telah cuba untuk menghidupkan semula semangat juang USNO (Parti Kemerdekaan) bagi negeri Sabah ini supaya dapat dibenarkan semula dalam arena politik negara namun semua usaha ini terus gagal atau pendek kata digagalkan oleh orang yang pernah diberikan jasa olehnya.

Semua kegagalan ini adalah berpunca daripada alasan dan teori bahawa USNO boleh memecahkan UMNO di Sabah serta ditakuti akan menjejaskan agenda UMNO di negeri Sabah untuk terus berkuasa tanpa saingan dari parti Bumiputera lain.

USNO mesti dimatikan, USNO mesti dikuburkan supaya tidak boleh menuntut Haknya dalam konsep ’Sharing Power’ dalam kerajaan Barisan Nasional di Sabah, supaya tidak dapat menyuarakan ‘HAK’nya dalam ‘Perjanjian Malaysia’ yang didasari ‘20 Perkara.’

Dengan mematikan dan menguburkan USNO, UMNO boleh mengawal kerajaan Sabah secara mutlak dari pusat hingga ke akar umbi rakyat Sabah, tanpa parti-parti Komponen Sabah yang lain seperti PBS, UPKO, PBRS dan LDP kerusi komponen ini mesti dipastikan tidak mencapai 50% suara atau ½ jumlah ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Beberapa Pertubuhan Politik dan N.G.O yang melambangkan semangat dan ada kaitan dengan U.S.N.O (United National Sabah Organisition) terus menerus gagal untuk mendapatkan KELULUSAN melalui pendaftar Pertubuhan.

Senarai Percubaan Parti Politik Dan NGO Untuk Mendaftarkan USNO

01) USNO Plus –1994

Gabungan USNO dan Kerajaan PBS–Pimpinan Datuk Askalani Abdul Rahim mula menghidupkan Semangat USNO pada 1994. (Semporna).

02) USNO BARU–Didaftarkan ke ROS 2002.

Gagasan Abdullah Sani Hj. Abdul Salleh Penukarkan Nama Parti Bersekutu kepada USNO Dari (Semporna), Sabah.

03) USNO 2006 – Didaftarkan 2006

Pimpinan Saudara Perais Sherif Baba dari (Kota Belud), Sabah.

04) Mantan Ahli Usno–Dibentuk 2007

Pimpinan Datu Abdul Salam Bin Datu Harun dari (Kudat), Sabah

05) Pertubuhan Bekas Ahli Usno Atau Ex-Usno diserahkan untuk didaftarkan pada 2008, Pimpinan Datu Badaruddin Bin Tun Datuk Sir Haji Mustapha Dari (Kota Kinabalu), Sabah.

06) KELAB USNO SABAH (KUS) – Didaftarkan 2008

Pimpinan Ridi Bin Alawangsa dan Haji Said Bin Hj. Senang dari (Sandakan dan Tawau), Sabah.

07) PARTI USNO BARU – 2008

Pimpinan Haji Musa Milip dan Mat Bee dari (Inanam,Telipok dan Tuaran) Sabah

Selain pertubuhan-pertubuhan yang didaftarkan di atas, terdapat beberapa percubaan lain oleh beberapa bekas ahli PBS-USNO seperti Pengeran Ibrahim Dewa iaitu Mantan Wakil Rakyat Papar; Haji Salleh Janan, Mantan wakil Rakyat Sandakan; Johari Mohammad Dun, mantan Wakil Rakyat Beaufort juga telah berusaha untuk menghidupkan semula USNO melalui saluran Kerajaan dengan menemui Perdana Malaysia di Putrajaya pada 2007.

Usaha PBS-USNO untuk menghidupkan semula USNO amatlah memilukan bagi kita rakyat Sabah yang dipandang terlalu keji, terlalu hina, terlalu kecil dan kerdil oleh pihak pihak tertentu.

Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa kewujudan USNO semula adalah tidak ‘relevan’ lagi di Sabah, kerana wujudnya UMNO sebagai penganti USNO bagi memperjuangkan Rakyat Sabah.

Di sini, saya ingin menegaskan bahawa yang tidak ‘relevan’ itu adalah UMNO yang terus berada di Sabah, kerana UMNO adalah Parti Melayu, sementara itu Rakyat Sabah tidak semua berbangsa Melayu kecuali Orang Pendatang tanpa izin Filipina, pendatang tanpa izin Indonesia dan pendatang tanpa izin Pakistan yang menjadi Melayu ‘Plastik’.

Golongan Melayu Plastik (GMP) inilah yang terlalu ramai dalam UMNO sehingga mereka boleh menentukan kepimpinan UMNO Sabah dan menjadikan diri mereka sebagai bahan lelongan dan bahan tender kepada tuan-tuan besar yang kaya raya yang telah bertindak sebagai badut-badut orang atasan.

Saya yakin Bumiputera Sabah yang benar-benar menjadi bangsa Sabah yang cintakan Sabah, yang inginkan kebebasan memilih pemimpin Sabah tidak ingin membenarkan diri mereka menajdi badut-badut UMNO Sabah.

Orang Bajau tetap Bajau, Orang Sungai tetap Sungai, Orang Dusun tetap Dusun, Orang Kadazan tetap kadazan dan Suluk tetap Suluk sehingga mereka tidak akan membenarkan diri mereka menjadi Melayu.

Apakah USNO didakwa tidak ‘relevan’ disebabkan sudah ramai anak-anak Melayu Celup yang dilahirkan oleh UMNO di Sabah? Mereka dilahirkan melalui proses undang-undang secara songsang dan memberikan mereka kertas songsang atau kad plastic (mykad) untuk menjadi ahli UMNO Sabah yang Sah?

Apakah kita terus menerima hakikat bahawa USNO itu ‘Parti Nostalgia’ yang perlu dikenang sahaja dan disimpan dalam Muzium sekadar tatapan sejarah anak-anak PBS-USNO Sabah?

Apakah kita harus akur dan menerima bahawa USNO sudah ‘Mati’ umpama manusia yang telah mati dan tidak boleh bangkit semula dari kubur untuk berjuang semula terhadap rakyat Sabah?.

Apakah kita tidak lagi menghormati hasrat anak jati Sabah yang tulen untuk memperjuangkan haknya dalam konsep ‘Sharing Power’ supaya dapat memperjuangkan rakyat Bumiputera Sabah?

Kenapa harus disekat perjuangan murni dan ikhlas anak-anak Sabah ini, adakah kerana mereka kurang berani seperti HINDRAF yang telah memperolehi MAKKAL SAKTHI dan dirasmikan oleh Perdana Menteri sendiri sebagai Parti Baru?.

Perlukah kita PBS-USNO bersifat kurang ajar untuk mendapatkan USNO semula?

Perlukah tindakan seperti HINDRAF dilakukan di Sabah? Atau perlukah ke kita menemui Presiden Obama, Baginda Queen Elizabeth untuk mendapat hak kita seperti mana perjuangan masyarakat INDIA melalui Hindraf di Semenanjung Malaysia bagi memperjuangkan ideologi mereka?

Rakyat Sabah yang cintakan negara ini tidak pernah berbuat seperti ini untuk mendapatkan haknya, mereka terus menggunakan saluran undang-undang dan peraturan pentadbiran untuk mendapatkan hak-hak ini dari pihak berkuasa, rupanya adat dan budaya rakyat Sabah yang saling bertolak ansur dan lemah lembut ini seolah- olah ditafsirkan sebagai satu kelemahan bagi mereka.

Kelemahan inilah yang menyebabkan ‘Bangsa Sabah’ terus tertindas dan tidak bebas menentukan pemimpinnya sendiri. Lebih menyedihkan lagi bila anak-anak Sabah sering menerima sindiran bahawa mereka menjadi seperti ini adalah kerana kesilapan sendiri, kesilapan ‘Pemimpin Sabah Sendiri’, pendirian rakyat Sabah sendiri, semua kelemahan ini dilontarkan kepada kita sendiri; pendek kata ini semua berlaku kerana KEBODOHAN kita sendiri.

Apakah benar bahawa kita ini BODOH, Apakah benar bahawa kita ini TOLOL, apakah benar bahawa kita tidak tahu BERFIKIR dan STATIK dalam menegakkan harapan bangsa kita sendiri supaya kita bebas memilih masa depan dan arah tujuh perjuangan kita sendiri dalam negara yang bertunjangkan demokrasi?.

Jika USNO dianggap hendak bangkit dari kubur untuk berjuang dan ingin membela nasib dan masa depan rakyat Sabah semula, sebenarnya ingatlah UMNO juga pernah Mati (Diharamkan oleh Mahkamah) dan bangkit semula dari kubur serta lahir dengan wajah baru yang dipanggil UMNO (Baru) untuk berjuang semula bagi pihak ‘Bangsa Melayu’ dan mendapat haknya semula seperti mana yang kita lihat pada hari ini.

Apakah kebangkitan USNO semula terlalu buruk, busuk dan hina untuk lahir dan memperjuangkan semula Rakyat Sabah yang terus ketinggalan jauh di belakang.

Jika USNO dianggap sebagai parti ‘Nostalgik’ atau sejarah, sebenarnya UPKO juga pernah menjadi parti ‘Nostalgik dan Sejarah’ suatu ketika dulu dan hari ini mendapat haknya dalam konsep “’Sharing Power’ untuk memerintah negara ini bersama Barisan Nasional.

Jika USNO dianggap tidak ‘relevan’ lagi dalam perjuangan Politik Sabah, apa pula relevannya UMNO dalam Politik Sabah, USNO yang dianggap tidak relevan ini ternyata masih memiliki ahli di seluruh Sabah sehingga hari ini.

Sila rujuk Blog USNO: www.kelabusnosabah.blogspot.com yang telah merekrut ahlinya semula di seluruh pelusuk Sabah dan mendapat sambutan hangat dari kalangan rakyat Sabah dari ufuk timur hingga ke barat; dari utara hingga ke selatan; dari persisiran pantai sehingga ke pedalaman; dari sungai hingga ke kepulauan, EX-USNO mendapat sambutan di Sabah, apakah yang dimaksudkan ‘releven’ itu oleh musuh-musuh USNO. (Jangan lupa untuk daftar Follower di sana).

Budaya baru segelintir pemimpin Sabah yang gila kuasa, gila harta, gila pangkat serta suka mencium-cium, menjilat-jilat, meminta minta, berlagak seperti badut badut demi ‘survival’ serta bersifat pondan ini telah meletakkan negeri ini menjadi ‘Negeri Kerdil, Negeri Miskin, Negeri Papa, Negeri Pincang, Negeri Bankrap dan Negeri Hina’ pada hari ini.

Ramai di antara pemimpin Sabah yang sedang berkuasa pada hari ini berlagak sombong, bermegah-megah dengan kekayaan hasil dari sifat dan kerjaya mereka yang bersifat badut dan pondan ini terus memperlekehkan perjuangan dan niat suci anak anak Sabah yang ingin mengembalikan Parti USNO ke negeri ini.

Mereka terus bersikap membantah, kontra, memperlekeh, membuli dan tidak menyenangi keujudan semula USNO Sabah kerana takut kehilangan peluang, kekayaan, pangkat dan harta benda jika berhadapan dengan Parti Tulen memperjuangkan Hak rakyat Sabah.

Saya teringat sejarah ketika UMNO diharamkan, Orang Melayu di Semenanjung Malaysia telah bertungkus lumus menghidupkannya Semula UMNO, tiada satu pun bangsa atau Parti politik serta badut-badut lain yang mengatakan bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi, bahawa UMNO tinggal sejarah, bahawa UMNO sudah mati dan tidak boleh bangkit dari kubur.

Bahkan orang Melayu di Semenajung Malaysia telah berusaha dan bersusah payah untuk menghidupkan semula parti mereka bagi menyelamatkan bangsa Melayu di sana. Mereka telah mewujudkan UMNO MALAYSIA yang di pimpin oleh Tengku Abdul Rahman, UMNO BARU yang dipimpin oleh Dr. Mahathir Mohammad dan Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Semua ini mereka lakukan demi Melayu.

Orang Melayu bersatu dan berani berkorban untuk memperjuangkan parti mereka walaupun telah diharamkan oleh Mahkamah dan ini membuktikan bahawa betapa pentingnya Parti Melayu dihidupkan semula demi survival Bangsa Melayu melalui perjuangan Politik UMNO.

Apakah bangsa Sabah, bumiputera Sabah tidak belajar dari peristiwa ini, semangat juang orang Melayu amat tinggi pada masa itu kerana mereka menggunakan kekuatan yang ada dan berikhtiar sedaya upaya bagi memastikan Parti Melayu hidup semula dan terus releven untuk memperjuangkan masa depan Anak Bangsa Melayu.

Tiada seorang pun orang Melayu yang berkata keburukan UMNO, kehinaan UMNO, ketidak relevennya dan akhir UMNO berkuasa semula untuk membela Bangsa Melayu.

Bila rakyat Sabah mendaftarkan USNO dan memperjuangkan USNO semula demi Bangsa Sabah, demi survival Politik Bumiputera Sabah, demi martabat dan perjuangan anak-anak generasi baru rakyat Negeri Sabah, adakah kita dianggap tidak relevan lagi?

Adakah kita tidak berhak terhadapnya? Adakah kita dilihat seperti kucing kurap atau dibiarkan seperti anjing menyalak bukit atau dalam bahasa tempatan Suluk Sabah ‘Kiangog sayan’.

Wal hal, USNO tidak pernah diharamkan oleh mahkamah atau menghadapi tindakan Undang-Undang berbanding UMNO kerana pembubaran USNO adalah soal teknikal sahaja dan bukannya soal perundangan yang menghendakinya menjadi demikian atau telah melanggar undang-undang negara.

Andaikata pembubaran USNO dikatakan adalah kehendak ahli-ahli USNO sendiri, adakah generasi yang seterusnya tidak berhak untuk menghidup-kannya semula?

Adakah sesuatu kesilapan generasi terdahulu untuk membubarkan USNO tidak boleh diperbetulkan oleh generasi baru dan mereka anak-anak muda Sabah dipertanggungjawabkan menanggung beban ini?

Walhal UMNO telah membetulkan kesilapan pemimpin terdahulu sehingga UMNO diharamkan dan seterusnya dibangkitkan semula dari KUBUR oleh orang Melayu.

Saya ingin mengingatkan rakan-rakan yang bersifat pro dan kontra terhadap USNO, bahawa perjuangan Mantan USNO pada hari ini samalah juga dengan perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu dari UMNO untuk menyelamatkan UMNO seketika dulu.

Gagasan menghidupkan USNO semula tidak bererti bahawa rakyat negeri ini berjuang kebelakang, bahkan barisan yang memperjuangkan USNO ingin melihat masa depan yang cerah dan generasi muda Sabah ramai yang berminat untuk menyertai.

Jika kita melawat blog-blog anak Sabah seperti Sabah Forum, Sabahkini.Net, SabahDaily dan lain-lain, hampir 100% generasi mudah Sabah inginkan KUASA dan HAK Autonomi memilih pemimpin Sabah hendaklah diletak kepada rakyat Sabah sendiri tanpa kawalan.

Andai kata kita tidak yakin dengan barisan kepimpinan Penaja-Penaja USNO dan para pejuang USNO ini, janganlah ia menjadi batu penghalang kepada anak-anak Sabah untuk tidak menyokongnya. Sokonglah mereka, yakinilah mereka bahawa perjuangan suci mereka adalah untuk anda, mereka tidak akan kekal di sana kerana yang akan kekal adalah Wadah perjuangan mereka yang dirintis bagi ‘Generasi Muda Sabah’, untuk anda dan bangsa anda.

Jesteru itu anak dan rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia am, kita tidak perlu khuatir soal ini kerana akhirnya mereka akan berundur juga seperti mana pemimpin UMNO, tetapi para pemimpin UMNO Baru ini telah meninggalkan satu wadah perjuangan untuk orang Melayu.

Lihatlah UMNO, Contohilah UMNO dan Perjuangkanlah USNO.

Penaja USNO seperti Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha, Perais Sharif Baba, Abdullah Sani Hj. Abdul Salleh, Ridi Alawangsa, Haji Musa Milip dan beberapa Mantan Yang Berhormat USNO, AMT USNO serta Penaja-Penaja di Peringkat Parlimen, Peringkat Dun dan Peringkat Daerah Mengundi seluruh Sabah sebenarnya, mereka adalah ‘Pejuang Bangsa Sabah’ yang ingin melihat perjuangan pemimpin terdahulu dapat diteruskan.

Mereka ingin meninggalkan kepada kita dan generasi kita satu wadah perjuangan bagi anak-anak Sabah, bahawa perlunya rakyat Sabah, khasnya bumiputera memiliki semula parti kemerdekaan ini dengan mengembalikan semula USNO ke pangkuan kita.

Seperti mana Tun Razak, Tun Hussien, Tun Mahathir, Tun Abdullah, Tun Sakaran, Tun Ghafar meninggalkan waris perjuangan UMNO kepada generasi mereka dan Bangsa Melayu, maka begitulah juga hasrat para pejuang USNO ingin meninggalkan Waris Perjuangan ini kepada generasi dan Bumiputera Sabah akan datang di negeri Sabah.

Atas dasar dan rasa tanggungjawab inilah kita perlu bersatu, bantu membantu demi masa depan anak cucu kita di negeri Sabah.

Siapakah yang dapat menjamin bahawa Adat dan Budaya serta tradisi rakyat Sabah dapat kekal dalam perjuangan UMNO? Sedangkan UMNO mempunyai arah tuju sendiri bagi memperjuangkan Bangsa Melayu, bagi mempertahankan Melayu seperti mana kata-kata Laksamana Melayu, Hang Tuah, “Tak Melayu Hilang di Dunia.“

Dapatkah UMNO menjamin dan mempertahankan budaya Bangsa Sabah seperti peribahasa dan bahasa mereka akan dibawa ke perhimpunan agung UMNO untuk diperjuangkan bagi generasi akan datang?

Dua peribahasa Bajau, “Bang Alam nia Bissalah aLungai Na Bangsa“ dan “mangan niah mangan asal kurung kurung“ memperingatkan kita bahawa penting dan perlunya bahasa dipelihara bagi mengekalkan kesinambungan Bangsa Sabah, sementara peribahasa kedua mengingatkan kita maksud perpaduan, maksud kesatuan, walau apa pun terjadi, susah senang kita mestilah bersama dan bersatu.

Jesteru itu, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Sabah yang berada di negeri Sabah, di Semenanjung Malaysia, di Sarawak atau di mana-mana sahaja mereka berada, lelaki dan perempuan; kecil, muda dan tua; pendek, gemuk dan tegap-tegap; hitam, putih dan kuning; Islam, Kristian dan Pagan serta Palau; marilah kita bersatu, tanpa mengira suku dan bangsa kita di bumi Sabah; tanpa memikirkan perbezaan agama serta cara hidup kita; yang penting kita adalah rakyat Sabah yang berada dalam Malaysia. “Mangan niah mangan asal kurung kurung.“ marilah bersama.

Janganlah kita berpecah atau rela berpecah dalam soal kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, USNO telah menyediakan kita satu Draf Perjanjian yang dipanggil ‘20 Point’ bersama parti-parti lain semasa kemerdekaan dulu.

Janganlah kita terpengaruh oleh pemikiran kolonialisme, materialisme, kronisme dan nepotisme yang diutarakan oleh rakan-rakan sebangsa dengan kita yang telah bertukar bulu dan menjadi musang berbulu ayam.

Sudah terlalu ramai rakyat Sabah bertukar bulu, bertukar bahasa, budaya; bertukar tempat lahir, bertukar suku dan bangsa sepeninggalan dan semasa ketiadaan USNO. Marilah Perjuangkan USNO untuk dihidupkan semula. Bersatulah kita untuk ‘Parti Anak Bangsa’ ini.

Biarkanlah mereka yang telah menukar budayanya, bahasanya, pemikiran dan adatnya itu berada di luar lingkungan perjuangan rakyat Sabah bagi mengembalikan parti kemerdekaan ini.

Andaikata pihak pendaftar pertubuhan masih berkeras untuk tidak meluluskan kita untuk menghidupkan semula Parti Kemerdekaan ini, saya menyeru kepada rakyat Sabah agar kita beramai-ramai memperjuangkanya bersama demi rakyat dan Negeri Sabah.

Perlu juga saya ketengahkan di sini kisah pembubaran USNO, dengan ikhlas Pemimpin kita mengakui bahawa Tun Mustapha sebagai pengasas USNO telah rela membubarkan USNO dan memberikan laluan kepada UMNO untuk mengisi tempatnya.

Namun inilah yang terjadi, “kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari “

Tun Mustapha sendiri mengakui kesilapannya setelah beliau mengambil keputusan untuk balik kepada Perjuangan Rakyat Sabah dengan membantu dan menyertai perjuangkan rakyat Sabah melalui Parti PBS bersama masyarakat KADAZANDUSUN.

Keikhlasan Tun Mustapha terhadap bangsa Sabah, menerima Datuk Pairin Kitingan sebagai Pemimpin untuk memperjuangkan rakyat Sabah walaupun akhirnya Kuasa Bangsa Sabah yang dipegang oleh Datuk Pairin itu dirampas secara teknikal dan tidak demokratik oleh Sakaran Dandai bersama ‘anak saudaranya’, Shafie Apdal melalui parti UMNO.

Kita semua tahu bahawa jatuhnya Parti Bangsa Sabah (PBS) ke tangan UMNO Sabah adalah dengan cara kotor dan tidak beretika melalui proses Demokrasi dan menggunakan operasi serta teori ‘Micheavillie’ bagi menghancurkan Demokrasi Sabah serta perjuangan suci PBS.

Tun Mustapha juga telah menunjukan keikhlasannya kepada masyarakat Cina Sabah apabila bersedia menerima Datuk Peter Lo sebagai Pemimpin dan Ketua Menteri Sabah di awal kemerdekaan dahulu.

Tun Mustapha seorang Negarawan, seorang Pahlawan, Seorang Pimimpin yang ikhlas terhadap bangsanya, mengakui kesilapanya dan dia tidak pernah mengenepikan kepentingan Bangsa Sabah apabila berhadapan dengan kepentingan Rakyat Sabah.

Adakah kita menyalahkan Tun Mustapha terhadap yang berlaku pada USNO, tidak bolehkah kita memaafkannya atas kesilapan ini? Tepuk dada, tanya selera kerana Tun Mustapha telah memberi petunjuk kepada kita.

Apakah kita terus menerima tohmahan badut-badut UMNO, apabila mereka mengapi-apikan ‘Bangsa Sabah’ sesama sendiri, memperlekehkan Tun Mustapha sebagai pemimpin yang membuka jalan kepada UMNO untuk masuk ke Sabah; tanpa memikirkan bahawa pemimpin agung ini telah menunjukan keikhlasanya terhadap kita bahawa beliau telah tersilap membenarkan UMNO masuk ke Sabah dan sebelum ‘wafat’nya, beliau telah balik untuk berjuang bersama rakyat Sabah melalui Parti Bangsa Sabah @ PBS.

Apakah kita terus menerima kata cacian badut-badut UMNO bahawa orang USNO tidak boleh berjuang bersama PKR dan Anwar Ibrahim kerana Anwarlah yang menyingkirkan Tun Mustapha; walhal Presiden UMNO pada masa itu bukanlah Anwar Ibrahim tetapi Dr Mahathir Mohammad.

Atas kesedaran ini Ex-USNO dan para pejuang USNO yang dipinggirkan, yang disingkirkan dan yang tidak diperlukan oleh UMNO, marilah kita sama-sama mengikut jejak langkah Allahyarham TUN MUSTAPHA untuk memperbetulkan semua kesilapan ini. Janganlah benarkan lagi diri kita diperlaga-lagakan sesama kita. Jangan benarkan perbezaan agama, perbezaan kesukuan menyebabkan kita terus berpecah untuk memperjuangkan BANGSA SABAH seperti mana UMNO memperjuangkan Bangsa Melayu.

Tun Mustapha adalah contoh pemimpin agong bagi kita rakyat Sabah, apabila beliau boleh mengakui kesilapannya memberi laluan kepada UMNO dan membetulkannya sehingga boleh menerima pimpinan suku Kadazandusun dan suku Tionghua sebagai pemimpinnya.

Apabila beliau boleh meninggalkan UMNO sebelum ‘wafat’ dan membuka mata Generasi Muda Sabah supaya terus bersatu dalam wadah perjuangan Bangsa Sabah.

Pada hari ini, saat ini, ketika ini, USNO telah ditolak pendaftarannya maka PAKATAN RAKYAT (PKR, PAS dan DAP) yang memerlukan kita untuk berjuang haruslah kita lihat sebagai satu perjuangan yang boleh membawa kita ke arah masa depan yang cerah, USNO yang telah tersilap membawa dan memberi laluan kepada UMNO, tiada salahnya untuk membawa PAKATAN RAKYAT pula bagi membetulkan kesilapan ini.

Ingatlah jangan akhiri perjuangan ini selagi USNO sebagai parti kemerdekaan Sabah tidak dikembalikan kepada kita bagi memastikan konsep ‘Perkongsian Kuasa’ diletak hak dan dikembalikan semula kepada rakyat Sabah.

Bagi mengariskan perjuangan Rakyat Sabah, kita seharusnya memperlihatkan bantahan kita dari pelbagai sudut, mohon semua mereka yang memiliki blog serta email memanjangkan kenyataan ini di blog anda. Bagi mereka yang tidak memiliki blog sendiri cukup dengan sekadar memanjangkan kenyataan ini melalui email masing masing atau dalam facebook, twitter, tagged, Friendster dan laman web anda.

Sebagai Rakyat Malaysia yang berada di Sabah, dengan meletakan kenyataan ini dalam blog anda, bererti kita sayang kepada negeri ini dan bertanggujawab kepada negeri kita serta ingin melihat anak cucu kita memiliki perjuangan dan arah tuju sendiri.

Email kepada semua rakan anda dengan 10 rakan setiap seorang sebagai tanda sokongan anda rakyat Sabah yang ingin memperjuangkan haknya.

Penulis : Abbas bin Ahmad (Ahli Persatuan Blogger Sabah - PBS)

Source : sabahkini.net

No comments:

Mangsa Kerakusan dan Kezaliman UMNO

mangsa kezaliman
bn
Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger